Friday, November 4, 2016

SUNAN TARMIZI: PERBEZAAN SHAFIE DAN HAMBALI

BAB 169 DIDATANGKAN HADIS PADA MAKRUH SOF DIANTARA DUA TIANG

(Perbezaan pengambilan hukum mazhab shafie dan hambali serta zohiri: Syarah oleh Maulana Hussein Abdul Qadir Yusufi)

1. Hadis 229 daripada Abdil Hamid bin Mahmud berkata: Kami solat dibelakang salah seorang  pemimpin , manakala manusia terlalu ramai, maka kami solat diantara dua tiang. Di ketika selesai solat Anas bin Malik berkata: Kami mengelak ini (solat diantara dua tiang) semasa di zaman Rasulullah SAW.
2. Telah menghukumkan makruh segolongan kaum dari ahli ilmu mendirikan sof diantara dua tiang.
Yang berpendapat sedemikian Ahmad (Ahmad bin Hanbal) dan Ishaq (ishaq bin Rahawiah)

Syarah:

3. Dalam syarah hadis, Anas bin Malik tidak menggalakkan sof jemaah diantara dua tiang kerana tiang Masjid Nabawi pada asalnya tidak selari. Jika beratur diantara dua tiang maka sof tidak akan sama. Tetapi sekarang sudah tidak ada masalah, tiang di Masjid Nabawi telahpun lurus dan larangan ini sudah tidak berlaku.

4. Yang masih berpendapat makruh adalah Imam Ahmad bin Hanbal (Pengasas Mazhab Hambali) beliau beramal dengan zahir hadis manakala imam-imam yang lain melihat kepada situasi yang berbeza setelah tiang masjid Nabawi lurus dan teratur, maka makruh sudah tidak berlaku.

5. Begitu juga dengan Ishaq, beliau terkenal dengan mazhab Zahiri, kalau hadis kata putih, putihlah ia, kalau hitam, hitamlah ia. Imam Ahmad seperti Imam Ishaq beramal dengan zahir hadis manakala Imam Shafie berijtihad dalam Hadis tersebut dan tidak menghukumkan makruh.
PERBEZAAN PADA IJTIHAD ANTARA MAZHAB SHAFIE DAN MAZHAB HANBALI

6. Di dalam Hadis Nabi bersabda, seseorang bangun tidur, janganlah memasukkan tangan ke dalam bekas mengambil wudhu’ melainkan selepas basuh dahulu tangannya.

7. Imam Ahmad bin Hanbal menghukumkan dengan zahir hadis, jika bangun dari tidur terus memasukkan tangan kedalam bekas air maka ia jadi najis kerana berasaskan dari hadis, “Iza istaiqaza minallail... fainnahu la yadri aina batat yadahu”

8. Imam Shafie kata hadis ini pada masa permulaan Islam. Tabiat orang Arab pakai kain semasa tidur. Bila istinja dengan batu, tidak menggunakan air, air susah, manakala keadaan panas menjadikan badan berpeluh. Maka apabila pakai kain maka kita dah boleh agak bagaimana situasi tidur pakai kain, kadangkala kain naik atas kepala.

9. Maka dalam kajian Imam Shafie, pada masa itu kalau tidur pakai kain, jika dia yakin tangan ada najis, maka air akan jadi najis. Tapi kalau pakai seluar ia yakin tiada najis maka air tak akan jadi najis, maka tiadalah makruh.

10. Kita kena tahu bagaimana para Imam berijtihad, kerana mereka akan bermain dengan zahir perkataan hadis. Apabila amalan kita tidak serupa dengan mereka, maka mereka akan pakai hadis bid’ah, maka kita ini akan masuk neraka belaka.


PERSOALAN QUNUT

11. Dalam mazhab Shafie, membaca qunut adalah Sunat Ab’adh. Datang hadis menyatakan qunut dibaca dalam tempoh sebulan sahaja. Adakah Imam Shafie tidak tahu tentang hadis tersebut? Imam Shafie sebagai mujtahid lebih tahu dan faham hadis tersebut dan telah mengkaji serta memperhalusinya.

