Buku: Raheeq Makhtoum
Penulis: Safiurrrahman Mubarakfuri
Terbitan: Darul Manar, Cairo (1998)
Mukasurat: 411
rakaman umrah El Izzah, Disember 2017 kalau tak silap
1. Jika
diberi pilihan buku tanpa kritikan atau yang telah diuji adu dengan kritikan,
mana satu pilihan anda?. Sudah pasti buku yang telah dikritik, dipertanding
ilmuwan, ditilik ulama’ dan diterjemah perbagai bahasa punya kredibiliti untuk
dikhatam. “Raheeq Makhtoum” ialah buku perjalanan hidup Nabi yang “selamat”
untuk dibaca.
2. Reputasi Raheeq Makhtoum yang mendunia tidak menghairankan kerana lahir dari dulang emas sayembara mengarang buku sirah Nabi anjuran Rabitah al Alam Islami. Buku yang selesai dikarang pada 23 Julai 1976 dimahsyurkan sebagai buku terulung pada hari Maulidurrasul 1399H (09 Feb 1979) [Keputusan diketahui 1978]
3. Untuk mendapatkan buku sirah terbaik, 9 syarat diletakkan antaranya lengkap susunan peristiwa mengikut turutan masa, bukan plagiat, menyatakan sumber rujukan, ditulis dalam Bahasa Arab dan Bahasa pilihan, manuskrip yang lengkap ditaip dan lain-lain. Pertandingan ini disertai sebanyak 84 esei dalam Bahasa Arab, 64 bahasa Urdu, 21 bahasa Inggeris, satu Perancis dan satu Housawi.
4. Safiurrahman telah memenuhi semua keperluan ini dan menggendong hadiah 50,000.00 Riyal Saudi. Pengalaman membaca buku ini sangat mengujakan tambahan lagi jika dapat menjejak tapak Rasul dan Sahabat di bumi Hijaz. Setiap peristiwa digambarkan dengan baik oleh Penulis tanpa menjejaskan sumber ambilan.
5. Bagi membina gambaran pembaca, seawal 5 bab pertama ditumpukan kepada geopolitik Arab serta titisan leluhur Nabi. Pentingnya memahami persekitaran Hijaz adalah untuk memperlihatkan bagaimana seruan Nabi tidak bermula dengan sambutan dan perayaan, ia adalah perjalanan yang getir dan ujian yang maha hebat.
6. Keistimewaan buku ini terserlah pada tajuk topik yang diberikan pada setiap bab, ia mempermudahkan minda untuk meletakkan kedudukan titik garis masa. Contohnya pada mukasurat 40 “Kelahiran hingga 40 tahun sebelum perutusan wahyu”. Tajuk subtopik diringkaskan ..”Pendeta Bahira”, “Peperangan al-Fijar”, “Perjanjian Al-Fudhul” dan lain –lain … dimana tajuk itu adalah pointnya. Jadi mudah untuk kita berhenti seketika dan hadamkan cerita sebelum masuk ke subtopik yang lain.
7. Membaca buku sirah memperlihatkan gaya penulisan berbeza antara penulis. Ratusan buku sejarah telah diterbitkan dan masih tiada henti hingga kini. Seawal Bidayah Wan Nihayah, Qasasul Anbiya’ oleh Ibnu Kathir, Tarikh al-Tabari yang bersifat primer ataupun Fiqh Sirah oleh Said Ramadhan Al-Buthi, Sirah Nawabiyah Durus wa Ibar oleh Mustafa Siba’I hinggalah “Muhammad” oleh Martin Lings yang bersifat sekunder. Rujukan Penulis sendiri sebanyak 60 buah buku pelbagai disiplin, menjadikan naskhah “Raheeq Makhtoum” adalah gerbang kepada kitab sirah yang lain.
8. Kenapa judul “Raheeq Makhtoum”?, persoalan yang saya tak puas hati sampai sekarang. Sebenarnya judul buku ini diambil dari Quran, Surah Muthaffifin ayat 25 memberi terjemahan “minuman yang termetrai bekasnya”. Jika dirujuk ke Tafsir Qurtubi ada yang bererti “arak suci yang tidak tersentuh” dan pelbagai lagi tafsiran. Yang buat saya tak puas hati sebab dalam kata penghantar Penulis, tiada sebarang penjelasan dibuat. Yang ada diluar buku hanya tanggapan oleh pengulas buku yang lain. Atau mungkin Penulis pernah jelaskan, tetapi tidak ketemu dalam pencarian saya.
9. Apapun
persembahannya, kebitaraan beliau terserlah apabila menjadikan perpindahan
topik ke topik sangat mudah dihadam dan diingat seumpama melihat kronologi.
Sesungguhnya riwayat hidup Nabi adalah terlalu hebat untuk dikarang dalam hanya
sebuah buku namun untuk gaya pembacaan abad ke 21 “Raheeq Makhtoum” berjaya
memberikan penyesuaian. Milikinya dan anda tidak akan pernah puas dengan
riwayat hidup Baginda… selepas bacaan ini.
Baca buku ni tinggal 15 hari di Mekah dan 15 hari di Madinah. (bucket list)
No comments:
Post a Comment