Friday, August 13, 2021

SENI KERIS

SENI KERIS :
~~~~~~~~
~ #FazlinaZahari
    07 Januari 2020; 00:33
    edit #HayamArirang

Jika keris menjadi senjata pendekar Melayu, pastinya dipenuhi "seni permainan" yang penuh "rahsia".

Di dalam dunia persilatan, seseorang yang tahu berseni keris akan tahu "bisa keris" di tangan. Orangtua-tua dahulu (para pesilat lama) menyimpan keris kerana mereka tahu berseni keris dan tidak menjualnya. Setiap keris lama ada cerita, rahsia, dan adat tersendiri yang bukannya dibuat sesuka hati.

Oleh itu, permainan keris di dalam persilatan perlu ditunjangi gerak seni yang diperkukuhkan dengan unsur-unsur keunikan, kehalusan, kekuatan, dan keberkesanan gerak permainannya. Gabungan "keharmonian" minda pesilat, gerak rasa yang mendalam turut memainkan peranan yang penting agar permainan seni keris itu benar-benar "hidup".

Gaya memegang keris perlu difahami terutama kepada para pesilat atau seseorang yang sedang mempelajari "ilmu berkeris" agar tidak tersilap langkah yang boleh menyebabkan keris sendiri memakan tuannya kembali.

Mata keris sentiasa menghadap ke hadapan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap musuh setiap masa. Genggaman keris yang betul akan mempermudahkan keris digunakan oleh pesilat untuk menikam mangsa, samada musuh berdiri dengan kuda-kuda, atau terbaring rebah di tanah.

Gerak-geri seni berkeris dapat dirasai apabila gerakan menghunus, menolak, dan menikam ditunjangi kekuatan zikir dan "gerak rasa" daripada belakang tangan. Ibu jari menjadi kunci utama pergerakan "menggelek keris" (setelah keris ditusuk ke dalam badan). Manakala jari petunjuk memainkan fungsi utama mengeluarkan keris daripada sasaran. Keris ditikam dengan pusaran lengan, bila mengenai rusuk, dua tulang rusuk pasti terkepak.

Dalam ilmu persilatan, hal ini diistilahkan "gerak dengan petua, pegang berasa" kerana langkah musuh pun berahsia. Begitulah kepentingan berilmu yang perlu dipelajari dan difahami oleh pengamal "Seni Keris".

Apabila gerak sudah ada petua, petua pula bersama seni. Semasa menikam, musuh sukar untuk mengelakkan diri walau ke kanan, ke kiri, ke luar, dan ke dalam kerana setiap pergerakan lawan bakal menerima musibah dan tindak balas di luar jangkaannya. Bak kata-kata lama orang tua,

  "hendak cuit telinga, bagaimana
   dicuba elak sekalipun, tetap dicuit
   atau tercuit".

Dari sudut sifat orang Melayu melalui cara memegang keris, genggaman tangan dengan ibu jari ke hadapan dan empat jari yang lain digenggam ke dalam telapak tangan menunjukkan orang Melayu yang mempunyai sifat rendah diri, menghormati, dan beradab sopan. Namun, dalam kelembutan sifat orang Melayu itu tertera ketegasan, keberanian, dan kewaspadaan sepanjang masa.

Hal ini dibuktikan dengan senjata keris itu menjadi simbol sifat-sifat tadi. Jelaslah, bahawa cara genggaman keris merupakan simbol kepada sifat orang Melayu yang bersopan-santun dan berlemah-lembut. Manakala keris menjadi simbol pada keberanian, kehebatan, dan kekuatan bangsa Melayu.

Cara mengeluarkan keris pendekar Melayu pula mempunyai sedikit perbezaan dengan cara gaya penjurit (pesilat) Jawa.

~ Menurut "O’ong Maryono" (penulis
    Indonesia), selepas keris dikeluar
    kan senjata itu dibawa ke hadapan
    dan dikucup. Penjurit (pesilat)
    Jawa pula akan membawa mesej
    melalui pergerakan tadi iaitu,

        “Ia milik ku dan hak ku”.

