Monday, March 31, 2008

santai

20 taktik bahagia spontan


1. Cuit-cuit
Yang ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Kalau lihat si dia sibuk dan kelihatan tertekan serta tegang semasa sedang membuat kerja, cuit-cuitlah dia sikit. Mungkin cara ini boleh mengurangkan sedikit rasa stresnya. Tapi sebelum cuit, tengok dulu kerja apa yang sedang dibuatnya. Kemudian fikirkan, jika semasa anda gangu itu, okey ke tidak? Bukan apa, bimbang nanti kalau tidak kena gayanya, bukan untuk menambahkan kemesraan, tetapi pelempang pula naik ke muka. Bukankah naya namanya.

2. Kenyit-kenyit.
Satu lagi, sekali sekala kenyit-kenyitlah sedikit mata itu pada yang tersayang. Masakan anda terlupa bagaimana hendak mengenyitkan mata. Buatlah seperti semasa waktu mengurat dulu. Mesti seronok mengusik si dia dengan cara ini. Respons dia juga tenu menggemberikan hati anda.

3. Ops, maaf terpegang.
Tidak salah rasanya kalau minta tolong pasangan ambilkan barang kemudian semasa dihulurkan barangan itu, ambil angannya, bukan ambil barang itu. Lepas itu, pandai-pandailah minta maaf, 'ops, maaf terpegang, tak sengaja'. Kalaulah ini anda lakukan, pasti si dia akan melirik manja pada anda. Aduh, boleh cair jadinya.

4. Mandi tanpa tutup rapat pintu bilik air.
Satu lagi cara hendak menarik perhatian si dia. Tetapi sebelum itu, pastikan bahawa tiada orang luar yang berada di rumah anda dan ketika itu anak anda sedang tidur. Jika tidak, susah untuk anda melakukannya. Sekali sekala, semasa mandi, biarkan pintu terbuka sedikittetapi jangan besar sangat. Bukalah cukup-cukup untuk si dia melihat anda seperti mengendap. Bukan apa, kalau nampak sikit kan lebih menyeronokkan daripada nampak banyak. Kemudian, buatlah macam anda tak perasan pintu tu tak berkunci. Barulah ada 'ummphhh!'.

5. Tersentuh tangan.
Kalau duduk sebelah menyebelah, rajin-rajin gerakkan tangan, kononnya tersentuh. Lepas itu minta maaf seperti anda tidak sengaja. Mesti seronok menyakat si dia dengan cara ini.

6. Urut mengurut.
Sekali sekala, apa kata kalau anda urut-urut manja badan pasangan anda. Lakukanlah pada bila-bila masa sahaja. Misalnya, ketika menonton televisyen atau semasa berbual-bual.

7. Usik melalui telefon.
Sekali sekala, apa kata jika anda mengusik si dia dengan menelefonnya dan berpura-pura hendak bercakap dengan seseorang. Anggaplah seperti orang salah nombor. Lepas itu, usik-usiklah dia, biar dia marah. Bila sudah sampai ke kemuncak perbualan dan si dia memang dah marah pada anda perkenalkan lah diri anda. Tentu menarik. Tetapi perlulah kena gaya dan waktu agar gurauan anda itu boleh diterima. Silap gaya, anda pula dimarahinya.

8. Suapkan makanan.
Bukan anak sahaja makan nak kena suap. Si dia pun sekali sekala nak juga rasa makan bersuap. Alahai, macam masa makan beradap ketika bersanding dulu. Jadi tunggu apa lagi, suapkanlah si dia. Barulah mesra.

9. Betul-betulkan rambut.
Kadang-kadang terlalu sibuk buat macam-macam kerja, diri sendiri pun kurang terurus. Jadi pandai-pandailah ambil kesempatan. Kalau rambut si dia terjurai sehingga menutup matanya, betul-betulkanlah rambut tu. Buat dengan lembut. Kemdian hadiahkanlah si dia dengan ciuman. Wah, romantiknya.

10. Jalan macam itik pulang petang.
Asyik berjalan laju saja, macamana nak tarik perhatian si dia? Apa kata, cuba ubah cara anda berjalan. Biar lembut dan sedikit melenggok. Barulah terancam si dia memandang.

