Tuesday, September 8, 2009

PENYELESAIAN HARTA WAKAF, WASIAT, HIBAH, HARTA SEPENCARIAN DAN HARTA PUSAKA

PENYELESAIAN HARTA WAKAF, WASIAT, HIBAH, HARTA SEPENCARIAN DAN HARTA PUSAKA
By Abu Razeen

pra: Dibentangkan di Kursus Pengurusan Wakaf, ILDAS. 13 Ogos 2009. Pertama kali sampai ILDAS, hebat! harap boleh datang lagi. Terima Kasih Ustaz Ismail. Ni untuk Tn Amirul Adam, untuk soalan enta boleh tengok dalam bab wakaf. tak dapat lagi telefun ana selepas saya masuk ofis.

ABSTRAK
Kejahilan tentang peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa menjadikan banyak umat Islam terperangkap dalam konflik pengurusan harta. Niat asal untuk kebajikan dan imbuhan di hari akhirat akhirnya menimbulkan pecah belah dikalangan ahli keluarga dan sanak saudara. Pengurusan harta yang tidak bertepatan dengan hukum syarak atau undang-undang terpakai menyaksikan pihak-pihak yang terlibat terpaksa turun naik Mahkamah. Kegagalan untuk menyelesaikan isu dalaman sebegini akhirnya menjadikan perkembangan ekonomi dan sosial umat Islam terbantut. Dengan pemahaman dan perancangan harta yang betul, pengurusan harta akan menjadi lebih efisyen dan dinamik dari segi keuntungan dunia dan akhirat. Oleh itu pengetahuan dari segi hukum syarak dan pentadbiran harta adalah penting untuk diketahui dan disebarkan di kalangan umat Islam.
MUQADDIMAH
Dalam Negara Malaysia, perkara berkaitan dengan harta umat Islam adalah termasuk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sepertimana diperuntukkan dalam senarai 2(1) Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk memutuskan pertikaian mengenai wakaf, hibah, harta sepencarian, perakuan pewarisan untuk harta pusaka dan lain-lain tuntutan berkaitan. Sungguhpun fokus diberi kepada penyelesaian harta-harta tersebut di Mahkamah Syariah, tetapi kita tidak dapat menafikan peranan agensi-agensi lain dalam hal-ehwal pentadbiran dan pengurusan harta. Kertas ini ditulis dengan kaedah penerangan secara contoh situasi, peruntukan undang-undang, laporan kes di dalam jurnal serta konflik yang berlaku. Isu takrifan atau nas-nas pengambilan hukum tidak difokuskan dengan teliti kerana memberi ruang kepada isu praktikal yang sedang berlaku di Negeri Selangor amnya

WAKAF
Situasi wakaf 1:
Atas desakan hidup Ahmad amat memerlukan wang untuk menampung perniagaannya yang hampir mengheretnya ke tahap muflis, setelah berbincang dengan kakak dan abangnya mereka akhirnya bersetuju untuk menjual tanah Allahyarham bapanya yang telah sekian lama tidak dikunjungi di Kampung Sungai Udang, Klang, namun Ahmad terkejut apabila mengetahui tanah tersebut diwakafkan oleh Allahyarham bapanya tanpa pengetahuan diri dan adik beradiknya. Di tanah tersebut telah dibangunkan kompleks masjid tidak lama selepas bapanya meninggal dunia. Memikirkan beliau adalah antara waris yang sah dalam hukum syarak, maka satu tuntutan pengesahan wakaf dikemukakan di Mahkamah Syariah dengan alasan beliau adalah waris yang berhak mendapat keuntungan dari tanah tersebut dan sekaligus menafikan status wakaf yang dilakukan oleh bapanya.
Kebanyakan kes yang dilaporkan berkenaan wakaf biasanya timbul selepas dari kematian pewakaf, Masalah Ahmad adalah isu yang lazim di pertikaikan di Mahkamah berhubung dengan harta wakaf, sepertimana yang dilaporkan dalam kes Almarhum Dato’ Bentara Luar Johor, Haji Yahya dan seorang lagi lawan Hasan bin Othman & seorang lagi [Jurnal Hukum Jld III bhgn II ms 185]. Almarhum telah mewakafkan sekeping tanah untuk dua anaknya dan keturunan mereka selama-lamanya. Tanah itu didaftarkan atas namanya. Apabila beliau meninggal dunia Hasan bin Othman juga pentadbir harta pesakanya telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil bahawa wakaf itu tidak sah. Mahkamah memutuskan, wakaf itu sah mengikut seksyen 11 Enakmen Wakaf 1911 dan Seksyen 41 Enakmen Pentadbiran Undang- Undang Islam 1978, juga berdasarkan kes-kes yang diputuskan oleh Privy Council di India. Tidak berpuashati dengan keputusan tersebut Hasan bin Othman membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Akhirnya Hakim Mahkamah Persekutuan Tun Salleh Abbas pada tahun 1982 mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa wakaf tersebut adalah sah dari sudut perundangan.
Antara ulasannya, wakaf adalah urusan yang berkaitan dengan hukum syarak dan tidak terikat dengan konsep ‘prinsip mencegah kekalan’ yang diamalkan di peringkat sivil, walaupun Mahkamah tidak terikat dengan keputusan Mufti dalam fatwanya yang mengesahkan status wakaf tersebut ataupun atas undang-undang negeri tetapi Mahkamah tidak mempunyai alasan untuk menolak keputusan fatwa tersebut. Sehingga keputusan tersebut dibuat tiada sebarang rayuan dibuat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan di bawah enakmen negeri yang berkenaan. Tambahan pula tiada sebarang pendapat yang bertentangan dengan teks perundangan Syariah ditemui dalam kes tersebut.
Pembangunan tanah wakaf juga antara isu yang biasa dihadapi oleh Majlis Agama Negeri dengan waris-waris pewakaf. Dalam keadaan persekitaran yang pesat membangun tanah wakaf yang terletak di tempat strategik makin terhimpit dengan arus pemodenan. Manakala pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan tanah wakaf adalah Majlis Agama Islam Negeri. Kadangkala pertikaian antara Majlis Agama Islam Negeri dan waris dilihat seperti wujud konflik kepentingan namun sebenarnya pihak-pihak yang terlibat adalah berusaha untuk menentukan bentuk kebajikan yang boleh dinikmati oleh masyarakat Islam sepertimana maksud pewakaf itu sendiri. Perbezaan ini wujud kerana pemahaman masing-masing tentang manfaat umum bagi memastikan pahala yang berterusan kepada pewakaf sepertimana sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a Rasul SAW bersabda:
“Apabila mati seorang insan maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, ilmu yang bermunafaat, sedekah jariah dan anak soleh yang mendoakan baginya” [Muslim, Abu Daud dan Tarmizi].
Sedekah jariah yang dimaksudkan dalam Hadis Sahih ini adalah sedekah yang berpanjangan selagimana digunakan atau dimanfaatkan oleh orang lain, tidak mengira samada ahli keluarga sendiri atau orang Islam yang lain. Maka pada hari ini dapat kita lihat kebanyakan tapak masjid dan tanah perkuburan yang wujud adalah dalam tanah wakaf. Apabila tanah wakaf difahami hanya sebagai tanah perkuburan dan tapak masjid maka banyak pihak yang berbelah bahagi apabila terdapat usaha oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk membangunkan nilai tanah wakaf dengan mendirikan pusat perniagaan, tempat tinggal atau hotel yang boleh mendatangkan keuntungan kepada umat Islam.
Satu contoh konflik kepentingan manfaat antara Majlis Agama Islam dengan ahli waris ialah dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Isa bin Abdul Rahman dan yang lain, [Jurnal Hukum Jld X Bhgn 11 ms 222]. Isa bin Abdul Rahman adalah selaku waris bagi tuan tanah yang telah mewakafkan tanahnya secara wakaf am untuk sebuah masjid pada tahun 1889 yang dikenali dengan Masjid Simpang Enam, beliau telah menentang kehendak Majlis Agama Islam untuk merobohkan masjid tersebut dan menggantikannya dengan satu bangunan lima tingkat yang mana tingkat pertama hingga ketiga digunakan sebagai pejabat bank manakala tingkat empat dan lima sebagai masjid. Memikirkan rancangan itu bercanggah dengan tujuan pewakaf asal Isa bin Abdul Rahman telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil Pulau Pinang supaya diisytiharkan tanah masjid itu sebagai wakaf am dan Majlis tidak berhak merobohkan Masjid tersebut juga satu perintah tegahan (injunksi) kepada Majlis atau ejen-ejennya dari merobohkan Masjid. Majlis cuba mengenepikan perintah tegahan tersebut tetapi gagal lalu merayu ke Mahkamah Agung yang juga akhirnya menolak permohonan tersebut. Ini adalah kerana terdapat Suratikatan Penyelesaian mengenai amanah wakaf menyatakan: ‘Digunakan sebagai tempat orang-orang Islam bersembahyang jemaah dan tidak untuk tujuan-tujuan lain’
Antara isu lain yang ditimbulkan oleh Hakim Mahkamah Agung, Eusoff Chin dalam kes ini adalah bidang kuasa Mahkamah Kadi pada waktu tersebut yang tidak berhak untuk mengeluarkan perintah injunksi oleh penentang kerana ia termasuk dalam Bahagian iii Akta Relif Spesifik 1950. Dalam keputusannya beliau berkata:
“Apabila Mahkamah sivil membicarakan tuntutan untuk mendapatkan suatu perintah dan perintah yang dituntut bukan dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk mengeluarkannya, maka Mahkamah Sivil hendaklah membicarakan tuntutan itu dan jika soal mengenai Hukum Syarak timbul semasa perbicaraan pihak-pihak terlibat boleh memanggil pakar-pakar agama Islam untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu ataupun pihak Mahkamah boleh merujuk soalan-soalan kepada Majlis Fatwa berkenaan untuk mendapat kepastian.”
Sebelum pindaan artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988, pertindanan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil seringkali menimbulkan konflik dan antara yang menjadi isunya adalah berkaitan dengan status tanah wakaf, sepertimana kes-kes yang dibawakan terdahulu, kesemuanya melibatkan keputusan Hakim Mahkamah Sivil yang tidak terikat dengan perundangan Mahkamah Syariah atau Mahkamah Kadi. Walaupun nyata masalah wakaf adalah berkaitan hukum syarak contoh jelas adalah kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Isa Abdul Rahman apabila tiga daripada empat perintah yang dipohon nyata memerlukan keputusan dibuat mengikut hukum syarak termasuk wakaf. Hanya satu perkara mengenai injunksi yang tidak perlu diputuskan mengikut Hukum Syarak. Menyedari kepentingan pentadbiran harta wakaf sebagai penjana ekonomi kepada umat Islam Negeri Selangor, pada 29 Disember 1999 Duli Yang Maha Mulia Sultan telah memperkenankan Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 yang mengandungi 50 sekyen keseluruhannya.
Disebut secara umum di bawah bidangkuasa Majlis dan Mahkamah Syariah dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Enakmen Wakaf diperuntukkan secara khusus menerangkan dari permulaan pewujudan wakaf, perihal mauquf (harta wakaf), wakif ( orang yang mewujudkan wakaf), mauquf alaih (orang yang berhak menerima apa-apa manfaat atau faedah dari mawquf), wakaf tidak sah, mengistibdal (ganti) dan membangunkan mawquf, jawatankuasa pengurusan wakaf dan kuasa-kuasa majlis. Dalam memberikan kuasa kepada Majlis Agama Islam Selangor sebagai pentadbir harta wakaf, seksyen 32 Enakmen Wakaf menyatakan;
“Walau apa pun apa-apa jua peruntukan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh sesuatu wakaf, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada am atau khas, yang terletak di dalam Negeri Selangor”.
Manakala bagi harta tak alih yang berada di dalam Negeri Selangor secara automatik terletak hak pada Majlis selepas didaftarkan di bawah Kanun Tanah Negara tanpa apa-apa pemindahhakkan, penyerahakan atau pemindahmilik, disebut dalam seksyen 48 (3).
Walaupun diberi kuasa mentadbir, Majlis masih lagi terikat dengan syarat-syarat wakif sepertimana dalam seksyen 38 (1) dinyatakan
“Manfaat atau faedah daripada sesuatu wakaf khas, hendaklah digunakan mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh wakif melainkan syarat –syarat yang bertentangan dengan Hukum Syarak”.
Dengan mengambil kira kemaslahatan umat Islam dan faktor ekonomi serta pengajaran daripada laporan kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang terdahulu, peruntukan seksyen 38 (3) dimasukkan;
“Jika, disebabkan berlalu masa atau berlaku perubahan keadaan, syarat-syarat mana-mana wakaf tidak dapat secara berfaedah dilaksanakan tepat sebagaimana yang dikehendaki waqif, Majlis hendaklah menyediakan suatu rancangan bagi menggunakan manfaat atau faedah yang terlibat itu dengan suatu cara yang sehampir mungkin yang seakan-akan sama sebagaimana yang dikehendaki oleh waqif, dan hendaklah melaksanakan sewajarnya;”
Di dalam seksyen 44 Enakmen yang sama, peranan Mahkamah Syariah adalah memutuskan keraguan berkenaan status wakaf dengan peruntukan berbunyi;
“Jika pada pendapat Majlis, makna atau kesan mana-mana surat cara atau perisytiharan yang mewujudkan atau menyentuh mana-mana wakaf adalah samar-samar atau tidak jelas, Majlis bolehlah merujukkan perkara itu kepada Mahkamah bagi mendapatkan keputusannya mengenai makna dan kesan tersebut dan hendaklah bertindak menurut apa-apa perintah yang dibuat oleh Mahkamah”.
Bagi memelihara kepentingan harta wakaf peruntukan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas mereka yang melakukan pencerobohan, pendudukan, pengusahaan di atas tanah wakaf tanpa kebenaran Majlis. Manakala bangunan yang didirikan seseorang tanpa izin pula boleh diroboh, dimusnah atau dibersihkan oleh Majlis dengan kos ditanggung oleh orang tersebut.
Wakaf sememangnya satu elemen kekuatan umat Islam sekiranya ditadbir urus dengan baik dan berkesan, mengambil contoh Universiti Al-Azhar sebagai Institusi pendidikan tertua di dunia yang tegak berdiri dari zaman Fatimiyah sehingga ke hari ini adalah hasil dari janaan wakaf umat Islam di Mesir. Manakala Maahad Al-Ehya Asshariff, sebuah sekolah agama rakyat di Gunung Semanggol, Perak juga dibangunkan melalui wakaf penduduk tempatan melalui kegiatan perladangan kelapa sawit, sawah padi dan lain-lain, malah tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian besar institusi pendidikan agama terawal di Malaysia dimajukan dengan dana wakaf termasuklah di Negeri Selangor.
Sepertimana Mesir yang mempunyai Kementerian Wakaf yang mengendalikan pentadbiran wakaf seluruh Negara sehingga mampu menjana ekonomi rakyatnya, Malaysia juga telah menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji bagi membantu Majlis Agama Islam Negeri dalam hal ehwal pengurusan harta wakaf, memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan potensi tanah wakaf seluruh Malaysia yang berkeluasan hampir 36,000 hektar, sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan dalam RMK 9 bagi tujuan tersebut. Bagi menjayakan tujuan tersebut sokongan dan pemahaman umat Islam terhadap konsep dan pentadbiran harta wakaf perlu ditingkatkan bagi mengembalikan kegemilangan dan penguasaan ekonomi umat Islam
WASIAT

Situasi wasiat 1:
Hasnah seorang anak angkat kepada Haji Zaid tidak berpuashati apabila haknya yang berupa sebidang tanah dan rumah di lot 150 Jalan Sri Cemerlang, Seksyen 7, Shah Alam telah dinafikan oleh abang dan kakak angkatnya yang juga merupakan anak kandung Haji Zaid, sedangkan makluman secara lisan oleh Haji Zaid kepada Hasnah dibuat dihadapan kedua-duanya. Sebelum bapa angkatnya meninggal dunia, beliau telah mengamanahkan abang sulungnya untuk membina rumah untuk diduduki oleh Hasnah diatas tanah lot 150 dengan peruntukan tersedia Haji Zaid sebanyak RM200,000.00. Apabila rumah tersebut siap dibina Hasnah telah tinggal dirumah tersebut selama lapan tahun dan apabila bercerai dengan suaminya hubungan abang dan kakak angkatnya menjadi renggang dan tercetus pertikaian, dimana abang angkatnya melalui Mahkamah Magistret Shah Alam (saman 74-8-65) minta perintah mahkamah supaya Hasnah keluar dari rumah tersebut dan kes di Mahkamah Magistret tidak selesai kerana berbangkit perkara wasiat yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk menentukan perkara yang bersabitan dengan wasiat tersebut.