~ Seterusnya, setelah dikucup dengan
    mesej yang disampaikan, penjurit
    (pesilat) Jawa akan mendekatkan
    keris itu ke ulu hatinya. Perbuatan
    ini untuk mendapatkan resapan
    makhluk halus ke dalam tubuh
   "si pemakai", jika ia memakai
   "Perewang" atau "Pendamping".

~ Bagi pendekar Semenanjung pula,
    keris yang telah dikeluarkan dari
    sarung akan dihalakan ke hadapan
    sebagai menyatakan “Ini Keris,
    Keris digenggamanku”.

~ Berbeza dengan pendekar Melayu,
    keris yang telah dikucup akan
    dibawa ke hadapan semula dengan
    lafaz di dalam hati,

   “Semua ini milik ALLAH".

~ Lazim juga di dalam seni tempur
    perang dengan berkeris, pendekar
    Melayu mencabut keris dengan,
    ~ mengucapkan,
       "Bismillahi Allahu Akbar";

    ~ menghunus keris ke langit dan
        ucapan "Laa ilaaha illallah";

    ~ mengucup bilah keris yang di
        hunus ke langit dengan Selawat
        atau,

       "Laa ilaaha illa anta subhanaka
        inni kuntu minadz dzaalimiin".

       [Doa ini lazimnya dibaca di
        dalam situasi "Tempur Perang"
        kerana harus "Membunuh atau
        Dibunuh"].

~ Permainan keris adalah seni keris
    di mana permainannya dalam
    kedudukan yang dekat dan rapat.
    Kadang-kadang juga disebut
    dengan nama "Merapat Maut", dll.

    Sehinggakan, mengelak tikaman
    keris yang dihalakan ke sudu hati
    (Ulu hati; "solar plexus"), hanya
    berkisar ke samping membuatkan
    tikaman bilah mata keris benar-
    benar melintas dan hampir-hampir
    saja mencecah dada. Begitulah
    rapatnya permainan "Seni Keris".

Bagi pahlawan Jawa, keris ialah senjata terakhir sekiranya senjata-senjata lain seperti lembing dan parang tiada lagi di dalam genggaman. Keris bagi pahlawan Kepulauan Indonesia ini dianggap suci dan keramat. Apabila dicabut, ia dianggap harapan terakhir "si pemakai" dan rohaninya akan bercantum dengan dunia mistik (makhluk halus), jika pemilik keris memakai "Perewang" atau "Pendamping". Pastinya cara ini bertentangan dengan budaya, fikiran, dan pegangan bangsa Melayu yang berlandaskan ajaran-ajaran Islam.

Pesilat juga harus memahami pantang larang "bertari keris". Setelah keris dihunus keluar, pantang bagi seseorang pesilat mengadapkan mata keris pada diri sendiri. Hal ini ditakuti senjata tadi boleh memakan tuannya kembali.

Hujung mata keris juga jangan melintasi tangan di sebelah. Kelak, musibah yang sama bakal berlaku kepada diri pesilat. Kedua-dua pantang larang ini untuk mengelakkan pesilat daripada melakukan kesilapan gerak tari dan pencak seni yang boleh memberikan mudarat kepada diri sendiri.

Sarung keris ditegah untuk ditinggalkan ataupun diletakkan di tempat yang lain semasa berpencak. Sarung keris haruslah disisip di pinggang atau dipegang kerana sarung juga merupakan senjata yang menjadi penahan atau penangkis serangan-serangan musuh.

Jika seseorang pesilat mampu "mencuri" sarung keris milik lawannya, ia telah dianggap satu "kemenangan" bagi pihaknya dan bebanan kesusahan untuk lawannya.

Keris turut boleh "bergaya" atau "bermain" seperti senjata-senjata Melayu yang lain. Bagi orang-orang lama (pesilat-pesilat tua), tunjang seseorang pendekar dapat menguasai kemahiran permainan senjata-senjata Melayu yang lain ialah setelah berjaya menguasai "ilmu keris".

