Friday, December 31, 2010

Tarbiautul Awlad, 2011 & Ketuanan Melayu

Tarbiautul Awlad, 2011 & Ketuanan Melayu
Jumaat 31 Disember 2010

Muqaddimah:

1. “Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)”. [Yunus:5]

2. Syukur kita kepada Allah SWT atas limpah kurnia dan izinnya bertemu lagi pada malam ini untuk menyambung pengajian kitab tarbiautul awlad karangan dr Abdullah Nasih Ulwan, yang mana kita masih berada dalam prakata Sheikh Dr. Muqaddimah beliau adalah penting untuk kita mengetahui kenapa buku ini ditulis dan apa yang patut diambil dari keseluruhan buku ini.

3. Maha suci Allah yang telah mengajar kita melalui firmanNya tentang kejadian dan kekuasaan Allah dalam penciptaan makhluknya. Diberitahu kepada kita tentang bergeraknya matahari dan bulan mengikut paksinya. Dalam surah Yasin pun ada disebut tentang matahari yang berputar pada paksinya maka hikmah dari kejadian itu, dapatlah kita manusia mengira tahun dan masa. Pada hari ini pun kita akan membincangkan sedikit tentang kiraan tahun InsyAllah.

4. Kuliah hari ini juga adalah kuliah saya yang terakhir ..... terakhir pada tahun 2010 tahun Masehi. Jadi di kesempatan ini saya akan kongsikan beberapa perkara antaranya bagaimana bermulanya kiraan kalender masehi dan bezanya dengan kalendar Islam. Jadi hari ini selain dari pengajian kitab ilmu agama kita juga akan dapat ilmu dunia, balik cuba tanya anak tahu tak asal usul kalendar? Barulah kita ada kelebihan.

5. Pada asalnya Kalendar diasaskan oleh orang Rom, seawal pemerintahan Julius Ceaser, dikira mulai pembangunan bandar Rom sebelum kelahiran Nabi Isa. Kalender ini dinamakan Kalender Julian, sehingga pemerintahan Augustus Ceaser. Jadi sebab itu dalam kalender ada namanya Julai dan Ogos, oleh kerana Julai mempunyai 30 hari maka Augustus Ceaser mahu lebih maka ditambah dalam Ogos 31 hari.

6. Penggunaan kalender Julian berterusan sehingga sampai ke era perkembangan agama kristian, kalender Julian terdapat beberapa kelemahan, dan beberapa pengubahsuaian dilakukan. Pengubahsuaian yang terbesar dilakukan semasa pemerintahan Pope Gregory XIII dengan mengambil permulaan kiraan dari tarikh kelahiran Nabi Isa. Maka 1 Januari dimulakan kiraan berdasarkan dakwaan tarikh kelahiran Nabi Isa. Dakwaan ini hanyalah berdasarkan telahan ulama-ulama kristian sahaja dan masih terdapat khilaf terhadap tarikh sebenar. Oleh yang demikian kalender ini dinamakan kalender Grogerian.




7. Kalender ini telah mendapat tempat disemua negara yang mengamalkan kristian sehinggalah ke negara yang mengalami kolonialism Inggeris termasuklah Tanah Melayu. Penggunaan meluas ini menjadikan ia dominan dalam menentukan kiraan tahunan melibatkan akaun, persekolahan dan lain-lain.

8. Terdahulu Tanah Melayu sebelum penjajahan Inggeris menggunakan kalender Islam yang lebih tepat mengikut kiraan bulan. Kalender Islam dimulakan oleh Khalifah Umar mengikut tarikh hijrahnya Rasul SAW ke Madinah. Mungkin penggunaan kalender Grogerian lebih utama sehingga kita kadang-kadang tidak tahu tarikh hijri yang sebenarnya.

