Thursday, March 10, 2022

TERSESAT: KEBATILAN GERAKAN NEW AGE

Buku TER-SESAT: KEBATILAN GERAKAN NEW AGE
Pengarang: AHMAD IQRAM MOHAMAD NOOR
Penerbit: NHA Publication
Cetakan: Pertama 2021
Mukasurat: 312

1. Tersangka “Dan Brown” versi Malaysia, rupanya buku “Ter-Sesat: Kebatilan Gerakan New Age” (Ter-sesat) nyata membongkar lebih dari simbol dan rahsia. Jika teori konspirasi yang anda cari, sebenarnya buku ini lebih munafaat dari falsafah teoris. Ter-sesat mengenalkan kita kepada fahaman purba menyesatkan namun diberi nafas baru dalam amalan seharian tanpa kita sedar.
2. Reputasi Ahmad Iqram Mohamad Noor (Penulis) dalam menerbitkan vlog ilmiah mendahului penulisan beliau di dalam facebook dan bukunya. Kebanyakan pendedahan berani sebegini banyak dipelopori pengisi konten dari seberang sehingga menjadi viral silang sempadan.
3. Dikatakan pendedahan berani kerana buku ini banyak mengulas kaedah motivasi kontemporari tanahair yang tidak diketahui usulnya sebelum ini. Malahan digunakan pula secara praktikal oleh “business guru” secara berleluasa serta dijadikan ratib pula oleh anak didik mereka.
4. Besar kemungkinan yang mengamalkan kaedah tersebut tidak tahu dari mana usulnya idea ini. Jestru kesedaran dari semua peringkat, waimma dari tahap “pakar” hinggalah “ikut ikutan” sangat diperlukan supaya masyarakat tidak terus hanyut dalam fahaman yang mengancam aqidah.
5. Untuk menguasai mesej yang dibawa Penulis, anda disaran untuk menguasai takrifan Monisme, Panteisme, Panenteisme, Gnostisime seawal dua bab pertama. Kemudian pemahaman anda terhadap lain lain istilah akan menjadi lebih terarah seperti Neo Platonisme, Hermetisisme, Sinkretis, Transcendentalisme tidak ketinggalan fahaman Wehdatul Wujud dan Nur Muhammad, cuma beberapa kesimpulan dalam buku ini mungkin masih diperingkat tawaquf bagi saya.
6. Kajian literasi silang oleh Penulis menemukan beberapa fakta penting yang telahpun ditinggalkan oleh ulama terdahulu hingga kini seperti Fatwa Rasmi Negeri Johor 1948 oleh Syed Alawi Tahir Al Hadad, pendapat Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam Lajnah Fatwa Syabakah Islamiyah, keputusan Panel Kajian Aqidah JAKIM, keputusan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan ESQ 165 pada tahun 2010 dan Seminar Metamorphosis tahun 2019. Semuanya adalah saling berkait.
7. Mengetahui pendedahan yang tidak popular dikalangan pengamal pseudosains dan spiritualis moden, Penulis tidak lupa untuk menjawab semua persoalan viva dalam bab 6 “Kritikan Pengislamisasian New Age”. Bab ini adalah pelengkap kepada pemikiran ter”sesat” untuk mencari jalan pulang.
8. Sungguh saya mengkategorikan Ter-sesat dalam buku yang agak berat dari segi konten dan pemahaman, namun susun atur percetakan amat membantu pembacaan, terutama dari segi font dan spacing, sesuai pada tahap umur pembaca dewasa dengan pemikiran kritis. Grafik yang sederhana bagi saya tidak mencacatkan nilai keilmuan sesuai dengan harga mampu milik. Namun jika dicetak semula, grafik berwarna akan menarik sasaran pembaca santai dan generasi baru yang lebih visualistik.
9. Diharapkan lebih banyak buku menerangkan perkara yang samar-samar (grey area) kemudian dilabel amalan Islamik tanpa nas yang kukuh. Ter-sesat adalah contoh yang baik dan Penulis telah menerbitkan sebuah lagi buku bertajuk “60 Agama Baru di Malaysia”.
10 Penting untuk memahami isu ini adalah pemimpin masyarakat, asatizah, pakar motivasi, ibu bapa dan masyarakat awam. Laburkanlah sedikit belanja, fikiran dan masa yang berkualiti untuk ilmu kerana kata Imam Shafie:
“Barangsiapa yang tidak mampu menahan lelahnya belajar maka ia harus bersedia menahan peritnya kebodohan” ..dan dibodohkan(tambahan).
Abu Razeen.
Pengamal Mediasi