Disebabkan itulah, seseorang pesilat dapat membayangkan dirinya memegang senjata-senjata lain seperti parang, lembing, pisau, belati, seligi, kerambit, lawi ayam, runcing daek dan mudah menguasai permainan senjata-senjata ini.

Permainan "hak" atau "persalinan" bermula "sembah guru" (menghormati orang di hadapan, membawa mesej agar berwaspada) mesti mempunyai kesepaduan ibarat tali yang utuh iaitu tapak (tapak sedia, tapak Melayu, tapak panglima), jual beli (buka ruang, umpan sasaran), pencak (gerakan tangkisan, pukulan), seni (kuncian, membinasa, hukuman), langkah kaki, dan gerak mata perlu bersatu.

Kaedah gerak perlu dirasa dan dihayati sedalamnya agar rentak dan tari keris "bernyawa". "Nyawa" keris terletak pada kesepaduan tadi yang menjadikan seni sebagai "roh atau batinnya".

Namun, seni permainan keris bukan mudah untuk dihuraikan. Perkara itu bertumpu kepada "gerak rasa" si pemakai dan "pakaian silatnya". Kaedah-kaedah biasa dalam "bertari keris" ialah cara kedudukan berdiri.

Jika seseorang pesilat tidak berpusat dengan betul pada tapak sedianya, boleh membuatkan pemegang keris jatuh tergolek apabila melangkah sedikit laju.

Pergerakan "ambil angin" ialah langkah awal seseorang pesilat menggerakkan pencak permainannya. Keris yang ada dalam genggaman akan bergerak atau "dihidupkan" untuk menanti musuh. Setelah sasaran diketahui dan didapati, serangan secara menghunus atau menikam menjadi penggerak "niat" pemegang keris itu.

"Hirisan dan putaran keris" melengkapkan niat tadi. Lok keris membantu mengoyakkan kulit. Bilah pula merobek isi badan. Mata keris dapat membuatkan mangsa putus urat hingga terhiris tulang. Manakala menarik keris keluar membawa mesej "kepuasan" si pemegangnya dengan isi daging musuh turut dibawa keluar. Begitulah "bisa keris". Makan apabila lapar; Berhenti setelah kenyang.

Gerakan-gerakan ini bukan sahaja dapat dirasai dan dihayati oleh pengamalnya, malahan dalam kisah Wali Songo yang ditulis oleh "Kiyai Sidek Maulashah Marikan" (Mahaguru Seni Silat Cindai Putih) mengenai "As-Syeh Sunan Kudus" (Majalah Seni Bela Diri 2001: 37) turut menggambarkan situasi berikut berdasarkan ayat,

   ”Maka ditusukkan siku Ki Ageng
    dengan hujung keris tersebut. Ki
    Ageng langsung mati ... ”.

Jika diamati dengan lebih teliti gerakan serangan dan tikaman keris umpama pergerakan-pergerakan unsur alam;

~ Hirisan dan putaran mata keris
    ibarat kocakan dan pusaran air;
~ Hentakan hulu keris atau sarung
    nya umpama pergerakan pohon
    yang tumbang;
~ Tikaman keris (hukuman) seolah-
    olah gerakan halilintar di langit.

Malahan, badan-badan keris juga diibaratkan anggota-anggota badan manusia.

~ Mata keris yang berfungsi untuk
    menikam, menghiris, merobek,
    merodok, mencucuk, melibas, dan
    menusuk sama fungsinya dengan
    tangan yang boleh mencengkam,
    merobek, menetak, menusuk dan
    melibas.

~ Hulu keris berfungsi menghentak,
    menuku, mengaut dan mengait.
    Peranan hulu keris pula seperti
    siku yang mampu menghentak,
    menuku, menyinggung, dan
    mengepit.