Situasi wasiat 2:
Ali berada di hospital dalam keadaan tenat. Peguam dipanggil untuk sediakan wasiat. Wasiat dibacakan kepada si mati dan cap jarinya diturunkan. Wasiat melantik Aiman bin Ali (anak simati) sebagai wasi dan pemegang amanah tunggal dan memberi kesemua harta si mati kepada Aiman, perkara ini tidak dipersetujui oleh Puan Syamilah Othman dan juga merupakan ibu kepada Aiman seterusnya Aiman memohon supaya wasiatnya disahkan di Mahkamah Syariah. Akhirnya mahkamah memutuskan wasiat tersebut tidak sah kerana melanggar dua prinsip undang-undang Islam, pertamanya ia bertujuan untuk melupuskan lebih dari 1/3 pusaka simati dan keduanya ia bertujuan memberi faedah kepada waris Pewasiat melebihi yang ditetapkan untuknya oleh undang-undang pembahagian pusaka Islam.

Dua kes diatas dan beberapa kes lain adalah antara beberapa contoh pertikaian wasiat yang terpaksa diselesaikan di Mahkamah Syariah, yang kadangkala terpaksa mengambil masa untuk diputuskan selain ketiakpuasan hati individu walaupun keputusan telahpun dibacakan oleh Hakim Syarie. Seperkara perlu diingat bahawa semua masalah ini mungkin dapat dielakkan sekiranya semua orang Islam yang memiliki harta dan waris tahu dan faham tentang hukum dan perundangan wasiat yang digunapakai.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang kamu hampir mati jika dia ada meninggalkan harta hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik menurut peraturan agama sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.” [Al-Baqarah: 180].
Tuntutan wajib untuk menyediakan wasiat didalam ayat ini walaubagaimanapun telah dinasakhkan hukumnya mengikut beberapa pendapat ulama dengan turunnya ayat berkaitan bahagian tertentu kepada ahli waris seperti didalam Surah A-Nisaa’ Ayat 11, 12 dan 176. Wasiat juga diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sabda Rasulullah “Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya disisinya (dekat kepala) di nukil dalam kitab Nayl Autar, Kitab Al-Wasaya oleh Al-Shawkaniyy, Bab al-Hath ‘Ala al-Wasiyyah Dar al-Jayl, Lubnan jil.6 hlmn. 142.

Manakala peruntukan undang-undang yang dirujuk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 subseksyen 61 (3) (b) (v) dan (viii) menyatakan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah termasuk wasiat atau alang semasa maradulmaut (sakit yang membawa kepada maut) juga pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat. Negeri Selangor adalah merupakan negeri terawal yang mengendors dan mewartakan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) No.4 Tahun 2009 hasil draf undang-undang oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Kebangsaan pada 15 September 1999 dan dikuatkuasakan mulai Jun 2000.

Enakmen tersebut telah memperuntukkan beberapa perkara berkaitan dengan wasiat orang Islam antaranya pelaksanaan wasiat, pembatalan wasiat, penarikan balik wasiat, penerimaan dan penolakan wasiat. Pemakaian undang-undang tersebut digunakan apabila berlaku pertikaian keatas wasiat oleh simati daripada satu pihak dengan membuat tuntutan di mahkamah syariah. Tuntutan yang difailkan mengikut takat bidangkuasa Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rendah mengandungi saman beserta penyata tuntutan yang menuntut pengesahan wasiat diputuskan oleh Hakim Syarie. Pengesahan wasiat dibuktikan samada melalui keterangan ikrar, saksi, dokumen, sumpah syarie dan sebagainya yang boleh memuaskan hati Hakim untuk menentukan kesahihan wasiat tersebut.

Wasiat seperti yang ditafsirkan mengikut Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) ertinya iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.

Wasiat samada dibuat dengan lisan atau tulisan atau isyarat yang difahami hendaklah disaksikan dua orang saksi yang boleh diterima menurut hukum syarak dan Enakmen yang sama telah memperuntukkan borang wasiat lengkap bertulis mengikut jadual kedua subseksyen 3(3).

Menurut seksyen 5 sesuatu wasiat yang dikaitkan atau yang disertai dengan syarat adalah sah apabila syarat itu sahih menepati maslahah pewasiat (pemberi wasiat) atau penerima wasiat atau benefisiari atau orang lain yang tidak ditegah atau bertentangan dengan syarak. Seorang pewasiat hendaklah mencapai umur 18 tahun, sempurna akal dan tidak dipaksa serta tidak terhalang dari menguruskan hartanya, manakala mereka yang tidak sempurna syarat diatas hanya boleh disahkan wasiatnya dengan izin dan kebenaran mahkamah.

Terdapat juga keadaan dimana wasiat dibuat dalam keadaan pewasiat sedang menderita maradhulmaut, dalam keadaan tersebut wasiat beliau hanya diterima untuk peruntukan tidak melebihi satu pertiga daripada hartanya dan jika diwasiatkan melebihi satu pertiga maka pelaksanaannya hanya sah jika dipersetujui oleh semua ahli waris yang sah mengikut hukum Islam dan tafsiran subseksyen 6(4), manakala sakit yang tidak membawa kepada kematian cukuplah sekadar pewasiat waras pemikirannya baik ingatan dan memahami kandungan wasiat beliau sendiri.

Manakala penerima wasiat mestilah diketahui, berkelayakan untuk memiliki harta tersebut dan halangan kepada penerima wasiat untuk wujud samada wasiat itu dibuat atau ketika pewasiat mati bukanlah penghalang kepada pelaksanaan wasiat tersebut. Sesuatu wasiat juga boleh dibuat kepada tempat-tempat ibadat, yayasan kebajikan, institusi akademik atau kepada mana-mana pihak yang boleh mendatangkan kebajikan umum atau jika tidak dinyatakan tujuan penggunaannya cukuplah sekiranya didapati dapat menyebarkan maksud kebajikan umum, adalah maksud bagi seksyen 8 enakmen ini.

Sepertimana hukum faraid, wasiat juga mensyaratkan penerima wasiat bukanlah penyebab kepada kematian pewasiat samada secara langsung atau tidak langsung, samada dia bertindak sebagai prinsipal, rakan jenayah atau pesubahat atau seorang saksi palsu yang keterangannya mengakibatkan pewasiat menerima hukuman mati.

Pewasiat boleh menarik balik wasiatnya keseluruhan atau separuh daripadanya dengan tindakan beliau yang pada mana-mana keadaan membuktikan dia menarik balik wasiatnya atau dengan melupuskan hartanya dengan habis sama sekali, juga boleh dianggap menarik balik wasiat apabila dibuat satu wasiat baru. Namun perbuatan mengubahsuai bentuk harta yang diwasiatkan, penambahan yang tidak bermaksud tarik balik wasiat atau pengakuan orang selain pewasiat menafikan wasiat tersebut adalah tidak mengganggu gugat pelaksanaan sesuatu wasiat.

Beberapa perkara yang wajar diperhatikan sebelum melaksanakan sesuatu wasiat antaranya jika wasiat dibuat kepada bukan ahli waris atas kadar yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka pewasiat selepas diselesaikan segala hutangnya dan wasiat tersebut berkuatkuasa tanpa perlu mendapat persetujuan waris-warisnya. Dalam keadaan lain iika seorang pewasiat mempunyai hutang yang masih belum dijelaskan maka harta yang diwasiatkan hendaklah diguna untuk menjelaskan hutang tersebut terlebih dahulu manakala bakinya boleh diserahkan kepada penerima wasi.

Wasiat kepada ahli waris adalah dilarang berdasarkan hadis riwayat Tarmizi dari Umamah R.A ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW dalam khutbahnya di dalam tahun haji widak: “Sesungguhnya Allah telah memberikan tiap-tiap orang empunya hak akan haknya, oleh sebab itu tidak boleh berwasiat untuk ahli waris”. Pada asasnya wasiat yang melibatkan ahli waris yang berhak menerima faraid biasanya akan menimbulkan masalah irihati jika sikap pewasiat mengutamakan sesetengah waris sahaja, corak kes-kes sebegini sering ditemui dalam fakta-fakta kes pengesahan wasiat di Mahkamah sepertimana kes Siti bt Yatim lwn Mohamed Nor bin Bujal (1928) 6 FMSLR 135; (1983) 3 JH 217, simati telah mewasiatkan bahawa kesemua hartanya diberikan kepada anaknya Mohmamed Nor bin Bujal. Tujuan si mati membuat wasiat sedemikian adalah untuk menyekat isterinya daripada mendapat semua bahagian dalam hartanya kerana beliau berpendapat isterinya telahpun diberi hak yang mencukupi semasa hidupnya. Wasiat Bujal yang mengutamakan anaknya dengan mengenepikan hak isterinya diputuskan adalah tidak sah. Walaubagaimanapun subsyeksen 26(2) memberi pengertian sekiranya pemberian sesuatu wasiat kepada ahli waris melebihi satu pertiga dengan mendapat persetujuan serta izin semua ahli waris yang lain maka wasiat tersebut boleh dikuatkuasakan.

Satu kes unik yang dicatatkan berkaitan wasiat dimana pewasiat yang menambah syarat pelaksanaan dalam tempoh tertentu, dalam kes Saedah bt Abu Bakar dan Malek bin Hj Mohamed Yusuf lwn Hj Abdul Rahman bin Haji Mohamed Yusuf dan Usman bin Haji Mohamed Yusuf (1982)3 JH 53. Dalam Kes ini, Haji Mohd Yusuf telah memperuntukkan pengurusan harta beliau hanya boleh diserahkan kepada pemohon iaitu Saedah bt Abu Bakar dan Malek bin Hj Mohamed Yusuf yang merupakan isteri dan anaknya selepas 10 tahun dari tarikh beliau meninggal dunia. Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa arahan dalam wasiat tersebut adalah tidak sah mengikut undang-undang Islam dan ahli waris berhak menerima pembahagian harta pesaka secara segera.

Dalam masalah lain terdapat juga orang yang meninggal dunia tanpa sebarang wasiat kepada cucunya daripada anak lelaki yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya. Mengikut hukum faraid cucu tersebut adalah tidak berhak untuk menerima bahagian faraid. Peruntukan subseksyen 27(1) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) telah memberikan hak kepada golongan tersebut dengan apa yang dikenali sebagai wasiat wajibah. Maka cucu tersebut berhak terhadap satu pertiga wasiat dan sekiranya cucu tersebut diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah tadi, namun kadar sepertiga tersebut tidaklah boleh melebihi kadar dimana ayahnya berhak didalam harta pusaka datuknya sekiranya ayahnya mati selepas kematian datuknya, turut mengkanunkan wasiat wajibah adalah Negara Mesir dan Syria sebagai satu jalan untuk mengelakkan penginayaan dan sesuai dengan semangat syariat Islam dalam keadilan dan pembelaan sewajarnya kepada cucu yang kehilangan bapa lebih awal dari datuknya.

Walaupun terdapat sedikit percanggahan bidangkuasa apabila pentadbiran wasiat di Malaysia terbahagi kepada undang-undang sivil dan Islam ini bukanlah alasan untuk orang Islam meninggalkan amalan menulis wasiat. Pentadbiran wasiat disebelah sivil dilaksanakan melalui Akta Wasiat 1959, Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pesaka 1959 atau dikenali dengan Akta 97 Probate And Administration Act 1959 yang digubal oleh Parlimen, berdasarkan peruntukan bidangkuasa dan penditilan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Enakmen Wasiat Orang Islam sewajarnya wasiat orang Islam dilaksanakan mengikut hukum syarak dan pelaksanaan ini masih tidak berlawanan dengan artikel 121(1)(A) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai 1-Senarai Persekutuan berkenaan penentuan pemilikan harta.

Malangnya sebahagian besar masyarakat Islam yang tidak memahami kehendak hukum syarak dalam penyediaan wasiat sehingga mengakibatkan perpecahan sesama sanak saudara, pertelingkahan sehingga memungkin pertumpahan darah diatas ketidak puasan hati dalam pembahagian harta. Perkara yang sebaliknya berlaku kepada orang bukan Islam apabila bertambahnya bilangan wasiat yang didaftarkan hasil kesedaran terhadap pentingnya mengelakkan pertikaian selepas kematian. Dalam perkara ini terdapat beberapa firma atau konsultan yang mengendalikan penulisan wasiat orang Islam dibawah pengawasan Amanah Raya Berhad, dan tidak ketinggalan peguam-peguam syarie yang menjalankan khidmat penulisan wasiat untuk kemudahan masyarakat Islam merancang pemilikan harta selepas kematian dengan aman dan bijaksana.

