Friday, December 30, 2022

OWNERS MANUAL : BOOK REVIEW

 

DID YOU READ THIS?

Judul: OWNERS MANUAL
Penulis: Manufacturers Engineer
Penerbit: Labelled Company
Tahun: Depend
1. Walau tak suka baca buku macam manapun, kalau beli kenderaan bermotor, pasti akan dapat buku ni.. walau kita tak mahu.
2. Tinggal mahu baca atau tidak, tak baca tak berdosa, takda periksa pun nak dijawab. Tapi kalau keluar macam macam simbol kat LED dashboard jangan nijam baru kalut.
3. Pembeli, biasa takda masa nak baca, sebab dia sibuk nak bawa kereta. Kalau dia beli tapi dreba bawa ..pun takkan baca jugak sebab sibuk layan benda lain kat backseat.
4. Lagipun kalau tak baca, kereta tetap boleh berjalan. Destinasi tetap boleh sampai. Cuma kita mungkin hanya explore 50% dari keupayaan sebenar kenderaan kita.
5. Mungkin next 50% adalah rahsia kepanjangan usia motokar, tips menjimatkan minyak, atau mungkin senjata sulit yang kita pun tak tau.
6. Jadi akhirnya kita tidak mengoptimumkan penggunaan yang mana sampai kita trade in atau jual disebabkan tak berpuashati, sebab benda kita tak baca habis.
7. Begitulah hidup manusia, kita pun sebenarnya ada manual juga. Cuma kadang kita baca manual, tapi kita tak faham. Nak kena ikut orang juga.
8. Manual kita adalah Quran, Manufacturer kita adalah Allah, Allah tahu fitrah kita, kesukaan kita, apa yang membinasakan kita, jadi semuanya dimasukkan dalam tu.
9. Bagaimana nak terangkan yang grey area?, itulah diutuskan Nabi bagi nak terang manual tu, tapi camtulah... ada orang yang nak ikut tapi lagi banyak yang tanak ikut.
Abu Razeen
Book of life

Saturday, December 24, 2022

Ensiklopedia Perang Rasulullah Book Review

 Buku ENSIKLOPEDIA PERANG RASULULLAH 

Penulis: AHMAD ADNAN FADZIL / MUHAMAD AIZUDDIN KAMARUL ZAMAN
Penerbit: Telaga Biru Cetakan Pertama 2017 
Muka surat: 281

1. Ilmu “Maghazi” yang dipermudahkan dalam bentuk infografik bewarna dan sistematik. Fakta sirah peperangan dimampatkan dalam 281 mukasurat yang mencabar pengetahuan anda tentang 11 tahun perjuangan Rasul mempertahankan keamanan. Tepat seperti konsepnya Interaktif, Autentik dan Kontemporari.  
2. Sememangnya agak sukar untuk mengumpulkan fakta peperangan Rasul yang bertebaran dalam kitab sunan dan sirah. Jika dikumpulkan pun pasti sukar untuk menentukan fakta terpilih dari sekian riwayat yang banyak. Anda harus berterima kasih kepada Telaga Biru yang telah mengusahakan buku epik perang Rasul hingga setanding dengan ensiklopedia terbitan negara barat.
3. Susunan buku diatur dengan komprehensif bagi menyediakan pembaca tentang kenapa berlaku peperangan semasa hayat Rasul. Bermula dengan sebelum kenabian sehinggalah cabaran dakwah menuntut Rasul berhijrah ke Yathrib. Cabaran getir ini menunjukkan Islam terlebih dahulu diasak secara ofensif, diganasi dan diancam hingga maut galang gantinya.

4. Fasa Madinah didahului dengan profail 13 siri peperangan antara Aus dan Khazraj yang kita tidak pernah ambil tahu sebelum ini. Rupanya ayat perpaduan bukan hanya kepada Muhajirin dan Ansar, bahkan dikalangan partikel Ansar itu sendiri yang asyik bergasak sesama sendiri hinggalah Rasul datang menyatukan. 