9. Pada hari ini juga, diberikan Allah kesempatan untuk kita berehat, setelah Dato Seri Najib dengan murah hati memberi cuti peristiwa sempena kemenangan Malaysia dalam piala AFF dua hari lepas. Merasalah kita cuti hari Jumaat, mungkin banyak yang suka sebab namanya cuti, tapi ada juga yang terpaksa bertungkus lumus menyiapkan kerja sebelum masuk tahun 2011.

10. Kini kita jarang-jarang dapat bercuti pada hari Jumaat sedangkan hari itu adalah penghulu segala hari, kita mengambil cuti pada hari Ahad sedang ia adalah hari kebesaran orang Kristian, ini hari sembahyang orang Kristian ada Big Mass, manakala hari Sabtu adalah kebesaran bagi Yahudi, dalam surah Baqarah diceritakan bagaimana hari Sabtu tidak boleh menangkap ikan, tapi Yahudi tangkap ikan juga sehingga Allah menjadikan mereka beruk.

11. Jadi hari jumaat adalah hari kebesaran umat Islam, tetapi pada hari ini hanya segelintir negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat seperti Kedah dan Kelantan. Johor juga saya dimaklumkan mengamalkan cuti pada hari Jumaat sehinggalah diubah ke Sabtu dan Ahad sampai hari ini. Memang benar sesiapa yang mengambil kesempatan cuti pada hari Jumaat dengan memakmurkan Masjid, maka beruntunglah ia.

12. Datang awal ke Masjid dijanjikan pahala seekor unta, dan ada yang dapat pahala seperti seekor kambing malah kalau yang lambat datang dapat pahala seperti telur sahaja. Malah ada yang tak dapat langsung. Jadi kesempatan cuti hari Jumaat memberi peluang untuk menambahkan amalan, jangan jadi mereka yang cuti hari Jumaat tapi masa dihabiskan ditempat yang tidak sepatutnya. Saya semasa di Kedah, pernah lalu ditempat peranginan, masa tu saya musafir, time dekat nak Jumaat manusia punyala ramai, banyak yang Melayu dan dah Melayu lelaki pula.

13. Sekiranya hari Jumaat tidak dimanfaatkan seperti yang saya terangkan tadi maka sama sahaja kalau kita bekerja pada hari Jumaat malah orang wanita lebih suka kerja pada hari jumaat kerana dapat bershopping dengan kawan-kawan sebab waktu rehatnya panjang.

14. Bersempena dengan masuk tahun baru ini jugalah maka ada pernah ada soalan samada boleh atau tidak orang Islam merayakan sambutan tahun baru. Jawapannya adalah harus kerana asal sesuatu perkara dalam Islam adalah harus sehinggalah datang nas untuk mengharamkannya.

15. Bagi saya ia adalah harus selagimana ia tidak dicemari dengan perkara-perkara yang dilarang dalam Islam. Sebab tahun baru ini selalunya kita berkira-kira untuk memulakan azam baru sebab kebanyakan kerja dan urusan seharian diukur masanya dengan kalendar grogerian. Perkara yang menjadikan haram adalah apabila dibuat majlis sambutan dengan cara ikhtilat atau percampuran antara lelaki dan perempuan. Ia juga menjadi haram sekiranya sambutan tersebut ada perkara-perkara yang melalaikan seperti nyanyian dan pertunjukan yang haram.

16. Malah sekiranya ada orang yang menuntut dilakukan ibadat tertentu dalam usaha menyambut tahun baru ini juga ianya haram. Kerana tiada dalilnya samada dari Quran atau Sunnah, meskipun berniat baik contohnya mahu berpuasa pada tahun baru sebab mengambil kira puasa yang dilakukan pada 10 Muharram dilakukan Nabi sempena selamatnya Nabi Musa dan Bani Israel dari ancaman Firaun.