Pada dasarnya, wasiat yang dibuat oleh mana-mana orang Islam di Malaysia adalah tidak melibatkan urusan di Mahkamah Syariah. Namun apabila berlaku sebarang pertikaian dari mana-mana pihak ataupun penentuan keesahan sesuatu wasiat maka kata putus hendaklah dibuat oleh Hakim Syarie yang berbidangkuasa berdasarkan Enakmen Pentadbiran dan Enakmen Wasiat. Berikut adalah contoh situasi dimana wasiat dibuat dalam bentuk surat yang tidak lengkap
Situasi wasiat 3:
Jefri atau disebut sebagai Arwah selepas ini, mati meninggalkan waris yang terdiri dari seorang isteri yang bernama Rose, seorang ibu kandung dan 3 orang anak lelaki yang mana salah seorangnya terencat akal, ketika masih hidup Arwah telah melantik Wasoyah Trustee Berhad secara rasmi sebagai wasi dan pemegang amanah yang menguruskan harta peninggalan beliau. Wasoyah Trustee Berhad telah mewakilkan seorang agen untuk membuat surat wasiat yang mengagih dan mentadbir harta-harta peninggalan Jefri setelah beliau mati kepada ahli-ahli waris yang masih hidup. Di dalam wasiat tersebut Arwah telah mewasiatkan hartanya yang terdiri dari sebuah rumah banglo, sebuah kereta, tanah dan saham kepada isteri beliau manakala wang ASNB, wang Tabung Haji, keahlian kelab golf dan akaun simpanan beliau kepada anak pertamanya sebanyak 30%, anak kedua seanyak 30% dan anak ketiga sebanyak 40%. Namun dalam wasiatnya tidak dinyatakan nama ibu beliau, walaubagaimanapun kesemua waris-waris bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya wasiat tersebut. Malangnya surat wasiat tersebut tidak sempat ditandatangani oleh Arwah.
Berdasarkan seksyen 4 Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, Rose meyakini bahawa wasiat arwah yang tidak sempat ditandatangani masih sah dan boleh dilaksanakan oleh waris-waris yang hidup. Seksyen 4 dipetik
“… tiada apa-apa tuntutan tentang keesahan sesuatu wasiat selepas matinya seseorang pewasiat boleh diterima oleh Mahkamah melainkan ianya disokong oleh dokumen-dokumen yang ditulis atau ditandatangani oleh pewasiat .”
Jika diteliti bahagian terakhir peruntukan seksyen tersebut, dengan perkataan “atau” ternyata hasrat penggubal untuk membuka peluang pelaksanaan wasiat adalah besar sehingga meliputi dokumen wasiat yang bertulis tetapi tidak ditandatangan oleh pemberi wasiat. Pun begitu, sekiranya dokumen yang tidak ditandatangani ini dipertikaikan, maka kaedah pembuktian melalui dua orang saksi mampu dijadikan hujah keesahan wasiat tersebut.
Dalam kes ini, Rose selaku salah seorang waris telah menfailkan kes ini ke Mahkamah Syariah, pemfailan ini menjadikan beliau sebagai Plaintif, manakala waris lain yang terdiri dari ibu Arwah dan anak-anaknya dijadikan sebagai Defendan. Permohonan beliau adalah untuk mendapatkan perintah Mahkamah supaya wasiat Arwah diisytiharkan sah dan dilaksanakan sepenuhnya.
Oleh kerana salah seorang anak Arwah tidak boleh mengurus dan mentadbir hal-hal diri dan harta sendiri, maka Rose telah membuat permohonan untuk menjadi penjaga ad-litem berdasarkan alasan bahawa beliau adalah ibu kandung dan penjaga hakiki. Penjaga ‘ad-litem’ kepada anak tersebut berkuasa untuk membuat apa-apa urusan mengenai harta anak tersebut berdasarkan peruntukan seksyen 91 dan 92 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Walaubagaimanapun oleh kerana beliau sedang dan akan bertindak sebagai salah seorang benefisiari apatah lagi sebagai Plaintif dalam kes ini maka penjaga ad-litem kemudiannya ditukarkan permohonannya kepada bapa saudara anak tersebut bagi mengelakkan tohmah.
Ibu Arwah yang mengambil sikap tidak mahu campurtangan dan menyerahkan urusan serta bahagiannya kepada keluarga Arwah telah membuat penyerahan hak dalam bentuk akuan sumpah dihadapan Pesuruhjaya Sumpah, oleh kerana kes ini melibatkan Mahkamah Syariah maka Pesuruhjaya Sumpah beragama Islam lebih diutamakan. Antara isi kandungannya adalah beliau menolak segala hak bahagiannya di dalam faraid dan redha menerima haknya yang diperuntukkan dalam surat wasiat. Beliau juga berakujanji untuk tidak mempertikaikan keesahan surat wasiat tersebut.
Dipenghujung prosiding, semua pihak yang terdiri dari benefisiari atau waris yang berhak mengikut hukum syarak kepada harta Arwah termasuk seorang penjaga ad-litem telah menandatangani Surat Ikatan Persetujuan. Surat tersebut mengandungi kesemua isi kandung wasiat yang tidak sempat ditandatangani oleh Arwah. Maka dengan keterangan semua pihak dan yang lebih penting lagi, persetujuan yang ikhlas daripada waris-waris maka wasiat Arwah akhirnya menjadi perintah Mahkamah dan secara rasminya wasiat tersebut menjadi sah dan terlaksana mengikut hukum syarak dan undang-undang.
Kes tersebut adalah salah satu gambaran permohonan pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah, perkembangan kes wasiat sebegini amat kurang didaftarkan di Negeri Selangor, berdasarkan carian e-syariah terkini, tahun 2006 sebanyak 1 kes didaftarkan, manakala tahun 2007 sebanyak 3 kes dan bagi tahun 2008 sehingga ke hari ini tiada sebarang kes dibawah kod 039 Permohonan Pengesahan Wasiat didaftarkan. Terdapat dua kemungkinan yang menyumbang kepada kurangnya kes sebegini. Antaranya sifat mengambil jalan tengah umat Islam yang tidak mahu ahli waris berebut-rebut harta peninggalannya selepas mati seterusnya menyerahkan pembahagian kepada sistem faraid semata-mata manakala kemungkinan kedua samada wasiat yang dibuat oleh simati tidak dipertikaikan langsung oleh semua ahli waris.
Berdasarkan kes diatas, semua pihak bernasib baik apabila kesemua syarat yang ditinggalkan oleh pembuat wasiat telah memenuhi kehendak undang-undang dan juga restu ahli waris, dengan keharmonian yang ada pada semua pihak, harta peninggalan walaupun membentuk wasiat kepada ahli waris dan kadar harta melebihi satu pertiga, masih dapat dilaksanakan. Namun tidak semua kes boleh berjalan dengan lancar terutamanya apabila melibatkan salah faham dari pembuat wasiat terhadap undang-undang dan hukum syarak. Pertikaian yang direkodkan melalui kes-kes yang dilaporkan dalam jurnal perundangan membentuk empat permasalahan popular sewaktu pengagihan wasiat dibuat.
Yang pertamanya apabila wasiat melebihi satu pertiga harta yang ditinggalkan. Dalam kes Shaik Abdul Latif dengan Shaikh Elias Bux (1962) 28 MLJ 374 Hakim telah memutuskan wasiat Shaikh Babu Bux adalah bercanggah dengan undang-undang Islam. Dalam kes ini ia telah cuba menghadiahkan hartanya lebih dari satu pertiga pada selepas kematiannya. Dalam kes Katchi Fatimah lwn Mohamad Ibrahim (1962)28 MLJ 374 diputuskan seseorang Muslim tidak boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga dari baki selepas pembayaran urusan pengebumian dan hutang piutang kecuali dengan izin semua ahli waris selepas kematian pemberi wasiat.
Yang keduanya berkaitan penangguhan dalam penyerahan harta wasiat. Dalam kes Abdul Rahim lawan Abdul Hameed dan lain-lain (1983)2 MLJ 78 Mahkamah memutuskan pembuat wasiat tidak boleh menangguhkan penyerahan harta wasiat, seterusnya menghalang pembahagian harta mengikut faraid terhadap ahli waris. Kes Saedah binti Abu Bakar dan Malek bin Hj Mohamed Yusuf lawan Hj Abdul Rahman bin Haji Mohamed Yusuf dan Usman bin Haji Mohamed Yusuf menyaksikan Mahkamah membatalkan wasiat yang dipohon. Pemohon dalam kes ini mendakwa wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah tidak sah dan pembahagian kepada ahli waris hendaklah dilaksanakan segera.
Yang ketiga apabila wasiat dibuat semasa sakit yang mengakibatkan kematian (maradhul maut). Dalam kes Amanullah bin Haji Ali Hassan lawan Hajjah Jamilah binti Sheikh Madar, wasiat dibuat semasa pemberi wasiat dalam keadaan separuh sedar. Beliau menyerahkan hartanya lebih daripada satu pertiga kepada warisnya. Mahkamah memutuskan bahawa wasiat yang dibuat dalam keadaan tersebut adalah tidak sah.
Dan yang keempat wasiat kepada ahli waris, Kes Siti binti Yatim lawan Mohamed Nor bin Bujal, si mati telah mewasiatkan kesemua hartanya kepada anaknya, Mohamed Nor bin Bujal dengan tujuan menghalang isterinya mendapat bahagian di dalam hartanya. Diputuskan bahawa wasiat tersebut adalah tidak sah. Namun berlawanan dalam kes contoh yang dibawakan pada permulaan artikel ini, walaupun wasiat dibuat kepada ahli waris namun dengan tiadanya pertikaian yang timbul seperti dalam kes Siti binti Yatim, maka Mahkamah boleh memutuskan seperti mana yang dikehendaki oleh simati.
Pokok pangkalnya, pemahaman semua pihak samada ahli waris ataupun pembuat wasiat sendiri terhadap kehendak hukum syarak dan undang-undang boleh membantu kelancaran pembahagian harta selepas berlaku kematian. Bagi memudahkan semua pihak terdapat beberapa agensi yang sedia membantu proses pembuatan pengesahan dan pelaksanaan wasiat. Maka dengan kemudahan ini maka tidak akan berlaku lagi pertikaian yang boleh mencerai beraikan ahli keluarga dan sanak saudara dikalangan umat Islam.
HARTA PUSAKA
Situasi Faraid 1:
Latif bin Sujak tergamam apabila mendengar berita kemalangan yang melibatkan bapa dan datuknya dalam perjalanan ke KLIA. Selaku pengasas kepada kumpulan perniagaan yang tersenarai dalam papan utama di beberapa negara, kehilangan Datuk Asri memberi kesan kepada keluarganya. Lebih mengejutkan dikalangan sanak saudara mereka tiada sebarang penamaan dibuat keatas siapa yang akan menjadi pewaris harta Datuk Asri. Melalui laporan perubatan terhadap dua mangsa yang sempat dikejarkan ke hospital, Encik Sujak meninggal dunia terlebih dahulu daripada Datuk Asri. Jarak kematian diantara bapa dan datuk kepada Latif walaupun selang beberapa minit menjadikan Latif sekeluarga tidak layak untuk mewarisi harta arwah Datuknya mengikut hukum faraid.
Halangan ke atas Sujak untuk menerima harta datuknya adalah disebabkan syarat pewarisan yang menghendaki waris hidup ketika pemilik harta mati. Ini bermakna, waris-waris yang mati dahulu daripada pemilik harta tidak mewarisi pusaka walaupun meninggal terlebih dahulu beberapa saat. Masalah yang sama juga boleh didapati dalam peristiwa kemalangan yang melibatkan ramai orang, contohnya nahas jalanraya, udara, bencana alam dan sebagainya apabila berlaku kematian beramai-ramai maka tidak diketahui siapa yang mati dahulu dan siapa yang mati kemudian, maka dihukumkan tiada pusaka mempusakai diantara mereka yang layak apabila terjadi yang sedemikian.
Selain daripada halangan kematian terlebih dahulu daripada pemilik harta, pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuhnya, dalam kebanyakan mazhab Ahli Sunnah, bunuh yang dimaksudkan samada secara sengaja atau tidak sengaja, jika ditakdirkan Encik Sujak yang memandu kereta membawa Datuk Asri, tidak meninggal dalam kemalangan tersebut, beliau masih terhalang untuk menerima harta Datuk Asri, kerana dari segi syaraknya beliau adalah penyebab kepada kematian bapanya. Melainkan Mazhab Hanafi dan Hanbali yang membahagikan penyebab kematian kepada sengaja dan tidak sengaja atau kematian yang menyebabkan hukuman qisas, diat atau kifarat menjadi sebab kepada penerimaan atau halangan menerima warisan atau faraid. Selain daripada itu berlainan agama juga faktor penghalang kepada penerimaan dan pemberian faraid kerana terdapat sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi: Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta orang-orang kafir.
Namun dalam konteks Malaysia, harta orang bukan Islam boleh diwarisi oleh orang Islam mengikut undang-undang yang dikanunkan dibawah Akta 1004. Distribution (Amendment) Act 1997. Berdasarkan peruntukan tersebut pembahagian dibuat kepada semua ahli waris tanpa mengira agama mereka. Penerimaan dan pemberian ini akan mendatangkan keuntungan kepada semua pihak samada dari segi ekonomi umat Islam mahupun hubungan toleransi agama dengan sanak saudara yang tidak beragama Islam. Manakala satu lagi halangan menerima wasiat adalah murtad atau keluar dari agama Islam. Harta orang yang murtad dikembalikan kepada Baitumal tetapi menurut mazhab Hanafi harta tersebut boleh dibahagikan faraid kepada ahli waris setelah dinilai sebelum beliau murtad, harta yang diperolehi selepas murtad diserahkan kepada Baitulmal.
Peruntukan dalam undang-undang syariah di Malaysia tidak menyatakan dengan jelas tentang kaedah pembahagian harta orang yang mati didalam enakmennya, ini adalah kerana bahagian setiap ahli waris telah dinyatakan dengan jelas dalam beberapa ayat daripada Surah An-Nisaa’. Antaranya:
“Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara maka bahagian ibu bapanya ialah seperenam. Pembahagian ini ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati dan sesudah diselesaikan hutangnya”.
Pembahagian faraid dari segi pecahan bahagian tiap seorang adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah mengikut bidangkuasa yang diperuntukkan dalam Seksyen 61(3)(b)(ix) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No.1 Tahun 2003:
61(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah- (b)Dalam bidangkuasa malnya mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu berhubungan dengan: (ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
Daripada peruntukan umum tersebut dikhususkan pula takat bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah untuk tuntutan yang bernilai di bawah seratus ribu ringgit sepertimana diperuntukkan dalam seksyen 62(2)(b) yang berbunyi:
62(2)Mahkamah Rendah Syariah hendaklah; (b)Dalam bidang kuasa malnya,mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang.
Oleh yang demikian kepada permohonan untuk perakuan warisan yang nilaian melebihi takat RM100,000.00 maka tuntutan hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, manakala selainnnya boleh didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah yang berbidangkuasa.
Di dalam Enakmen yang sama terdapat satu peruntukan khas untuk pembahagian faraid yang mana di dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 terdahulu, dinamakan sebagai Sijil Faraid, manakala selepas pindaan dinamakan sebagai Perakuan Warisan, seksyen 65 dinyatakan:
“Jika dalam perjalanan mana-mana prosiding yang berhubungan dengan pentadbiran atau pembahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam, mana-mana mahkamah atau pihak berkuasa, selain Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mempunyai kewajipan untuk menentukan- (a) orang yang berhak mendapat bahagian dalam harta pusaka itu; atau (b) bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak, Mahkamah Syariah boleh, atas permohonan mana-mana orang yang menuntut bahawa dia menjadi benefisiari atau wakilnya dan setelah dibayar olehnya fi yang ditetapkan, memperakukan fakta-fakta yang didapati oleh Mahkamah Syariah itu dan pendapat Mahkamah Syariah itu tentang orang-orang yang berhak atau bahagian-bahagian itu”.
Terdahulu, prosiding permohonan sijil faraid dilakukan secara mengemukakan permohonan melalui borang tanpa perlu diperiksa oleh Hakim tentang kebenaran fakta waris-waris, namun setelah meneliti kaedah tersebut yang didapati membuka ruang untuk memalsukan fakta seperti melindungi waris yang berhak untuk menerima faraid, maka penambahbaikan sistem diperkenalkan, melalui pekeliling Ketua Pendaftar setiap permohonan perakuan warisan dibuat dengan sokongan ikrar melalui Afidavit (sumpah dihadapan Pendaftar atau Hakim Syarie). Setelah permohonan lengkap, siasatan dilakukan sepertimana prosiding kes Mal di dalam dewan perbicaraan oleh Hakim Syarie ke atas pemohon. Penyiasatan ini dilakukan dengan teliti supaya tidak ketinggalan semua ahli waris, atau tidak berlaku penyembunyian waris yang berhak melalui pakatan waris lain. Sekiranya perlu Hakim boleh memanggil saksi samada seorang atau lebih untuk menguatkan fakta dan aturan waris. Berbanding dengan sistem sijil faraid terdahulu, sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah perlu mendapat pengesahan dan semakan daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sekarang tidak lagi, malah keputusan Sijil Perakuan Faraid boleh dirayu ke Mahkamah yang lebih tinggi. Salah satu piagam pelanggan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menyatakan pelanggan boleh mendapatkan Sijil Perakuan Faraid dalam tempoh 14 hari selepas kes diputuskan.