5. Buku ini mengenalkan kita tentang istilah perang yang dibahagikan kepada 3, ada Ghazwah, Sariyah dan Ba’ats, kita mungkin hanya mengenal Ghazwah tapi kurang mengambil pusing Sariyah dan Ba’ats, rupanya kedua-dua teknik peperangan ini adalah komponen penting sebelum dan selepas peperangan primer yang kita tahu.
Dabbabah
6. Susun atur buku direka untuk difahami dan disimpan jitu dalam kepala. Ensiklopedia kronologi peristiwa memperlihatkan hubung kait satu perang kepada perang yang lain. Contoh peperangan Uhud tahun ke tiga Hijrah mukasurat 76 hingga 85. Gaya penyusun dihidangkan seperti berikut:

Garis Masa dan Ringkasan Bab: lakaran peta minda bagi membantu pembaca membina kerangka imaginasi dengan konten apa yang berlangsung sepanjang tahun ketiga Hijrah.

Profail Perang: memaparkan statistik, tokoh penting, lokasi secara pengkisahan literasi penuh sebelum, semasa dan selepas perang. Ada antara konten yang dibantu dengan barcode (ms 76) untuk paparan interaktif. (Youtube Ustaz Zahazan di lokasi sebenar perang Uhud di kaki bukit)

Lanskap Perang: mukasurat 85. lebih kurang macam diorama. Jika anda selesai membaca profail perang, lanskap ini akan mengukuhkan ingatan kita terhadap kronologi bernombor yang ditagkan pada ikon lanskap. Siap dengan anak panah menunjukkan pergerakan sesuatu peristiwa. Yang ini paling saya suka.
Manjanik
Ayat Peristiwa: Elemen penting dalam buku ni, melengkapi motto autentik. Sudah pasti sumber sirah mesti bersandarkan kepada otoriti primer. Saya kira kalau pembaca semak dengan tafsir Quran yang dipetik, pastinya perang tersebut akan terpahat dalam ingatan.

7. Memetik kata penutup yang bagi saya boleh membuatkan pembaca ulang baca sekali lagi buku ini:
“Sayang sekali kita dianugerahkan siri peperangan Rasulullah hanya membacanya sebagai kronologi peristiwa semata-mata, sedangkan taktikal, strategi dan percaturan peperangan Nabi ini jika dikaji dan dicermati, sudah semestinya boleh dijadikan rujukan untuk dimanfaatkan di semua medan kehidupan sekalipun bukan di medan peperangan yang sebenar” [273]

8. Paling berharga dalam buku ini adalah Analisis 11 fakta daripada peperangan Rasul (ms. 250+), yang mungkin kita tidak perasan semasa melalui pembacaan sepintas lalu. Tetapi ini yang istimewa apabila fakta dicerna dan dijadikan rukun bernombor. Ibarat buah yang dikupas, dibuang biji dibasuh dan diblender. Jusnya itu adalah nikmat sebenar yang kita mahu dari sebuah “buah”. Membaca analisis ini ibarat kesimpulan yang patut kita boleh ceritakan kepada orang lain, apa yang kita dapat dari ensiklopedia hebat ini. Tahniah Telaga Biru!.

Abu Razeen.
Allahumma Faqqihna Fiddin

Wednesday, November 23, 2022

book review: KOMIK SEJARAH

 Buku: KOMIK SEJARAH

Pengarang: Azrin Ahmad
Mukasurat 192 exc. Cover
Mutu: Cover art card 260gsm+spotUV
Pages paper matte128gsm.
** Buku rujukan: Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 DBP
Penerbit: 2022 Komik Sejarah Malaysia

1. Kenapa kita masih ingat kartun Inspector Gadget, He-Man, She-Ra, Thundercats yang mewarnai hidup zaman kanak-kanak, ini kerana lukisan-kartun akan cepat melekat sebagai simple memory dalam fikiran manusia, terutama imej berulang semasa kecil dan remaja.
2. Begitulah lukisan, karikatur mencorak minda sebelum kenal ejaan dan bacaan. Ternyata lukisan lebih cepat dicetak dalam kanvas ingatan berbanding huruf dan aksara. Idea ini bukan hanya laku untuk kanak kanak bahkan untuk orang dewasa juga.
3. Komik Sejarah dengan strategi marketing facebook berjaya memikat pencinta sejarah, pelajar dan peminat komik. Walaupun sasaran pasar jelas dicetak seawal kulit buku sebagai ‘KSSM Tingkatan 4’, namun saya lebih tertarik dengan idea menggambarkan sejarah dalam bentuk komik. Inilah niat murni Azrin Ahmad (Penulis) yang anda akan jumpa jika anda berjaya kuliti perincian lukisan dari kulit depan sampailah ke belakang.