17. Rasul SAW menyatakan oleh kerana Bani Israel merayakan hari 10 Muharram maka orang Islam lebih layak merayakan hari tersebut kerana Nabi Musa juga adalah Nabi dalam Islam. Tapi jika kita menggunakan hujah bahawa Nabi Isa juga adalah Nabi kita maka kita boleh mengenang kelahiran beliau dengan berpuasa maka ia menjadi haram. Meskipun dengan niat mengenang hari kelahiran tetapi tiada sebarang amalan warid dari Rasul maka ia jatuh kepada Bidaah.

18. Perbuatan menambah-nambah dalam ibadah ia termasuk dalam perkara bidaah, bidaah membawa kepada kesesatan dan kesesatan tempatnya didalam neraka. Melainkan dalam mazhab Syafei, bidaah dibahagikan kepada Bidaah Hasanah dan Bidaah Saiyiah/Dholalah. Jadi kita kena berhati-hati dalam bab ini. Meskipun dalam bab nak beribadat.

19. Apa yang berlaku pada hari ini kalau kita lihat semua perkara yang dilarang semua dibuat kita. Dari segi Ikhtilat mahupun perkara yang haram dalam sambutan tersebut. Maka akibat dari perbuatan tersebut maka ramailah remaja muda-mudi terperangkap dalam kerja maksiat terutamanya pada sambutan tahun baru dan satu lagi sambutan hari kemerdekaan.

20. Kalau di Kuala Lumpur dan Selangor, malam sambutan tahun baru dan kemerdekaan pihak penguatkuasa agama kena buat operasi, pada hari-hari biasa pakai van, tetapi pada hari tersebut kita pakai lori, macam lori black maria. Biasa operasi dibuat bersekali dengan pihak berkuasa tempatan dan rela.

21. Selalunya dapat berbondong –bondong masuk dalam lori, biasanya ditangkap dalam hotel murah antara alasan lazim, bas dah habis nak balik rumah tak boleh jadi tidurlah kat hotel, kat hotel kami tak buat apa-apa Cuma tengok tengok aje. Sebab tengok tengok ajelah ramai lahirnya anak luar nikah!.

22. Ini mengingatkan saya pada iklan TV dekat dekat tengah malam, dia akan tanya “tahukah dimana anak anda berada pada waktu ini?”, jadi sewajarnya kita yang ada anak muda tak kira lelaki atau perempuan pastikan kita mengetahui dimana anak kita pergi dan buat, jangan sampai termasuk golongan yang saya ceritakan ini.

23. Kalau tuan-tuan ada saudara yang kerja dengan pembersihan di dataran kuala lumpur atau mana-mana tempat berkumpul anak-anak muda sewaktu sambutan tahun baru diadakan, pastinya tempat tersebut penuh dengan kondom dan botol minuman keras. Inilah lambang berjayanya anak-anak muda Islam merayakan sambutan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.


24. Bagi yang kena tangkap dalam operasi malam itu ada yang belum sempat melakukan hubungan ada juga yang sempat melakukan hubungan, maka benih benih yang ditabur pada malam tahun baru ini akan dapat dapat dituai pada bulan sembilan nanti. Pastinya tuan-tuan sudah boleh agak apakan tajuk berita pada bulan 9 tahun 2011. Berita buang bayi, pastinya pada tahun tersebut kerajaan terpaksa fikir lagi apakah tindakan perlu diambil atas gejala buang bayi. Sedangkan punca lagikan tidak dibendung macamamana nak menghalang perkara ini dari berlaku.

25. Selalunya pasangan yang terlanjur akan cuba membuat pembetulan dengan berkahwin, tetapi selalunya perkahwinan dibuat selepas anak dilahirkan, siapa mahu akad nikah dibuat sedang pengantin perempuan memboyot nak beranak. Jadi pasangan seperti ini dikesan sewaktu nak membuat perkahwinan di pejabat agama.

