Wednesday, March 11, 2020

BILA TUNTUT NAFKAH ISTERI TERTUNGGAK, SUAMI TERUS KATA DAH CERAI 7 TAHUN DULU? ..ACANER


APLIKASI KAEDAH "ASAS SESUATU KEADAAN DIAMBIL KIRA DARI MASA YANG PALING HAMPIR" DALAM DAKWAAN CERAI LAMPAU.

SITUASI

Seorang isteri telah diceraikan kali pertama dengan kebenaran Mahkamah pada tahun 2017, sebelum bercerai isteri tersebut telah tinggal berasingan dari suami atas sebab perselisihan faham sejak tahun 2010.

Pada tahun 2020 bekas isteri telah menuntut nafkah isteri tertunggak diantara tahun 2017 hingga 2010. Pihak bekas suami enggan menerima dakwaan cuai nafkah, dan memberi alasan bahawa telah berlaku penceraian pada tahun 2017.

Bekas isteri menafikan ada perceraian pada tahun 2010, dan berkeras menyatakan mereka hanya bercerai kali pertama pada tahun 2017.

Persoalan yang timbul:

i) Benarkah berlaku penceraian pada tahun 2010?

Fakta yang dipersetujui dalam kes ini adalah:

i) Perceraian berlaku di Mahkamah Syariah pada 2017
ii) Pasangan tidak tinggal bersama sejak tahun 2010

Fakta yang tidak dipersetujui:

i) Perceraian pada tahun 2010

JAWAPAN PENDEK:

Dakwaan bekas isteri diterima, tunggakan nafkah keatas suami disabitkan. Kecuali jika suami boleh datangkan bukti berlakunya talak pada tahun 2010.

JAWAPAN PANJANG:

1. Dakwaan bekas isteri bahawa perkahwinan masih kekal sehingga tahun 2017 dibuktikan dengan permohonan cerai pada tahun 2017. Manakala sebelum tahun 2017 tiada sebarang permohonan cerai atau permohonan pengesahan lafaz cerai difailkan oleh mana-mana pihak. Pihak bekas suami mendakwa beliau telah menceraikan isterinya pada tahun 2010, tetapi tidak mendatangkan sebarang bukti, perceraian itu berlaku pada tahun 2010.

2. Dakwaan cerai dari bekas suami hanya timbul apabila bekas isteri membuat tuntutan nafkah isteri tertunggak. Dengan cara mudah faham: bekas isteri dakwa cerai berlaku pada 2017, bekas suami dakwa cerai pada 2010. Jadi dakwaan manakah yang akan diambil kira dalam hukum fiqah?

ULASAN:

3. Kaedah yang dipakai adalah:
"Asas sesuatu keadaan diambilkira dari masa yang paling hampir".

4. Apabila berlaku khilaf dari segi masa kejadian, maka dinisbahkan kepada masa yang paling terdekat, sehinggalah dibukti sabit pembuktian dari masa yang jauh. Jika dapat disabitkan pembuktian dari masa yang jauh, maka wajib untuk berhukum dengan pembuktian tersebut walaupun telah jauh sela masanya.

5. Ini kerana waktu yang terdekat, telahpun disepakati oleh pihak yang bertikai akan hal keadaannya, meninggalkan pihak yang mengatakan kejadian itu berlaku waktu yang terdahulu, bersendirian dalam pendapatnya. Kewujudan sesuatu perkara dalam masa yang terdekat, meyakinkan berbanding dengan yang jauh sifatnya meragukan (syak).(3) Maxim ini adalah subkaedah kepada “Keyakinan tidak digugat oleh keraguan. (4)

DALIL KAEDAH:

6. Dalil 1: 
Kaedah ini diambil dari satu hadis dari Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW apabila ditanya tentang tikus yang terjatuh ke dalam minyak, kemudian didapati mati, apa hukumnya? maka Nabi menjawab, keluarkanlah ia dan apa yang disekelilingnya daripada minyak, manakala bakinya boleh digunakan. [Bukhari: 5112]

7. Yang dimaksudkan dalam hadis ini, tidak diketahui semasa jatuhnya tikus tersebut, samada  minyak di dalam bekas adakah dalam keadaan beku atau cair?.  Fakta waktu masuknya tikus tersebut tidak diketahui, maka Nabi telah menghukumkan ikut waktu yang paling hampir.(1)

8. Waktu semasa adalah ketika tikus itu dijumpai, minyak dalam keadaan beku. Maka yang menjadi najis adalah minyak yang ada disekeliling bangkai tikus tersebut, tidak perlulah dibuang semua sekali.

9. Hadis ini perlu difahami peristiwanya, kita tak boleh samakan minyak yang ada tanah arab sama dengan minyak di rumah kita di Malaysia, minyak di tanah arab ada yang membeku, hampir kebanyakan minyak disana akan beku dan hanya mencair apabila dipanaskan.