5. Kali terakhir pegang buku sejarah masa SPM tahun 1992, bila tengok Komik Sejarah ternyata banyak perubahan isi kandungan dalam tempoh 30 tahun berlalu. Masa dahulu sejarah bersumber dari orientalis macam WG Shellabear atau Winstedt Raffles, tapi kini banyak yang telah dimurnikan, lebih advance sukatan sampai WW1 dan WW2.


6. Selain karakter terkenal dalam sejarah, terdapat figura kontemporari yang mudah dikenali walau oleh kanak-kanak. Ini menjadikan Komik Sejarah bukan sahaja mendidik pelajar untuk periksa tapi boleh jadi hiburan kepada kanak-kanak dan bacaan santai orang dewasa.
7. Penting bagi saya sebagai peminat sejarah peperangan dan ketamadunan, apabila Penulis menggarapkan fakta dengan rajah yang sangat membantu. Jika anda perasan corak serangan Blietzkrig German dalam WWII ditiru oleh Jepun apabila menakluk Malaya dari Utara sampai Singapura hanya dalam tempoh dua bulan sahaja. Lihat mukasurat 64.
8. Penulis bukan sahaja menggambarkan sejarah semudah grafik komik, malah meletakkan beberapa anekdot sinis dan humor untuk lebih dekat dengan mood pembaca pada fakta yang hendak disampaikan. Contohnya dialog penyerahan negeri negeri utara tanah Melayu oleh Jepun kepada Siam di mukasurat 65.
9. Sebenarnya lukisan telah lama mendominasi komunikasi manusia awal sebelum tulisan. Malah lebih menusuk berbanding karangan, contoh paling jelas kempen propaganda peperangan. Musuh mungkin tidak mengerti tulisan asing, tapi berbeza dengan apabila melihat lukisan berupa provokatif atau simpatetik.
10. Kesungguhan Penulis mengabadikan sejarah dalam bentuk komik cetakan bermutu tinggi sebenarnya melakar sejarah juga. Sama macam Datuk Lat dalam siri Kampung Boy, karya beliau yang mendunia siapa yang tak kenal?. Saya mengharapkan buku seumpama ‘Komik Sejarah’ boleh menyusur jalan yang sama memberi manfaat kepada seramai umat.
Abu Razeen
لا يلدع من جهر واحد مرتين

Wednesday, November 16, 2022

Round Table Discussion Isu Penguatkuasaan Zakat di Malaysia

 Round Table Discussion Isu Penguatkuasaan Zakat di Malaysia 
di Grand Alora Hotel Alor Setar 
pada 11 hingga 13 Oktober 2022
















Monday, September 19, 2022

TALBIS IBLIS book review



Buku: TALBIS IBLIS
Penulis: IBNU JAUZI ALBAGHDADI
Penerbit: Maktabah Taufiqiah, Husein, Cairo
Helaian: 508ms