26. Perempuan dan lelaki tersebut akan didakwa melakukan persetubuhan luar nikah yang mana boleh membawa hukuman maksimum 3 tahun penjara 5 ribu ringgit dan/atau 6 kali sebatan. Untuk kes yang mengandung atau telah melahirkan anak, mereka tidak boleh mengelak kerana ia telah mencapai tahap prima facie, iaitu melampaui keraguan yang munasabah. Maka mereka tak boleh mengelak.

27. Saya pernah bekerja sebagai pendakwa pada masa benih-benih ini dituai, ada antaranya yang sampai kena hukum sebat, kebiasaannya saya akan terangkan terlebih dahulu kepada OKT orang kena tuduh akan kesan pengakuan salah dan bentuk hukuman yang boleh dijatuhakn. Saya juga terangkan mereka boleh merayu untuk diringankan hukuman, katakan mereka telah insaf, bertaubat dan tidak akan buat lagi.

28. Dalam satu kes, pendakwa punya peranan samada untuk memberat atau meringankan hukuman, untuk kesalahan persetubuhan luar nikah saya akan bawakan surah An-Nuur sebagai hujah pemberatan sebelum hakim jatuhkan hukuman. Saya akan bacakan firman Allah sehingga separuh bahagian (... keduanya seratus kali sebat).

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. [An-Nuur: 2]

29. Ada sekali tu Hakim suruh saya baca sampai habis, yang mana maksud sebahagian ..janganlah kamu merasa belas kasihan dalam melaksanakan hukum Allah. Manakala OYD (orang yang disabitkan) tersebut telahpun merayu untuk tidak didenda dengan wang yang banyak sebab nak pakai untuk majlis perkahwinan dan tidak pula mahu penjara sebab nanti hilang mata pencarian. Tapi dia lupa merayu supaya jangan disebat. Maka dalam kes tu hakim jatuhkan hukuman denda sedikit dan 6 sebatan iaitu sebat yang paling maksimum. Terduduk OYD apabila mendengar hukuman tersebut. Itulah pertama kali kes saya diberikan sebat secara maksimum.

30. Sebenarnya hukuman tu tak setimpal dengan kefasadan yang telah berlaku akibat pergaulan bebas, lahirnya anak yang mempunyai masa depan yang samar tiada nasab dari sebelah bapa tidak layak untuk mewarisi dari sebelah bapa dan lebih buruk lagi anak perempuan nak kahwin nanti kena wali hakim. Mendatangkan aib kepada keluarga dan menimbulkan keraguan dalam masyarakat lebih buruk lagi mengundang bala dari Allah SWT.

31. Dalam Islam hukum penzina adalah sebat sebanyak 100 rotan lelaki dan perempuan yang belum kahwin manakala rejam untuk yang telah berkahwin, jadi setakat hukum 6 rotan hanya mewakili 6% dari hukuman sebenar dalam Islam. Malah sebatan dalam Islam bukanlah sehingga mendatangkan mudhorat apatah lagi mencacatkan tubuh badan. Ia lebih kepada pengajaran dan menerbitkan keinsafan.

32. Pada mulanya bergetar juga hati apabila OYD dijatuhkan hukuman sedemikian rupa sebab pertama kali diputuskan hadapan saya, oleh sebab ia adalah hukuman paling berat dari segi undang-undang syariah yang berkuatkuasa tetapi untuk first timer macam saya ia adalah sesuatu yang besar dalam kerjaya. Apa yang saya fikirkan semoga dengan pelaksanaan 6% dari hukuman Allah ini maka OYD diangkat siksaan barzakh dan hari akhirat, kerana ketidakmampuan pihak berkuasa agama menjalankan hukum Allah secara optimum.

33. Tujuan saya ceritakan perkara ini adalah untuk tuan-tuan sebarkan kepada anak-anak dan kenalan diluar sana, supaya kefasadan ini tidak berterus-terusan menjadi penyebab kepada bala Allah dan kejatuhan umat Islam ditangan bangsa Melayu.