12. Punca qunut dibaca berlaku pada awal kempen dakwah Rasul ke luar Madinah melalui sahabat-sahabatnya. Dihantar segerombolan sahabat yang hafiz quran, Nabi hantar 70 orang quro’, bila sampai ke satu tempat semua sahabat tadi kena bunuh.

13. Rasul sedih lalu Rasul sebut nama ketua kaum yang membunuh sahabat tadi dalam qunut, sehinggalah Allah menyatakan “Laisa laka minal amri shaiun” ertinya tiadalah atas kamu bertanggungan sesuatupun atas perkara tersebut. Lalu Rasul pun berhenti menyebut nama ketua kaum tersebut, namun tetap berterusan membaca qunut sampai sudah tetapi dengan tidak menyebut nama ketua kaum. Ada pihak menyatakan Hadis yang dinaskan oleh Imam Syafie adalah dhoif melalui riwayat Abu Hurairah, riwayat yang menyatakan nabi baca qunut sampai wafat.

14. Apa masalah kita nak larang orang nak baca qunot?? Selepas 1,100 tahun tiada sesiap bising dan tiada masalah perbalahan antara pengikut Shafie dan Hanafi. Kenapa sekarang kita sibuk nak kata dalil Imam Shafie tidak kuat? Maka tidak payah baca qunut. Seolah-olah Imam Shafie bodoh dan mereka cerdik. Mereka menghukum dengan zahir hadis manakala Imam Shafie kaji selidik sekecil-kecilnya.

15. Selama ini Masjid yang mengamalkan mazhab Hanafi seperti Masjid India tiada sebarang perbalahan pun. Bila ada orang kita buat sujud sahwi di Masjid India, mereka tidak balah pun. Imam Qadhi Abu Yusuf (bermazhab Hanafi) kata, apabila bersolat di belakang orang bermazhab Shafie dengan qunut maka perbuatannya berqunut adalah khilaf aula.

16. Selama ini tok sheikh jual carpet tidak ada masalah apabila solat di negara kita sejak dahulu lagi. Inilah isu yang dimainkan oleh puak-puak tersebut. Bila duduk di tempat mazhab Hanafi mereka kata dalil qunot kuat.  Tak ikut pendapat ni masuk neraka.  Kita dah bahaskan isu khilafiah ini namun mereka tetap tidak berhenti sehingga kita ikut mereka, hanya letih sahaja yang kita dapat.

17. Lebih baik sebar ilmu hadis dari berbahas, rugi masa dan makin tambah serabut. Dia menang ke kalah ke kita tetap dikatakan masuk neraka juga. Yang penting kita kenalah istiqamah belajar hadis terangkan kepada kawan-kawan kalau tak mengaji lama-lama kita pun kata Allah duduk atas arasy. Didiklah anak supaya dapat pelajaran.


Catatan 07/10/2016 11.45 malam Pondok Ledang, Bandar Baru Uda, Johor Bahru. 

Post: Sukar untuk melampiaskan nafsu menulis tatkala diri dihimpit ruang waktu, celahan masa yang kian menghilang tak sempat tercapai dek tanggungjawab nan banyak. Allahu musta'an.






Tuesday, December 15, 2015

KESALAHAN MAIN KAYU TIGA KEKASIH GELAP DALAM UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH

Perkara sudahpun ada dalam undang-undang tapi jarang implement kerana ia dibawah bidangkuasa penguatkuasaan dan pendakwaan, ramai tidak tahu hak untuk buat pengaduan kes, main kayu tiga, kekasih gelp whatsoever telahpun ada peruntukannya dalam enakmen jenayah negeri. Hukuman boleh dianggap sebagai takzir.


Baik lelaki mahupun perempuan, beringatlah sebelum kena.
 
 
ENAKMEN 4 TAHUN 1997
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1997

BAHAGIAN V - KESALAHAN PELBAGAI




Seksyen 36. Memujuk lari perempuan bersuami.

Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila, disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.

Seksyen 37. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.

Seksyen 38. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 39. Memujuk lari orang perempuan.

Mana-mana orang yang memujuk lari atau mendorong atau memujuk mana-mana orang perempuan supaya lari daripada jagaan ibu bapanya atau penjaganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya sesuai berkenaan dengan orang perempuan itu.
 