10. Tetapi keadaan sebaliknya akan bertukar hukum sekiranya didapati bangkai tikus itu tadi dalam minyak yang cair, maka seluruh minyak dalam bekas itu perlu dibuang sebab telah merebak kenajisan bangkai tikus itu tadi melalui kolam minyak yang cair.

11. Oleh kerana minyak itu beku maka, kita boleh buat pengasingan. Sebab tu Nabi kata, gunakanlah yang selebihnya.

12. Dalil 2:
Dalam kes Saidina Umar, beliau solat subuh, kemudian pergi ke Jaraf (3 km dari pusat bandar Madinah menghala ke Syam) kemudian ia terlihat pada pakaiannya kesan air mani, maka ia berkata aku telah bermimpi hingga mengeluarkan air mani tetapi aku tidak sedar, dan aku telah melakukan urusan rakyat sedangkan aku dalam keadaan begini. Maka saidina Umar mencuci apa yang beliau nampak dari kesan mani tersebut dan mandi wajib. Beliau mendiri solat subuh semula selepas matahari naik.

13. Peristiwa ini menunjukkan, perbuatan saidina Umar mendirikan solat subuh semula adalah dalil dalam mazhab shafie dan lainnya bahawa sesiapa yang melihat pada pakaiannya kesan air mani akibat mimpi dan ia tidak ingat bilakah ia bermimpi, tetapi ia telahpun solat sebelum nampak kesan air mani tersebut, menjadikan tidurnya yang terkini itulah yang terjadi mimpi tersebut. Maka hendaklah ia mengulangi solat diantara waktu sedar kesan mani tersebut dan waktu terakhir ia tidur.  

14. Ta'liq admin:
Oleh yang demikian, masa yang paling hampir dalam kes Saidina Umar adalah tidurnya sebelum subuh. Saidina Umar mengambil pendirian, beliau dalam keadaan berjunub sewaktu solat, sebab beliau terjumpa kesan air mani pada baju yang dipakainya semasa solat subuh. Pada masa yang sama beliau tidak tahu tidur yang mana satu sehingga menyebabkan mimpi basah?. Yang pasti, tidurnya yang terkini adalah sebelum subuh hari tersebut, maka yang diambil kira adalah subuhnya pada hari itu. Jadi Saidina Umar hanya mengulangi solat subuh pada hari tersebut sahaja, meskipun timbul keraguan, mungkin mimpi basah itu dari tidur yang malam sebelum hari kejadian?, mengambil kaedah ini maka tidurnya yang terkinilah diambil kira. Wallahua'lam  

15. Sesuatu yang tidak wujud, kemudian wujud, apabila berlaku khilaf pada masa sekarang, maka dinisbahkan kepada keadaan yang paling hampir kepada sekarang, tidak lagi dinisbahkan kepada masa yang telah jauh berlalu. Kerana kejadian yang baru berlaku itu diyakini, dan yakin tidak digugat dengan syak.

APLIKASI KAEDAH DALAM PERMASALAHAN HARIAN:

16. Contoh 1: Jika isteri mendakwa, suami telah menceraikannya semasa dalam keadaan maradhul maut, maka waris yang lain mendakwa, Sesungguhnya simati telah mentalakkan isteri semasa sihat. Maka dakwaan yang diterima adalah dakwaan isteri, kerana "Asas sesuatu keadaan diambilkira dari masa yang paling hampir".

17. Contoh 2: Seorang lelaki Islam berkahwin dengan seorang isteri zimmi, kemudian lelaki tersebut mati, isterinya mendakwa bahawa ia telah peluk Islam sebelum kematian suaminya, maka isteri berhak untuk mendapat faraid, manakala pada pihak ahli waris simati mendakwa si isteri hanya peluk Islam selepas kematian suaminya, maka yang terima adalah dakwaan ahli waris simati kerana dekatnya waktu adalah semasa kematian. Melainkan jika si isteri berjaya mendatangkan bukti keislamannnya itu sebelum kematian suaminya. 

KEMBALI KEPADA KES RUJUKAN

18. Seperkara yang perlu diperhatikan dalam kes ini, adalah keterangan bekas suami, dakwaan pernah bercerai pada 2010, apakah bekas suami ada saksi dan bukti kukuh atau tidak.

Isu yang timbul dan perlukan kepada jawapan adalah:

ADAKAH BERLAKU CERAI PADA TAHUN 2010

19. Suami mendakwa telah menceraikan isterinya pada tahun 2010. Tetapi sepanjang perbicaraan suami gagal membawa saksi atau bukti beliau telah melafazkan talak pada tahun tersebut.

20. Jika benar berlaku perceraian pada tahun 2010, kenapa semasa menghadiri kes perbicaraan cerai pada tahun 2017, isu cerai pada tahun 2010 tidak dizahirkan kepada Mahkamah?

