Saturday, July 11, 2020

ORANG ORANG BIASA : ANDREA HIRATA


Judul : ORANG ORANG BIASA
Penulis : ANDREA HIRATA
Terbitan: Jejak Tarbiah
Tahun : 2020
Mukasurat : 298
Kategori : Indonesian Fixi - Translation Malaysia

1. Ringkasan - Hebat, syabas dan berbeza. Kalau ditakdirkan revisi Orang-Orang Biasa (OOB) dalam satu perenggan saja, cukuplah saya bariskan gabungan Italian Job (2003), Ocean's 11-14 (2001-2016) dicernakan dalam mangkuk Laskar Pelangi (2008). Yang minat domestik mungkin karya Setem (2009) adalah seakan tanding.

2. Siapa Andrea Hirata - karya terdahulunya Laskar Pelangi memenangi anugerah sastera di USA, German, UK dan timur tengah, berdiri sebaris dengan penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan seperti Orhan Pamuk, Nadine Gordimer dll. Gaya pemikirannya diterjemahkan dalam bentuk cerita yang tidak membosankan. Jadi tidak hairan karya beliau pernah diadaptasi dalam bentuk filem, muzikal, audio book dan kareografi oleh Washington Citydance Company, USA.

3. Pengalaman membaca - Pada mulanya sukar untuk menyerap watak yang ramai dalam OOB, tetapi Hirata mencuba sehabis baik membina watak sahaja sehingga separuh buku dan nama watak yang mudah pembaca kait untuk hadam. Penting juga untuk maping setiap watak kerana berlaku "intertwine". Paling kurang ia mendesak kita untuk terus menyelak helaian seterusnya.

4. Tidak sukar untuk menghabiskan OOB kalau kita pernah baca atau tonton Laskar Pelangi. Saya sendiri terbawa watak watak dalam Laskar sewaktu menyelami watak 10 perompak OOB, namun ini lebih terkehadapan. Sebab ada antiklimaks yang agak panjang untuk kita berfikir dan tertawa sendirian.

5. Oleh kerana lingkaran hidup dan suasana persekitaran nusantara tak jauh beza, OOB tidaklah sukar untuk ditelah bagi pembaca tanahair, tambahan lagi jika kita suka ikut mak mak nonton sinetron "Tukang Jual Bubur Naik Haji". Namun tidaklah sesukar dan berbelit macam "Puteri Yang Ditukar" saban episode (udah tuko balik ke belum?).

6. Fiksyen berpusar di Kota Belantik, bagaimana kehidupan masyarakat marhaenis yang hidup penasaran. Walau terperuk dengan kesusahan, itu tidak menghalang anak pinggiran untuk bermimpi menjadi orang senang. Berbeza sinetron Manoj Punjabi yang menarik rating dengan scene sedih ratapan hiba menarik penonton (teknik close-up slo-mo direpeat) Hirata pula memaparkan kemiskinan, kekurangan dan kebodohan secara humoris. Jestru, ia tidaklah terlalu hina untuk menjadi miskin atau kurang cerdik asalkan ada usaha.

7. Dalam usaha meneruskan pelajaran anaknya, Dinah yang hanya menjual mainan kanak kanak tanpa lesen, perlu berfikir bersama 9 rakan secorot kelasnya untuk menampung pembiayaan pelajaran Aini. Perjuangan untuk mengeluarkan anak dari lembah kemiskinan menjadi tema buku ini. Apakah rancangan 10 sekawan ini? Berjayakah Aini akhirnya? Kenalah baca sampai habis.

8. Jika disuruh pilih, saya paling suka watak Inspektor Abdul Rojali atau dipanggil komandan oleh Sarjan P.Arbi. Inspektor sangat mengidolakan polis hindustan dan yang paling penting mengubah stigma penguatkuasa korupsi, dan juga tak lupa dialog humor beliau, pasti anda akan tertarik dengan komandan seawal bab pertama:

".. dia semakin jengkel kerana orang itu namanya Tobat tapi tabiat dan wajahnya kriminal. Pada matanya, orang itu sudah menyalahgunakan nama yang diberikan oleh orang tuanya. Sampai berteriak Inspektor mencurahkan kegeramannya.
Kalau begitu mengapa kau tadi lari Tobat?"