~ Manakala sarung keris berperanan
    mengalih, menekan, menghentak,
    menolak, dan menangkis sama
    seperti peranan lengan manusia
    bagi mengalih, menekan,
    menangkis dan menolak.

Setiap gerak keris "bertutur", keris pula "bercerita". Apabila langkah dipasang, gerak "bertutur kata" ;

   “Hak ini Hak ALLAH, Gerak ku,
    Kudrat ku dari Kuasa-NYA”.

Cara gaya pendekar berkeris ada madahnya;

  “Musuh menanti bakal disambut,
   datang berpusu bakal ditusuk.
   Namun yang menikam bukan
   tanganku, tapi gerak takdir sebagai
   penentu".

Segala pergerakan permainan keris yang disamakan dengan unsur-unsur alam serta "cerita dan madah berkeris" memperlihatkan kreativiti, daya imaginasi, manifestasi serta kejiwaan bangsa Melayu yang begitu tinggi.

Hal ini juga membuktikan bahawa bangsa Melayu dapat berinteraksi dan mengharmonikan unsur-unsur alam di sekelilingnya dengan cara perlakuan yang penuh berdisiplin hasil ketajaman minda, kefahaman dan pengolahan yang baik.

Jika disingkap lipatan tawarikh silam dalam Kerajaan Melayu khususnya di negara kita, keris telah diletakkan pada kedudukan yang "istimewa".

Dalam lingkungan istana, keris dijadikan tanda kebesaran, tanda pangkat dan alat kelengkapan pakaian seragam terutama dalam majlis upacara rasmi.

Antaranya Keris Panjang Di Raja (Keris Kerajaan) sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan yang dipakai oleh ketua pemerintah negara. Tanpa keris, pakaian itu tidak dianggap lengkap. Begitu juga dengan pembesar-pembesar, pegawai-pegawai Kerajaan, rakyat mesti memakai keris apabila menghadiri upacara tertentu di istana.

Kebenaran ini dibuktikan oleh Dr. Hamka dalam buku Sejarah Melayu: Sejarah Umat Islam melalui ayat,

  “Jika masuk ke dalam istana tiada
   berkain pancung dan tiada berkeris
   di sebelah muka, tidaklah boleh
   masuk ke dalam istana walaupun
   sesiapa".

Namun, cara dan peraturan memakai keris kini tidak lagi dititikberatkan. Berbanding masa dahulu, masyarakat mengetahui jenis keris dan aturan memakainya. Bersesuaian dengan penghargaan dan kekeramatan yang ada, keris turut dijadikan sebagai senjata DiRaja untuk upacara Pertabalan Raja.

Berpandukan kepada sejarah Kerajaan Melayu Melaka pula, keris menjadi salah satu lambang penyerahan tugas DiRaja oleh Sultan ketika pelantikan seseorang Panglima atau Laksamana untuk melaksanakan kewajipan yang diamanahkan.

Sesetengah pemilik keris sanggup menyimpan senjata ini yang menjadi warisan keturunan sebagai artifak yang cukup berharga dan mesti dihormati.

Selalunya penjagaan dan pewarisan keris berhubung kait dengan sejarah keturunan yang boleh dibanggakan. Bagi golongan pesilat atau pengamal seni permainan senjata ini, keris yang diwarisi turun-temurun dijadikan pusaka yang berharga.

Cerita yang ada pada keris dapat menemukan Sejarah dan Salasilah Keturunan mereka. Keyakinan terhadap fungsi dan jasa yang besar dalam sejarah sesuatu perjuangan oleh keturunan dan jasa keris itu sendiri kepada pemilik sebelumnya menjadi landasan khusus seseorang pewaris tidak begitu mudah untuk menjual atau memberikan kepada orang lain yang tiada perkaitan darah atau sejarah keturunan.

Selain itu, keris tersebut boleh menjadi peniup semangat, pendorong terhadap keutuhan dan kegemilangan keluarga serta keturunannya.