Kembali merujuk kepada masalah Latif dipermulaan artikel dan sebagai jalan penyelesaian kepada isu mereka yang terhalang daripada menerima bahagian faraid disebabkan kematian penerima waris terlebih dahulu daripada pemilik harta, pihak Jawatankuasa Perundangan Syarak Negeri Selangor telah memasukkan peruntukan wasiat wajibah ke dalam Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, seksyen 27 berbunyi: (1) Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat dan, sekiranya cucu itu diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.
Peruntukan ini memberi maksud, Latif selaku cucu kepada Datuk Asri tetap layak utuk menerima bahagian didalam faraid, walaupun terhalang kerana kematian bapanya yang lebih dahulu mati sebelum datuknya. Peruntukan ini dinamakan sebagai wasiat wajibah, hanya Negeri Selangor sahaja di dalam Malaysia yang memperakui peruntukan tersebut, kebanyakan Mahkamah Syariah selainnya berpandukan kepada bidangkuasa umum berkaitan wasiat yang diperuntukkan dalam senarai 2 Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan dan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri. Oleh kerana ketiadaan peruntukan tersebut, kerapkali timbul masalah dan konflik dalam memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan wasiat.
Walaupun persoalan faraid tidak pernah membincangkan wasiat wajibah secara terperinci kerana khilaf yang berlaku diantara ulama’ fiqh tentang keharusannya, namun terdapat beberapa Negara Islam yang melaksanakannya diatas dasar menjaga maslahah dan keadilan kepada waris dan ahli keluarga terutamanya cucu yang dinafikan daripada mendapat pusaka kerana ibu atau bapa mereka mati dahulu sebelum kematian datuk atau nenek mereka. Negara-Negara tersebut adalah Mesir, Maghribi, Syria, Tunisia, Pakistan dan Sudan, sepertimana khilaf terhadap keharusan wasiat wajibah tersebut, Negara-negara Islam yang mengiktirafnya turut berbeza kaedah pemakaiannya antara satu sama lain.
Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, seksyen 27, menyatakan kadar yang akan diterima oleh cucu adalah tidak melebihi bahagian yang sepatutnya diterima oleh ayahnya sepertimana yang diperuntukkan, begitu juga dengan beberapa peruntukan lain yang menjadi panduan kepada Hakim Syarie sebelum memutuskan bahagian faraid yang mengandungi wasiat wajibah untuk kemaslahatan semua pihak sepertimana kandungan seksyen tersebut yang berkenaan:
“(2) Kadar wasiat wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan ayahnya itu mati selepas kematian datuknya:”
Dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka simati.
“(3) Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima menurut wasiat wajibah:
Dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian yang sepatutnya dia berhak, haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat sukarela dengan tertakluk kepada persetujuan waris.”.
HARTA SEPENCARIAN
Harta Sepencarian merupakan salah satu isu yang sering timbul daripada perceraian di kalangan umat Islam khususnya masyarakat Islam di Malaysia. Penyelesaiannya melalui peringkat Mahkamah telah berlaku baik di mahkamah sivil mahupun di mahkamah syariah. Penyelesaian ini amat penting dilakukan kerana apapun dalam isu harta kebiasaannya boleh menimbulkan hubungan yang kurang senang atau perbalahan di kalangan mereka yang berhak senadainya ianya tidak diselesaikan.
Harta Sepencarian ditakrifkan dalam Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 sebagai:
“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syaratsyarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;”
Berdasarkan pindaan enakmen undang-undang keluarga pada tahun 2003, tafsiran harta sepencarian secara umum telah menyentuh dua peruntukan substantif dalam enakmen yang sama, pertamanya seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003:
“(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang.
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.”
Manakala yang keduanya di dalam seksyen 23(10) enakmen yang sama:
(10) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan.
(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.
Peruntukan ini diwujudkan setelah pindaan dibuat untuk memastikan hak isteri terdahulu terjamin dan mengelakkan pertikaian tentang harta kepada pasangan yang telah dibenarkan oleh Mahkamah untuk berpoligami.
Sesuatu tuntutan yang berkaitan dengan harta sepencarian sama ada harta alih atau harta tak alih perlu dibuktikan bahawa harta itu diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Harta yang dikumpulkan oleh pasangan suami isteri selepas perceraian tidak dianggap sebagai harta sepencarian. Dalam kes Ningal @ Yang Chik lawan Jamal, plaintif (isteri) yang telah diceraikan menuntut perkongsian dalam harta sepencarian. Dibuktikan bahawa defendan (suami) telah menceraikan plaintif pada 12 Februari 1982 tetapi perceraian mereka didaftarkan pada Januari 1983. Di Mahkamah Rayuan, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Qadhi Besar. Dalam Kes ini, Mahkamah Rayuan mengulas bahawa meskipun dalam nota perbicaraan kes ini, Qadhi yang mendaftarkan perceraian perayu dan yang kena rayu telah mencatatkan akan menjual rumah itu serta akan membahagi separuh daripada nilainya kepada perayu tetapi nota tersebut hanyalah tidak lebih dari hasrat yang kena rayu memberikan separuh bahagian daripada hasil jualan rumah itu. Sehubungan itu, fakta yang amat penting di dalam kes ini ialah rumah dan kereta yang dipertikaikan itu adalah dibeli oleh pihak yang kena rayu selepas dia menceraikan perayu pada 12 Februari 1982.
Sehubungan itu, pihak yang menuntut perlu membuktikan di Mahkamah bahawa harta yang dipertikaikan itu benar-benar wujud. Jika sekiranya tuntutan harta tak alih dibuat, meskipun beban pembuktian dibebankan kepada pihak yang menuntut biasanya pembuktian berada dipihak yang kena tuntut, tetapi pihak yang menuntut boleh mendapatkan pembuktian itu melalui Perakuan Carian Rasmi di Pejabat Tanah berasaskan kepada Jadual 4 Kanun Tanah Negara atau Cabutan Hak Milik berasaskan Jadual 9 (kaedah 42) Kanun Tanah Negara dan taksiran nilaian harta-harta yang dipertikaikan itu melalui penilai berdaftar atau taksiran dari Pejabat Tanah (Pembahagian Pesaka).
Disamping tuntutan hak ke atas harta sepencarian, suatu relief yang perlu dilakukan memohon tegahan harta tersebut dari sebarang perpindahan, peruntukan yang agak jelas dibuat dalam undang-undang yang baru digubal dan telahpun diluluskan oleh sesetengah negeri. Undang-undang baru ini memperuntukkan bahawa mahkamah, boleh atas permohonan mana-mana pihak isteri atau suami membuat suatu perintah melarang daripada melupuskan apa-apa harta yang diperoleh dalam perkahwinan jika mana-mana prosiding hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau dalam prosiding itu mahkamah boleh membuat suatu perintah berkenaan. Kegagalan pihak-pihak itu mematuhi perintah berkenaan boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan kepada mahkamah.
Harus diteliti bahawa harta-harta lain yang tidak dapat ditafsirkan dengan jelas didalam undang-undang bertulis yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, maka ia tidak boleh dituntut di Mahkamah Syariah. Dengan perkataan lain, undang-undang bertulis berkenaan hanya meperuntukkan perkara perkara yang melibatkan hal ehwal agama Islam yang dilihat dalam skop yang terhad. Oleh itu jika pertikaian harta (misalnya saham) meskipun ia berlaku dalam tempoh perkahwinan tetapi pihak yang menuntut berjaya membuktikan atas asas anggapan ia sebagai amanah maka ia tidak termasuk dalam makna tafsiran dalam undang-undang keluarga dan Mahkamah Syariah tidak berbidangkuasa untuk membicarakan tuntutan berkenaan. Tegasnya, apa yang dapat difahami dari peruntukan undang-undang tersebut ialah “perkahwinan atau perceraian” atau “tuntutan-tuntutan terhadap harta yang berbangkit daripada perkahwinan dan perceraian itu hendaklah berlaku secara serentak dan bukan secara berasingan atau dalam isu yang tersendiri. Dengan lain perkataan, perkahwinan dan perceraian itu hendaklah ada unsur dominan dan perkaitan yang amat rapat dengan apa-apa tindakan atau prosiding.
Dalam kes Noor Jahan lawan Md Yusoff dan lain-lain plaintif merupakan isteri defendan pertama yang menuntut bahawa 47,001 unit saham Amanah Saham Nasional (ASN) yang dikeluarkan oleh defendan kedua (ASN Sdn Bhd) walaupun didaftarkan atas nama defendan pertama, dipegang atas amanah untuknya dan memohon suatu injunksi dan suatu perintah untuk pemindahan saham itu kepadanya. Dalam kes ini, plaintif memberitahu mahkamah bahawa dia telah membeli saham itu atas permintaan defendan pertama. Oleh itu suatu amanah berbangkit yang memihak kepadanya telah timbul. plaintif diberikan suatu injunksi interlokutri.
Meskipun defendan pertama menghujahkan bahawa saham itu merupakan satu hadiah dan memohon supaya tuntutan plaintif dibatalkan atas alasan bahawa ia tidak mendedahkan apa-apa kuasa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan, salah tanggap disisi undang-undang dan penyalahgunaan proses mahkamah dan beliau juga memohon supaya injunksi interlokutri itu diketepikan kerana tidak ada soalan serius untuk dibicarakan, terdapat ketidakdedahan fakta material dan sebagainya disamping menimbulkan suatu bantahan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidangkuasa ekslusif di bawah peruntukan Perlembagaan Perkara 121 (1A) namun permohonan beliau (defendan pertama) ditolak dengan merujuk kepada kandungan dan tujuan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Pulau Pinang 1959 yang membuat peruntukan mengawal hak ehwal agama Islam supaya membuat suatu tindakan atau prosiding ke dalam skopnya. Tegasnya dalam kes ini, tuntutan Plaintif untuk relief injunktif bukanlah mempunyai kaitan dengan dominan dengan perceraian tetapi sebaliknya ia berbangkit dari relief asas yang dipohon itu penentuan mengenai hak milik (empunya) saham itu dan soal amanah serta tidak ada kaitan dengan hak ehwal Agama Islam (dalam soal perceraian dan perkara berkaitan dengannya). Kedua-dua belah pihak juga memperakui bahawa perkara tindakan dibawah maksud seksyen 40(30 9b) (iv) enakmen itu (pembahagian inter vivos harta sepencarian) iaitu 47001 unit saham itu adalah dibeli dengan wang plaintif sendiri dan telah diberi kepada defendan secara ekslusif. Malah sumber atau usaha bersama di antara plaintif dan defendan pertama tidak dibangkitkan sama ada harga belian atau mana-mana bahagian daripada saham itu diperoleh secara bersama.
Kebanyakan penyelesaian kes harta sepencarian berdasarkan kepada adat Melayu, kerana peruntukan kuasa mahkamah pembahagian harta sepencarian tidak menjelaskan bagaimana patut harta dibahagikan.
Meskipun tiada kaedah yang tetap kes-kes terdahulu boleh dijadikan pengikat kes-kes kemudian antara kes berkenaan, kes Hajjah Lijah Binti Jamal lwn Fatimah Binti Mat Diah The Rasim lwn Neman Laton lwn Ramah dan Re Noorijah adalah antara kes-kes yang sering dijadikan rujukan pembahagian Harta Sepencarian.
Kes Robert lwn Umi Kalthom adalah kes yang sering dikaitkan dengan pembahagian harta sepencarian. Roberts adalah seorang pegawai British yang telah memeluk Islam dan berkahwin dengan Umi Kalthom, kedua-duanya bekerja. Rumah yang mereka duduki telah didaftarkan atas nama isterinya Umi Kalthom, Robert adalah warga negara asing telah berkahwin dengan Umi Kalthom warganegara Malaysia. Mengikut peraturan dalam akta pemilikan, beliau tidak boleh memiliki apa-apa tanah dan rumah untuk mendaftar milik harta atas namanya, termasuk rumah yang diduduki bersama isterinya. Sedangkan tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan oleh mana-mana pihak suami atau isteri. Dalam kes ini, suami berhak menuntut bahagian harta yang disifatkan harta sepencarian, jika dibuktikan harta itu adalah harta sepencarian, setelah berlaku penceraian, Robert menuntut sebahagian rumah itu. Hakim Raja Azlan Shah telah merujuk kepada kes lama yang pernah diputuskan, dan akhirnya mahkamah memutuskan bahawa Robert berhak mendapat sebahagian dari rumah tersebut yang dikongsi bersama dengan Umi Kalthom. Persoalan mengenai Robert tidak boleh memiliki tanah dan rumah serta tidak boleh mendaftarkan rumah itu atas namanya tidak timbul kerana ia tidak ada kaitan dengan adat Melayu yang diamalkan, oleh itu tidak diambil kira diatas siapa harta didaftarkan. Hakim berpendapat bahawa harta sepencarian adalah perkara adat Melayu dan bukan mengenai undang-undang Islam. Pada masa itu perkara-perkara adat Melayu termasuk adat mengenai harta sepencarian, Mahkamah Sivil yang berbidangkuasa mendengarnya.
Dalam kes Boto’ Binti Taha lwn Jaafar Bin Muhammad Dimana Boto’ sebelum berkahwin telah bekerja dan berhenti setelah berkahwin. Boto’ menuntut sebahagian daripada harta sepencarian. Hakim Salleh Abbas memutuskan bahawa harta sepencarian itu tidak ada kaitan dengan Undang-undang Islam dan ia termasuk di bawah kumpulan adat Melayu tempatan yang sudah lama diamalkan. Oleh itu sebarang pertimbangan hakim adalah berdasarkan adat Melayu dan tidak berpandukan undang-undang Islam tulin. Adalah diputuskan bahawa pembahagian hendaklah dibuat melalui adat, dengan itu Boto’ dibenarkan atas tuntutannya.
Dalam kes Aishah Bee lwn Mohamad Noor. Harta sepencarian boleh juga dibahagikan jika sekiranya kedua belah pihak bersetuju. Dalam kes ini pembahagian harta sepencarian dibuat atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
Dalam kes Rosnah lwn. Ibrahim isteri menamakan harta yang dituntut itu adalah harta sepencarian yang diperolehi sepanjang perkahwinan. Dengan itu isteri telah membuat tuntutan harta terhadap beberapa perkara, antaranya termasuk barang-barang kemas, kereta tolak, pinggan mangkuk dan juga wang simpanan di dalam bank. Diputuskan, barang-barang kemas dan pakaian serta kereta tolak hendaklah diserahkan kepada isteri, barang-barang kemas yang telah digadai hendaklah diganti, tuntutan isteri terhadap pinggan mangkuk dan wang simpanan di dalam bank ditolak, kerana tidak ada bukti menunjukkan bahawa harta dan barang-barang itu adalah hasil usaha isteri juga.
Dalam kes Sabariah lwn Zainal isteri menuntut rumah dan kereta dibawah tuntutan pembahagian harta syarikat, tuntutan isteri ditolak kerana tidak ada keterangan yang jelas menunjukkan bahawa harta (rumah dan kereta) yang diperolehi itu boleh dianggap sebagai harta syarikat, tuntutan isteri ditolak.
Dalam kes Norbee lwn Ahmad Sanusi isteri menuntut bahagiannya ke atas kereta, televisyen dan beberapa perkakas rumah. Qadhi Besar, telah membenarkan tuntutan itu di bawah peruntukan pembahagian harta sepencarian dan juga di atas dasar harta syarikat, ini disebabkan oleh suami isteri tinggal bersama dalam sebuah rumah, isteri mendakwa beliaulah yang mengurus rumahtangga, menjaga kebajikan suami ketika suami keluar bekerja mencari nafkah. Selain itu, isteri telah menjelaskan bahawa suami tidak menyediakan beberapa perkara yang sepatutnya disediakan oleh suami untuk membantunya dalam mengurus rumah tangga seperti menyediakan pembantu rumah kerana isteri berhak untuk mendapatnya sedangkan suaminya mampu berbuat demikian. Oleh kerana suami tidak menyediakan pembantu rumah, maka segala urusan yang berkaitan dengan rumah tangga dan kebajikan suami serta keluarga terpaksa dilakukan sendiri. Oleh itu adalah wajar disifatkan usaha dan kerja-kerja suami seolah-olah usaha dan kerjasama dari isteri. Sumbangan isteri seperti ini amat besar ertinya kepada suami, sehingga menjadikan suami begitu selesa mencari dan mengumpul harta yang akhirnya memiliki harta itu, diputuskan, harta (rumah dan kereta) itu dijual dan dibahagikan antara mereka berdua. Pembahagian ini menepati peruntukan dalam Undang-undang keluarga Islam di Malaysia.
Dalam kes Hamimah Bee lwn. Shamsuddin. isteri menuntut bahagiannya, iaitu barang-barang di dalam rumah, kereta, peti televisyen, petisejuk, dapur gas dan rumah. Isteri mendakwa semua tugas rumahtangga dilakukannya sendirian tanpa adanya pembantu rumah, isteri juga turut menjaga rumah dan anak tiri, kerana isteri tidak mempunyai pembantu rumah, maka harta-harta yang dituntut itu boleh dianggap sebagai harta bersama. Walau bagaimanapun, dalam kes ini tidak ada keterangan dan saksi yang dipanggil untuk menyokong tuntutannya. Qadhi Besar memutuskan rumah itu hendaklah dibahagi bersama antara mereka, dapur gas dan almari diberi kepada isteri dan yang lain-lain kepada suami.
Dalam kes Zawiah lwn Roslan, isteri menuntut dan mendakwa bahawa suami telah menggadaikan barang kemasnya, isteri juga menuntut kereta di mana isteri turut serta memberi pinjaman kepada suami sebanyak RM4,000.00. Suami dapat membuktikan bahawa, sememangnya barang kemas itu digadai tetapi separuh daripadanya diberi kepada isteri, sementara kereta pula telah dijual oleh suami sebelum mereka bercerai. Suami juga dapat buktikan bahawa kereta itu dibeli dengan wangnya sendiri. Dengan itu mahkamah telah memutuskan bahawa suami hendaklah memberi separuh daripada barang yang digadai sahaja.
Dalam kes Zarah lwn Idris, di Johor Baharu, tuntutan isteri ditolak kerana tidak ada bukti keterangan dikemukakan, harta-harta yang diperolehi itu secara bersama, sementara suami pula dapat membuktikan bahawa rumah memang dibeli dengan wangnya sendiri, pendahuluan dibayar dengan wang simpanan pekerjanya dan ansuran dipotong dengan wang gajinya, tambahan pula isteri dengan sendiri meninggalkan rumah dengan itu mahkamah menolak tuntutan isteri.
Dalam kes Piah lwn Che Lah .Qadhi Besar telah memerintahkan rumah dibahagikan samarata antara suami isteri kerana ada bukti menunjukkan bahawa rumah itu dibeli bersama. Dalam kes Mamat lwn Fatimah, mereka berkahwin pada tahun 1945, suami seorang pegawai polis apabila bersara suami membeli tanah dengan wang pencennya, suami dan isteri bekerja bersama-sama atas tanah itu serta mendirikan rumah, suami juga ada membeli harta (tanah) lain. Di Mahkamah, Qadhi meminta suami bersumpah untuk menafikan harta itu harta sepencarian. Jika tidak bersumpah akan dibalikkan kepada isteri dan isteri juga mestilah bersumpah untuk mengiakan harta itu adalah harta sepencarian dan isteri akan mendapatnya. Suami menbuat rayuan, Qadhi menolak rayuan itu dan diminta dibicarakan semula. Dalam perbicaraan semula Qadhi nampaknya tidak menilai jasa isteri yang mengerjakan tanah itu dengan mengemukakan alasan apakah boleh dituntut semula segala usaha yang dilakukan oleh isteri untuk menunaikan kewajipan sebagai isteri. Dalam kes sumbangan isteri dalam pembelian tanah telah diambil kira dan diputuskan isteri memperoleh sebahagian kecil daripada tuntutannya.
Dalam kes Bidah lwn Abd Ghani isteri menuntut pembahagian harta sepencarian, walau bagaimanapun terdapat perdamaian dan persetujuan diantara mereka berdua agar harta yang dituntut itu dibahagi samarata. Dalam kes Tengah lwn Ibrahim. kedua-dua pihak bekerja, suami bekerja sebagai buruh dan isteri bertani, hasil pendapatannya dikongsi bersama mereka membeli tanah dan mendirikan rumah di atasnya. Setelah mereka bercerai, isteri menuntut pembahagian harta itu dibahagi samarata, suami menuntut tanah dan rumah sebanyak 2/3 bahagian. Qadhi membuat penilaian dan melihat bahawa usaha dan tenaga suami lebih banyak daripada usaha dan sumbangan isteri maka diputuskan harta itu dibahagi sebagai mana dituntut oleh suami.
Dalam kes Tengku Anum Zahrah lwn Dr. Hussein isteri menuntut pembahagaian harta sepencarian, Suami mendakwa bahawa semua harta yang diperolehi hasil usaha gigihnya, sedangkan isterinya tidak menyumbang apa-apa pun sama ada tenaga atau usaha ataupun wang ringgit. Qadhi berpendapat sungguhpun isteri tidak menyumbang tenaga atau usaha atau wang ringgit sehingga suami memiliki harta namun isteri tetap memberi sumbangan sekurang-kurangnya sokongan moral secara langsung atau tidak langsung kerana berkahwin dengannya yang merupakan salah seorang keturunan dan kerabat di raya Terengganu. Dengan itu, sedikit sebanyak dapat mempengaruhi karier dan pekerjaannya atau profesyennya, sehingga suami dengan mudah memperolehi harta dan membuatkan orang ramai dapat memberi kepercayaan kepadanya. Selain dari itu, dapat memudahkan suami mendapat gelaran pangkat Dato’. Oleh itu mahkamah membenarkan tuntutan isteri pada 12.12.1982. Perceraian telah didaftarkan pada 12.1.1983, harta yang terdiri dari rumah dan tanah telah dibeli selepas bercerai diputuskan bahawa rumah itu dibahagi samarata dengan persetujuan dua pihak, tetapi tanah tidak dibahagikan kerana diperolehi selepas bercerai.
Dalam kes Rokiah Binti Abdul Jalil lwn Mohamed Idris Shamsuddin, Qadhi Besar telah menolak tuntutan isteri untuk mendapat harta, termasuk tanah dan saham yang diperolehi dalam masa perkahwinan. Qadhi berpendapat, bahawa suami telah memperolehinya sendiri. Qadhi bersandarkan kepada pendapat Imam Syafie’
“Jika terdapat pertelingkahan di antara suami dan isteri berkenaan dengan perabot rumah di masa mereka tinggal sebelum berpisah atau sama ada rumah itu diberikan kepada suami atau isteri atau jika kedua-duanya mati atau salah seorangnya mati dan pertelingkahan timbul dikalangan warisnya, sesiapa yang dapat membawa bukti bahawa harta milik suami atau isteri maka dialah berhak mendapatnya.”
Dalam kes ini jawatankuasa Mahkamah Rayuan berpendapat, Qadhi Besar telah tidak menghiraukan sumbangan secara tidak langsung isteri di dalam memperolehi harta, mereka telah merujuk kepada kes Mansjur lwn Kamariah dan rujukan juga telah dibuat kepada fatwa-fatwa yang dikeluarkan. Dalam kes Mansjur lwn Kamariah dan juga kes Rokiah lwn Mohd Idris, hujjah yang dipertikaikan ialah mengenai sumbangan isteri sama ada secara langsung dan tidak langsung perlu diambil kira atau sebaliknya. Mahkamah seharusnnya membuat pertimbangan sewajarnya selain dari itu harta yang diperolehi dalam masa perkahwinan juga mesti diambil kira sebagai sumbangan isteri secara tidak langsung terhadap perolehan harta itu, di mana isteri menjaga rumah tangga dan kebajikan sosial keluarganya sepanjang tempoh perkahwinan, kerana tempoh perkahwinan pasangan ini selama 33 tahun dan merupakan suatu tempoh yang lama bagi sesebuah perkahwinan, maka dengan itu amatlah wajar bagi isteri memperolehi haknya. Mahkamah Rayuan memerintah suami memberi satu pertiga bahagian harta kepada isteri.
Berdasarkan dari kes-kes yang disebutkan tadi, menggambarkan kaedah dan kepelbagaian bentuk pendekatan pembahagian harta sepencarian yang telah diaplikasikan oleh mahkamah-mahkamah sama ada Mahkamah Tinggi (sivil) atau Mahkamah Syariah dalam menyelesaikan pertikaian mengenai pembahagian harta selepas bercerai, disamping itu juga, didapati tiada suatu pendekatan khusus yang seragam boleh diterimapakai sebagai satu peraturan atau kaedah yang patut dan munasabah diikuti.
Secara umumnya pembahagian harta sepencarian yang diselesaikan itu dapat diklasifikasikan kepada dua cara, iaitu pembahagian melalui persetujuan kedua belah pihak (suami isteri) dan kemudian diperakui oleh mahkamah atau pun melalui pembahagian penghakiman dalam keadaan hakim sendiri yang memutuskan pembahagian itu.
Selain dari itu mahkamah didapati agak longgar dalam menilai dan menimbang bukti keterangan untuk memutuskan sesuatu kes. Walau pun sumbangan pihak masih boleh dipersoalkan. Adalah wajar mahkamah memastikan bahawa ia benar-benar tidak wujud penipuan dan pembohongan daripada pihak-pihak yang berkepentingan (menuntut dan pihak yang kena tuntut) dalam menyelesaikan persoalan ini. Mahkamah hendaklah benar-benar berpuashati sebelum keputusan dibuat.
PENUTUP
Berdasar maklumat yang dikumpulkan, dari segi peruntukan undang-undang dan laporan kes-kes di Mahkamah, kita mendapati masih terdapat ruang penambahbaikan yang boleh diisi samada dalam bentuk substantif mahupun prosedurer. Sebagai umat Islam, kaedah dan cara-cara pengurusan yang betul mestilah menjadi amalan supaya tidak berlaku perpecahan dalam keluarga dan masyarakat hanya disebabkan oleh kejahilan menguruskan harta. Setiap orang ada haknya, jika kita menghormati hak orang lain maka hak kita juga akan dihormati, malah jika kita saling redha meredhoi dan bersedekah itu adalah lebih baik.
p/s: saya tertinggal bab hibah rasanya, ia disampaikan melalui presentation, kalau adam tak jumpa minta maaf ya, saya akan cuba research sekali lagi.