P/S: Berdoalah untuk ketetapan hati: "Ya Muqallibul qulub tsabit qulubana ala deenik"

Wednesday, July 22, 2015

Masjid Tinggi Monumen Ilmu Masyarakat Banjar

Pra: Raya Aidifitri 1436H, selepas ziarah ke Kedah, singgah ke Pekan Masjid Tinggi lebih kurang 7km dari Bandar Bagan Serai menuju ke Taiping. Menziarahi Masjid tua yang menjadi mercu tanda pekan Masjid Tinggi. Inspirasi kepada masyarakat Banjar yang mendominasi populasi kawasan ini.  
 1. Masjid ini terletak bersebelahan dengan simpang tiga pekan Masjid Tinggi. Merupakan titik pertemuan masyarakat kampung sesuai dengan fungsi Masjid sebagai kompas umat Islam walau dimana mereka berada.
 2. 'Masigit Lawas', nama yang ditandakan pada board dihadapan masjid, juga memberi erti masjid yang lama di dalam bahasa Banjar, lama kerana sudah ada masjid yang baru. Mempunyai tiga tingkat menara azan (minaret) dan tiga lapis bumbung kubah masjid. Tidak mustahil nama kawasan ini juga diambil daripada rekabentuk masjid yang unik ini. Menara yang tinggi serta kubah berbentuk pyramid bertapak empat berlapis tiga.
3. Rekaan masjid ini jelas mengambil kira rekabentuk masjid seberang, atau lebih tepat dari Banjarmasin. Jestru tidak menghairankan kerana populasi urang banjar disini dikatakan berhijrah dari daerah Sumatera, Jambi Indonesia (migrasi dari Kalimantan). Tidak dapat dipastikan samada rekaan ini mengambil kira masjid di Negara Timur Tengah namun kejuruteraan bahagian bumbung masjid bukanlah sesuatu yang mudah dan ia lebih bercirikan nusantara.
4. Jika diperhatikan gambar pra-sejarah dari Tanah seberang, sememangnya layer bumbung dibuat paling kurang 3 lapis, tetapi keunikan Masigit Lawas di Masjid Tinggi terdapat pada menara azan yang tidak dapat dilihat pada photo sejarah sepanjang peng'google'an penulis.
5.  Berdasarkan kajian, urang banjar mempunyai kerajaan yang besar di Kalimantan, namun disebabkan peperangan dan perebutan kuasa, telah berlaku penghijrahan beberapa kali ke daerah lain dalam Indonesia seperti pulau Sumatera, Jambi termasuklah ke Tanah Melayu. Proses penghijrahan ini direkodkan seawal 1780, 1862 dan 1885. Penempatan etnik banjar yang besar di Perak adalah di Lembah Krian, terdiri dari Bagan Serai, Parit Buntar, Kuala Kurau.
 6. Rekaan kubah masjid etnik Banjar tidak terhad kepada 3 layer sahaja, dalam gambar hitam putih ini ada 5 layer, yang pastinya bilangan layer adalah ganjil, mengambil sempena kewujudan Allah SWT yang tunggal tidak terbahagi, mungkin juga berdasarkan rukun Islam yang lima. Namun yang pasti, tidak ramai jurutera yang mampu untuk mengadaptasi teknik pembuatan masjid berlayer-layer menggunakan kayu tanpa piling atau beam yang kita ketahui sekarang.
7. Selain dari lembah Krian di Perak daerah Sungai Manik dan Bagan Datok di Teluk Intan juga terdapat masyarakat banjar yang mendominasi perkampungan adat. Kebanyakan penempatan etnik ini berkisar pada pekerjaan pertanian terutamanya bendang/sawah. Ini dapat dilihat di kawasan Krian. Dengan sawah juga kaum Banjar mempelbagaikan produk, antara yang mendapat tempat dihati saya ialah ikan pekasam (marinated fresh water fish), ayaq wadi (juice from marinated fish) yang paling sesuai di makan tatkala kelaparan. Kalau mahu sila berkunjung ke pasar Kamunting di waktu pagi. Ayuhak lakasik!.