PANDUAN IKHTIAR HIDUP (siri 1 Jilid1)

Buku: PANDUAN IKHTIAR HIDUP (siri 1 Jilid1)
Penulis: PENDEKAR RIMBA
Penerbit: Karya Belantara Ent.
Pencetak: Firdaus Press Sdn Bhd.
Mukasurat: 170.

1. Jika ada peminat Ed Stafford, Bear Gryill atau siri realiti Alone dalam History Channel pasti anda teringin untuk menjadi wira survival seperti mereka. Bagaimana tubuh tulang empat kerat berjaya hidup dalam suasana ekstrim dan merbahaya, mungkinkah kita dapat mengharunginya? Buku “Panduan Ikhtiar Hidup” (PIH) ada jawapan untuk anda.

2. Tidak banyak buku taktikal seumpamanya dalam pasaran. Buku yang ringkas, padat namun berinformatif sangat didambakan peminat aktiviti belantara. Selain untuk mereka yang baru berjinak (nube) dengan hobi menyihatkan ini, buku PIH juga wajar dimiliki oleh aktivis, gogo atau guider sebagai senarai semak sebelum memulakan misi atau mungkin bagi yang bercita cita untuk menjadi jurulatih ikhtiar hidup.

3. Pengalaman lebih dua puluh tahun dalam Kor Grup Gerak Khas ATM (Komando), juga sebagai jurulatih survival telah dicurahkan Penulis ke dalam buku ini. Ramai veteran yang berpengalaman, namun tidak ramai yang mencurahkan ilmu ke khalayak umum. Lebih-lebih yang sudi menulis bagi manfaat penggemar aktiviti lasak begini.
4. Penulis adalah Tuan Mohd Sofian atau lebih dikenali sebagai “Pendekar Rimba”. Bagaimana menggambarkan Penulis? Biarlah imej beliau bersama Gagung, Lelanjang bertakhta kenyalang serta duku ilang berhulu talwar dimuka depan bukunya berbicara.
5. Bagi yang pernah terlibat dengan kem survival kendalian Penulis, pasti kebanyakan teori dan tips dalam buku ini telahpun dipelajari. Namun semasa kursus manakan sempat mahu menulis atau diingat semuanya. Jadi buku ini telah lama menjadi permintaan murid beliau, kini segala ilmu di lapangan boleh diulangkaji dan dimiliki pula dalam pasaran.
6. Penulis yang tidak lokek dengan ilmu, ternyata bermurah hati membawakan berbagai akronim bagi menyenangkan ingatan pembaca dengan teori disiplin hutan. Suku pertama isi buku, anda akan berjumpa H3, KSU, TTD, 5B, ATAP hingga akhirnya ke ejaan nama Penulis semuanya mempunyai maksud tersendiri. Usaha ini untuk memastikan tiada tips yang tertinggal apabila tiba waktu praktikaliti. Ingatkan habis sekolah sudah tidak perlu guna teknik begini.
7. Terlalu banyak yang ingin diperturunkan kepada pembaca menjadikan buku ini sangat sarat dengan pengetahuan. Gigihnya Penulis melakar peta minda, menyimpul nota malah menyusun peralatan survival hingga membentuk abjad serta angka hanya untuk pembaca senang ingat adalah satu bonus yang sangat dihargai.
8. Seawal Jilid 1, pembaca diajar untuk mengenal jenis hutan, membaca peta, hinggalah mencerap bintang, Paling berharga bagi saya adalah Bab 2.6 Tindakan Bila Tersesat atau Tersasar. Masa inilah kegunaan segala jenis akronim diawal buku tampak kegunaannya. Perasaan kaget, panik dan tenggelam punca, lazim menyerang bila seseorang sedar dia telah sesat dalam hutan. Bagi yang ada pengalaman sesat atau hampir sesat mungkin lebih menjiwai bab ini dari pembaca lain.
9. Meskipun buku ini nampak sangat teknikal dan berkanvas “celoreng”, namun aspek kejiwaan tetap tidak ditinggalkan, contohnya dalam hukum asas TTD (Tekad Teras Diri). Kekuatan jiwa dan kepercayaan kepada diri sendiri yang digabungkan dengan Pasak Kerohanian (Spiritual Anchor) bagi Penulis adalah formula berkesan untuk mengatasi cabaran bukan sahaja dalam hutan tapi dimana sahaja kita diuji.
10. Tidak rugi untuk memiliki PIH Siri 1 Jilid 1 serta jilid yang akan menyusul selepas ini. Nyawa dan nasib seseorang mungkin akan bergantung kepada anda suatu hari nanti. Tanpa ilmu kita mungkin membahayakan diri sendiri serta orang lain. Jadilah trekker, pendaki, perintis, guider, gogo mahupun sweeper yang berilmu pengetahuan, kerana hidup terlalu berharga untuk disia-siakan.