Monday, September 7, 2009

ANTARA SULH DAN MEDIASI YANG MANA DEKAT DIHATI

ANTARA SULH DAN MEDIASI YANG MANA DEKAT DIHATI
By Abu Razeen


we are the pioneer, first batch mediation officer for selangor syariah court, from back abrzn, syukran, wadi, saharudin a.k.a wak din, azmi and jamil. front, AB Malik, Mazlina Jailanai a.k.a MJ, Nik Suhaila, Siti Noraini a.k.a Noni dan Drs Atras. ambilan 15 April 2002

Pra: Kertas kerja ini dibentangkan di Muzakarah Pegawai-Pegawai Sulh Seluruh Malaysia (Kali Pertama) di Hotel Royal Penang, Pulau Pinang pada 15-17 Mac 2009, very-very tought, but quite ok untuk muzakarah kali pertama. Pendedahan baru untuk saya dan semua pegawai sulh seluruh Malaysia. Credit untuk YAA Dato' KHM JAKESS, Suaida UITM, Atras, Azhar, Wadi, Noni dan semua sekali.

Abstrak
Pelaksanaan Sulh secara formal di Mahkamah Syariah dilihat sebagai satu produk baru walaupun secara asasnya Sulh telah dianjurkan oleh Islam sejak wahyu Allah diturunkan. Penggunaan sistem ADR yang sistematik telah dipelopori oleh sistem perundangan konvensional terdahulu dari Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian satu perbandingan yang sihat wajar dibuat bagi memajukan lagi kaedah-kaedah sedia ada untuk kemaslahatan pelanggan Mahkamah. Objektif kertas kerja ini adalah untuk melihat pelaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah persamaan dan perbezaannya dengan kaedah Mediasi yang dilaksanakan oleh pihak MMC, disamping mencungkil teknik dan asas kemahiran yang perlu ada pada Pegawai Sulh hasil dari kursus yang diberikan oleh Accord Group.


