Wednesday, August 4, 2021

MAQASID SYARIAH: PROF. SYEIKH DR. AHMAD AL RAYSUNI


PROF. SHEIKH DR. AHMAD AL-RAYSUNI

KETUA KESATUAN ULAMA' DUNIA
SHEIKH PROF. DR. AHMAD AL-RAYSUNI Ahmad Abdul Salam al-Raysuni dilahirkan pada tahun 1953 di sebuah perkampungan Awlad Sultan di wilayah Larache utara Maghribi. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di tempat yang sama sebelum berpindah ke bandar Fez, Maghribi, tempat beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang Islam dari Universiti AlQarawiyyin pada 1978. Beliau kemudiannya memperoleh MA pada 1989 dan PhD tiga tahun kemudian dari Universiti Mohammed V, Rabat. Tajuk kajian MA: Nazariyyah al-Maqasid 'Ind al-Imam alShatibi; Disertasi PhD: Nazariyyah al-Taqrib wa alTaghlib. Antara jawatan yang pernah disandang oleh alRaysuni termasuklah: 1. Dari 1996 hingga 2003, al-Raysuni adalah ketua pergerakan Al-Tawhid Wa al-Islah yang berpengkalan di Maghribi. 2. Al-Raysuni juga berkhidmat sebagai editor Jurnal Ilmiah Pengetahuan Islam dan merupakan ahli pengasas – dan presiden pertama – Persatuan Islam yang berpangkalan di Maghribi. 3. Dari 1994 hingga 1996, beliau mengetuai Rabitah alMustaqbal al-Islami yang berpangkalan di Maghribi. 4. Pada tahun 2018, al-Raysuni telah dilantik selaku Presiden Kesatuan Ulama Sedunia menggantikan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi. 5. Dari sudut pendidikan, beliau telah mengajar subjek usul fiqh dan maqasid al-Shari‘ah sejak tahun 1986 dan telah menyelia puluhan thesis universiti yang menyentuh isu maqasid al-Shari‘ah dan pemikiran maqasidi. Sekalipun al-Raysuni memiliki pelbagai tulisan yang amat penting berkaitan Maqasid al-Shari‘ah, kitab beliau yang paling mendapat perhatian ialah Nazariyyah al-Maqasid ‘Inda al-Imam al-Shatibi. Tujuan utama kitab ini ditulis adalah bagi mengkaji dan mengetengahkan segala konsep, metodologi dan pemahaman al-Shatibi mengenai Maqasid alShari‘ah. Al-Raysuni membuat satu penelitian bahawa sekalipun al-Shatibi mengkhususkan satu jilid yang berasingan bagi membincangkan isu maqasid, teori maqasid al-Shatibi tidak hanya tertumpu dalam jilid berkenaan, sebaliknya pemikiran maqasid al-Shatibi turut terdapat dalam keseluruhan tulisan beliau yang lain. al-Raysuni berkata: “Apabila al-Shatibi berkata-kata, kita dapati maqasid sentiasa mengiringinya, sentiasa wujud dalam ucapannya dan sentiasa memberikan kesan kepada pandangan-pandangan beliau. Maqasid telah memberikan al-Shatibi satu penelitian yang tepat dan mendalam manakala al-Shatibi pula telah memberikan maqasid lebih banyak penjelasan dan penerangan; sehinggakan hampir-hampir penuntut yang mengkaji al-Shatibi mendakwa bahawa alShatibi tidak menulis melainkan hanya dalam maqasid dan kesan-kesannya” Tulisan al-Raysuni ini telah membuktikan bahawa alShatibi telah membuat pembaharuan yang besar dalam ilmu Usul al-fiqh. Al-Raysuni turut mempunyai sejumlah kitab lain yang membicarakan tentang maqasid dan fiqh semasa: a. Muhadarat fi Maqasid al-Shari‘ah b. Al-Dhari‘ah ila Maqasid al-Shari‘ah c. Madkhal ila Maqasid al-Shari‘ah d. Maqasid al-Maqasid e. al-Qawaid al-Asas li ‘Ilm Maqasid al-Shari‘ah f. al-Kulliyyat al-Asasiyyah li al-Shari‘ah al-Islamiyyah (telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dengan judul ‘Prinsip dan Kaedah Universal dalam Shari‘ah’) g. al-Shura fi Ma‘rakah al-Bina’ (telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dengan judul ‘ Syura dan Demokrasi dari Perspektif Maqasid alShari‘ah’) h. Maqsad al-Salam fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah (telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia) i. Fiqh al-Thawrah j. Dirasat fi al-Akhlaq k. Al-Ijtihad, al-Nas, al-Waqi‘, al-Maslahah Pemikiran Maqasid al-Shari‘ah al-Raysuni tercermin dalam ijtihad-ijtihadnya dalam fiqh dan politik. Beliau berkata, “Maqasid ini telah menjadi roh bagi fiqh dan bagi pemahamanku terhadap agama dan terhadap semua perkara. Maqasid ini telah menjadi manhaj dalam pemikiran dan dalam tingkah lakuku dalam setiap perkara. Aku sentiasa menuruti ungkapan yang dinyatakan oleh al-Shatibi, “maqasid ini ialah roh kepada semua amalan”. Maqasid ini ialah roh kepada nas-nas syariah, maqasid juga merupakan roh kepada hukum-hukum syarak dan maqasid ini turut merupakan roh bagi Syariat Islam. Kesimpulannya, maqasid ini merupakan roh bagi setiap perkara. Maka setiap perkara yang tidak mempunyai maqasid, perkara tersebut adalah umpama satu jasad yang tidak memiliki roh.”

No comments:

Post a Comment