Kesimpulannya, keris merupakan simbol pusat budaya dan pemahaman terhadap Sejarah sesuatu bangsa. Reka bentuk keris menjadi cerminan bangsa Melayu yang menggambarkan kreativiti, manifestasi yang tinggi, seni ukir dan tukangan yang begitu halus hasil ketajaman fikiran penukangnya.

Hasilan ini diindahkan dengan seni penggunaan dan seni permainan dalam Silat Melayu yang diharmonikan dengan pergerakan-pergerakan yang penuh "berisi" dan "berahsia" hasil pengungkapan dan pengolahan minda yang begitu mendalam. Keris turut menjadi lambang, darjat dan kudrat kekuasaan bangsa Melayu yang mencerminkan ketinggian budaya dan ketamadunannya.
...

Wednesday, August 4, 2021

ADAKAH KAKITANGAN AWAM BOLEH DISAMAN

Seorang sahabat bertanya tentang kedudukan penjawat awam. Adakah mereka boleh disaman atas tugas mereka atau sebaliknya. Pertama-tamanya fahamkan erti saman itu dulu. Saman boleh jadi Saman Jenayah atau Saman Sivil. Perbincangan ini adalah mengenai Saman Sivil. Iaitu permohonan atau tuntutan yang dibuat bukan oleh Timbalan Pendakwa atau Pendakwa Syarie. 

1. Adakah Penjawat Awam boleh disaman?

Secara asasnya, semua orang boleh disaman. Semua kuasa yang terbit dari undang-undang mestilah dilaksanakan mengikut undang-undang. Ini termasuklah sesiapa yang berjawatan di pejabat kerajaan, termasuk Perdana Menteri, menteri, ahli parlimen, institusi awam dan juga penjawat awam.

Semakan kehakiman adalah proses untuk memastikan undang-undang dilaksanakan dalam negara. Mahkamah yang melaksanakan semakan kehakiman akan melihat sama ada agensi pelaksana melakukan tugas mengikut kuasa yang diberikan kepadanya. Oleh yang demikian tiada orang atau agensi yang keputusannnya mengatasi undang-undang. Prinsip undang undang yang dilaksanakan di Malaysia adalah bukti kepada kerajaan berasaskan demokrasi yang berfungsi

Prinsip ini tidak terhad kepada undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan, tetapi meliputi keputusan yang dibuat oleh undang-undang tersebut. Contohnya Akta Prosiding Kerajaan 1956 membenarkan tindakan terhadap kerajaan diambil atas undang undang kontrak dan tort.

2. Apabila penjawat awam disaman, apakah tindakan ketua pejabat?

Ketua Jabatan atau Ketua Pejabat hendaklah mengemukakan notis/saman serta pernyataan tuntutan dikemukakan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri tersebut, bagi negeri, manakala bagi Wilayah Persekutuan kepada Pejabat Peguam Negara.

Bidangkuasa Penasihat Undang-Undang ini dinyatakan dalam seksyen 22 dan 22(1) Government Proceedings Act 1956, contohnya bagi negeri:

Parties to proceedings by and against a State Government

22. (1) Civil proceedings by or against the Government of a State shall be instituted by or against the Government of such State.

(2) Where any civil proceedings against the Government of a State are instituted, an application may at any stage of the proceedings be made to the court by or on behalf of the Legal Adviser of such State, or, in the case of the States of Sabah and Sarawak, the State Attorney General to have the Federal Government or the Government of such other State as may be specified in the application substituted for or joined with the Government of such State as defendant to the proceedings.

Prosiding tersebut walau saman terhadap Pendaftar contohnya, tetap akan dihadiri oleh Peguam Persekutuan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang. Tidak boleh mewakili diri sendiri atau mengambil peguam selain peguam persekutuan.

Ini untuk kes saman sivil. Sama ada saman di Mahkamah Sivil mahupun Saman di Mahkamah Syariah. Manakala saman jenayah tidak terpakai.