"Tobat menatap wajah Inspektor, meminta belas lagi.

"Kalau mendengar perkataaan 'polis', saya mahu selalu lari, tuan .. kebiasaan".

9. Formula realiti kemiskinan, pendidikan, pembulian, dendam, undang-undang dan pembelaan menjadi resepi yang ampuh buat Hirata menjual karya. Tidak hairanlah Dr Maszle (mantan menteri pendidikan) sudi meninggalkan komentar buat OOB, jadi novel ini bukanlah biasa-biasa sahaja, jadi kontradik pula dengan tajuknya "Orang-orang Biasa".

10. Jestru naskhah ini perlu dihabisi sebelum menjadi major motion picture di pasaran. Dalam bab buku dan bioskop saya menghormati karya seberang, tapi bukan yang jenis masuk channel "boo" astro atau sinetron ya. Saya impikan karya serupa dari penulis tanahair, berpijak dibumi nyata, karya yang mendidik, bukan mengkritik, tiada sindiran parti politik, mungkin Afdlin Shauki dan Khabir Bhatia boleh terjemahkan dalam bentuk mudah, sebab kita tak ramai pembaca tapi kita sebenarnya ramai penonton saja.

Abu Razeen
My 2 kupang

Wednesday, July 8, 2020

RAYA HAJI SARAPAN PAGI MAKAN HATI


RAYA HAJI SARAPAN PAGI MAKAN HATI
(3 ISU POST EMBARGO AIDILADHA)

1. Kita mungkin biasa mendengar Nabi makan sebelum keluar untuk solat raya Aidilfitri, tapi pernah kita dengar Nabi melewatkan sarapan pada hari raya Aidiladha?. Ini berdasarkan hadis Buraidah, “Nabi tidak keluar solat hariraya fitrah sehingga makan terlebih dahulu, manakala pada hariraya qurban, tidak makan sehingga kembali, maka baginda makan dari sembelihan qurban” [Ahmad]   


2. Ini kerja menghidup sunnah yang ditinggalkan. Sejujurnya saya baru tahu. Di ta’kidkan amalan ini dengan nas dalam kitab Majmuk Jilid 5 Bab Solat Aidain. Cuma waqi kita di Malaysia perlu diubah. Solat hari raya pada waktu afdhal iaitu selepas waktu tahrim atau 20 minit selepas waktu syuruq. Kalau tengok kalender syuruq untuk 10 Zulhijjah 1441H adalah jam 7:02 pagi. Makanya 7.22 @ 7.30 dah boleh solat Eid.
 

3. Sekiranya Solat Eid dan khutbah ambil masa 30 minit, maka sembelihan dah boleh mula 8.15. Purata masa yang diambil untuk mengerjakan daging qurban adalah 1 jam, termasuk tumbang-sembelih-hayat mustaqirrah-kerat-lapah-agih. 9.30 dah boleh mula masak. Biasa Masjid masak sup, kalau hati dimasak sup mungkin lain rasanya, boleh ubah selain sup, buat masak kicap pun sodap. Kita ambil pendapat Sunnah Nabi yang berkorban akan memakan hati haiwan kurbannya itu.


4. Isu pertama yang timbul adalah suasana Malaysia yang solat hariraya start 8.30. Mungkin kita boleh ubah dengan kuasa siaraya pejabat agama atau asatizah ranger yang ada. Adatnya pak imam buat tahlil dan do’a selamat sementara nak tunggu peserta kurban semuanya hadir, itu harus jika orang kampung yang nak rewang balik rumah dulu tuko baju, sarapan mamak dulu baru datang balik ke masjid. Perkara ini perlu diubah.

