Thursday, January 31, 2019

MENGAJAR PESTA PONGGAL KEPADA MURID SEKOLAH


1. Kepelbagaian etnik dan budaya adalah keunikan Malaysia yang tidak terdapat di mana-mana negara. Meraikan kepelbagaian ini adalah simbol perpaduan yang diikat dengan taraf kewarganegaraan Malaysia. Sebarang usaha untuk menyuburkan perpaduan ini wajar disokong selagimana ia tidak membatasi hukum syara’ bagi orang Islam.

2. Kenapa perlu meletakkan syarat batasan hukum syara bagi umat Islam?. Ini adalah kerana batasan ini datangnya dari Rasul SAW, sumber perundangan dalam kehidupan bagi orang Islam dimana jua mereka berada. Memandangkan konteks isu pesta ponggal dibincangkan dalam kerangka negara Malaysia, maka perkara 3 Perlembagaan Persekutuan sepatutnya diberikan perhatian.

“3.   Ugama bagi Persekutuan
(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Jadi, Islam adalah agama yang dominan dalam apajua acara yang melibatkan kenegaraan, bukan sekadar doa dan pemakaian songkok sahaja, tetapi juga dalam dasar kenegaraan, dasar undang-undang, dasar pendidikan, dasar luar negara.

3. Apa kaitannya Perkara 3  dengan isu larangan mengajar pelajar Islam memasak ponggal?.  Ini kerana, ponggal yang diamalkan oleh masyarakat India yang beragama Hindu dikhuatiri mempunyai ciri-ciri sembahan. Maksud saya sembahan selain dari Allah. Jika benar ia adalah upacara keagamaan, maka ia wajar dihadkan kepada guru dan pelajar beragama Hindu sahaja tanpa dilebarluaskan kepada pelajar Islam yang lain. Sekatan penyebaran agama lain kepada orang Islam ada undang-undangnya, saya akan nyatakan di pertengahan artikel ini.

4. Oleh kerana Islam agama dominan, maka dakyah agama lain terhadap penganut Islam adalah merupakan pencabulan sebahagian dari maksud Perkara 3 perlembagaan persekutuan. Oleh yang demikian, penting untuk difahami samada ponggal ini adakah rutin keagamaan atau adat sahaja. Jika sekadar adat semata-mata tiada masalah.
Secara amnya, untuk masyarakat awam Malaysia, ponggal difahami sebagai perayaan Hindu, dimana pengamal Hindu akan memasak nasi dan susu dalam tembikar sehingga masak melimpah ruah. Itu sahaja, mungkin penerangan yang diberi ‘ponggal’ hanyalah adat atau budaya dari India dan tiada salahnya dengan memasak nasi dalam tembikar. Sesiapapun boleh buat.

5. Tetapi sebarang amalan khusus yang berasal dari agama atau adat lain, sewajarnya diperhalusi terlebih dahulu, sebab kita tidak mahu melanggar batasan hukum syara’. Antara yang telah jelas, adalah permainan naga atau singa sewaktu raya cina, makan yee sang, makan besar, selagimana halal penyediaannya maka hukumnya adalah harus. Tetapi membakar colok, tunduk atau ruku’ depan colok itu jelas haram.   

6. Terdapat pelbagai tafsiran tentang maksud pesta ponggal, boleh sahaja tafsiran ini dibuat secara totok ikut tujuan pengucapnya. Ada tafsiran dari segi bahasa, istilah, tempat dan kegunaan. Jadi untuk keadilan saya akan nyatakan pecahan tafsiran tentang ponggal:

1a)Ponggal adalah ritual keagamaan atau 

2b)Ponggal adalah ritual bukan keagamaan

6.1. Ponggal adalah ritual keagamaan. Memetik artikel laman web www.thehindu.com terjemahan English dari laman web agama Hindu: 

“Ponggal adalah perayaan menuai, Bagi Tamil ia merupakan ekspresi kesyukuran.
Ia diadakan untuk memuliakan matahari, kerana memungkinkan tuaian hasil tanaman. Keluarga berkumpul untuk merayakan dan berkongsi kegembiraan bersama-sama. Matahari di persembahkan dengan beras dan susu.
 ……
Apabila ponggal telah siap dimasak, ‘Padayal’ (persembahan) terlebih dahulu disediakan. Kemudian ponggal di kongsikan bersama rakan dan keluarga diikuti dengan meditasi dan doa.