1. Karya yang kekal relevan sepanjang zaman. Penulis menghimpunkan dalil dan fakta tipudaya iblis, jangan terkejut jika dalam ibadat dan ketaatan kepada Allah pun iblis masih mampu menipu kita. Hanya memahami konsep ibadat kepada Allah yang benar sahaja dapat menjamin keselamatan dari penipuan ini. Namun untuk sampai kepada konsep faham, maka kena tahu terlebih dahulu. Baca buku ini, semoga kita selamat dijalan baginda Nabi SAW.
2. Ibnu Jauzi al-Baghdadi atau Abu alFarj gelaran di dalam kitab, nama sebenar Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad bersambung titis dari Saidina Abu Bakar R.A. Lahir di Baghdad dalam tradisi keilmuan sehingga bergelar al-Hafiz. Beliau berguru lebih dari 80 orang yang bermazhab Hambali dan Shafie. Mendapat tempat dalam pemerintahan Abbasiah lantaran bermazhab Hambali, penulis juga dikatakan bermazhab Ashairah dari segi aqidah. Melahirkan lebih 150 buah buku dan antara yang termahsyur adalah naskhah pada tangan kita, Talbis Iblis atau tipudaya iblis.
3. Yang menjadikan buku ini istimewa dari yang lain adalah keberanian Ibnu Jauzi dalam membongkar sifat sifat tersembunyi dalam diri manusia, termasuklah yang bergelar abid, pendita, pemerintah malah ulamak, Kritikan Ibnu Jauzi itu dianggap melampau oleh sesetengah pihak dan pernah dibantah melalui buku yang lain pula. Namun oleh kerana kebenaran yang diumpil, maka kekal buku Talbis Iblis diulangbaca sehingga ke hari ini.
4. Seawal zaman Ibnu Jauzi (510-597) kesesatan dalam umat banyak menonjol dari segi idealogi pemahaman terhadap agama itu sendiri, antaranya dari cabang aqidah, seperti Jabariah, Qadariah, Murji’ah, Muktazilah, Syiah dan lain-lain. Bahkan Ibnu Jauzi memprofail pemahaman tersebut sebanyak 72 golongan yang dinamakan pada masa itu. Ajaibnya kumpulan sesat tersebut ada yang masih wujud hingga sekarang namun atas penjenamaan semula yang lebih kontemporari.
5. Kritikan Penulis yang terbanyak adalah terhadap pengamal sufi yang ekstrim pada masa itu. Ini menjawab kenapa buku ini kurang mendapat tempat dalam nuansa tasauf di nusantara. Jika nak dibacapun, haruslah dibimbing oleh guru yang memahami kehendak nas dibawakan penulis. Kebelakangan ini, telah ada Masjid dan Surau yang mendiskusikan buku ini, malah Dr Zahrudin (UZAR) telah menerbitkan buku “Belitan Tipu Daya Iblis” sebagai syarah terpilih dari Talbis Iblis, video Talaqqii UZAR dan Ustaz-ustaz lain boleh diikuti melalui utube, taip sahaja Talbis Iblis, tapi lebih afdhol berguru, lebih berkat.
6. Sebenarnya banyak terjemahan dibuat terhadap naskhah Talbis Iblis, antara yang terawal adalah terbitan Pustaka Nasional, di Malaysia Al-Hidayah Publication dan terjemahan bebas lain banyak datang dari seberang. Namun sewajarnya pembaca perlu lebih teliti dalam membuat pembelian, kerana terdapat terjemahan yang mengurang dan menambah dari versi asal. Malah dengan sengaja memasukkan Ashairah sebagai antara kelompok yang sesat, sedangkan Ibnu Jauzi tidak pernah menyatakan sedemikian.
7. Cuma satu isu kekeliruan yang dianggap masih belum selesai sehingga ke hari ini, apabila terdapat penerbit yang telah menamakan Ibnu Qayyim al Jauzi sebagai penulis Talbis Iblis. Mungkin perkataan “Jauzi” itu menyebabkan penerbit keliru, bukan sahaja penerbit bahkan orang awam pun masih tidak dapat bezakan antara dua sosok ilmuan tersebut. Hakikatnya Ibnu Jauzi alBaghdadi meninggal pada 597H, manakala Ibnu Qayyim al Jauzi lahir pada 691H. Jarak masa keduanya memakan 94 tahun. Ibnu Jauzi juga dikelirukan sebagai satu kem dengan Ibnu Taimiyah lantaran ketegasannya. Hakikatnya Ibnu Taimiyah lahir pada 661H, iaitu 64 tahun selepas Ibnu Jauzi meninggal dunia. Jadi tak hairanlah ramai yang alergik dengan gelaran “Jauzi” hanya disebabkan kekeliruan ini.
8. Sebenarnya apa yang dialami oleh Ibnu Jauzi pada zamannya, masih lagi dihadapi pada hari ini. Namun tidak lagi menggunakan nama turath umpama Muktazilah, Qadariah, tetapi dalam label moden seperti sekularis, pragmatis, liberalis atau ekstrimis. Semua ini adalah tipudaya iblis yang bijak lagi licik bagi menutup cahaya kebenaran. Jestru buku ini wajar dibacakan oleh guru-guru dipentas kuliah dan ceramah bagi menangani kebejatan pemikiran hari ini. Hinggakan mimpi pun dijadikan panduan, itupun ada orang yang percaya dan ikut. Memang betullah akhir zaman. Hasbiallahu wanikmal wakil!
Abu Razeen
Perjalanan Mimpi oleh Pemimpi.