5. Isu kedua, nak menukar tabiat makan setahun sekali memang sukar, selalu kita sarap seawal 7.00 pagi, kali ni nak ubah jadi 9.30 ke 10.00 pagi tak ramai yang boleh tahan. Jadi kita sekadar ingatkan tentang sunnah ini, pengecualian kepada orang yang Hipo, gastrik kalau tak makan tumbang pula, maka ia wajib sarapan awal, nanti bukan lembu aja tumbang kena lapah, nanti orang pun tumbang kena papah.  

6. Isu ketiga, makan hati. Umum mengetahui tidak bagus untuk makan organ dalaman haiwan, fakta ini disokong kajian saintifik dan tak kurang juga mengaitkan dengan larangan nabi, sayangnya tidak terjumpa lagi nas secara langsung nabi larang makan organ dalaman haiwan sembelihan, yang ada cuma ulasan atau syarah ilmuan sahaja. (betulkan saya) Dalil Quran menyebut yang haram adalah darah, bangkai dan babi.

7. Secara umum hadis Buraidah riwayat Bukhari tidak menamakan secara khusus, bahagian haiwan sembelihan kurban yang mana yang dimakan Nabi, bila tiada pengkhususan maka mana mana bahagian haiwan kurban yang lazim dimakan, jika dimakan maka ia telahpun menepati sunnah Nabi.

8. Pendapat sunat makan hati, didokong oleh sebahagian ulama’ seperti Imam Shafie dan lainnya. Pendapat ini berdasarkan hadis Buraidah juga, bahagian matan awal hadis sama seperti riwayat Imam Ahmad, tetapi terdapat perbezaan pada akhir hadis “... apabila pulang, baginda makan hati haiwan kurban tersebut” Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi ini direkodkan dalam Sunan Kubra walau bagaimanapun lafaz ini di dhoeifkan oleh Imam Zahabi atas jalur periwayatan.

9.  Pengkhususan memakan hati haiwan kurban terlaksana berdasarkan hadis diatas, disokong dengan sifat hati itu sendiri yang secara adat merupakan anggota yang lembut, mudah diceraikan, cepat masak dan mudah dihadam. Siapa pernah masak dan makan hati dia akan tahu, tak kiralah masak kicap ka black pepper ka, cuma jangan makan terlalu kerap atau banyak, kerana dikatakan nabi hanya makan sedikit sahaja. Wallahuaklam.