8. Kornish ringkas dapat dilihat pada syiling dan dinding syiling, dihiasi dengan kaca berwarna menambahkan seri pencahayaan ruang solat Masjid. Tujuan menara dibuat tinggi adalah untuk tujuan ventilation dan akaustik serta keselesaan Jemaah untuk beribadat. Pada masa ini masih belum dicipta kipas syiling helicopter yang boleh menganginkan satu masjid tanpa perlu air-cond.
9. Tiada angka jelas untuk pembinaan masjid ini, cuma terdapat fakta Blogspot menyatakan ia dibina pada tahun 1890an. Jadi masjid ini sudah melebihi usia 1 abad, sewajarnya mendapat pengiktirafan dari Jabatan Warisan, dan Masjid ini juga telah mendapat rawatan konservasi pada tahun 2006. Apapun usaha tersebut wajar mendapat penghargaan. Pemuliharaan dan penjagaan wajar diberikan sepanjang masa.
10. Sebenarnya urang Banjar bukan sahaja berhijrah ke Tanah Melayu berdasarkan factor politik atau pertanian sahaja, namun ada yang berdakwah. Secara fakta, banyak terdapat guru-guru agama dari suku kaum Banjar yang menerajui pendidikan agama dan memakmurkan masjid dimana komuniti tersebut bertapak. Beberapa pusat pendidikan berstatus sekolah agama rakyat dan pondok pondok banyak diasaskan dan dipelopori oleh tok guru berbangsa Banjar.
11. Pandangan kubah teratas dari sisi, dilihat dari menara azan, sentuhan moden berbentuk dari material zink, sekiranya dibuat dari bahan genting atau sesuatu yang lebih tahan dan antic ia nampak lebih menarik. Tidak kurang juga ada yang menyatakan unsur illuminati dalam rekaan kubah pyramid berkaki empat. Sekiranya kita melihat sesuatu dari sudut negative, maka negatiflah jadinya.
12. Saya sendiri mendapat sentuhan ilmuan banjar sepanjang berada di Sekolah Menengah Agama Rakyat Maahad Al-Ehya' As-Sharif, Gunung Semanggol (1987-1991). Sememangnya urang Banjar amat cintakan Islam, ilmu dan perjuangan. Mereka lebih suka untuk berusaha sendiri, peramah walau ada diketahui mereka yang nakal (semua orang/kaum ada geng nakal) kalau diajak gaduh bunyinya 'kutimpas nantik!). Apapun dengan sokongan urang Banjar inilah tertubuhnya gagasan Hizbul Muslimin yang ditakuti oleh penjajah British dan sekutunya Melayu Nasionalis celup pada masa itu. Kemuncak penentangan terhadap pejuang Islam menyebabkan kelumpuk yang diasaskan dari Gunung Semanggul ini digelar "Bahaya Dari Gunung' pada pasca kemerdekaan. (sebab itu saya suka gunung).
13. Rekod cemerlang bangsa Banjar dalam penyebaran dakwah Islam tidak dapat dinafikan dengan susuk Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari, seorang ulamak mazhab Shafie yang berasal dari Martapura di Tanah Banjar, Kalimantan Selatan (1122-1227H). Kitab Sheikh yang paling tersohor dan menjadi rujukan sehingga kini adalah "Sabilal Muhtadin" masih dibaca di Surau dan Masjid Tanah air. Manakala dari segi tasauf Syekh Muhammad Nafis al-Banjari (1735) juga merupakan tokoh ulama banjar yang menyinari Nusantara dengan karyanya  'Ad-Durun Nafis'. Walaupun sheikh ahli dalam bidang fiqh tetapi beliau dilihat banyak menyumbang dalam bidang tasawuf.
14. Menara azan dimanfaatkan dengan ruang legar yang cozy, tempat berehat untuk muezzin yang dah berumur nak panjat tangga yang tinggi. Juga sesuai untuk menjadi tempat suluk, tempat bermesyuarat yang terhad, tempat menelaah, muhasabah. Kalau kena gout susah sikit nak naik. Lagi lagi kalau ada darah tinggi, gayat dan seumpamanya tak payahle naik.  