11. Nak masukkan gear…ops, terpegang tangan.
Walaupun cara ini dah agak basi, tetapi masih relevan untuk diamalkan. Nampak macam drama swasta tak apa. Janji anda bahagia. Alah, apa salahnya kalu terpegang. Dah sah pun.Tetapi pastikan adegan ini hanya dilakukan sewaktu anda berdua sahaja berada di dalam kereta.

12. Ops… tuala terlepas
Jika si dia berada dalam bilik semasa anda ingin salin baju selepas mandi, ambillah kesempatan ini. Buat-buatlah macam tuala terjatuh semasa hendak pakai baju. Pasti terbeliak matanya melihat anda. Bukan tidak biasa tetapi tidak sangka. Lepas itu, terpulanglah kepada anda….

13. Jeling-jeling
Kalu tenung lama-lama nanti oang marah. Dalam masa yang sama, mereka tentu rasa tidak selesa. Untuk tidak menyakit kan hati orang sebaliknya menambat hati si dia, apa kata anda jeling-jeling manja padanya terutamanya ketika dia sedang asyik membaca surat khabar contohnya. Mesti konsentrasinya terganggu. Dan perhantiannya tentulah beralih pula pada anda.

14. Gesel-gesel
Kalau berjalan di tempat sempit, janganlah malu-malu untuk bergesel dengan si dia. Tak payahlah hendak elak-elak. Lagi rapat lagi bagus. Barulah mesra namanya. Selain meningkatkan kemesraan, cara ini juga boleh dijadikan mukadimah untuk hubungan seterusnya…

15. Cubit-cubit
Cubitan itu biarlah cubit-cubit sayang. Janganlah pula melampau sampai merah telinga kawan itu menahan sakit. Bimbang nanti, lain pula jadinya. Elok-elok hendak bermesra, tup tup bertukar jadi perang. Tak ke kes naya jadinya.

16. Hembusan lembut pada telinga.
Walaupun nampak macam biasa, cara begini jarang dipraktikkan. Jika duduk bersebelahan dengan si dia, hembuslah lembut pada telinganya. Pasti hatinya tersentap. Jangan tunggu lama-lama. Apa kata hari ini, balik ke rumah dan anda lakukanlah taktik ini dan pasti pasangan anda terasa dirinya lebih disayangi.

17. Ciuman di dahi
Yang ini, kalau diamalkan pasti ramai yang cemburu. Apa tidaknya. Wah, mesranya pasangan tu. Jadi tunggu apa lagi, buatlah cepat, tidak perlu tunggu-tunggu lagi.

18. Sembur wangian pada bilik.
Bukankah kita semua tahu, rumah adalah syurga sesebuah keluarga. Oleh itu pastikan rumah anda sentiasa bersih dan wangi. Dengan cara ini, setiap kali melangkah kaki masuk ke rumah, hati anda pasti tenang. Bila dah tenang, mudahlah untuk ke adegan yang seterusnya.

19. Tolong betulkan baju
Waktu bersiap untuk ke pejabat adalah antara masa yang paling sibuk. Tidak dinafikan saat itu memang tegang. Masing-masing terkejar-kejar, takut lambat ke pejabat. Bagi yang inginkan kemesraan suami isteri, ambil peluang saat sedang sibuk itu dengan tolong si dia betul-betulkan pakaiannya. Biar lagi kemas. Barulah boleh digelar pasangan bahagia.

20. Bisikkan kata romantik pada telinganya.
Bisikkan kata-kata romantik pada telinga si dia. Mesti senyum lebar si dia.


diambil dari http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/plugins/forum/forum_viewtopic.php?3536.post


Faraid & Perundangan

Latif bin Sujak tergamam apabila mendengar berita kemalangan yang melibatkan bapa dan datuknya dalam perjalanan ke KLIA. Selaku pengasas kepada kumpulan perniagaan yang tersenarai dalam papan utama di beberapa Negara,kehilangan Datuk Asri member kesan kepada keluarganya. Lebih mengejutkan dikalangan sanak saudara mereka tiada sebarang penamaan dibuat keatas siapa yang akan menjadi pewaris harta Datuk Asri. Melalui laporan perubatan terhadap dua mangsa yang sempat dikejarkan ke hospital, Encik Sujak meninggal dunia terlebih dahulu daripada Datuk Asri. Jarak kematian diantara bapa dan datuk kepada Latif walaupun selang beberapa minit menjadikan Latif sekeluarga tidak layak untuk mewarisi harta arwah Datuknya mengikut hukum faraid.