IDHOHUL BAB LI MURIDIN NIKAH BI SAWAB


Kitab: Idhohul Bab li Muridin Nikah bi Sawab
Pengarang: Syeikh Daud bin Abdullah Al Fathani
Penerbit/Pencetak: Percetakan Halabi Fathani
Tahun selesai tulis: 23/04/1809M
 
1. Ringkasnya Kitab ini tentang Fiqh Nikah, Kahwin, Cerai, Ruju’ dan yang berkaitan. Kalau ikut terjemahan Syeikh Daud ia adalah “Pada menyatakan bagi yang berakal yang berkehendak berkahwin dengan sebenarnya” atau jika diringkaskan kepada bahasa moden “Panduan kepada yang hendak bernikah dengan betul” gitu.

2. Penulisan Syeikh Daud (Syeikh) seorang ulama Melayu Fathoni telah memberi pengaruh besar terhadap perkembangan ilmu nusantara. Sama ada di madrasah, pondok, pasentran, surau, masjid hinggalah ke pusat pengajian tinggi.

3. Meskipun naskhah ini telah berusia lebih dua kurun (213 tahun ; 2022-1809), namun isi kandungannya tidak pernah susut nilai di kalangan pembaca. Kehadiran ratusan kitab munakahat yang diterjemah dan ditulis sepanjang masa tetapi isi kandungan Idhohul Bab masih tetap relevan sehingga ke hari ini.

 4.  Bab awal dimulai kelebihan bernikah dan hukum taklifi bagi orang yang bernikah, dipadatkan bab ini dengan nas ciri-ciri bakal isteri, merisik, bertunang, cara melihat tunang, hari disunatkan berkahwin, walimah, khutbah nikah dan kewajipan suami terhadap isteri.

5.  Bab seterusnya vital bagi yang melaksanakan syariat iaitu rukun nikah dan syaratnya, orang yang haram dinikahi, maskahwin atau mahar. Bab ini juga banyak membincangkan masalah Ijab dan Qabul yang menjadi klimaks majlis akad.

6. Bab Talak antara kandungan Kitab wajib hadam, menyedari bahawa “langit tidak selalu cerah, hidup tidak selalu indah”, Syeikh telah mengisi bermacam bentuk lafaz talak sama ada dalam situasi biasa atau kadangkala tak tercapai akal pula, contohnya “jika ada burung ini burung gagak, maka isteriku tertalak”, pelik bagi anda tapi tak pelik bagi orang Mahkamah Syariah dan Pejabat Qadhi juga.

7. Selepas Talak, Syeikh melengkapkan “afterburn” dengan bab ruju’, iddah, ila’, zihar, nafkah dan jagaan. Seperti kitab rujukan fiqh muta’akhirin yang lain, setiap bab dikukuhkan dengan masaalah, faedah, furu’ dan khatimah. Jika teks asal terbitan Maktabah Halabi bertulisan jawi menjadi masalah, anda boleh dapatkan alihan rumi Al Hidayah Publishers oleh Ustazah Noraine Abu.

8. Dalam muqaddimah, Syeikh telah menyatakan rujukan terdiri dari Kitab muktabar Minhaj Talibin oleh Imam Nawawi, Fathul Wahab oleh Syeikhul Islam Zakaria al Ansari, Tuhfatul Muhtaj oleh Ibnu Hajar alHaitami, Nihayatul Muhtaj oleh Imam Ramli dan Uddah wa Silah oleh Muhammad bin Ahmad Bafadhlin alHadrami. 

Misykat Misbah fi Syarh al Uddatu wa Silah fi Ahkami anNikah

9. Sebagai rujukan, bagi memahami maksud perkataan yang sukar sama ada disebabkan oleh penggunaan ibarat Melayu kuno atau istilah Fathoni, anda digalakkan untuk membaca Kitab Misykat Misbah fi Syarh al-Uddatu wa Silah fi Ahkami anNikah. Kitab rujukan ini disaran oleh Syeikhuna Syukeri Najib yang merupakan Hakim Mahkamah Syariah Melaka dan ahli Majlis Fatwa Negeri Melaka.