1. PENGENALAN
Perkembangan positif Mahkamah Syariah di Malaysia dalam menerapkan sistem pilihan selain dari perbicaraan telah mendapat sambutan yang baik. Selain dari Hakam dan Jawatankuasa Pendamai, Sulh telah mula diberi perhatian sebagai satu kaedah penyelesaian tuntutan secara damai yang murah dan ringkas. Kaedah Sulh secara literalnya telahpun digalakkan oleh Al-Quran dalam menyelesaikan masalah rumahtangga. Dalam konteks Negara Malaysia kaedah yang hampir serupa telah diusahakan terlebih dahulu secara sistematik dengan penubuhan Malaysian Mediation Centre oleh Majlis Peguam Malaysian. Manakala dalam perundangan sesetengah negara maju yang lain kaedah ini telahpun dilaksanakan dan menjadi kaedah mainstream bagi menyelesaikan pertikaian.
Inisiatif untuk mewujudkan sistem ADR (Alternative Dispute Resolution) bagi membantu mempercepat dan mengurangkan kes-kes tertunggak mendorong kepada pelaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah. Idea ini turut didorong oleh pelaksanaan sistem mediasi yang diamalkan di negara lain yang diakui keberkesanannya. Sulh dan Mediasi walaupun mempunyai nama yang berbeza tetapi maksud dan objektifnya adalah sama, menyelesaikan pertikaian pihak-pihak dengan mengikat perjanjian persefahaman. Untuk memudahkan pemahaman kertas kerja ini, ‘Sulh’ atau ‘Majlis Sulh’ adalah merujuk kepada amalan sulh yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah. ‘Pengurusan Mediasi’ merujuk kepada input yang telah diberikan oleh Accord Group disepanjang kursus yang dikelolakan oleh firma tersebut dan dihadiri oleh pembentang samada sebagai peserta ataupun sebagai ‘mediator assessor’ dan ‘coach’. Manakala ‘Mediasi’ adalah merujuk kepada amalan mediasi yang dibuat selain dari Mahkamah Syariah dan amalan ini adalah menurut sumber rujukan yang dinyatakan.
1.1 Sulh.
Sulh di dalam kertas kerja ini, adalah merujuk amalan Sulh di Mahkamah Syariah di Malaysia secara umum. Kebanyakan contoh diambil daripada pelaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah Selangor diatas sifat pelaksanaan Sulh secara sistematik yang terawal di Mahkamah Syariah dan berdasarkan dari pengalaman pembentang sewaktu bertugas sebagai Pegawai Sulh. Takrifan Sulh yang digunakan oleh Mahkamah Syariah Selangor adalah:
“Majlis perbincangan bersama di antara pihak-pihak yang terlibat didalam suatu pertikaian, melibatkan satu atau lebih tuntutan di Mahkamah Syariah Selangor dengan dipengerusikan oleh Pegawai Sulh dan seandainya satu persetujuan secara damai tercapai secara sukarela antara kedua-dua pihak, ianya akan di rekodkan oleh Hakim sebagai satu perintah mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan. Sulh hanya boleh dibuat selepas berlakunya perceraian sahaja atau permohonan poligami.”
Sulh yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah adalah berasaskan daripada dalil syarie Firman Allah SWT:
“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nushuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua, (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai)” [An-Nisaa:128]
Manakala sempadan atau bidangkuasa syarak turut digariskan secara jelas dalam Hadis Rasul SAW:
“Sulh itu antara kalangan Muslim adalah suatu yang harus kecuali adalah yang mengharamkan sesuatu perkara yang halal atau Sulh yang menghalal suatu yang haram”
Pelaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah secara tidak rasmi telahpun dipelopori oleh pendaftar atau penolong pendaftar Mahkamah Syariah dan peguam-peguam syarie malah adakalanya berdasarkan perintah dari Hakim. Perbincangan dibuat mengikut kehendak pelanggan dan mengikut kesempatan masa sebelum atau semasa prosiding perbicaraan. Draf pertama berkaitan Sulh telah diwujudkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Kebangsaan yang dinamakan Kaedah-Kaedah Prosedur Mal (Sulh) (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1996.
1.2 Pengurusan Mediasi
Accord Group mempunyai takrifan yang luas dan menyimpulkan Mediasi sebagai:
“Mediation is a process which is aimed at building concencus and agreement which is voluntarily reached between the parties where the independent third party does not act as a judge to decide how the parties should resolve their dispute nor give advise or recommendations to tell the parties how to resolve their dispute.”
Dalam tafsiran ini dan melalui latihan yang diikuti, Accord Group menekankan kepentingan pihak mediator yang bebas dan tidak menghukum, mencadang mahupun menasihat pihak-pihak sepanjang proses mediasi. Tiada sebarang perbezaan ketara antara dengan takrifan Sulh, kerana matlamat proses adalah sama.
1.3 Mediasi
Mediasi yang ditakrifkan oleh MMC (Malaysian Mediation Centre) dinyatakan seperti berikut:
“It’s a voluntary process in which an impartial third party known as mediator, assists parties involved in a dispute to resolve their differences in an amicable manner.”
Menerangkan peranan mediator dalam proses mediasi. Walaupun ringkas, takrifan ini dibantu penerangan yang jelas di dalam mediation kit. Mediation kit diedarkan kepada pelanggan, sekiranya mereka bercadang untuk menjalani mediasi.
MMC secara ringkasnya telah dilancarkan oleh Majlis Peguam Malaysia pada 6 November 1999. Perancangan untuk melaksanakan mediasi telahpun wujud sejak Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian Secara Alternatif (ADR) dilantik pada tahun 1995. Sehingga hari ini perjalanan MMC diselia oleh Jawatankuasa ADR Majlis Peguam Malaysia. Objektif penubuhannya adalah untuk mempromosikan mediasi sebagai kaedah alternatif penyelesaian kes dan menyediakan prasarana yang sesuai untuk pelaksanaan mediasi. Pada awal penubuhannya, seramai 27 mediator mengikuti kursus teknik mediasi di Singapore Mediation Centre and the Law Society of Singapore. Kini terdapat 179 mediator yang telah diakreditasi oleh MMC.


2. PERSAMAAN DAN PERBEZAAN SULH DAN MEDIASI
2.1 PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG
2.1.1 Sulh
Peruntukan Sulh di Mahkamah Syariah dinyatakan dalam kaedah yang diluluskan kebanyakan negeri dan wilayah secara berperingkat. Antaranya dinyatakan: Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001 diwartakan pada 20 Disember 2001 dan mula berkuatkuasa 1 Ogos 2001, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2004 diwartakan pada 8 Januari 2004 dan mula berkuatkuasa pada tarikh yang sama, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Sulh) 2004 (Melaka) disiarkan pada 12 Februari 2004 dan mula kuatkuasa pada 15 Februari 2004., Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Sulh) Johor 2004 disiarkan pada 12 Ogos 2004 dan mula kuatkuasa pada 1 September 2004. Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Mahkamah Syariah Pulau Pinang 2006 disiarkan pada 22 Jun 2006 dan mula kuatkuasa pada 22 Jun 2006. Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah Pahang (Sulh) 2005 disiarkan pada 7 Julai 2005 dan kini masih belum berkuat kuasa.
Sebilangan Mahkamah Syariah di Malaysia mempunyai kaedah Sulh yang hampir serupa digunapakai sewaktu kendalian Majlis Sulh. Sulh di Mahkamah Syariah bernasib baik kerana pelaksanaannya mendapat sokongan sepenuhnya daripada badan perundangan, dan ruang untuk berbincang melalui Sulh diberi pada mana-mana bahagian dalam prosiding. Malah dalam Arahan Amalan JKSM (Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia) 1/2001 berkenaan Kod Etika Hakim secara jelas menyatakan antara etika Hakim semasa dalam Mahkamah adalah menggalakkan Sulh, arahan tersebut berbunyi:
“(j) menggalakkan pihak-pihak menyelesaikan pertelingkahan mereka dan mencapai persetujuan secara sulh dalam kes-kes mal di mana-mana peringkat sebelum dia memberi penghakiman;”
Dalam melaksanakan Kaedah-Kaedah Sulh yang dinyatakan pihak JKSM dan JKSN (Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Wilayah) sentiasa mengeluarkan Arahan-Arahan atau Pekeliling yang menunjukkan prosedur atau polisi tertentu untuk digunakan atau untuk menjelaskan yang kabur atau tidak ada dalam kaedah-kaedah yang dinyatakan tadi. Arahan-Arahan ini penting untuk dilaksanakan bagi negeri yang belum mempunyai Kaedah--Kaedah Sulh.
Antara contoh ketelitian yang digubal bagi memastikan kredibiliti Sulh tidak dipertikaikan adalah Manual Kerja Sulh bertujuan menerangkan proses kerja yang perlu dilalui dalam Majlis Sulh dan Pekeliling Ketua Hakim Mahkamah Syariah Selangor 1/2002 (Kod Etika Pegawai Sulh dan Manual Kerja Sulh MSS). Kod Etika Pegawai Sulh berkuatkuasa pada 1 Jun 2002 di Mahkamah Syariah Selangor. Etika yang dinyatakan tidak begitu berbeza dengan Kod Etika Hakim dalam perkara tertentu. Kawalan berbentuk kod etika ini diaplikasikan seawal pelaksanaan Sulh di Selangor sebagai tindakan proaktif bagi memastikan tiada sebarang penyelewangan berlaku.
** Maklumat dalam bentuk dokumen yang direkodkan adalah baik untuk rujukan pengamal undang-undang namun dipihak pelanggan, maklumat Sulh yang lengkap hanya boleh didapati melalui ucapan pembukaan pegawai dalam sesi Sulh. Inisiatif pihak Mahkamah untuk menyediakan pamplet di kaunter atau khusus untuk pelanggan Sulh adalah tindakan yang baik.
2.1.2 Mediasi
Tiada sebarang peruntukan yang jelas samada mengikat atau menggalakkan pihak mahkamah untuk memilih sistem mediasi sebagai jalan penyelesaian kes. Penyelesaian melalui Mediasi adalah inisiatif pihak bertikai dengan kerjasama oleh pihak MMC. Kewujudan MMC sebagai alternatif penyelesaian pertikaian yang disediakan oleh Majlis Peguam dilihat sebagai pelopor mediasi yang bersistematik dan seragam. Segala peraturan mediasi dan kod etika Mediator dirumuskan dalam dokumen yang dikenali sebagai ‘Mediation Kit’. Keterangan yang jelas di dalam Mediation Kit turut meliputi kos yang perlu ditanggung oleh pelanggan.
** Dengan penyediaan dokumen ‘Mediation Kit’, pelanggan mempunyai peluang untuk mengetahui proses sepenuhnya dan ini membantu tugas mediator menjimatkan masa penerangan semasa proses pra mediasi. Pra mediasi penting untuk pelanggan bagi menjamin komitmen dan keserasian pihak-pihak bertikai dan mediator.
** Dalam kontrak perdagangan samada takaful, insurans, bankrupsi, kemalangan, pinjaman, perdagangan antarabangsa dan lain-lain, terdapat terma yang merujuk kepada proses mediasi dan arbitrasi. Oleh yang demikian sebarang pertikaiian hendaklah dirujuk kepada proses tersebut. Sekiranya proses ini gagal maka pertikaian dirujuk ke Mahkamah.

2.2. WAKTU PELAKSANAAN
2.2.1 Sulh
Mahkamah Syariah memperuntukkan ruang kepada proses Sulh setelah sesuatu kes didaftarkan. Dalam konteks Negeri Selangor, Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No.4 / 2003 menyatakan :
“Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah sebagaimana yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak”.
Walaubagaimanapun khidmat Pegawai Sulh hanya bermula setelah kes didaftarkan di Mahkamah Syariah kerana ia sebahagian daripada prosedur Mahkamah. Manakala Pegawai Sulh pula adalah terikat dengan mahkamah dan tidak dibenarkan untuk melakukan Sulh selain dari kes yang diarahkan. Secara amalan, kes-kes sulh didaftarkan secara automatik mengikut kesesuaian tuntutan oleh Pendaftar, terdapat juga kes yang diperintahkan oleh Hakim Bicara untuk dijalankan Sulh secara serta merta. Keadaan ini berlaku apabila Hakim berpendapat prospek untuk sesuatu kes diselesaikan melalui Sulh sesegera mungkin adalah lebih besar berbanding proses litigasi di dalam dewan bicara.
2.2.2 Mediasi
Mediasi tidak dijadikan sebagai prosedur Mahkamah, maka sebarang pertikaian boleh dirujuk ke proses Mediasi sebelum kes difailkan di Mahkamah atau semasa kes sedang dalam prosiding. Faktor ini disebabkan mediasi melibatkan peguam-peguam, tidak seperti Sulh yang melibatkan pegawai mahkamah, maka ruang untuk melakukan mediasi kelolaan MMC adalah lebih luas.

2.3 PROSES PELAKSANAAN
2.3.1 Sulh
Manual Kerja Sulh telah dikeluarkan dalam Pekeliling Ketua Hakim Mahkamah Syariah Selangor 1/2002, diringkaskan isi kandungan setiap proses berdasarkan huraian didalam Manual tersebut:
1) Kenyataan Awal Pegawai Sulh –
Memperkenalkan diri, membaca Al-Fatihah dan doa yang disarankan, memaklumkan undang-undang yang dipakai, matlamat Sulh, peraturan yang patut dipatuhi, sifat berkecuali pegawai sulh serta proses yang akan dilalui.
2) Pembentangan Awal Pihak Yang Bertikai –
Plaintif membentangkan terlebih dahulu, Defendan memaklumkan pertikaiannya, Pegawai Sulh membuat peta konflik, mengenalpasti dan mengurus maklumat yang diberi bagi menentukan isu, kedudukan, kepentingan dan alternatif penyelesaian.
3) Perbincangan Bersama-
Pihak-pihak menyuarakan pendapat, penilaian dari Pegawai Sulh, sekiranya persetujuan didapati maka Pegawai boleh terus mendrafkan perjanjian penyelesaian tanpa perlu mengikuti proses seterusnya.
4) Pertemuan Sebelah Pihak (kaukus) -
Plaintif dipanggil dahulu diikuti Defendan, Pegawai Sulh menyeimbangkan keadaan, maklumkan kelemahan setiap pihak, brainstorming, Pegawai adil dalam masa bersama pihak.
5) Perundingan Bersama -
Setelah kaukus, perundingan secara langsung pihak-pihak yang bertikai. Jika perlu mengulangi proses perbincangan.

6) Penghakiman Berasaskan Persetujuan -
Pegawai memutuskan wujud persetujuan atau tidak, drafkan perjanjian sekiranya ada, kebenaran untuk merujuk peguam, perjanjian diserahkan kepada Hakim untuk penghakiman berasaskan persetujuan.
7) Kes Diserahkan Kembali-
Penyelesaian separuh daripada pertikaian, selebihnya (syarat yang tidak dipersetujui) diserahkan ke proses perbicaraan.
** Pembentangan awal Pegawai Sulh boleh diringkaskan sekiranya terdapat satu proses yang dinamakan pra-sulh dimana pihak-pihak diberi penerangan tentang proses Sulh dan peranan Pegawai Sulh terlebih dahulu. Boleh dilakukan secara proaktif dengan maklumat sulh ringkas yang dilampirkan bersama notis sulh atau menelefon pelanggan yang terbabit sebelum beliau hadir ke Majlis Sulh.
2.3.2 Pengurusan Mediasi
Accord Group menyenaraikan bentuk-bentuk kemahiran yang perlu ditampilkan mengikut kesesuaian proses sulh dan tindakan yang perlu diambil oleh Mediator dan pihak-pihak.
1) Langkah Persediaan –(Preparatory Steps)
Berjumpa dengan pihak-pihak dan mencari kesepakatan tentang dokumen, agenda, masa dan menandatangani pelantikan mediator.
2) Penyataan Pembukaan – (Opening Statement)
Mediator menerangkan peranan, kerahsiaan dan peraturan asas mediasi.
3) Pembentangan Pihak-Pihak (Opening Presentations) –
Mana-mana pihak bebas untuk bercakap tanpa diganggu, mediator akan menggunakan kemahiran mendengar, kesimpulan, kenalpasti keperluan, faedah dan objektif serta agenda.

4) Perbincangan Bersama dan Pertanyaan (Joint Discussion and Questions)-
Pihak-pihak dibantu menyelesaikan salah faham dan bincang perkara yang tidak dipersetujui, mediator memberi kesedaran dan pemahaman masalah sebenar pihak bertikai.
5) Sesi berasingan dan bersama (Separate and Joint Session)-
Bincang isu sensitif dan rahsia, mediator bantu kenalpasti keperluan dari kehendak, mengalakkkan percambahan pilihan, memecah kebuntuan dan menerangkan kesimpulan.
6) Tahap persetujuan (The Agreement Stage)-
Mengkaji kesan dan akibat persetujuan, Mediator bantu mendrafkan persetujuan, nasihat berdasarkan persetujuan yang diambil dan mencadangkan proses yang lain jika gagal.
** Pengurusan mediasi oleh Accord Group amat menekankan kepentingan memelihara proses (protect the process), walaupun persetujuan mungkin didapati pada peringkat awal perbincangan namun keenam-enam proses seolah-olah wajib dilaksanakan. Walaubagaimanapun proses boleh dilakukan secara fleksibel tanpa mengabaikan keperluan pihak-pihak.
** Modul proses yang dicadangkan adalah berbentuk mediasi komersil, namun ia adalah relevan untuk kes-kes kekeluargaan.
** Proses Langkah Persediaan (Preparatory Steps) diberi penekanan yang lebih mendalam oleh Accord Group dalam Kursus Mediasi Lanjutan. Kebanyakan kejayaan mediasi bergantung kepada proses ini, adalah penting untuk Mediator mengadakan perjumpaan awal (preliminary meeting) pihak bertikai.
2.3.3 Mediasi
MMC membantu pemahaman pelanggan dengan menyediakan jadual proses dan penerangan ringkas sebelum mediasi bermula.Sepertimana digariskan dalam Mediation Kit, proses mediasi mengikut turutan seperti berikut:
1) Proses Pra Mediasi (Pre Mediation Process)–
Pihak-pihak menandatangan persetujuan syarat-syarat menjalani mediasi.
2) Pengenalan (Preliminary)–
Pengenalan kepada Mediasi.
3) Pembentangan oleh Mediator (Mediators Opening)–
Penetapan peraturan perbincangan oleh mediator. Mediator dimaklumkan tentang beberapa fakta asas mengenai pertikaian.
4) Sesi bersama (Joint Session)–
Pihak-pihak dibenarkan untuk menyatakan tuntutan dengan kehadiran pihak satu lagi.
5) Perjumpaan sebelah pihak (Caucuses)–
Sekiranya perlu salah satu pihak boleh bersama mediator secara sebelah pihak bagi menyatakan emosi dan bercakap dengan bebas.