https://www.thehindu.com/todays-paper/tp-national/tp-tamilnadu/Meaning-of-lsquoThai-Pongalrsquo/article15143399.ece  pada 31/1/2019

Untuk carian laman web tempatan Ponggal turut ditafsirkan sebagai

Ponggal ialah nama sejenis masakan. Ia merupakan nasi manis yang dimasak menggunakan susu, buah pelaga, gula perang, buah gajus, kismis dan minyak sapi. Pada perayaan ini, nasi yang dimasak akan dipersembah kepada Dewa Matahari dan diberi makan kepada lembu-lembu diikuti ahli keluarga, saudara dan kenalan.

6.2. Ponggal adalah ritual bukan keagamaan;

Ini kerana terdapat muslim di negara Kerala India, Sri Lanka malah di Malaysia turut merayakannya. Contoh paling besar apabila pemimpin nombor satu negara turut merayakannya. Semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menghadiri “Pesta Ponggal Bukit Bintang” di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 19 Januari 2008. dan pada 13 Januari 2013, Datuk Seri Najib Razak menghadiri “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di Tengku Kelana, Klang. 

7. Sepertimana umat Islam, Hari raya Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan bagi membesarkan Allah, inilah yang dinamakan syiar, seperti solat hari raya, bertakbir untuk Aidilfitri dan korban untuk Aidiladha. Ia khusus untuk umat Islam, orang bukan Islam boleh merayakan juga sebab kita tidak berkuasa untuk menyekat mereka nak pakai baju melayu, kurung, pasang pelita, makan ketupat dodol dan apa sahaja yang layak dikatakan sebagai budaya.

8. Begitu juga dengan penganut Hindu, mereka merayakan Ponggal untuk menunjukkan rasa kesyukuran atas penghasilan tanaman yang baik. Hasil dari ponggal tersebut. Ia disembahkan kepada tuhannya dengan beras dan susu. Sembahan ini dinamakan ‘Padayal’.

9. Mungkin ada yang akan berkata, penganjuran pesta punggal di Malaysia boleh dirayakan oleh orang Islam, sebab ia adalah budaya sahaja, lagipun ada pendapat mengatakan ponggal itu bukan ritual agama.

10. Kembali kepada konteks Malaysia yang membenarkan amalan agama selain Islam, maka untuk keharmonian peringkat kepimpinan mungkin ada excuse, pemimpin seperti Perdana Menteri seperti Pak Lah atau Datuk Seri najib boleh hadir untuk kemaslahatan perpaduan. Lagipun antara ciri-ciri pemimpin adalah matang, cerdik, tahu perbezaan dan bijaksana, maka ia dapat membezakan manakah adat manakah agama.

11. Ya, saya setuju pemimpin hadir kemajlis pesta ponggal, untuk berkongsi kegembiraan. Bukan gembira dengan mengadakan persembahan kepada matahari atau ‘padayal’, tetapi sekadar menghormati hak penganut Hindu merayakan kepercayaannya.

12. Namun dalam konteks sekolah, dimana anak-anak orang Islam masih lagi, naif, akidah yang masih lemah, tidak tahu perbezaan dan tidak cerdik terutama perkara membabitkan kepercayaan, Maka perkara ini patut dielakkan.

13. Sebenarnya terdapat undang-undang yang menyekat dakyah kepada orang Islam yang dinamakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, tetapi tidak semua negeri ada undang-undang ini. Merujuk kepada Seksyen 5, Bahagian II (Kesalahan) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 Selangor, menyatakan:
Seksyen 5. Kesalahan mendedahkan orang Islam berumur di bawah lapan belas tahun kepada pengaruh agama bukan Islam.
(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan, atau membiarkan mana-mana orang lain di bawah umur lapan belas tahun yang beragama Islam supaya menerima ajaran dalam bidang agama bukan Islam, atau supaya menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau apa-apa aktiviti yang dianjurkan atau dikelolakan oleh atau yang dijalankan untuk faedah suatu agama bukan Islam atau apa-apa badan atau institusi yang bertalian dengan suatu agama bukan Islam.