10. Ilmu Nikah Kahwin bukanlah khusus kepada orang yang belum berkahwin sahaja, malah yang sudah bercucu pun perlu kepada ilmu ini. Masakan tidak, hari hari ada orang mendirikan rumahtangga dan hampir setiap masa ada sahaja isu menimpa, jadi tiada salah untuk lihat semula hukum hakam perkahwinan, jika bukan untuk diri sendiri sekalipun malah mungkin untuk orang lain.  


 Abu Razeen
Ilmu suluh jalan

Friday, August 19, 2022

Book Review KOLONEL JIHAD Antara Mitos dan Realiti

 “ ..had merit awards from the Sandhurst academy and served in the UN Protection Force in Bosnia. What is it that changed Lt Kol Abdul Manaf Kasmuri to ..COLONEL JIHAD!”


Buku: KOLONEL JIHAD Antara Mitos dan Realiti
Penulis: Lt Kol Abdul Manaf Kasmuri (B)
Genre: Memoir
Terbitan: Nur Ilham Publication. Klang
Tahun: Cetakan Pertama 2010
Mukasurat: 187 exc- koleksi foto
1. Penglibatan Malaysia dalam perang Balkan sebagai tentera pengaman UNPROFOR adalah fakta, namun ia tidak terhenti disitu. Khabar tentang membekal senjata, melatih pejuang mujahidin Bosnia juga adalah gossip yang kencang. Adakah khabar tersebut benar? Jika benar siapakah orangnya? Kenapa beliau bertindak demikian?. Buku ini ada jawapannya.
2. Petaka kemanusiaan di penghujung abad ke 20 barangkali yang ambil tahu hanya Generasi X. Maklumat perang di rantau Balkan banyak bersumberkan media cetak dan jualan CD di pasar malam sahaja. Belum ada istilah ‘viral’. Pada masa itu sumber maklumat terhad namun masih boleh dipercayai dari media arus perdana, cuma perlu ‘reserve’ berita politik sahaja.
3. Jangkaan asal bila membeli buku ini pada tahun 2010 akan dapat tahu semua tentang fakta militari, aset persenjataan, operasi tentangan dan angka korban kasualti. Namun tekaan ini silap, ia bukan sekadar konflik agresi militer sahaja, tetapi jauh menyusup konflik dalaman diri Lt Kol Abdul Manaf Kasmuri (Penulis).
4. Nilai tambah inilah yang menjadikan Kolonel Jihad sebuah buku memoir yang amat menarik. Pengalaman membaca pada awalnya agak mengelirukan sebab jangkaan minda bab 1 akan bermula dalam hutan beraltitud rendah di lembah Drina, sebaliknya perenggan pertama bab 1 bermula dari dalam kubikel sel bersama tuala ”good morning” di Kamunting. Ironi kan?
5. Pembinaan karektor Penulis dapat dikutip sepanjang 16 bab yang disusun secara defi-kronologi. Perpindahan plot tanpa turutan menjadikan pembaca terpaksa mengingat karektor Penulis yang berbeza mengikut bab. Ada masanya selaku soldadu yang berani, bersemangat dan tidak takut mati, ada masanya pula seakan patah hati, hilang semangat, kecewa dan mempersoalkan hala tuju diri sendiri. Konflik kejiwaan ini kesemuanya digodak bagaikan rojak, namun inilah nikmat pembacaan, hanya yang tahu ..tahu. Satu sudut pembacaan yang saya tak sangka akan dapat dalam buku ini.
6. Pengkisahan hidup Penulis sebelum dan selepas tugasan di Bosnia Herzegovina bagaikan tulang belakang Komander Jihad. Siapa sangka seorang Putra MTD Sungai Besi, mengukir kegemilangan sampai ke Sandhurst, dilantik pula sebagai Pegawai Turus Kanan Markas UNPROFOR Bosnia akhirnya meringkuk dalam Kemta (Kem Tahanan Kamunting). Dari kemuncak protagonis kemudian terhumban dalam penjara macam antagonis, tapi inilah realiti kehidupan yang patut kita baca.
7. Mana datang pangkat “Kolonel Jihad” pula?. Kekuatan fizikal buku ini terdapat pada tatarias, pemilihan warna, selain rekabentuk yang berhak untuk dipuji, judul buku ini juga sangat menarik perhatian. Yang pasti “Kolonel Jihad” bukanlah gelaran yang direka sendiri, tetapi pangkat kurniaan media, kredit untuk Malay Mail terbitan 17 Mac 2003. Belum pernah mana-mana individu dimahsyurkan sedemikian hingga melayakkan kerusi di “istana hinggap” Kamunting selama 3 tahun 8 bulan naungan Internal Security Act 1960 [Akta 82].
8. Amat berterima kasih kepada Penulis, kerana selain sudi berkongsi pengalaman, turut mempersonakan bagi saya adalah teknik penulisan dan pemilihan perkataan pada setiap mukasurat. Meskipun lewat post C19 menyaksikan ramai penulis terbit dengan karya memoir konflik yang menarik, namun dari sudut isi kandungan dan laras bahasa, buku Kolonel Jihad masih menjadi yang
terbaik
9. Petikan Bab Keenam mukasurat 52:
“…mayat seorang lelaki dewasa yang mati kerana dipanggang, dari raut ekspresi mukanya aku dapat rasakan kesakitan yang amat sangat sebelum rohnya menyisih pergi meninggalkan jasadnya. ..relung hatiku bertambah hiba apabila menyaksikan mayat tiga kanak-kanak perempuan dibedah dan dibakar…”
10. Sesungguhnya tragedi Bosnia adalah dosa PBB yang berlumur darah, tak akan dapat dibasuh walau air tujuh lautan, memetik tulisan Tony Judt: Postwar: A History of Europe Since 1945
“Srebrenica was officially ‘protected’ not just by UN mandate but by a 400-strong peacekeeping contingent of armed Dutch soldiers. But when Mladić’s men arrived the Dutch battalion laid down its arms and offered no resistance whatsoever as Serbian troops combed the Muslim community, systematically separating men and boys from the rest. The next day, after Mladić had given his ‘word of honor as an officer’ that the men would not be harmed, his soldiers marched the Muslim males, including boys as young as thirteen, out into the fields around Srebrenica. In the course of the next four days nearly all of them—7,400—were killed. The Dutch soldiers returned safely home to Holland.”
Abu Razeen
Baca Kolonel Jihad anda akan jumpa
1001 pengajaran disebalik perang bosnia untuk tanahair kita.