3. Adakah undang-undang yang melindungi penjawat awam sewaktu menjalankan tugasnya?

Ada. Contohnya untuk kakitangan Mahkamah Syariah yang bertindak atas kapasiti lantikan beliau semasa melaksanakan tugas, terdapat seksyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor (2003). Pelindungan ini bertujuan diberikan kepada Hakim dan Pegawai Mahkamah berdasarkan tugas kehakimannya bagi Hakim Syarie dan melaksanakan waran atau perintah yang sah disisi undang-undang bagi pegawai Mahkamah:

(1) Tiada seorang pun Hakim Mahkamah Rayuan Syariah atau Hakim Syarie boleh didakwa di mana-mana Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil bagi sesuatu perbuatan yang dilakukan atau diperintahkan olehnya supaya dilakukan dalam menjalankan tugas kehakimannya, sama ada dalam had bidang kuasanya atau tidak, dan tiada apa-apa perintah bagi kos boleh dibuat terhadapnya, dengan syarat bahawa dia pada masa itu dengan suci hati percaya bahawa dia mempunyai bidang kuasa untuk melakukan atau memerintahkan perbuatan itu.

(2) Tiada pegawai mana-mana Mahkamah atau mana-mana orang lain yang terikat untuk melaksanakan waran atau perintah yang sah di sisi undang-undang yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah atau Hakim Syarie boleh didakwa dalam mana-mana Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil melaksanakan waran atau perintah itu.

Meskipun Seksyen 76 bertindak sebagai imuniti dalam menjalankan tugas rasmi, namun apabila kakitangan awam disaman, mereka tetap tertakluk untuk menjawab saman tersebut melalui prosedur yang dinyatakan dalam Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Terdapat banyak kes yang melibatkan saman terhadap kakitangan kerajaan, contohnya dalam kes Othman bin M.Dalan @ Lan dan 7 Yang Lain lwn Normala binti Abdullah dan Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Baharudin bin Baharom lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang dalam Jurnal Hukum 41Bhgn 1. Kes Lina Joy lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Jld 24 Bhg 1 dan lain-lain lagi.

Abu Razeen

*Berbeza jika tindakan terhadap kakitangan kerajaan yang dibuat oleh jawatankuasa tatatertib, itu lain kitab. 

MAQASID SYARIAH: PROF. SYEIKH DR. AHMAD AL RAYSUNI


PROF. SHEIKH DR. AHMAD AL-RAYSUNI

KETUA KESATUAN ULAMA' DUNIA
SHEIKH PROF. DR. AHMAD AL-RAYSUNI Ahmad Abdul Salam al-Raysuni dilahirkan pada tahun 1953 di sebuah perkampungan Awlad Sultan di wilayah Larache utara Maghribi. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di tempat yang sama sebelum berpindah ke bandar Fez, Maghribi, tempat beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang Islam dari Universiti AlQarawiyyin pada 1978. Beliau kemudiannya memperoleh MA pada 1989 dan PhD tiga tahun kemudian dari Universiti Mohammed V, Rabat. Tajuk kajian MA: Nazariyyah al-Maqasid 'Ind al-Imam alShatibi; Disertasi PhD: Nazariyyah al-Taqrib wa alTaghlib. Antara jawatan yang pernah disandang oleh alRaysuni termasuklah: 1. Dari 1996 hingga 2003, al-Raysuni adalah ketua pergerakan Al-Tawhid Wa al-Islah yang berpengkalan di Maghribi. 2. Al-Raysuni juga berkhidmat sebagai editor Jurnal Ilmiah Pengetahuan Islam dan merupakan ahli pengasas – dan presiden pertama – Persatuan Islam yang berpangkalan di Maghribi. 