11. Dengan idea buku yang kompak, ringkas tetapi padat dengan teori dan falsafah kehutanan, buku PIH mempunyai kelas yang tersendiri jika mahu dibandingkan dengan buku seumpamanya. Pastinya terbitan jilid 2 ditunggu-tunggu, semoga lebih banyak pengetahuan dapat disebarkan.
Abu Razeen
Alumni Basic Survival Hammock By The River oleh Pendekar Rimba

PEGUAM KRIMINAL

Buku: PEGUAM KRIMINAL
Penulis: ARIFF AZAMI HUSSEIN
Penerbit: Ilham Book Publication 2021
Page: 166 

1. Genre yang jarang ditulis dengan bahasa awam. Selalunya topik jenayah diolah penuh "distinguish", maxim dan jargon perundangan mengakibat pembaca kasual cepat melepaskan buku dari tangan.
2. Sebab apa "orang kebanyakan" jarang baca buku perundangan?. Sebab ia umpama buku biologi bagi pelajar sastera, dan Hikayat Malim Deman bagi physiatrist. Jangan hairan kalau orang ada kes di Mahkamah lebih suka dengar cakap penasihat 2% dari nasihat advocate and solicitor.
3. Buku kali ini bertentangan dengan idea rencam diatas. Ia sama sekali berbeza. Penulis berjaya mengolah dunia undang undang menjadi satu buku cerita. Sangat dianjurkan untuk membaca terutama anak anak yang baru nak berjinak dalam dunia perundangan.
4. Kalau dalam drama tv, peguam itu imejnya kehulu kehilir dengan baju hitam putih membimbit briefcase atau beg kargo hitam. Kacak terpesona, kalau bujang dihimpit buat menantu juga. Sebab tu lawyer termasuk dalam list Nyonya Mansoor untuk jadi laki Sabariah.
5. Jadi buku ini menulis sehabis jujur tentang kerjaya peguam, khusus untuk peguam kes jenayah. Banyak tulisan yang membentuk pengajaran dibawa secara lelucon bagi saya:
"... peguam kena berusaha untuk meyakinkan hakim hakim. Sedaya upaya. Walaupun kadang kadang tidak ada langsung point yang memihak kepada anak guamnya. "Hujahan kamu tinggi sangat peguam. Dah sampai level tasawuf ni... "
6. 40 bab bacaan santai dihadam penuh minat, ternyata dunia perundangan bukanlah mengelek robe kesana kemari semata mata. Kritikalnya dunia ini bak penentuan hidup dan mati seorang OKT.
7. Banyak pengetahuan baharu boleh diperolehi dalam buku ini. Meskipun dibawa secara santai dan bersahaja namun mesej yang dibawa sampai dalam benak pembaca. Mesej kemanusiaan, kerohanian, kekeluargaan, perilaku kesan dan akibat serta banyak lagi sudut kehidupan yang menanti anda untuk dibaca.
8. Untuk penulisan sekreatif ini, tidak sukar untuk berikan markah penuh 10/10 bintang. Penulisan Ariff Azami dalam facebook dan blog banyak membantu saya untuk memahami buku beliau. Markah ekstra untuk grafik book cover lady of justice, sebab mengingatkan saya kepada album "......and justice for all".
Abu Razeen
Nyawit ja