Thursday, June 23, 2022

RAHEEQ MAKHTOUM (1)

Raheeq Makhtoum yang nyaris dilupus anai anai akibat tidak disentuh selama 10 tahun

BOOK REVIEW: RAHEEQ MAKHTOUM (1)
Buku: Raheeq Makhtoum
Penulis: Safiurrrahman Mubarakfuri
Terbitan: Darul Manar, Cairo (1998)
Mukasurat: 411
Harga: EP8.00
Beli: Cairo International Book Exhhibition 1999 

rakaman umrah El Izzah, Disember 2017 kalau tak silap

1. Jika diberi pilihan buku tanpa kritikan atau yang telah diuji adu dengan kritikan, mana satu pilihan anda?. Sudah pasti buku yang telah dikritik, dipertanding ilmuwan, ditilik ulama’ dan diterjemah perbagai bahasa punya kredibiliti untuk dikhatam. “Raheeq Makhtoum” ialah buku perjalanan hidup Nabi yang “selamat” untuk dibaca.

bila kita beli buku, kemudian tak baca, Allah hantar makhluk lain untuk manfaatkan. Pengajaran penting buat pencinta buku. Beli buku buat penandaan tarikh beli dan harga untuk memori

2. Reputasi Raheeq Makhtoum yang mendunia tidak menghairankan kerana lahir dari dulang emas sayembara mengarang buku sirah Nabi anjuran Rabitah al Alam Islami. Buku yang selesai dikarang pada 23 Julai 1976 dimahsyurkan sebagai buku terulung pada hari Maulidurrasul 1399H (09 Feb 1979) [Keputusan diketahui 1978]

Syeikh Safiurrahman al Mubarakfuri sewaktu muda, dari Mubarakfur di India. Universiti Salafi

3. Untuk mendapatkan buku sirah terbaik, 9 syarat diletakkan antaranya lengkap susunan peristiwa mengikut turutan masa, bukan plagiat, menyatakan sumber rujukan, ditulis dalam Bahasa Arab dan Bahasa pilihan, manuskrip yang lengkap ditaip dan lain-lain. Pertandingan ini disertai sebanyak 84 esei dalam Bahasa Arab, 64 bahasa Urdu, 21 bahasa Inggeris, satu Perancis dan satu Housawi.