3. Dari 1994 hingga 1996, beliau mengetuai Rabitah alMustaqbal al-Islami yang berpangkalan di Maghribi. 4. Pada tahun 2018, al-Raysuni telah dilantik selaku Presiden Kesatuan Ulama Sedunia menggantikan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi. 5. Dari sudut pendidikan, beliau telah mengajar subjek usul fiqh dan maqasid al-Shari‘ah sejak tahun 1986 dan telah menyelia puluhan thesis universiti yang menyentuh isu maqasid al-Shari‘ah dan pemikiran maqasidi. Sekalipun al-Raysuni memiliki pelbagai tulisan yang amat penting berkaitan Maqasid al-Shari‘ah, kitab beliau yang paling mendapat perhatian ialah Nazariyyah al-Maqasid ‘Inda al-Imam al-Shatibi. Tujuan utama kitab ini ditulis adalah bagi mengkaji dan mengetengahkan segala konsep, metodologi dan pemahaman al-Shatibi mengenai Maqasid alShari‘ah. Al-Raysuni membuat satu penelitian bahawa sekalipun al-Shatibi mengkhususkan satu jilid yang berasingan bagi membincangkan isu maqasid, teori maqasid al-Shatibi tidak hanya tertumpu dalam jilid berkenaan, sebaliknya pemikiran maqasid al-Shatibi turut terdapat dalam keseluruhan tulisan beliau yang lain. al-Raysuni berkata: “Apabila al-Shatibi berkata-kata, kita dapati maqasid sentiasa mengiringinya, sentiasa wujud dalam ucapannya dan sentiasa memberikan kesan kepada pandangan-pandangan beliau. Maqasid telah memberikan al-Shatibi satu penelitian yang tepat dan mendalam manakala al-Shatibi pula telah memberikan maqasid lebih banyak penjelasan dan penerangan; sehinggakan hampir-hampir penuntut yang mengkaji al-Shatibi mendakwa bahawa alShatibi tidak menulis melainkan hanya dalam maqasid dan kesan-kesannya” Tulisan al-Raysuni ini telah membuktikan bahawa alShatibi telah membuat pembaharuan yang besar dalam ilmu Usul al-fiqh. Al-Raysuni turut mempunyai sejumlah kitab lain yang membicarakan tentang maqasid dan fiqh semasa: a. Muhadarat fi Maqasid al-Shari‘ah b. Al-Dhari‘ah ila Maqasid al-Shari‘ah c. Madkhal ila Maqasid al-Shari‘ah d. Maqasid al-Maqasid e. al-Qawaid al-Asas li ‘Ilm Maqasid al-Shari‘ah f. al-Kulliyyat al-Asasiyyah li al-Shari‘ah al-Islamiyyah (telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dengan judul ‘Prinsip dan Kaedah Universal dalam Shari‘ah’) g. al-Shura fi Ma‘rakah al-Bina’ (telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dengan judul ‘ Syura dan Demokrasi dari Perspektif Maqasid alShari‘ah’) h. Maqsad al-Salam fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah (telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia) i. Fiqh al-Thawrah j. Dirasat fi al-Akhlaq k. Al-Ijtihad, al-Nas, al-Waqi‘, al-Maslahah Pemikiran Maqasid al-Shari‘ah al-Raysuni tercermin dalam ijtihad-ijtihadnya dalam fiqh dan politik. Beliau berkata, “Maqasid ini telah menjadi roh bagi fiqh dan bagi pemahamanku terhadap agama dan terhadap semua perkara. Maqasid ini telah menjadi manhaj dalam pemikiran dan dalam tingkah lakuku dalam setiap perkara. Aku sentiasa menuruti ungkapan yang dinyatakan oleh al-Shatibi, “maqasid ini ialah roh kepada semua amalan”. Maqasid ini ialah roh kepada nas-nas syariah, maqasid juga merupakan roh kepada hukum-hukum syarak dan maqasid ini turut merupakan roh bagi Syariat Islam. Kesimpulannya, maqasid ini merupakan roh bagi setiap perkara. Maka setiap perkara yang tidak mempunyai maqasid, perkara tersebut adalah umpama satu jasad yang tidak memiliki roh.”