14. Pihak sekolah wajar memberi pelepasan kepada guru beragama hindu untuk bersama murid-murid beragama hindu merayakan pesta punggal. Untuk tujuan pendidikan, boleh juga dijalankan dengan kawalan guru dan penjelasan oleh guru agama. Tanpa penglibatan dan aktiviti khusus kepada anak orang Islam seperti memasak, melukis kollum (dibaca ‘kolam’)

15. Akhir sekali, jika tulisan ini hanyalah cebisan pendapat sahaja, maka tuan-puan perlu melihat kepada tulisan Mufti Wilayah Persekutuan tentang “Muslim menyertai Pesta Ponggal”
http://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-afkar/3062-al-afkar-39-muslim-menyertai-pesta-pongal

Sunday, January 6, 2019

WACANA KETUA HAKIM SYARIE MALAYSIA 2018

copypaste. Credit to blog erakita
PUTRAJAYA – Pada 13 febuari 2018, satu Wacana Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah diadakan di Dewan Serba Guna, Aras 2, Kementerian Pengangkutan Malaysia, No. 26, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Wacana yang dihadiri oleh Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua-Ketua Hakim Syarie, Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim-Hakim Syarie Negeri-Negeri merupakan acara tahunan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Dianggarkan seramai 250 peserta hadir dalam wacana berkenaan.
Dalam ucapannya, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Dato’ Hj Mukhyuddin bin Hj Ibrahim telah menggariskan sebanyak 8 hala tuju Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi tahun 2018. Berikut adalah ringkasan hala tuju tersebut sebagaimana dipetik dari lama rasmi facebook Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM):
  1. Memartabatkan sistem kehakiman dan perundangan Syariah.
  2. Mentasqifkan (proses mengintelektualkan) Pegawai Syariah melalui penguasaan ilmu secara berterusan.
  3. Mengamalkan budaya kerja berintegriti dan berakauntabiliti dalam amalan kerja seharian.
  4. Meningkatkan علاقة (hubungan) dan kerjasama strategik dengan agensi Persekutuan dan Negeri.
  5. Menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti.
  6. Kebajikan dan kemajuan kerjaya.
  7. Mengambil istifadah dari aplikasi sistem E-Syariah.
  8. Memperkasakan profesionalisme wanita dalam institusi kehakiman dan perundangan Syariah.
Dalam majlis yang sama, satu ceramah khas telah disampaikan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Dr Zulkifli bin Mohamad Al- Bakri bertajuk “Adab al-Qadi: Di Era Kontemporari“.  Sijil-sijil penghargaan juga disampaikan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri yang mendapat pencapaian cemerlang dalam perlaksanaan Arahan Amalan, pegawai-pegawai syariah yang telah berjaya memperolehi Ijazah Tinggi Doktor Falsafah (Ph.D) dan Sarjana. Turut mengisi majlis adalah pelancaran Air Mineral Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Program Umrah Ukhuwwah Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan penyerahan SOP 4P (Permohonan Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan) kepada Ketua-Ketua Hakim Syarie negeri-negeri.

Wednesday, September 5, 2018

SILVER LINING ON ZAKAT & LGBT’S POLEMIC (SEKELUMIT HIKMAH DALAM ISU ZAKAT DAN LGBT)


Pra: TV3 telah menyenaraikan 10 golongan songsang layak terima zakat. Antara 10 kumpulan itu 4 daripadanya adalah Lesbian Gay Biseksual dan dan Transeksual atau Mak Nyah lebih glamer dengan nama LGBT. Kumpulan minoriti ini telah digolongkan sebagai kelompok yang songsang. Persoalannya kenapa golongan songsang layak menerima zakat? Sedangkan banyak lagi asnaf lain yang memerlukan. Statement berita ini dipetik dari kenyataan Mufti Selangor bertarikh 3 September 2018.

PUNCA GEGAK GEMPITA

1. Sebenarnya isu pokok yang perlu difahami adalah asnaf zakat. Dalam zakat ada 8 asnaf, salah satunya al-Riqab, kena faham al-riqab tu siapa. Jika kita faham riqab ialah membebaskan hamba (orang yang dibelenggu) secara literal, maka ketahuilah olehmu bahawa hamba hampir pupus, jika kita sempitkan kepada taarif ‘hamba’ maka hak golongan al-riqab hampir harus dimansuhkan.