As-Syeikh Safiurrahman gambar terkini dari youtube menyampaikan kuliah dalam bahasa Urdu. India menempatkan banyak tuanguru dan murid pengajian hadis tersohor.

4. Safiurrahman telah memenuhi semua keperluan ini dan menggendong hadiah 50,000.00 Riyal Saudi. Pengalaman membaca buku ini sangat mengujakan tambahan lagi jika dapat menjejak tapak Rasul dan Sahabat di bumi Hijaz. Setiap peristiwa digambarkan dengan baik oleh Penulis tanpa menjejaskan sumber ambilan.

mukasurat 40 Marhalah Ketiga, Dakwah Rasul di luar Mekah, dimulakan dengan Taif

5. Bagi membina gambaran pembaca, seawal 5 bab pertama ditumpukan kepada geopolitik Arab serta titisan leluhur Nabi. Pentingnya memahami persekitaran Hijaz adalah untuk memperlihatkan bagaimana seruan Nabi tidak bermula dengan sambutan dan perayaan, ia adalah perjalanan yang getir dan ujian yang maha hebat.

segugus anggur pengubat duka, Addas hamba yang merdeka jiwa

6. Keistimewaan buku ini terserlah pada tajuk topik yang diberikan pada setiap bab, ia mempermudahkan minda untuk meletakkan kedudukan titik garis masa. Contohnya pada mukasurat 40 “Kelahiran hingga 40 tahun sebelum perutusan wahyu”. Tajuk subtopik diringkaskan ..”Pendeta Bahira”, “Peperangan al-Fijar”, “Perjanjian Al-Fudhul” dan lain –lain … dimana tajuk itu adalah pointnya. Jadi mudah untuk kita berhenti seketika dan hadamkan cerita sebelum masuk ke subtopik yang lain.

Masjid Al-Addas di tengah kebun sayur Taif. Sejarah getir perjuangan dilakar 80 batu di luar Mekah, Taif dan Addas pembuka ruang dakwah

7. Membaca buku sirah memperlihatkan gaya penulisan berbeza antara penulis. Ratusan buku sejarah telah diterbitkan dan masih tiada henti hingga kini. Seawal Bidayah Wan Nihayah, Qasasul Anbiya’ oleh Ibnu Kathir, Tarikh al-Tabari yang bersifat primer ataupun Fiqh Sirah oleh Said Ramadhan Al-Buthi, Sirah Nawabiyah Durus wa Ibar oleh Mustafa Siba’I hinggalah “Muhammad” oleh Martin Lings yang bersifat sekunder. Rujukan Penulis sendiri sebanyak 60 buah buku pelbagai disiplin, menjadikan naskhah “Raheeq Makhtoum” adalah gerbang kepada kitab sirah yang lain.

Jarak Mekah dan Taif 90km Rasul bersama Zaid bin Harithah berjalan kaki ke Taif.

8. Kenapa judul “Raheeq Makhtoum”?, persoalan yang saya tak puas hati sampai sekarang. Sebenarnya judul buku ini diambil dari Quran, Surah Muthaffifin ayat 25 memberi terjemahan “minuman yang termetrai bekasnya”. Jika dirujuk ke Tafsir Qurtubi ada yang bererti “arak suci yang tidak tersentuh” dan pelbagai lagi tafsiran. Yang buat saya tak puas hati sebab dalam kata penghantar Penulis, tiada sebarang penjelasan dibuat. Yang ada diluar buku hanya tanggapan oleh pengulas buku yang lain. Atau mungkin Penulis pernah jelaskan, tetapi tidak ketemu dalam pencarian saya.

9. Apapun persembahannya, kebitaraan beliau terserlah apabila menjadikan perpindahan topik ke topik sangat mudah dihadam dan diingat seumpama melihat kronologi. Sesungguhnya riwayat hidup Nabi adalah terlalu hebat untuk dikarang dalam hanya sebuah buku namun untuk gaya pembacaan abad ke 21 “Raheeq Makhtoum” berjaya memberikan penyesuaian. Milikinya dan anda tidak akan pernah puas dengan riwayat hidup Baginda… selepas bacaan ini.

 

Abu Razeen
Baca buku ni tinggal 15 hari di Mekah dan 15 hari di Madinah. (bucket list)