34. Sememangnya saya berhajat untuk menitipkan bacaan enakmen jenayah syariah negeri Johor untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan supaya kita tidak termasuk orang yang melakukan kesalahan tersebut. Jenayah Syariah adalah perkara yang patut kita tahu supaya anak-anak dan kenalan kita menjauhi perkara tersebut.

35. Masuk kita dalam bab muqaddimah kitab ini. Pada sesi yang telah lalu kita telah melihat bagaimana Sheikh Doktor telah membawa contoh-contoh sahabat yang menerima tarbiah secara langsung dari Rasul SAW, mereka ini menjadi contoh unggul kepada umat Islam pada hari ini, legasi mereka berterusan sehingga ke Tabi, Tabi’ Tabieen dan salafussoleh . Sehingga kegemilangan umat Islam itu membantu eropah keluar dari zaman kegelapan mereka. Kita lihat bagaimana umat Islam di Andalusia mencernakan ilmu Islam sehingga menjadi penarik kepada penterjemah eropah memindahkan ilmu kepada bahasa dan bangsa mereka.

36. Namun kegemilangan itu tidak kekal lama apabila ummat Islam tenggelam dalam kemewahan dan leka dengan hiburan. Kita dapat saksikan bagaimana gedung ilmu di Baghdad dimusnahkan oleh orang Monggol. Saya ada dapat fakta baru yang menyatakan Monggol sebenarnya melanggar Baghdad adalah atas undangan puak Syiah pada waktu itu. Kemudian kita lihat pemusnahan Islam secara sistematik di Andalusia sehingga kini.

37. Semua ini diakibatkan oleh 3 perkara yang dirumuskan oleh Sheikh Doktor dalam muqaddimahnya, dimana Umat Islam memerlukan keada pembetulan akibat dari sebab berikut, iaitu:

a) Kesan dari kegagalan memahami tabiat atau peraturan agama ini – apabila segala intipati Islam gagal dihayati oleh umat Islam sendiri maka mereka perlahan-lahan akan menjauhkan diri dari hidup beragama.
b) Kecintaan kepada dunia dan benci kepada maut – apabila segala kesenangan dan kemewahan menjadi matlamat hidup maka perjuangan akan ditinggalkan. Keghairahan menuntut keduniaan mengakibatkan mereka lupa pada satu hari mereka akan mati;
c) Kesan dari kejahilan halatuju hidup beragama sehingga kabur dengan tujuan sebenar manusia diciptakan.

38. Kegagalan untuk menghayati tujuan hidup sebenar telah banyak memesongkan arah sesuatu bangsa. Islam sekiranya diamalkan secara total mampu untuk meningkatkan martabat sesuatu bangsa sepertimana Islam mengangkat bangsa Arab daripada hidup berpuak-puak kepada bangsa yang bertamadun. Begitu juga dengan bangsa Melayu. Bangsa Melayu menjadi mulia dengan Islam, meninggalkan Islam seolah-olah menyingkap kemuliaan orang Melayu. Memang benar perjuangan berdasarkan bangsa semata-mata adalah satu perkara yang sia-sia. Pun begitu kita tidak boleh menafikan peranan sesuatu bangsa dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi kerana firman Allah:

39. "Hai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan (bapa dan ibu), dan Kami jadikan kamu berbangsa (bermacam umat) dan bersuku supaya kamu berkenalan antara satu dengan lain. Sesungguhnya, orang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" [Al-Hujurat:13]

40. Jestru tiada bangsa atau kabilah lebih baik antara satu sama lain, melainkan dicipta berlainan bangsa dan suku supaya boleh berkenal-kenalan. Tidaklah bangsa Melayu itu lebih utama dan mulia dari bangsa Cina atau India, melainkan mereka dikalangan yang bertaqwa. Islam adalah hak milik semua, ia bukanlah milik bangsa Arab mahupun bangsa Melayu.