2. Tapi fiqah Islam itu konsepnya sesuai dan praktikal pada setiap masa dan tempat, ia fleksibel dan bukan rigid, atas dasar tersebut takrifan riqab diluaskan kepada “pihak yang mengusahakan pemulihan kepada asnaf riqab iaitu mereka yang terbelenggu dengan masalah akidah & sosial” yang buat peluasan takrifan ni adalah fatwa Selangor 2012. Fatwa bukan Mufti seorang buat, dia ada jawatankuasa yang profesional dalam hukum syarak, undang-undang dan akademik dan semuanya ada autoriti dalam bidang masing-masing.


3. Bila sebut masalah sosial, maka siapa boleh nafikan LGBT dan 6 lagi jenis manusia adalah masalah sosial di kalangan umat Islam terkini?. Bila jadi masalah masakini, maka tindakan perlu diambil, kalau tak buat, maka akan jadilah tohmahan, “lihat, orang agama hanya tahu menyalahkan, mengeji, menghina kumpulan LGBT tapi tak ambik tindakan apa-apa, dasar rigid, pemikiran sempit, hina intelektual”.

4. Seawal 14 Mei 2012, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telahpun memasukkan 10 golongan yang dipetik dari berita TV3 sebagai penerima. Jadi terbitlah apa yang telah dikeluarkan oleh Datuk Setia Mufti pada 3 September 2018 dan diuar-uarkan melalui khutbah Jumaat negeri Selangor pada 22 Ogos 2018. Keputusan ini dibuat atas pertimbangan kebajikan dan kasih sayang, juga tidak mahu golongan tersebut terpinggir dan rasa didiskriminasi. Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor semasa boleh dilihat di link Mufti Selangor (tekan le, baru kenal siapa)


5. Duit zakat tadi dikeluarkan melalui perantaraan  institusi, pusat, NGO Islam dan orang yang dibenarkan oleh undang-undang dan hukum syarak. Mereka ini menjalankan tugas membebaskan, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf al-Riqab tadi supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam.

6. Bagi yang baru nak tahu, negeri Selangor ada Baitul Ehsan dan Baitul Iman, 2 pusat pemulihan yang diwartakan beroperasi menggunakan perbagai sumber antaranya Majlis Agama, BaitulMal dan zakat asnaf al-Riqab yang dibincangkan sekarang ni. Ada juga badan atau NGO yang lain menguruskan pemulihan golongan ini, yang mana menyalurkan wang zakat kepada asnaf semua dipantau oleh MAIS. (boleh refer Selangor)


7. Jadi zakat bukan sebagai galakan mereka berbuat jahat, tapi sebagai bantuan untuk mereka berubah jadi baik, adakah kita nak mengambil kerja tuhan untuk menolak taubat seorang hamba, sedangkan tuhan mengampunkan semua dosa kecuali syirik. Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang, bukan tugas kita nak menentukan kehendak hati mereka samada betul-betul nak taubat atas semata-mata nak menikmati duit zakat.Hati manusia milik Allah. Ini sama kes macam muallaf juga.

8. Jangan takut, bahagian asnaf faqir, miskin, amil, fisabilillah, muallaf, gharimin dan ibn sabil tetap ada. Duit kutipan zakat tiap tahun semakin meningkat. Selangor antara yang terawal mengamalkan zakat potong gaji. Kutipan tiap tahun antara yang tertinggi.


9. Tuan Guru Sheikh Ibrahim pernah pesan, mereka pun manusia, kita tak boleh benci batang tubuh mereka, tapi sikap menurut hawa nafsu itulah yang perlu ditangani. Kita asyik nak mengata mengeji menghina pelaku dosa, mereka esok mungkin boleh bertaubat, adakah kita tahu? Konfem ke kita ni mati esok bukan tengah buat maksiat? Nilah sifat angkuh yang saya katakan “Holier than thou”.

KAITAN DENGAN ISLAM LIBERAL, 3 PRINSIP WAJIB TAHU

10. Bila terjadi masalah sosial selalu kita menuding jari ke institusi agama, dengan tuduhan tak pandai menangani masalah masyarakatlah, pandai ceramah kutuk tetapi tak pandai bertindaklah, tapi bila ada pendekatan sebegini kenapa kita jadi terlalu alergik atau terkejut pula.