Abu Razeen
Dua Kupang Lima Det

Saturday, June 20, 2020

TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK


Buku: TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
Karya: Haji Abdul Malik Karim Amrullah (1908-1981)
Tahun : 1938
Penerbit: PTS Media Group (2020 cetakan ke sebelas)
Tebal: 290 mukasurat
Pra: Sejujurnya saya lebih kenal Buya Hamka sebagai penulis Tafsir Al-Azhar, selama 7 tahun Khamis setiap minggu menguliti kitab Tafsir tersohor bahasa Melayu di JBGJB*. Dari situ susuk peribadi Hamka yang lembut dan halus dapat dikenali melalui pembumian kata-kata, sehingga kritikan sosial Buya lunak diresapi pembaca sedang hakikatnya ia menyanggah adat leluhur. Meskipun tak khatam lantaran tafsirnya panjang ya amat, tapi sangat sesuai dimiliki untuk tadabbur ayat. Tapi saya tak ulas Tafsir beliau, lantaran terlalu agung untuk diresensi, cuma nak review ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ (TKV) sahaja.
1. Hanya 3 hari diperlukan, untuk khatam karya agung Hamka yang satu ini. Yang lain lain belum baca kecuali Tafsir Al-Azhar. Ini dah kira laju bagi orang yang dah naik kerja masa PKPP ni, tiada lagi landing time, honey moon PKP. Laju sebab laras bahasa yang mudah, melankolik, roman tapi tidak picisan dan sudah tentu naskhah yang tidak pantas disambung sambung.
2. Diterbitkan tahun 1938 zaman bapa saya masih belum lahir, mungkin datuk saya inspired dari buku ni bagi bapa saya nama Zainudin, Datuk pernah jadi guru di Pendang dengan sebab itu arwah banyak membaca. Apapun semoga sifat itu inherit sampai ke cucu cicit hendaknya.
3. Bagus serba serbi, tak sukar untuk memuji, biarkan ulang cetak berbicara. Umur buku sudah 82 tahun tanpa mengambil kira ulang cetak tanah seberang, di Malaysia sendiri selama PTS diberi hak menerbit dari tahun 2012, telah sebelas (11) kali diulang cetak pada 2020. Dalam shopee sold out semasa** saya review naskhah tersebut. Punyala best.
4. Kemahsyuran novel ini menjadikan lokasi penceritaan umpama mimpi buat pembaca. Berapa banyak pembaca dirasuk hingga terpaksa mendarat di Surau Lubuk Bauk, sawah bendang Minangkabau, lepau orang kampung Batipuh yang menjadi tulang belakang cerita percintaan ini. Ini belum dikira air mata pembaca jantan betina yang gugur, hati yang terluka saat mendalami jiwa Zainudin yang melarat zahir batin.
5. Buku ini sebenarnya pemecah taboo yang mengatakan setiap ustaz kiyahi, hanya perlu mengajar kitab di pondok, wajib pula menulis kitab ugama, kata-kata mesti untaian peri kitab, mengarang novel adalah against the odd. Buya menerima tentangan yang bukan sedikit apabila mengutarakan nashkah ini ke meja penerbitan, namun akhirnya berjaya, jestru beliau adalah revolusionary atau boleh juga kita panggil mujaddid dakwah media.
6. Buku kalau dah bagus ada aja kontoversinya, Buku keramat ini divonis plagiat dari sebuah novel Arab yang diterjemah dari bahasa Perancis berjudul Magdalena, saya sempat membaca prakata terjemahan novel Magdalena yang diterjemah bahasa Melayu PDF tapi dah lost track.
7. Sebenarnya cerita ni telahpun disadur ke layar perak, nampak aja iconnya dalam apps Online TV Malaysia, nak tengok tekan ajer. Hatta anak saya yang tingkatan 3 tu pun cuba untuk spoil sebab cikgu dia bagi tengok kat sekolah, tapi untuk seorang pembaca, keghairahan untuk khatam tidak boleh disunatkan dengan lakonan dalam filem, ia tak akan sama.
8. Bila umur dah tahap terima wahyu, rasa tak payahlah baca novel remaja,macam tersilap genre aje, jadi dah lama tak jumpa ayat jiwang, tapi bila baca bait-bait pak Hamka, contohnya macam ni...:
“ .. kalau saya melihat alam, maka didalam alam yang ku lihat itu engkaulah yang tergambar, segenap perasaanku berisi dengan engkau. Bilamana matahari terbenam saya perhatikan benar-benar, kerana disana kelihatan wajahmu yang indah. Bila tekukur berbunyi, kudengarkan dengan khusyuk, lantaran disana laksana tersimpan suaramu yang merdu...” (m.s 165)
rasa macam umur di diskaun 25 tahun aja, bikin hati merinding, seakan baru jumpa old flame.
9. Terima kasih banyak-banyak kepada PTS Media Group kerana bersifat amanah tidak mengubah bahasa dan ejaan asli buku ini dengan dibantu glosari bagi menterjemahkan bahasa Indonesia, masih ada istilah dalam buku yang tidak dimasukkan, tapi sebab ghairah membaca saya telankan jua sambil menebak sendiri maksudnya. Juga kalau boleh susunan glosari disusun ikut alphabetical order, senang nak buat quick reference.
10. Sepertimana saya tidak suka orang spoilerkan cerita yang saya akan atau sedang baca, saya juga takkan bunuh kuriositi orang lain, tapi cukup hanya sekadar menyatakan anda pasti mengharapkan pengakhiran cerita seperti yang didambakan seawal plot, tapi ........ ya udah sila baca sendiri. Untuk penarafan bintang, saya bagi buku ini sebiji mentari.
Abu Razeen
My 2 Kupang
Felda Kahang Timur depan klenet
*Legal Aid Department of Johor
**19\6\2020 4:24 a.m