Saturday, December 24, 2022

Ensiklopedia Perang Rasulullah Book Review

 Buku ENSIKLOPEDIA PERANG RASULULLAH 

Penulis: AHMAD ADNAN FADZIL / MUHAMAD AIZUDDIN KAMARUL ZAMAN
Penerbit: Telaga Biru Cetakan Pertama 2017 
Muka surat: 281

1. Ilmu “Maghazi” yang dipermudahkan dalam bentuk infografik bewarna dan sistematik. Fakta sirah peperangan dimampatkan dalam 281 mukasurat yang mencabar pengetahuan anda tentang 11 tahun perjuangan Rasul mempertahankan keamanan. Tepat seperti konsepnya Interaktif, Autentik dan Kontemporari.  
2. Sememangnya agak sukar untuk mengumpulkan fakta peperangan Rasul yang bertebaran dalam kitab sunan dan sirah. Jika dikumpulkan pun pasti sukar untuk menentukan fakta terpilih dari sekian riwayat yang banyak. Anda harus berterima kasih kepada Telaga Biru yang telah mengusahakan buku epik perang Rasul hingga setanding dengan ensiklopedia terbitan negara barat.
3. Susunan buku diatur dengan komprehensif bagi menyediakan pembaca tentang kenapa berlaku peperangan semasa hayat Rasul. Bermula dengan sebelum kenabian sehinggalah cabaran dakwah menuntut Rasul berhijrah ke Yathrib. Cabaran getir ini menunjukkan Islam terlebih dahulu diasak secara ofensif, diganasi dan diancam hingga maut galang gantinya.

4. Fasa Madinah didahului dengan profail 13 siri peperangan antara Aus dan Khazraj yang kita tidak pernah ambil tahu sebelum ini. Rupanya ayat perpaduan bukan hanya kepada Muhajirin dan Ansar, bahkan dikalangan partikel Ansar itu sendiri yang asyik bergasak sesama sendiri hinggalah Rasul datang menyatukan. 

5. Buku ini mengenalkan kita tentang istilah perang yang dibahagikan kepada 3, ada Ghazwah, Sariyah dan Ba’ats, kita mungkin hanya mengenal Ghazwah tapi kurang mengambil pusing Sariyah dan Ba’ats, rupanya kedua-dua teknik peperangan ini adalah komponen penting sebelum dan selepas peperangan primer yang kita tahu.
Dabbabah
6. Susun atur buku direka untuk difahami dan disimpan jitu dalam kepala. Ensiklopedia kronologi peristiwa memperlihatkan hubung kait satu perang kepada perang yang lain. Contoh peperangan Uhud tahun ke tiga Hijrah mukasurat 76 hingga 85. Gaya penyusun dihidangkan seperti berikut:

Garis Masa dan Ringkasan Bab: lakaran peta minda bagi membantu pembaca membina kerangka imaginasi dengan konten apa yang berlangsung sepanjang tahun ketiga Hijrah.

Profail Perang: memaparkan statistik, tokoh penting, lokasi secara pengkisahan literasi penuh sebelum, semasa dan selepas perang. Ada antara konten yang dibantu dengan barcode (ms 76) untuk paparan interaktif. (Youtube Ustaz Zahazan di lokasi sebenar perang Uhud di kaki bukit)

Lanskap Perang: mukasurat 85. lebih kurang macam diorama. Jika anda selesai membaca profail perang, lanskap ini akan mengukuhkan ingatan kita terhadap kronologi bernombor yang ditagkan pada ikon lanskap. Siap dengan anak panah menunjukkan pergerakan sesuatu peristiwa. Yang ini paling saya suka.
Manjanik
Ayat Peristiwa: Elemen penting dalam buku ni, melengkapi motto autentik. Sudah pasti sumber sirah mesti bersandarkan kepada otoriti primer. Saya kira kalau pembaca semak dengan tafsir Quran yang dipetik, pastinya perang tersebut akan terpahat dalam ingatan.

7. Memetik kata penutup yang bagi saya boleh membuatkan pembaca ulang baca sekali lagi buku ini:
“Sayang sekali kita dianugerahkan siri peperangan Rasulullah hanya membacanya sebagai kronologi peristiwa semata-mata, sedangkan taktikal, strategi dan percaturan peperangan Nabi ini jika dikaji dan dicermati, sudah semestinya boleh dijadikan rujukan untuk dimanfaatkan di semua medan kehidupan sekalipun bukan di medan peperangan yang sebenar” [273]

8. Paling berharga dalam buku ini adalah Analisis 11 fakta daripada peperangan Rasul (ms. 250+), yang mungkin kita tidak perasan semasa melalui pembacaan sepintas lalu. Tetapi ini yang istimewa apabila fakta dicerna dan dijadikan rukun bernombor. Ibarat buah yang dikupas, dibuang biji dibasuh dan diblender. Jusnya itu adalah nikmat sebenar yang kita mahu dari sebuah “buah”. Membaca analisis ini ibarat kesimpulan yang patut kita boleh ceritakan kepada orang lain, apa yang kita dapat dari ensiklopedia hebat ini. Tahniah Telaga Biru!.