11. Dibuat salah tak buat salah, saya bimbang dengan keadaan masyarakat masa kini, terutamanya dalam masalah serangan pemikiran Islam Liberal yang tidak henti-henti terhadap institusi agama.

12. Saya tidak kata orang yang mempertikaikan kenyataan mufti ini semuanya ke arah Islam Liberal, tetapi tindakan kita yang selalu bertindak melulu terhadap apa jua tindakan institusi agama hampir hampir menyamai kumpulan tersebut. Secara tidak langsung.

13. Ada tiga agenda Islam Liberal yang kita patut tahu;

13.1. Kita wajar menolak autoriti ulama. Mereka akan gunakan kaedah“pandangan mengenai agama tidak semestinya ditangan ulama”. Habis pada siapa kita nak tanya pandangan?. Serangan ini ditujukan kepada Mufti Selangor, secara sedar atau tidak.



13.2. Kita wajar mempertikaikan Syariah dan Hukum Hakam Syariah. Islam Liberal menganggap syariah adalah ciptaan fuqaha’ selama 300 tahun pertama hijrah dan syariah Islam tidak suci. Mereka mempertikaikan faraid, wanita boleh jadi Imam, tolak poligami. Dalam kes zakat terkini, kita pun pertikai takrifan al-riqab oleh Mufti, sedangkan Mufti telah melakukan ijtihad dan ijtihad adalah salah satu sumber pengambilan hukum syarak selain al-quran dan sunnah. 

Jadi atas kuasa Jabatan Mufti, takrif riqab diperluaskan kepada mereka yang terbelenggu dengan masalah aqidah dan sosial, antaranya geng LGBTlah. Pandai-pandai aje Mufti buat perluasan takrifan!, habis Muftilah tempat kita rujuk bila ada kesamaran. Mufti bukan kita pilih dalam pilihanraya, ia dipilih oleh Ketua Agama Islam negeri negeri. Sultan Selangor yang pilih tau!


Yang ni saya nak pukul lamsam dengan kes sebatan syariah di Trengganu baru baru ni. Tanpa usul periksa kita pun menari nari dengan gendang Islam Liberal yang katakan sebatan adalah tindakan tidak bertamadun, menghina dan zalim. Jadi gantung sampai mati, penjara seumur hidup sampai anak bini melarat, sebat sampai keluar kulit, denda sampai miskin papakedana tu bertamadun sangatlah namanya? Amerika pula ada electric chair (otak hangus, biji mata meletup keluar), lethal injection (mati secara perlahan), guantanamo bay, pencabulan hak asasi, racist, apartheid, sokong palestinian genocide ..sampai dia tak ratify certain human right convention walau dia sign, ituke yang paling bertamadun?


13.3. Semua Bebas Memberi Pendapat (berijtihad). Islam Liberal mengajar kita tidak ada seorang pun yang dapat menghalang orang lain memiliki kebebasan pendapat. Benar, Islam pun mengajak kita berfikir dan mempunyai pendapat, pintu ijtihad tidak pernah tertutup, tapi dalam isu hukum syarak pendapat itu biarlah keluar dari ahlinya. Kalau sakit gigi takkan kita nak pi bengkel kereta, kalau kereta rosak takkan nak tanya profesor universiti.

tak kenal maka tak cinta, sila baca handbook terbaik tentang Islam Liberal keluaran PTS, kalau malas baca saya tolong book review kan dalam utube nak?

14. So kalau ada masalah tak faham syariat, tanyalah yang ahli tentang syariat. Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam, Mahkamah Syariah, Peguam Syarie, Qadhi, JAKIM banyak lagi tempat berautoriti kita boleh tanya. Sesuatu perkata kalau diserahkan kepada bukan ahlinya tunggulah saat kebinasaan. Orang yang melakukan ijtihad di panggil mujtahid (bukan Mujahid). Syarat untuk jadi mujtahid kena tahu ilmu nahu, sorof, ulumul quran, mustalah hadis, balaghah, mantiq, bayan dan macam-macam lagi. Kalau dah semua orang boleh ijtihad dalam perkara asas agama ..nak jadi apa kita ni?, tukar ajelah bangunan pejabat mufti jadi market ikan.