Halangan ke atas Sujak untuk menerima harta datuknya adalah disebabkan syarat pewarisan yang menghendaki waris hidup ketika pemilik harta mati. Ini bermakna, waris-waris yang mati dahulu daripada pemilik harta tidak mewarisi pusaka walaupun meninggal terlebih dahulu beberapa saat. Masalah yang sama juga boleh didapati dalam peristiwa kemalangan yang melibatkan ramai orang, contohnya nahas jalanraya, udara, bencana alam dan sebagainya apabila berlaku kematian beramai-ramai maka tidak diketahui siapa yang mati dahulu dan siapa yang mati kemudian, maka dihukumkan tiada pusaka mempusakai diantara mereka yang layak apabila terjadi yang sedemikian.

Selain daripada halangan kematian terlebih dahulu daripada pemilik harta, pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuhnya, dalam kebanyakan mazhab Ahli Sunnah, bunuh yang dimaksudkan samada secara sengaja atau tidak sengaja, jika ditakdirkan Encik Sujak yang memandu kereta membawa Datuk Asri, tidak meninggal dalam kemalangan tersebut, beliau masih terhalang untuk menerima harta Datuk Asri, kerana dari segi syaraknya beliau adalah penyebab kepada kematian bapanya. Melainkan Mazhab Hanafi dan Hanbali yang membahagikan penyebab kematian kepada sengaja dan tidak sengaja atau kematian yang menyebabkan hukuman qisas, diat atau kifarat menjadi sebab kepada penerimaan atau halangan menerima warisan atau faraid. Selain daripada itu berlainan agama juga faktor penghalang kepada penerimaan dan pemberian faraid kerana terdapat sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi: Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta orang-orang kafir.

Namun dalam konteks Malaysia, harta orang bukan Islam boleh diwarisi oleh orang Islam mengikut undang-undang yang dikanunkan dibawah Akta 1004. Distribution (Amendment) Act 1997. Berdasarkan peruntukan tersebut pembahagian dibuat kepada semua ahli waris tanpa mengira agama mereka. Penerimaan dan pemberian ini akan mendatangkan keuntungan kepada semua pihak samada dari segi ekonomi umat Islam mahupun hubungan toleransi agama dengan sanak saudara yang tidak beragama Islam. Manakala satu lagi halangan menerima wasiat adalah murtad atau keluar dari agama Islam. Harta orang yang murtad dikembalikan kepada Baitumal tetapi menurut mazhab Hanafi harta tersebut boleh dibahagikan faraid kepada ahli waris setelah dinilai sebelum beliau murtad, harta yang diperolehi selepas murtad diserahkan kepada Baitulmal.

Peruntukan dalam undang-undang syariah di Malaysia tidak menyatakan dengan jelas tentang kaedah pembahagian harta orang yang mati didalam enakmennya, ini adalah kerana bahagian setiap ahli waris telah dinyatakan dengan jelas dalam beberapa ayat daripada Surah An-Nisaa’. Antaranya:

“Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara maka bahagian ibu bapanya ialah seperenam. Pembahagian ini ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati dan sesudah diselesaikan hutangnya”.

Pembahagian faraid dari segi pecahan bahagian tiap seorang adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah mengikut bidangkuasa yang diperuntukkan dalam Seksyen 61(3)(b)(ix) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No.1 Tahun 2003:

61(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah- (b)Dalam bidangkuasa malnya mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding i tu berhubungan dengan: (ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian hata pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;

Daripada peruntukan umum tersebut dikhususkan pula takat bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah untuk tuntutan yang bernilai di bawah seratus ribu ringgit sepertimana diperuntukkan dalam seksyen 62(2)(b) yang berbunyi:

62(2)Mahkamah Rendah Syariah hendaklah; (b)Dalam bidang kuasa malnya,mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang.

Oleh yang demikian kepada permohonan untuk perakuan warisan yang nilaian melebihi takat RM100,000.00 maka tuntutan hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, manakala selainnnya boleh didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah yang berbidangkuasa.