6) Perjanjian Persetujuan (Settlement Agreement)–
Pihak-pihak menandatangani perjanjian penyelesaian disaksikan oleh mediator. Pihak-pihak boleh menfailkan kes di Mahkamah sekiranya tiada persetujuan dalam mediasi. Peguam kedua-dua belah pihak atau pihak mediator boleh menyediakan perjanjian sekiranya ada penyelesaian.
** Tidak terdapat banyak perbezaan antara proses Sulh dan Mediasi, ini adalah kerana tujuan utama proses dilakukan adalah untuk mencapai kata persetujuan antara pihak-pihak, manakala proses sulh sedikit sebanyak diadaptasi daripada mediasi dengan sebahagian penyesuaian, pengubahsuaian ini bagi menonjolkan identiti Islam seperti bacaan doa pada permulaan dan unsur litigasi dengan endorsement pada akhir proses sekiranya berjaya.
** Matlamat Sulh dikenalpasti dengan wujudnya perjanjian penyelesaian diakhir Manual Kerja Sulh. Apabila pihak-pihak menyatakan persetujuan tanpa mengira kedudukan proses maka Pegawai Sulh boleh mengabaikan proses selanjutnya dan terus mendrafkan perjanjian.


2.4. KEHADIRAN
2.4.1 Sulh
Kehadiran pihak-pihak adalah diwajibkan berdasarkan kepada Kaedah 4 Kaedah- Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001, Kaedah tersebut dinyatakan sebagai:
“Jika ada mana-mana pihak telah disampaikan notis di bawah perenggan 3(c) tidak hadir pada hari yang ditetapkan, ketidakhadiran itu hendaklah menjadi suatu penghinaan Mahkamah dan Bahagian XXX Enakmen hendaklah terpakai kepadanya”.
Manakala bagi negeri yang belum mempunyai kaedah, Arahan Amalan No.8 Tahun 2003 digunakan bagi tujuan penyempurnaan notis Sulh, Arahan tersebut berbunyi:

“Prosedur penyerahan Notis Sulh kepada pihak-pihak di dalam Majlis Sulh hendaklah mengikut prosedur penyerahan saman sebagaimana yang terdapat di dalam Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-Negeri.”
Pemakaian prosedur penyerahan saman antara tujuannya adalah untuk membezakan antara prosiding Sulh di Mahkamah Syariah dan khidmat kaunseling di Jabatan Agama Islam. Prosedur ini juga bagi memastikan kehadiran dan kejayaan majlis sulh.
** Sehingga kini tiada kes menghina mahkamah dikeluarkan atas kegagalan menghadiri majlis Sulh di Mahkamah Syariah Selangor.
2.4.2 Mediasi
Mediasi yang dijadualkan di MMC adalah inisiatif pihak pemohon dan penjadualan mengikut kesesuaian Mediator. Tiada implikasi undang-undang boleh dikenakan kepada pihak yang tidak menghadiri mediasi. Tetapi untuk sebarang kontrak yang menyatakan penyelesaian hendaklah dilakukan secara mediasi atau arbitrasi terlebih dahulu apabila berlaku pertikaian, maka keengganan salah satu pihak untuk ke meja perundingan memungkinkan tindakan undang-undang ke atas pihak tersebut selain dari kesan perundangan atas pelanggaran kontrak tersebut.


2.5 PENYERTAAN
2.5.1 Sulh
Kaedah 5(2) Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 200 secara proaktif menggalakkan pihak-pihak membuat keputusan secara bersendiri, Kaedah tersebut dinyatakan sebagai:
“Dalam Majlis Sulh, pihak-pihak hendaklah hadir sendiri dan tiada Peguam Syarie boleh hadir bagi sesuatu pihak dan tiada sesuatu pihak boleh diwakili oleh seorang lain tanpa kebenaran Pengerusi.”
Kaedah ini tidak bertujuan sebagai pemencilan pihak lain seperti peguam atau saudara terdekat untuk membantu pihak-pihak, dalam kebanyakan kes, pihak-pihak dibenarkan untuk menelefon peguam diluar bilik Sulh malah Pegawai Sulh boleh menangguhkan kes sekiranya pihak perlu merujuk terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
** Kelonggaran masih boleh diberikan berasaskan permintaan kepada Pegawai Sulh setelah dipertimbangkan rasional kehadiran peguam dalam Majlis Sulh tersebut. Kebenaran oleh Pegawai Sulh dicatatkan pada akhir kaedah yang dinyatakan.
2.5.2 Pengurusan Mediasi
Accord Group dalam Kursus Pengurusan Mediasi Lanjutan telah memberi panduan pengurusan mediasi dalam keadaan pihak yang bertikai membawa masuk agen. Agen ini samada terdiri dari ibu, bapa, suami, isteri, rakan, peguam atau mana-mana individu yang mampu memberi sokongan kepada pihak.
Latihan mediasi yang dijalankan, dibuat dengan kehadiran agen-agen yang akan mencelah dan mengganggu proses mediasi, kemahiran mediator akan diuji dari aspek mengendalikan gangguan dan pada masa yang sama tidak boleh mengarahkan agen keluar dari sesi mediasi.
** Accord Group mementingkan autoriti untuk membuat keputusan ada pada pihak yang berunding, sekiranya tiada autoriti mediasi masih boleh dijalankan tetapi persetujuan hendaklah dirujuk terlebih dahulu sebelum perjanjian didokumenkan. Kepentingan validasi ini ditekankan oleh mediator sewaktu diperingkat proses kedua iatu Penyataan Pembukaan (Opening Statement).
2.5.3 Mediasi
Individu digalakkan untuk hadir sendirian, dalam kes entiti korporat, pihak bertikai boleh melantik wakil yang mempunyai autoriti untuk hadir dan membuat keputusan bagi pihaknya. Pihak bertikai akan memberi nama wakil tersebut kepada mediator.

2.6 JANGKAMASA PENYELESAIAN
2.6.1 Sulh
Antara fungsi utama Sulh dilaksanakan di Mahkamah Syariah adalah untuk menangani masalah kelewatan serta kelemahan perjalanan kes, jestru penetapan tarikh dan jangkamasa Sulh tidak sepatutnya menjadi punca kepada kelewatan kes di Mahkamah. Oleh yang demikian Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001 dinyatakan:
“Jika selepas menerima sesuatu saman atau permohonan bagi apa-apa kuasa tindakan, Pendaftar berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi penyelesaian antara pihak-pihak kepada tindakan itu, Pendaftar hendaklah—
(a) tidak menetapkan tarikh perbicaraan tindakan itu dalam tempoh tiga bulan;
(b) dengan seberapa segera yang praktik menetapkan tarikh bagi pihak-pihak mengadakan sulh;
(c) menyampaikan notis kepada pihak-pihak mengenai tarikh yang ditetapkan itu.”
Maksud “tidak menetapkan tarikh perbicaraan tindakan itu dalam tempoh tiga bulan” adalah menerangkan jangkamasa maksima Sulh boleh dijalankan, namun sekiranya kes dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari tiga bulan maka tarikh sebutan untuk merekodkan persetujuan harus diberi seberapa segera yang boleh, ini untuk mengelakkan perubahan hati pihak-pihak. Malah sekiranya tiada sebarang persetujuan sekalipun, tarikh sebutan tidak boleh dijarakkan dalam masa yang panjang, kerana ini akan memberi persepsi bahawa proses sulh hanya memanjangkan masa pihak-pihak.
Bagi memastikan kelancaran proses Sulh, kes akan mula dipanggil dalam tempoh tidak melebihi 21 hari dari kes didaftarkan. Arahan Amalan No. 3 Tahun 2002 berkenaan Pemakaian Sulh dinyatakan seperti berikut:
“..semua kes-kes selepas didaftarkan, hendaklah dengan seberapa segera tidak melebihi 21 hari dirujukkan kepada Pengerusi Majlis Sulh dengan memanggil pihak-pihak yang terlibat untuk sesi Sulh / penyelesaian damai, sebarang persetujuan yang dicapai hendaklah dicatatkan dan dibacakan semula di hadapan pihak-pihak dan terus dipanjangkan kepada Hakim untuk direkodkan Perintah Persetujuan Bersama.”

2.6.2 Mediasi
Tiada limitasi jangkamasa ditentukan dalam mana-mana proses mediasi, namun kelancaran proses ditetapkan seawal pra-mediasi di mana pihak MMC akan menetapkan tarikh dan masa sesi mediasi dijalankan. Sekurang-kurangnya 5 hari sebelum pertemuan mediasi, setiap pihak boleh mengemukakan ringkasan kes dan apa-apa dokumen berkaitan ringkasan kes yang akan dirujuk dalam mediasi.
Pihak yang mengusahakan proses mediasi akan menamakan pihak yang bertikai dan membayar kos sebanyak RM100.00 (tidak dikembalikan) kepada MMC beserta dengan permohonan. Dengan pembayaran serta permohonan, pihak MMC akan menghubungi pihak yang dinamakan dalam tempoh 14 hari. Setelah semua pihak menerima permohonan, dalam tempoh 21 hari pihak MMC akan memaklumkan kepada semua pihak samada mediasi boleh dijalankan atau sebaliknya.

2.7 PEMILIHAN PENGANTARA
2.7.1 Sulh
Pihak-pihak tidak mempunyai pilihan untuk memilih Pegawai Sulh kerana Pegawai Sulh dilantik dan ditempatkan dilokasi-lokasi tertentu di Mahkamah Syariah. Tetapi Pegawai Sulh tidak dibenarkan untuk mengendali Sulh dimana wujud kepentingan diri seperti salah satu pihak adalah kenalan pegawai atau saudara maranya. Perkara ini dinyatakan dalam Perkara 3, Kod Etika Pegawai Sulh:
“Pegawai Sulh tidak boleh berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan syak munasabah bahawa dia telah membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas rasminya sebagai Pegawai Sulh, dia telah menggunakan kedudukannya bagi faedah sendiri”
2.7.2 Mediasi
MMC akan memberi senarai panel mediator yang berdaftar kepada pemohon selepas persetujuan untuk menjalani mediasi diberi. Sekiranya pilihan tidak dibuat oleh pemohon dalam tempoh 7 hari MMC akan melantik mediator untuk tindakan seterusnya. MMC akan mencadangkan mediator kepada pelanggan berdasarkan jenis pertikaian dengan kepakaran yang dimiliki oleh mediator tersebut dan mengikut ciri-ciri yang diminta oleh pelanggan.
Mediator atau mana-mana rakan kongsi tidak boleh bertindak untuk salah satu pihak berhubung perkara yang dirunding. Mediator dan MMC tidak menjadi agen kepada salah pihak atau bertindak bagi pihaknya.
** Pihak Mahkamah boleh menyediakan Pegawai Sulh khas dengan mengenalpasti potensi kemahiran masing-masing dalam tuntutan tertentu, seperti kes harta sepencarian, hadhanah, muta’ah dan sebagainya.

2.8 KELAYAKAN
2.8.1 Sulh
Asas kelayakan untuk Pegawai Sulh gred LS41 adalah sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda Syariah dari mana-mana universiti yang diiktiraf beserta Diploma Pentadbiran Kehakiman Guaman Islam atau Diploma yang setaraf dengannya. Termasuk dalam kelayakan ini adalah lulusan LLBS dari UIA. Perkembangan perjawatan di Mahkamah Syariah menyaksikan Pegawai Sulh dilantik dari kalangan LS44 di Mahkamah tertentu. Kelulusan ini adalah setaraf dengan syarat dilantik menjadi Hakim Syarie.
2.8.2 Mediasi
Terdapat tiga syarat sebelum seorang peguam boleh diakreditasi sebagai mediator dan berdaftar dengan MMC antaranya;
I. Telah menjadi pengamal undang-undang sekurang-kurangnya 7 tahun,
II. Melalui latihan intensif selama 40 jam, pemilihan jurulatih dibuat mengikut kelulusan Majlis Peguam Malaysia dan
III. Berjaya dalam assessment atau ujian yang dikendalikan oleh jurulatih tersebut.
Syarat kelulusan ini adalah kekuatan MMC dan untuk memastikan kualiti mediator yang berdaftar. Keperluan sekurang-kurangnya 7 tahun pengalaman bertujuan menyediakan mediator yang matang dan berpengalaman dalam urusan undang-undang.
Secara adil, syarat 7 tahun pengalaman adalah berkaitan dengan undang-undang bukan dikhususkan pengalaman sebagai mediator. Oleh yang demikian dalam konteks amalan mediasi, mereka mempunyai pengalaman yang sama seperti pegawai sulh di Mahkamah Syariah.

2.9 LATIHAN
2.9.1 Sulh
Hasil inisiatif JKSM, Pegawai Sulh telah dilatih dan diberi akreditasi oleh Accord Group setelah mengikuti kursus selama 40 jam secara berperingkat sejak tahun 2006. Firma yang berpengkalan di Sydney Australia ini berpengalaman mengendalikan latihan mediasi di Hong Kong, Singapura, Philipina, New Zealand dan Australia.
Dalam konteks Mahkamah Syariah Selangor, latihan berbentuk kaunseling turut disertai oleh Pegawai Sulh samada dianjurkan oleh pihak JPA dan pihak JKSM. Kemahiran kaunseling banyak membantu Pegawai mengendalikan pelanggan sulh yang bermasalah.
** Mediator yang berdaftar dengan MMC ada yang mendapat latihan dari firma yang sama. Ini menjadikan latihan yang dijalani dan akreditasi yang diperolehi Pegawai Sulh adalah setaraf dengan Mediator yang lain.
** Generasi pertama Pegawai Sulh Selangor telah menghadiri Kursus Asas Rakan Pembimbing anjuran Bahagian Perkhidmatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sebanyak 3 sesi disepanjang tahun 2005 hingga 2007. Pegawai Sulh yang melengkapkan kesemua kursus tersebut ditauliahkan sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia (AKRAM) pada 29 November 2007, Kursus tersebut banyak menekankan teori kaunseling dan pengiktirafan. Ini membolehkan Pegawai menjalankan kaunseling dalam jabatan secara sah setelah diarahkan. Asas dan pengalaman kaunseling diadaptasi dalam pengendalian Sulh tanpa mengabaikan prinsip dan proses Manual Kerja Sulh.
2.9.2 Pengurusan Mediasi
Latihan Mediasi dan akreditasi oleh Accord Group mendapat pengiktirafan dari Hong Kong International Arbitration Centre, Hong Kong Law Society, MMC, UK Chartered Institute of Arbitrator, UK Bar Council, Law Society of England and Wales, Institute of Arbitrators and Mediators Australia, NSW Law Society, NSW Bar Association, Law Institute of Victoria, Victorian Bar Association, QLD Law Society, South Australian Law Society, Western Australian Dispute Resolution Service.
** Pengiktirafan dan pengalaman mengendalikan latihan oleh Accord Group di pelbagai negara secara tidak langsung mengangkat kewibawaan Pegawai Sulh yang berjaya mendapat akreditasi dari firma tersebut. Malah ia turut meningkatkan imej Mahkamah Syariah kerana mempunyai pegawai yang dilatih oleh firma bertaraf antarabangsa. Setiap Pegawai Sulh mesti berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya sijil akreditasi mediasi dari Accord Group untuk mengekalkan mutu serta kualiti Majlis Sulh.
Antara kemahiran yang diberi penekanan oleh Accord Group dalam Kursus Pengurusan Mediasi secara ringkas adalah:

1. Negotiation – Kemahiran berunding, matlamat perundingan bukan selalunya untuk menulis persetujuan, ia mungkin untuk kepuasan hati pihak.
2. Listening – Mendengar dan memahami, menunjukkan perhatian dan simpati. Body language juga sebahagian dari mendengar. Boleh mendapat agenda tersembunyi jika soalan yang tepat ditujukan kepada pihak bertikai hasil dari pemahaman mediator terhadap sesuatu isu.
3. Summary – Kesimpulan yang dibuat oleh mediator bertujuan memahamkan pihak-pihak situasi sebenar. Dibuat setiap kali pihak selesai memberi kenyataan, kesimpulan juga boleh membantu pihak melihat isu dengan lebih besar.