KAIT MENGAIT ZAKAT  LGBT DAN SEBAT SYARIAH TRENGGANU

15. Bende kalau tak puas hati tanya, khususnya dalam isu zakat LGBT ni, pejabat mufti selangor dan pusat zakat selangor lah yang paling ada autoriti nak jawab, tak cukup dengan berita, siap ada viral PDF pandangan Dato setia Haji Mohd Tamyes lagi. Baca faham dan cernakan.

16. Isu ini juga menyentuh kedaulatan agama Islam dalam negeri selangor. Siapa lantik Mufti?, Sultan yang lantik, pertikai fatwa secara tak langsung kita dah pertikai Mufti,  Sultanlah yang  perturunkan kuasa kepada Mufti. Kalau negeri lain takde pewartaan sebegini, terpulanglah, tapi sekurang-kurangnya Mufti Selangor cakna dengan isu semasa.  Samalah dengan kes Trengganu, jika kamu pertikai undang-undang dalam enakmen kesalahan jenayah syariah Trengganu, maka kamu sebenarnya pertikai undang-undang yang diluluskan dalam sidang DUN Trengganu dan diperkenankan oleh Sultan selaku ketua agama negeri-negeri.


17. Kesimpulannya, secara tidak sedar, dengan mempertikaikan keputusan autoriti agama,  kita dah pun membantu kelompok Islam Liberal menyucuk jarumnya. Ini bukan maksud saya institusi agama seperti Mufti atau mana mana agensi agama bersifat ma’sum atau tidak berdosa dan tidak boleh dikritik, tetapi sebelum kritik kaji dulu.. inilah yang dinamakan tabayun.

18. Benar, setiap perbuatan kita tidak sunyi dari salah dan silap, tetapi dalam Islam juga disuruh untuk “bertanyalah kepada mereka yang ahlinya/pakarnya, sekiranya kamu tak tahu ”bukan serang dulu baru tanya”. Bersikap gelojoh itu adalah sifat syaitan, sabar, kaji, tak tahu tanya, dah ada ilmu baru keluarkan pendapat. Islam dibina atas asas hujah, bukan tak boleh berhujah.

19. Ini sampai timbul menyesal bayar zakat kepada pusat zakat, tak rela duit zakat dibelanjakan pada LGBT. Apa kuasa mereka bagi zakat pada LGBT? Memang betullah salah kalau mereka serve byhand kepada Mak Nyah, Gigolo, Lesbian dan lain-lain lagi tu, tapi hakikatnya bukan begitu.


20. Harap budaya telan tajuk berita, malas membaca apatah lagi cepat tangan viral benda tak betul tidaklah jadi amalan kita selama-lamanya. Jangan kelak depan Allah nanti kita jawab.. rupanya saya tak baca habis, sedangkan fb, wazap, utube boleh pula kita hadap berejam rejam membaca nya.

21. Bab berita TV3 yang mengelirukan,  itulah scapegoat terbaik setakat ini, mungkin ada benarnya, tapi sampai bila kita mahu berbudaya bangau oh bangau. Asyik salah orang lain, kita tak salah?. Kenapa tak salahkan diri yang malas membaca, tak mahu usul periksa? Asyik nak spoonfeed bila ada isu akademik dan agama sebegini, isu Husna (Jangan Benci Cintaku) nak pi Johor lepas ni boleh pulak ulas siap membawang sampai  7 ke 8 scroll.  


22. Apapun yang terjadi, Allah tak pernah silap dalam mengatur peristiwa, pasti ada hikmahnya, walaupun berjenuh kita terangkan. Tapi bagus juga, boleh juga kita sama-sama pikir pasal zakat dan LGBT serta kaitannya sekaligus. Alhamdulillah ada juga at least “every cloud has its silver lining”.

Wallahua’lam.

Post: Saya pembayar zakat Selangor melalui potongan gaji seawal 2000an, saya cakna kemana duit zakat dibelanjakan dan saya redha, saya tahu tugas Mufti dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam, saya tahu siapa jawatankuasa Fatwa ada dikalangannya kawan saya. Saya yakin dan percaya mereka amanah kepada ilmu dan bertakwa pada Allah.