Monday, August 2, 2021

Abu Razeen Book Review : Ziarah ke Alam Barzakh

BOOK REVIEW: ZIARAH KE ALAM BARZAH

Buku: ZIARAH KE ALAM BARZAKH
Penulis: IMAM JALALUDDIN AS-SAYUTI (1445-1505)
Tahun: 2012(M)
Penerbit: Inteam Publishing Sdn Bhd
Mukasurat: 455

1. Buku yang mengingatkan kita: “Manusia itu tidur, selepas kematiannya barulah ia terjaga”. Pengembaraan ke alam ghaib dan segala yang anda perlu tahu (kalau bukan semua) tentang perjalanan yang akan anda lalui …pasti.
2. Karangan salah seorang pendiri Mazhab Shafie. Imam Jalaluddin as-Sayuthi yang banyak menulis hasil agung dalam disiplin ilmu tafsir, hadis dan fiqh. Buku “Ziarah ke Alam Barzakh” adalah versi terjemahan atau ringkasan kepada Kitab “Syarhu as Sudr fi Hal Al-Mauta wal Qubur”.
3. Popular di kalangan asatizah, sehingga banyak huraian (syarah) diterbitkan bersumber dari kitab ini. Tidak ketinggalan keratan video-viral menyentuh hati yang kerap diulang oleh asatizah yang terkenal. Penulis menghimpunkan nas dan kisah seputar kematian dan segenap persoalan mengenai apa sesudah kehidupan.
4. Memperkatakan tentang kematian ia tidak semudah bercakap tentang dunia. Sumber yang menceritakan tentang alam ghaib kita kena hati-hati, tak boleh nak agak-agak atau reka-reka. sebab Allah ada sebut dalam ayat 85 al-Isra’:
"Apabila ditanyakan kepada kamu tentang ruh, katakanlah (Wahai Muhammad) ia adalah urusan Tuhanku, dan tidaklah diberi pengetahuan kepada kamu melainkan sedikit sahaja"

 Jadi sumber yang ada hanya al-Quran, Hadis dan athar Sahabah. Lain dari itu adalah qisah yang dinaqalkan oleh ulama salaf. 

5. Beberapa petikan kandungan yang menarik dalam kitab ini: 

    5.1 Adakah orang mati sebab covid ni mati shahid?
Ada yang menyatakan ya. Syahid dunia. Ini berdasarkan Hadis Abu Hurairah Rasul bersabda: “Barangsiapa yang meninggal dalam keadaan sakit, bererti dia meninggal dalam keadaan syahid.
 m.s 232

    5.2 Adakah kemungkinan, kita yang hidup ini boleh jumpa ruh orang yang sudah mati?
Boleh, berdasarkan Surah az Zumar ayat 42 dan dalil Ibnu Qayyim. M.s 372.

Kedudukan ruh yang dipegang oleh Allah bertemu semasa orang yang hidup sedang tidur. Tafsiran pertemuan orang hidup dan ruh orang yang telah mati diperkuatkan dengan pendapat Ibnu Qayyim.

    5.3 Setelah kita mati adakah kita boleh berjumpa dengan ruh yang lain?
Ya, kita akan berjumpa – dalam Surah Waqiah:  

Ayat 90 dan 91 Surah Al-Waqiah, menyatakan tentang hal keadaan orang yang beriman, apabila matinya akan berjumpa dengan perkumpulan orang yang beriman. Mereka akan bertukar berita antara satu sama lain.

6. Sumber lain yang banyak memperkatakan kematian adalah kitab Al-Ruh oleh Ibn Qayyim al-Jauziyah-AlHanbali, Kitab Daqoiqul Akhbar oleh Syeikh Abdul Rahim bin Ahmad Al Qadhi ulama jawi dan lain lain lagi. Tidak ketinggalan buku terbitan kontemporari dalam pasaran tidak terkira banyaknya. Belilah satu, buat bekalan untuk hari esok. 
Abu Razeen
Jangan Sangka Kamu Akan Masuk Syurga Kerana Banyaknya Amalanmu
Tetapi Bersangka Baiklah Kepada Allah, Kamu akan Masuk Surga Lantaran RahmatNnya.