21. Sekiranya bekas suami jujur dalam membuat dakwaan, kenapa tidak dibuat pengesahan lafaz cerai sepanjang tahun 2010 hingga 2017, ataupun sekurang-kurangnya perintah kembali taat atau nusyuz terhadap bekas isteri disepanjang 7 tahun tersebut.?

22. Kenapa selepas isteri memfailkan nafkah isteri tertunggak, baharulah dakwaan menceraikan isteri oleh bekas suami pada tahun 2010 timbul. Dakwaan ini boleh dikatakan sebagai tohmah, bagi menafikan hak isteri untuk mendapat nafkah isteri tertunggak.

PENGECUALIAN KAEDAH INI

23. Melainkan bekas suami boleh membuktikan bahawa beliau ditahan sepanjang tahun 2010 sehingga 2017 oleh sebab itu beliau tidak hadir ke mahkamah untuk buat tuntutan pengeahan lafaz cerai, maka barulah dakwaan cerai boleh diambil kira, tetapi tiada bukti bekas suami dalam tahanan, atau gila atau pengsan sepanjang 7 tahun, kecualilah beliau golongan ashabul kahfi.

24. Kalau bekas dakwa tak tahu undang-undang, bekas suami bukanlah duduk dalam gua ataupun dalam hutan. Dakwaan tidak tahu undang-undang ditolak dengan maxim “Ignorantia Juris Non Excusat” dan terpakai pada bekas suami. Oleh yang demikian kejahilan bekas suami terhadap undang-undang bukanlah alasan yang boleh digunakan untuk mendakwa tidak tahu.

25. Melainkan bekas suami berjaya membawakan saksi yang mendengar lafaz cerai dibuat terhadap bekas isteri pada tahun 2010, cukup saksi yang mendengar 2 orang lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan, maka dakwaan bekas suami bolehlah disabitkan. Tetapi tiada saksi.

KESIMPULAN

26. Jika bekas suami sampai sudah gagal mendatangkan bukti atas dakwaannya, maka yang diterima adalah dakwaan isteri, dengan mengambilkira kaedah "Asas sesuatu keadaan diambilkira dari masa yang paling hampir", iaitu bekas isteri mendakwa cerai hanya berlaku pada tahun 2017, kerana ini adalah masa yang paling hampir, manakala dakwaan bekas suami ditolak kerana tiada bukti kukuh dan dakwaan ini adalah dakwaan masa yang lampau (2010). Dan dakwaan ini diragui sebagai helah semata mata mahu mengelak dari membayar nafkah tertunggak.

Wallahua’lam

# kalau salah mohon betulkan 




Tuesday, March 3, 2020

MAKANAN DISEDIAKAN ISTERI LEBIH BAIK DARI HAJI DAN UMRAH?

MERAIH JANNAH DARI DAPUR
STATUS KALAM DIDAKWA HADIS NABI?

Telah tersebar apa yang dikatakan sebagai Hadis Rasul dalam petikan seperti ini:



Meraih Jannah dari Dapur
Rasulullah bersabda,
“Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”
(HR Anas bin Malik)

1. Apakah benar kalam diatas bersumber dari Nabi?

Setakat yang diketahui, tidak ada sumber pengambilan daripada mana-mana kitab hadis. Sebagai makluman, hadis yang menerangkan tentang kelebihan dan pahala, mestilah bersumber dari Quran dan Hadis yang Sahih*, kerana yang memberi pahala adalah Allah sahaja, namun setakat ini tidak dijumpai status kalam diatas. Jika tiada maka hukumnya Maudhu’ (Hadis rekayasa)

*kecuali melalui syarat Imam Ibnu Hajar Asqalani untuk hadis dhoif, DHOIF ya bukan MAUDHU'!.

2. Pandai-pandai je kata ni Hadis Maudhu’? Apa buktinya.

Kalau dah namanya Hadis Maudhu’, dibongkar tujuh gunung buku hadis pun tak jumpa, sebab ia adalah rekaan, patut siapa yang menyebar/membawa/memviral lah yang kena bawa bukti, dalam kitab hadis mana terkandung kalam ini.

3. Ni wahabilah yang suka mempertikaikan hadis?

Jangan kata wahabi, wahab wahib dan wahub sekalipun, bab bila menyandarkan sesuatu yang dusta pada nabi maka tiada kompromi. Clear cut ok. Kalam nabi jangan main-main,

4. Tapi maksudnya baik kan, mengangkat martabat wanita, takkan tak boleh?

Pakaila Hadis lain yang lebih selamat, memang wujud hadis mengangkat martabat wanita. Seumpamanya

“Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta'at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]

Mohon sesiapa yang mengekalkan kalam berkenaan dalam mana-mana bentuk samada FB. IG, Wazap, Tik Tok dll, ubahlah kepada yang lebih sahih, kerana Rasul telah memberi amaran:

“Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]

## Begitu juga dengan kalam berikut, yang tiada asalnya:

“Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”.

dan

“Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.

Mohon Allah selamatkan saya dan tuan puan dari menempah seat dalam neraka.