Di dalam Enakmen yang sama terdapat satu peruntukan khas untuk pembahagian faraid yang mana di dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 terdahulu, dinamakan sebagai Sijil Faraid, manakala selepas pindaan dinamakan sebagai Perakuan Warisan, seksyen 65 dinyatakan:

“Jika dalam perjalanan mana-mana prosiding yang berhubungan dengan pentadbiran atau pembahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam, mana-mana mahkamah atau pihak berkuasa, selain Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mempunyai kewajipan untuk menentukan- (a) orang yang berhak mendapat bahagian dalam harta pusaka itu; atau (b) bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak, Mahkamah Syariah boleh, atas permohonan mana-mana orang yang menuntut bahawa dia menjadi benefisiari atau wakilnya dan setelah dibayar olehnya fi yang ditetapkan, memperakukan fakta-fakta yang didapati oleh Mahkamah Syariah itu dan pendapat Mahkamah Syariah itu tentang orang-orang yang berhak atau bahagian-bahagian itu”.

Terdahulu, prosiding permohonan sijil faraid dilakukan secara mengemukakan permohonan melalui borang tanpa perlu diperiksa oleh Hakim tentang kebenaran fakta waris-waris, namun setelah meneliti kaedah tersebut yang didapati membuka ruang untuk memalsukan fakta seperti melindungi waris yang berhak untuk menerima faraid, maka penambahbaikan sistem diperkenalkan, melalui pekeliling Ketua Pendaftar setiap permohonan perakuan warisan dibuat dengan sokongan ikrar melalui Afidavit (sumpah dihadapan Pendaftar atau Hakim Syarie). Setelah permohonan lengkap, siasatan dilakukan sepertimana prosiding kes Mal di dalam dewan perbicaraan oleh Hakim Syarie ke atas pemohon. Penyiasatan ini dilakukan dengan teliti supaya tidak ketinggalan semua ahli waris, atau tidak berlaku penyembunyian waris yang berhak melalui pakatan waris lain. Sekiranya perlu Hakim boleh memanggil saksi samada seorang atau lebih untuk menguatkan fakta dan aturan waris. Berbanding dengan sistem sijil faraid terdahulu, sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah perlu mendapat pengesahan dan semakan daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sekarang tidak lagi, malah keputusan Sijil Perakuan Faraid boleh dirayu ke Mahkamah yang lebih tinggi. Salah satu piagam pelanggan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menyatakan pelanggan boleh mendapatkan Sijil Perakuan Faraid dalam tempoh 14 hari selepas kes diputuskan.

Kembali merujuk kepada masalah Latif dipermulaan artikel dan sebagai jalan penyelesaian kepada isu mereka yang terhalang daripada menerima bahagian faraid disebabkan kematian penerima waris terlebih dahulu daripada pemilik harta, pihak Jawatankuasa Perundangan Syarak Negeri Selangor telah memasukkan peruntukan wasiat wajibah ke dalam Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, seksyen 27 berbunyi: (1) Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat dan, sekiranya cucu itu diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.

Peruntukan ini memberi maksud, Latif selaku cucu kepada Datuk Asri tetap layak utuk menerima bahagian didalam faraid, walaupun terhalang kerana kematian bapanya yang lebih dahlu mati sebelum datuknya.. Peruntukan ini dinamakan sebagai wasiat wajibah, hanya Negeri Selangor sahaja di dalam Malaysia yang memperakui peruntukan tersebut, kebanyakan Mahkamah Syariah selainnnya berpandukan kepada bidangkuasa umum berkaitan wasiat yang diperuntukkan dalam senarai 2 Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan dan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri. Oleh kerana ketiadaan peruntukan tersebut, kerapkali timbul masalah dan konflik dalam memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan wasiat.

Walaupun persoalan faraid tidak pernah membincangkan wasiat wajibah secara terperinci kerana khilaf yang berlaku diantara ulama’ fiqh tentang keharusannya, namun terdapat beberapa Negara Islam yang melaksanakannya diatas dasar menjaga maslahah dan keadilan kepada waris dan ahli keluarga terutamanya cucu yang dinafikan daripada mendapat pusaka kerana ii atau bala mereka matiu dahulu sebelum kematian datuk atau nenek mereka. Negara-Negara tersebut adalah Mesir, Maghribi, Syria, Tunisia, Pakistan dan Sudan, sepertimana khilaf terhadap keharusan wasiat wajibah tersebut, Negara-negara Islam yang mengiktirafnya turut berbeza kaedah pemakaiannya antara satu sama lain.

Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, seksyen 27, menyatakan kadar yang akan diterima oleh cucu adalah tidak melebihi bahagian yang sepatutnya diterima oleh ayahnya sepertimana yang diperuntukkan, begitu juga dengan beberapa peruntukan lain yang menjadi panduan kepada Hakim Syarie sebelum memutuskan bahagian faraid yang mengandungi wasiat wajibah untuk kemaslahatan semua pihak sepertimana kandungan seksyen tersebut yang berkenaan:

(2) Kadar wasiat wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan ayahnya itu mati selepas kematian datuknya: Dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka simati.
(3) Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima menurut wasiat wajibah:

Dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian yang sepatutnya dia berhak, haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat sukarela dengan tertakluk kepada persetujuan waris.


Abu Razeen Al-Azhari
Sent to MAIS

21hb Feb 2008

Published
Mac 2008

Friday, February 1, 2008

Ucaptama Keluarga Berintegriti Kehidupan Berkualiti

Ucaptama Program Keluarga Sakinah
Keluarga Berintegriti Kehidupan Berkualiti
Oleh
YAA Dato’ Hj Zohdi Bin Hj. Toha
Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
Pada 12 Disember 2007 di Centre For Islamic Thought and Understanding UITM Shah Alam

Terlebih dahulu, marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita semua dapat berhimpun dalam majlis ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam yang sudi mengundang saya untuk memberikan ucaptama pada Program Keluarga Sakinah disini.

Keluarga berintegriti kehidupan berkualiti, menjadi fokus ucapan saya pada pagi yang berbahagia ini, sebelum memperkatakan tentang integriti, seharusnya perkataan tersebut difahami dengan jelas dan dihayati oleh setiap individu. Integriti ditakrifkan sebagai kualiti terpuji dan mempunyai prinsip moral yang kuat. Integriti juga bolehlah dimaksudkan sebagai satu standard moral yang membayangkan kualiti bersih, amanah dan boleh dipercayai. Wujudnya keperluan terhadap integriti bermula daripada kesedaran bahawa setiap manusia perlu mempunyai kualiti mulia selaras dengan martabatnya sebagai pemimpin atau khalifah Tuhan di dunia ini. Tuhan menurunkan agama sebagai panduan untuk mengekalkan tahap integriti manusia sebagai khalifah atau pentadbir alam ini. Melalui agama, manusia diajar mengenali kualiti moral atau akhlak mulia yang perlu ada pada diri mereka. Antara nilai-nilai mulia yang menjadi pegangan ialah bersifat benar, amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab, berani, telus, tulus dan bijaksana. Banyak lagi nilai-nilai murni yang menyokong nilai-nilai asas berkenaan. Integriti adalah nilai yang bermula dari dalam diri manusia. Ia tumbuh dari kesedaran fitrah dan bermula di hati. Ia kemudiannya meresap ke minda dan emosi. Akhirnya integriti dipamerkan oleh tubuh fizikal melalui tingkah-laku. Firman Allah SWT yang berbunyi:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلاَئِفَ الأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu.” [Al-An’am: 165]

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian

Umumnya kita menyedari bahawa dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan pembangunan fizikal untuk diri dan keluarga, kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang boleh menghalang usaha kita. Malah masyarakat kita hari ini bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan pelbagai tuntutan hidup, tetapi yang lebih membimbangkan ialah penglibatan anak-anak muda dalam trend keruntuhan akhlak dan anti-sosial. Inilah yang perlu sama-sama kita fikirkan apakah punca masalah ini dan bagaimana caranya kita boleh menyumbang bagi mengatasinya.

Berdasarkan pengamatan dan pengalaman kami di Mahkamah Syariah, kejadian ini hampir kesemuanya berpunca dari dalam kehidupan rumahtangga serta masyarakat di sekeliling kita. Dalam kesibukan kita berhadapan dengan hidup yang serba mencabar dalam era serba canggih ini kita seolah-olah kekurangan masa untuk melihat aspek pembangunan sahsiah serta jati diri anak-anak. Kita beranggapan bahawa dengan menyediakan keperluan yang terbaik untuk anak-anak, kita sudah menjadi ibu bapa yang baik. Aspek pendidikan anak-anak, termasuk sahsiah mereka, diserahkan kepada orang lain terutamanya kepada pihak sekolah ataupun pembantu rumah warga asing.