Abu Razeen.
Allahumma Faqqihna Fiddin

Wednesday, November 23, 2022

book review: KOMIK SEJARAH

 Buku: KOMIK SEJARAH

Pengarang: Azrin Ahmad
Mukasurat 192 exc. Cover
Mutu: Cover art card 260gsm+spotUV
Pages paper matte128gsm.
** Buku rujukan: Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 DBP
Penerbit: 2022 Komik Sejarah Malaysia

1. Kenapa kita masih ingat kartun Inspector Gadget, He-Man, She-Ra, Thundercats yang mewarnai hidup zaman kanak-kanak, ini kerana lukisan-kartun akan cepat melekat sebagai simple memory dalam fikiran manusia, terutama imej berulang semasa kecil dan remaja.
2. Begitulah lukisan, karikatur mencorak minda sebelum kenal ejaan dan bacaan. Ternyata lukisan lebih cepat dicetak dalam kanvas ingatan berbanding huruf dan aksara. Idea ini bukan hanya laku untuk kanak kanak bahkan untuk orang dewasa juga.
3. Komik Sejarah dengan strategi marketing facebook berjaya memikat pencinta sejarah, pelajar dan peminat komik. Walaupun sasaran pasar jelas dicetak seawal kulit buku sebagai ‘KSSM Tingkatan 4’, namun saya lebih tertarik dengan idea menggambarkan sejarah dalam bentuk komik. Inilah niat murni Azrin Ahmad (Penulis) yang anda akan jumpa jika anda berjaya kuliti perincian lukisan dari kulit depan sampailah ke belakang.

5. Kali terakhir pegang buku sejarah masa SPM tahun 1992, bila tengok Komik Sejarah ternyata banyak perubahan isi kandungan dalam tempoh 30 tahun berlalu. Masa dahulu sejarah bersumber dari orientalis macam WG Shellabear atau Winstedt Raffles, tapi kini banyak yang telah dimurnikan, lebih advance sukatan sampai WW1 dan WW2.


6. Selain karakter terkenal dalam sejarah, terdapat figura kontemporari yang mudah dikenali walau oleh kanak-kanak. Ini menjadikan Komik Sejarah bukan sahaja mendidik pelajar untuk periksa tapi boleh jadi hiburan kepada kanak-kanak dan bacaan santai orang dewasa.
7. Penting bagi saya sebagai peminat sejarah peperangan dan ketamadunan, apabila Penulis menggarapkan fakta dengan rajah yang sangat membantu. Jika anda perasan corak serangan Blietzkrig German dalam WWII ditiru oleh Jepun apabila menakluk Malaya dari Utara sampai Singapura hanya dalam tempoh dua bulan sahaja. Lihat mukasurat 64.
8. Penulis bukan sahaja menggambarkan sejarah semudah grafik komik, malah meletakkan beberapa anekdot sinis dan humor untuk lebih dekat dengan mood pembaca pada fakta yang hendak disampaikan. Contohnya dialog penyerahan negeri negeri utara tanah Melayu oleh Jepun kepada Siam di mukasurat 65.
9. Sebenarnya lukisan telah lama mendominasi komunikasi manusia awal sebelum tulisan. Malah lebih menusuk berbanding karangan, contoh paling jelas kempen propaganda peperangan. Musuh mungkin tidak mengerti tulisan asing, tapi berbeza dengan apabila melihat lukisan berupa provokatif atau simpatetik.
10. Kesungguhan Penulis mengabadikan sejarah dalam bentuk komik cetakan bermutu tinggi sebenarnya melakar sejarah juga. Sama macam Datuk Lat dalam siri Kampung Boy, karya beliau yang mendunia siapa yang tak kenal?. Saya mengharapkan buku seumpama ‘Komik Sejarah’ boleh menyusur jalan yang sama memberi manfaat kepada seramai umat.
Abu Razeen
لا يلدع من جهر واحد مرتين

Wednesday, November 16, 2022

Round Table Discussion Isu Penguatkuasaan Zakat di Malaysia

 Round Table Discussion Isu Penguatkuasaan Zakat di Malaysia 
di Grand Alora Hotel Alor Setar 
pada 11 hingga 13 Oktober 2022