15. Oleh kerana sifat pendakwah tidak pernah duduk diam, maka ramailah ulama Banjar bertebaran sekitar Nusantara, antara yang penah menjawat jawatan tertinggi kerajaan adalah datuk kepada Tuan Guru Tuan Hussein Kedah al-Banjari. Bila sebut nama ulama' suka saya sebutkan nasabnya sekali. Nama penuh sheikh: Abu Abdullah Hussein bin Muhammad Nasr bin Muhammad Thayyib bin Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari. Mahsyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussein Kedah. Jasa ulama' berketurunan Banjar bermula dengan datuk tuan guru yang menjadi guru sultan, ada juga datuk tuan guru yang menjadi panglima perang menentang Siam sehingga shahid. Tuan Guru Tuan Hussein pula berjasa dengan membuka pondok di Alor Ganu, Bohor, Pantai Merdeka, Selengkoh Mukim Sungai Limau, Padang Lumat dan Pokok Sena.
16. Cucu cicit Tuan Guru Tuan Hussein ada yang bertebaran meneruskan usaha dakwah sehingga ke hari ini, antaranya ada dibumi selatan tanahair, Shaikhuna Ibrahim Ibnu Masran Al-Banjari yang banyak membacakan kitab kepada faqeer ilmu di kawasan sekitar Johor Bahru. Berpusat di Pondok Ledang di kawasan Bandar Baru Uda, kitab kitab turas digali dan dihadami serta diamalkan khusus bagi mereka yang memerlukan.
17. Ulama' Banjar contemporary yang dikenali antaranya Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah Al-Banjariy Al-Makky, saya pernah menghadiri talaqqi bersama tuan guru dan banyak menerima tempias sanad musalsal daripada beliau semasa di Mesir dan juga di tanah air. Mufti Perak sekarang Dato' Seri Dr. Harussani bin Haji Zakaria orang Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Dato' Ishak Baharom mantan mufti Selangor juga orang Banjar, Allahyarham Sabran bin Haji Asmawi, mantan ADUN Gunung Semanggol, Perak dan ramai lagi.
18. Seperkara yang lazim kita dapat lihat, Tanah perkuburan pada zaman dahulu banyak berjiran dengan Masjid, ini tidak terkecuali Masigit Lawas. Kalau dilihat, Masjid Nabawi pun berjiran dengan Tanah perkuburan Baqi' akibat pembesaran Masjid oleh kerajaan Saudi. Faedah berjiran dengan kubur amat banyak, antaranya keluar masjid aje dah boleh insaf, manakan tidak dapat tengok kubur, ingat mati. Melainkan hati sudah keras ,tidur atas kubur pun tak jadi apa. Cuma jangan ada yang gelarkan 'abdul qubur' (hamba kubur) sudahlah, sejak dua menjak ni banyak amalan sunnah dilihat bida'ah akibat mengaji sambil 'semabul'.
19. Pemuliharaan fizikal boleh dibuat setelah kerosakan asas juga komponen dikenalpasti, namun konservasi hati yang rosak dan lemah jarang dapat dibuat. Peninggalan datok nenek serta moyang kita, bukan hanya sekadar untuk jamuan mata dan pengindah rupa, tetapi ianya satu semangat yang perlu kita warisi dan perturunkan pula kepada anak cucu kita. Agar kita tidak kelu untuk berkata-kata di akhirat kelak tentang amanah yang diperturunkan.

20. Model menara Masigit Lawas amat unik dan mempunyai bermacam faedah yang tak mungkin kita yang banyak dosa dan maksiat terfikirkan. Hasrat Sheikh kami untuk membangunkan sebidang Tanah wakaf di kawasan Johor semoga mendapat perkenan Allah dan dipermudahkan, kelak akan menjadi pusat pengajian ilmu turath Islami seterusnya melebarkan ilmu Allah dimuka bumi InsyaAllah.
 
Post: Sedikit gambaran dan penghayatan saya sewaktu menziarahi Masigit Lawas, didedikasikan untuk Shaikhuna kami, semoga menjadi inspirasi pembinaan bangunan perkampungan Pondok Ledang sedikit masa lagi. Sesiapa yang mahu tanam modal akhirat membantu penyebaran ilmu Allah boleh menghubungi ustaz Syukri di 0134247891. InsyaAllah. secalit debu untuk pemberat mizan kelak.