Pada hakikatnya tugas mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh ibu bapa. Kesibukan dalam menjalani kehidupan seharian tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada orang lain. Dalam hal ini juga kestabilan rumah tangga merupakan faktor penting dalam pembentukan peribadi serta sahsiah anak-anak. Rumah tangga yang kucar-kacir dan berpecah belah memberikan kesan terhadap proses pembangunan diri anak-anak, sama ada secara fizikal mahu pun mental dan emosi. Seterusnya menghalang proses pembangunan modal insan kelas pertama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian

Integriti dalam institusi kekeluargaan meliputi kejujuran dan keikhlasan dalam melihara keharmonian dan kestabilan perhubungan. Sebagai ketua keluarga lelaki atau suami mesti sentiasa mempunyai integriti yang kukuh, tanpa kejujuran dan keikhlasan maka setiap perlakuan akan mengakibatkan keraguan dan kehilangan hala tuju, kepercayaan yang sepatutnya diraih selaku seorang ketua tidak sepatutnya dicacatkan dengan kepura-puraan dan kecurangan. Bagi seorang isteri, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi adalah integriti diri yang harus dipertahankan sampai bila-bila, amanah dan tanggungjawab memelihara kebajikan suami dan anak-anak tidak harus digadaikan semata-mata untuk menambah pendapatan keluarga atau membantu suami walaupun dengan keredhaannya. Integriti kepada seorang anak adalah tidak mengabaikan tanggungjawab untuk memelihara orang tuanya apabila mencapai usia senja, patuh dan menghormati keduanya selain daripada melakukan pekerjaan maksiat kepada Allah, selain daripada itu adalah amanah dan sifat-sifat terpuji.

Dalam memperkatakan peranan kaum bapa dalam pemupukan sahsiah atau mendidik anak-anak, perkara yang kita harapkan ialah kaum bapa turut memain peranan dalam membentuk, mendidik dan melatih sahsiah anak-anak. Kaum bapa hari ini perlu membuat anjakan daripada peranan tradisi mereka sebagai hanya penyedia kemudahan dan keperluan kepada peranan sebagai “role model” dengan lebih berkesan. Paling memerlukan penekanan adalah memelihara diri dan keluarga daripada api neraka sepertimana firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ


“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)”

[At-Tahrim: 6]

Hanya dengan dengan taqwa kita dapat memelihara diri dari menjadi bahan bakar api neraka, dan sebelum dikenali dengan integriti, takwa adalah kata dasar yang merangkumi tafsiran tanggungjawab, amanah, kepercayaan, keikhlasan kejujuran dan yang seumpamanya.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak supaya berganding bahu untuk memberi penumpuan kepada isu pembangunan keluarga berintegriti ini, supaya pada masa akan datang Malaysia bukan sahaja akan menjadi sebuah negara maju dari segi ekonomi dan fizikal, tetapi juga maju dari segi akhlak dan peradabannya. Bagi melengkapkan usaha pemupukan integriti ini, kita juga harus sedar bahawa usaha murni ini tidak dapat dilakukan tanpa kesepakatan dan kerjasama yang bermula dari insitusi kekeluargaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah,