41. Apa yang menjadi kesalahan adalah perjuangan bangsa melebihi perjuangan agama, meskipun terdapat berpuluh-puluh nas didatangkan tentang bagaimana kecintaan Rasul terhadap negerinya Makkah, melantik Quraisy sebagai pemimpin tetapi secara praktikalnya tidaklah sampai menzalimi orang lain. Ini kerana dalam hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah telah menetapkan kadar sempadan perjuangan bangsa sepertimana sabda Rasul SAW apabila ditanya:

يا رسول الله امن العصبية أن يحب الرجل قومه؟
لا ولكن من العصبية أن ينصر الرجل قومه على الظلم

42. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ditanya: Maksudnya: Wahai Rasulullah… Adakah dari kalangan Asabiyyah, seseorang itu sayang kaumnya sendiri?” Rasulullah s.a.w. menjawab: Maksudnya: “Tidak… Akan tetapi Asabiyyah adalah seseorang itu membela kaumnya ke atas kezaliman…” [Ahmad dan Ibn Majah]

Hakikatnya, itulah yang berlaku pada hari ini, apabila bangsa di Malaysia berpecah berpuak-puak kepada ideologi yang tidak berteraskan Al-Quran dan Sunnah, masing masing menatang pendapat sendiri dan menafikan pendapat pihak lain walaupun ianya benar. Itu termasuk dalam kategori zalim, membela kaumnya atas kezaliman, tidak menegur pemimpin yang melakukan kepincangan dan redha pula atas kemaksiatan.

Inilah matlamat penjajah dan kafir musyrik, mahu melihat umat Islam berpecah belah pada perkara titik bengik hingga lupa kepada masalah ummah yang lebih penting, akhirnya hak milik bangsa tergadai, kita boleh lihat bagaimana Malaysia yang kita dikatakan bangsa Melayu sebagai majoriti kini mula dipersoalkan hak keistimewaannya. Bagaimana agama lain menuntut keistimewaan yang sama dengan agama Islam dalam negara majoriti beragama Islam.

Jangan kita lupa bagaimana bangsa Arab yang dulunya bersatu atas kalimah tauhid kini berpecah belah sehingga tiada keupayaan untuk melindungi Masjidil Aqsa, meskipun bangsa Arab membentuk majoriti akan tetapi mereka dengan mudah sekali dipatahkan sehingga Israel berleluasa.

Kita lihat bagaimana Iraq, apabila pihak Amerika bersekongkol dengan Bangsa Kurdish dengan menjanjikan kemedekaan dan kekuasaan, diadakan pula pakatan dengan puak Syiah yang menjadi majoriti tetapi tertindas dibawah rejim Sadam Husin yang bermazhab Sunni. Saya bukan menyokong Saddam Husin, bab yang zalim kita kena kata. Tetapi hakikatnya pemimpin yang macam singa pun apabila rakyatnya berpecah belah dengan mudah ia ditumpaskan oleh tentera bersekutu dan pakatan Nato.

Bangsa Melayu juga tidak ketinggalan, kita dipecahkan kepada puak-puak oleh penjajah yang mana dulunya kita adalah bersaudara dibawah panji Islam. Kerajaan Islam Pasai, Pattani dan Melaka semuanya saling bantu membantu antara satu sama lain di bawah khalifah Uthmaniyah. Tetapi atas agenda penjajah yang tidak senang dengan umat Islam maka kita dipecahkan.

Akhirnya jika kita berterus terusan menzalimi antara satu sama lain maka, bangsa Melayu akan menjadi lemah, kemuliaan Islam akan berpindah kepada kaum lain sepertimana yang difirmakan Allah SWT:

"Dan jika kamu berpaling tadah, maka Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain daripada kamu dan kaum itu tidak seperti kamu.”
(Muhammad: 38
)


Wallahuaklam.

InsyaAllah pada kuliah akan datang kita akan melihat pula bagaimana untuk mendapatkan kembali kegemilangan umat Islam melalui remedi ayat Quran yang disusun oleh pengarang InsyaALlah.