4. Common Ground – Kemahiran mencari titik persamaan antara pihak-pihak, perlu dikenalpasti bagi mengelakkan isu dan fakta yang tidak berkaitan dimasukkan dalam perbincangan.
5. Setting Agenda – Kenalpasti agenda untuk ditulis, agar perhatian pihak-pihak tidak keluar dari matlamat yang dikehendaki, agenda mestilah neutral iaitu tidak menyebelahi atau merendahkan salah satu pihak.
6. Reframe – meneutralkan kenyataan, dalam mediasi kadangkala terdapat perkataan negatif, salah menyalahkan, menghukum. Kemahiran mediator mengeluarkan ungkapan positif atau neutral membantu pihak-pihak membina persepsi yang baik kepada pihak yang lain.
7. Identifying Objective and Needs – Kemahiran mengemukakan soalan untuk membantu pihak mengenalpasti keperluan dari kehendak. Keutamaan hendaklah diberikan kepada keperluan dan objektif bukan sekadar hak dan kehendak semata-mata.

8. Raising Doubt – Mencipta keraguan dengan soalan tentang kedudukan pihak sekiranya pertikaian tidak diselesaikan. Dalam banyak situasi pihak bertikai susah untuk berfiir secara rasional. Soalan boleh berbentuk ujian realiti. Menggunakan perkataan ‘jika’, ‘kalau’, ‘bagaimana sekiranya’ dan sebagainya.

9. Diplomatic – Kemahiran diplomasi, menggunakan kembali perkataan positif yang diucapkan oleh pihak bertikai, menyentuh secara tidak langsung keegoan pihak dan membantu mereka menyelamatkan air muka.
10. Intervener – Mencelah, Kemahiran terbesar dalam mediasi adalah tahu bila masa yang sesuai untuk mencelah, sebagai pemudahcara rundingan, terlalu banyak mencelah atau tidak mencelah langsung memberi kesan kepada persepsi pihak-pihak terhadap mediator.

11. Questioning – Kemahiran menyoal, membantu pihak-pihak menuju kepada penyelesaian dengan meminta kerjasama dan soalan yang sesuai, ini lebih sesuai daripada mengeluarkan kenyataan.
12. Breaking Impasses – Memecah kebuntuan dengan meninggalkan isu yang susah dan meneruskan isu yang mudah, menggalakkan brainstorming, menangguhkan mediasi untuk pandangan pakar , melakukan kausus, menangguhkan ke tarikh yang lain.
2.9.3 Mediasi
Mediator dilatih oleh jurulatih dari negara yang telahpun mengamalkan mediasi samada melalui prosiding Mahkamah atau sebaliknya seperti Australia dan Singapura. Antara jurulatih adalah daripada Singapore Mediation Centre, Lawyers Engaged in Alternative Dispute Resolution (LEADR), Australia, Accord Group (Australia) dan University of Florida. Pihak MMC telah menjemput jurulatih atau pengamal mediasi yang telah diketahui kejayaannya di negara mereka.

2.10 FOKUS
2.10.1 Sulh
Selain dari terhad kepada ‘tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal’, Sulh di Mahkamah Syariah Malaysia tertentu kepada kes-kes kekeluargaan atau Mal sahaja, berbanding aspek sulh yang besar dalam perundangan Islam, Hampir semua kes-kes tuntutan dijalankan Sulh kecuali kes-kes penceraian sepertimana yang ditetapkan dalam Kaedah 1(2) Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001:
“Kaedah-kaedah ini tidak terpakai bagi sesuatu permohonan untuk mendapat penceraian di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 84, dan prosiding selanjutnya berkenaan dengannya hendaklah dijalankan mengikut Enakmen itu.”
Bagi maksud tersebut, Arahan Amalan No.3 Tahun 2002 Pemakaian Sulh dikeluarkan untuk menjelaskan:
“Bagi maksud pemakaian sistem Sulh ini ianya tidak terpakai ke atas kes-kes Pembubaran Perkahwinan dan Nasab”.
Begitu juga dengan Arahan Amalan No.15 Tahun 2005, Menggugurkan Nafkah ’Iddah , Mut’ah, Nafkah Anak Dan Hadhanah Dalam Perjanjian Persetujuan. Larangan ini dinyatakan seperti berikut:
“Perjanjian-perjanjian persetujuan bersama atau perjanjian semasa Majlis Sulh tidak boleh menggugurkan hak-hak isteri yang belum disabitkan melalui talaq iaitu nafkah iddah dan mut’ah, dan hak anak iaitu hadhanah dan nafkah anak.”
2.10.2 Pengurusan Mediasi
Accord Group banyak mengendalikan Mediasi berkaitan pertikaian franchise, perniagaan, organisasi, pertikaian tempat kerja, komuniti, perancangan dan isu pembangunan. Secara umum kebanyakan kes yang di mediasi adalah berbentuk komersil.
2.10.3 Mediasi
Buat masa ini MMC hanya menerima pertikaian berkaitan komersil dan akan mengembangkan skop mediasi meliputi tuntutan sivil. Majoriti kes yang telah dimediasi adalah berkaitan penentuan isi kandungan persetujuan, perjanjian perniagaan dan lain-lain.

2.11 PENCAPAIAN
2.11.1 Sulh
Dalam konteks Negeri Selangor, sejak mula dilaksanakan dari Mei 2002 sehingga Januari 2009, sebanyak 12,025 kes didaftarkan untuk Sulh, 7,230 berjaya diselesaikan dan 4,597 kes gagal dan diteruskan dengan perbicaraan, manakala selebihnya masih dalam proses. Secara purata, bilangan kes Sulh di JAKESS adalah sebanyak 1781 kes setiap tahun. Mahkamah paling tinggi peratusan berjaya adalah Mahkamah Rendah Syariah Sabak bernam sebanyak 81%, Kuala Langat 79% dan Klang 77%.. Dalam lingkungan 6 tahun 9 bulan Sulh dilaksanakan di Selangor, pencapaian Sulh Berjaya tidak pernah kurang dari 60%.
2.11.2 Mediasi
Pada 18 Ogos 2008, terdapat 155 kes dirujuk kepada MMC sejak tahun 2000 hingga Ogos 2008. 40 kes berjaya diselesaikan mewakili 28.38% manakala 18 kes tidak berjaya mewakili 11.61%. Pada 18 Ogos 2008, 5 kes masih dalam tindakan dan satu kes tidak berjaya. 4 kes dikategorikan tutup.


3. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Secara umum, apabila sesuatu aktiviti yang melibatkan keputusan secara bebas, maka risiko kegagalan tidak dapat dielakkan. Kebebasan untuk membuat keputusan turut bererti kebebasan untuk menarik diri dari komitmen. Konsep Sulh yang tidak memaksa pihak-pihak untuk membuat keputusan memberi kesempatan kepada pihak yang mempunyai agenda tersendiri meletakkan tawaran yang membebankan dan bersifat opressi kepada pihak yang lain.
Kurangnya persediaan pihak-pihak untuk menghadapi perbincangan dalam majlis sulh menyumbang kepada kegagalan. Kegagalan pihak-pihak untuk menjiwai penyelesaian secara damai mengakibatkan proses sulh gagal diikuti dengan berkesan. Bagi Majlis Sulh di Mahkamah keutamaan satu (kategori kes yang banyak didaftarkan dalam setahun) masa amat terhad untuk menerangkan secara ditil keperluan Kenyataan Awal Pegawai Sulh.
** Bagi mengatasi masalah Sulh gagal akibat pihak-pihak kurang memahami proses dan matlamat Sulh, dicadangkan supaya proses permulaan Sulh (sebelum Kenyataan Awal Pegawai Sulh boleh mencontohi pelaksanaan proses Langkah Persediaan –( Preparatory Steps) yang dianjurkan oleh Accord Group dan Proses Pra Mediasi (Pre Mediation Process) .
** Persekitaran yang positif boleh membantu pihak-pihak berbincang secara damai dan akhirnya membuat keputusan berdasarkan persefaman semua pihak. Antara cadangan yang pernah dibangkitkan dalam kursus pengurusan mediasi adalah seperti berikut:
I. Papan tulis – untuk kemudahan pegawai sulh menulis agenda, agar pihak-pihak fokus kepada perkara yang ditentukan sahaja.
II. Bentuk meja rundingan – keluasan meja rundingan hendaklah mendatangkan keselesaan fizikal dan mental pihak yang berunding.
III. Pemilihan warna bilik sulh – rona warna yang ringan dan tidak terlalu garang akan membantu emosi dan mengundang keselesaan pihak yang berunding.
IV. Air minuman – minuman boleh membantu pihak untuk melegakan ketegangan.
V. Penyegar udara – membantu pihak-pihak mendapat keselesaan dan salah satu cara mengatasi masalah individu yang sensitif terhadap bauan.

PENUTUP

Melalui pemerhatian terhadap pelaksanaan Sulh dan Mediasi yang diamalkan di MMC, perbandingan dari segi pencapaian adalah tidak relevan kerana asas pelaksanaan yang berbeza, Sulh di Mahkamah Syariah dijadikan sebahagian dari prosedur Mahkamah dan dikendalikan oleh Pegawai Sulh yang dilantik oleh Mahkamah. Manakala mediasi tidak dijadikan satu prosedur Mahkamah dan dijalankan oleh peguam yang diiktiraf oleh MMC.
Manakala Accord Group banyak menumpukan kepada kemahiran (skill) yang boleh digunakan. Tumpuan juga diberi terhadap modul proses yang sepatutnya dilalui oleh mediator untuk mencapai penyelesaian yang berkesan. Tidak banyak perbezaan berkaitan proses antara pengendalian Sulh dan pengurusan mediasi yang diterapkan disepanjang kursus. Namun sikap dan kemahiran yang diajar banyak membantu pegawai dalam pengendalian sulh seharian. Perbezaan kendalian Sulh antara sebelum dan selepas latihan oleh Accord Group dapat dikesan melalui kenyataan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Haji Zainol Rijal bin Abu Bakar. Beliau menegaskan bahawa sejak Pegawai Sulh mendapat latihan secara professional oleh pihak Accord Group, tidak terdapat lagi aduan mengenai cara kendalian sulh oleh pelanggan Mahkamah, malah terdapat pujian yang diberikan kepada Pegawai Sulh.
RUJUKAN
BUKU
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, Darul Kitab Malaysia .
Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, Subulus Salam. Darul Kutub Ilmiyah.
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No.4 Tahun 2003
Kompilasi Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2000-2005 Jabatan Kehakiman Malaysia. PNSB 2006.
Pekeliling Ketua Hakim Syarie Selangor 1998-2002. D’Fa Print 2003.
KERTAS KERJA
Kertas Kerja YAA Dato’ Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman, “Penyelesaian Kes-Kes Kekeluargaan Islam Melalui Manual Kerja Sulh”, di Seminar Keperluan Manual Mengenai Undang-Undang Keluarga Islam pada 3-4 September 2002, di Dewan Besar IKIM.
Kertas Kerja Puan Su’aida binti Safei, UITM. “Majlis Sulh (Islamic Mediation) In The Selangor Syariah Court and Malaysian Mediation Centre of Bar Council: A Comparative Study” dibentangkan dalam International Seminar on Comparative Law 2008 di Marriot Hotel Putrajaya pada 18 – 20 November 2008.
Nota Kursus
Nota kursus oleh Accord Group Australia, “Mediation Process and Skills Course” di Kursus Pengurusan Mediasi pada 10-16 Disember 2006 di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur.
Nota kursus oleh Accord Group Australia, “Mediation Process and Skills Course” di Kursus Pengurusan Mediasi pada 13-19 Jun 2008 di The Summit Hotel, Subang Jaya, Selangor.
Nota kursus oleh Accord Group Australia “Advanced Mediation Training Course”, di Kursus Pengurusan Mediasi Lanjutan pada 12-16 Disember 2008 di Hotel Seri Malaysia, Genting Highland, Pahang.
Sumber online
Portal esyariah http://www.esyariah.gov.my/ sepertimana diakses pada tarikh 9 Mac 2009
Khutubul Zaman Bin Bukhari, “Arbitration And Mediation In Malaysia”, Arbitration and Mediation in ASEAN: the Law & Practice, In 8th general Assembly 2003, Dokumen PDF dalam http://www.aseanlawassociation.org/docs/w4_malaysia.pdf diakses pada 11 Mac 2009
Sumber lain
Pamplet bertajuk ‘The Accord Group Australia, Mediation, Training, Industry Dispute Resolution” diedarkan pada Kursus Pengurusan Mediasi kali pertama di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur pada 10-16 Disember 2006.
Pamplet bertajuk ‘Don’t Litigate – Mediate’ oleh The Malaysian Mediation Centre.
‘Mediation Kit’ mengandungi penerangan oleh The Malaysian Mediation Centre berkaitan Mediasi, didapati dari Bar Council pada 10 September 2008.

Pamplet bertajuk “Sulh (Mediasi)” edaran Jabatan Kehakiman Syariah Selangor cetakan ke 2 dan diedar mulai tahun 2007.
TEMUBUAL
Tuan Haji Zainol Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia berkaitan ucapan beliau semasa majlis penutup Kursus Pengurusan Mediasi Lanjutan pada 16 Disember 2008 di Hotel Seri Malaysia Genting Highland dan di ulas semula pada 10 Mac 2008 melalui perbincangan telefon.
David Newton, Course Leader dan Managing Director, The Accord Group. Menekankan kepentingan ‘protect the process’ Jawapan beliau sewaktu disoal di dalam Kursus Pengurusan Mediasi Lanjutan.
Tuan Nurul Azhar bin Toha, Pegawai Sulh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, selaku Penyelia Statistik Mesyuarat Pegawai Sulh apabila memberikan maklumat data serta statistik Sulh terkini.

ps. masa diberikan agak terbatas, banyak lagi boleh dikongsi harap dapat diteruskan untuk masa hadapan, yang di Pulau Pinang, lepas ni buat kat pulau la juga rozita ye, emmmm pulau pangkor, labuan, kapas langkawi pun tak kisah punye.