Tanpa integriti dalam hubungan kekeluargaan, maka titik perpecahan akan melanda rumah tangga, bermula dengan penipuan atau berpura-pura dihadapan isteri disebabkan hati telah terpaut kepada orang lain, tanggungjawab terhadap anak-anak mula diabaikan, penderaan terhadap isteri dan anak-anak menjadi kebiasaan, tidak kurang pula yang mencuri tulang semasa waktu kerja untuk bersama-sama ‘kekasih gelap’nya, dari kelakuan-kelakuan ini maka akhirnya kisah mereka akan dibicarakan di Mahkamah Syariah, duit yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan dan nafkah isteri dan anak-anak akhirnya terpaksa digunakan untuk kos mahkamah dan guaman. Di pihak Mahkamah Syariah pula, berperanan untuk menyelesaikan masalah berkaitan rumahtangga yang kadangkala terpaksa memakan masa akibat kurangnya kerjasama dari pihak yang sengaja mendatangkan masalah. Kadang kala Mahkamah pula yang dipersalahkan walaupun terpaksa mengikut prosedur dan demi keadilan apabila sebelah pihak gagal menghadirkan diri beberapa kali dalam perbicaraan. Kita tidak dapat menafikan terdapat segolongan manusia yang tidak mempunyai integriti, mengambil kesempatan dari perjalanan perbicaraan mahkamah untuk menganiaya pihak yang didendaminya. Dalam memperkatakan tentang keadilan dalam diri dan kepada orang lain, sengaja melambat-lambatkan perjalanan kes tanpa suatu sebab yang kukuh adalah menzalimi pihak lain dan juga mahkamah itu sendiri, “justice delay justice deny”. Bagi pihak Mahkamah Syariah adalah menjadi suatu integriti, untuk menyampaikan keadilan kepada semua pihak mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan sepertimana yang diamanahkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” [An-Nisaa: 58]

Sepertimana Jabatan Kehakiman Syariah dengan misinya untuk melaksanakan keadilan syariah kepada warga Selangor khususnya dan umat Islam umumnya, begitu juga dengan diri tuan-tuan dan puan-puan, mesti berlaku adil kepada isteri, dari isteri kepada suami, dari anak kepada ibu bapa, dari ibupapa kepada anaknya dan tidak kurang pentingnya keadilan kepada diri sendiri, keadilan adalah salah satu cabang integriti yang paling ampuh dalam menghadapi mehnah atau tribulasi tidak mengira apapun jua pekerjaan atau kedudukan kita dalam masyarakat.

Saya percaya, dalam usaha kita untuk menghasilkan kehidupan yang berkualiti, integriti mestilah diperkasakan. Usaha ini perlu dimulakan daripada institusi kekeluargaan, manakala setiap individu yang dominan dalam keluarga tersebut mesti mempercayai terhadap nilai-nilai murni sepertimana yang telah diterangkan tadi. Diadunkan kepercayaan tersebut dalam segenap pancainderanya serta dari segi kerohanian, minda dan emosi diri. Dengan kepercayaan yang tinggi terhadap perlunya integriti diri, seseorang itu akan meresapkan perasaan positif kepadanya. Di sinilah emosi seseorang akan sentiasa positif apabila ia dikaitkan dengan integriti diri. Seseorang akan berasa gembira, senang hati dan tenang apabila mampu mengekalkan integriti dirinya. Dia akan berasa puas apabila dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Hasil dari tindakannya ini akan menerbitkan produktiviti yang berkualiti. Beliau juga tidak akan menipu atau bercakap bohong kerana integritinya mantap. Dia tidak akan menerima rasuah atau pecah amanah kerana yakin perbuatan itu bertentangan dengan nilai integriti dirinya dan keimanannya terhadap hari pembalasan. Juga kerana Allah SWT telah memberi amaran tentang balasan terhadap perbuatan khianat dengan siksaan semasa hari kiamat kelak dengan firmannya:

وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ


“Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).” [Ale-Imraan: 165]

Keluarga yang mantap pegangan agamanya pada kebiasaannya akan dapat mempertahankan nilai-nilai akhlak, moral atau etika yang tinggi. Keluarga yang memegang teguh ajaran agama akan dapat menanamkan nilai-nilai mulia dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Amalan mulia dan ciri-ciri integriti yang diamalkan dalam keluarga akan menanamkan kesedaran dan penghayatan integriti dalam jiwa anak-anak. Ia kemudiannya menjadi satu tabiat dan akhirnya menjadi budaya.

Saya berharap semua peserta program ini akan mendapat gambaran yang jelas dan kefahaman yang mendalam tentang konsep integriti serta hubung kait nilai-nilai integriti dengan peranan institusi keluarga serta masyarakat agar kita sama-sama dapat menjadikannya sebagai amalan serta panduan dalam semua tindakan kita dan akhirnya akan menerbitkan natijah yang berkualiti dalam segenap segi kehidupan.


drafted by

Pegawai Penyelidik
Ketua Hakim Syarie
10hb Disember 2007

aburazeen Disember 2007