SULH MELIBATKAN KANAK-KANAK SEBAGAI PIHAK
DALAM TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN SELEPAS MATI
Pra:
Sulh adalah kaedah alternatif untuk penyelesaian kes, selain
perbicaraan, arbitrasi dan seumpamanya. Dalam majlis Sulh, pihak litigant diberi
kuasa untuk membuat keputusan. Dalam Islam, sulh hukumnya harus bahkan
digalakkan dalam Surah An-Nisaa’ ayat 128. Namun pada masa yang sama terdapat
batas-batas yang perlu dipatuhi dan difahami oleh pihak yang terlibat.
Penglibatan Sulh di Mahkamah Syariah termasuklah pihak-pihak, pegawai Sulh dan
juga Hakim pengendorsan. Kertas ini ditulis bagi merungkai isu yang melibatkan
tuntutan harta sepencarian selepas kematian. Dimana pihak menuntut membuat
tuntutan terhadap ahli waris/yang kena tuntut berstatus kanak-kanak. Adalah
penting untuk membuat sebarang ketetapan bagi mengelakkan perjanjian sulh itu
tidak sah akibat cacatnya syarat ahli waris semasa memberi persetujuan. Kertas
ini dibuat secara QnA bagi memudahkan pemahaman bagi perbincangan selanjutnya.
Contoh penyelidikan menggunakan ibu kerana banyak kes yang dirujuk melibatkan
pihak isteri yang kematian suami, dan suami meninggalkan anak-anak yatim yang
masih kecil (minor).
Adakah ibu boleh membuat keputusan untuk anak-anak (minor)
semasa Majlis Sulh dalam tuntutan harta sepencarian selepas mati?
1. Ibu, apabila bertindak sebagai Plaintif tidak berhak untuk
buat keputusan dalam kes tuntutan harta sepencarian selepas mati kerana dalam
kes tersebut anak-anak bertindak sebagai Defendan, atau pihak lawan bagi ibu.
2. Kes perlu dirujuk kepada peruntukan seksyen 89 Enakmen
Undang-undang keluarga Islam Negeri Melaka. Peruntukan tersebut secara jelas menyenaraikan
pihak yang perlu bertanggungjawab ke atas harta minor. Seksyen 89 berbunyi
seperti berikut:
“89. (1) Sungguhpun hak terhadap hadhanah atau jagaan anak
mungkin terletak pada seseorang lain, bapa ialah penjaga hakiki yang pertama
dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah
mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun
kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut,
iaitu—
(a) datuk lelaki di sebelah bapa;
(b) wasi yang dilantik menurut wasiat bapa;
(c) wasi kepada wasi bapa;
(d) wasi datuk lelaki di sebelah bapa;
(e) wasi kepada wasi datuk di sebelah bapa,
dengan syarat bahawa dia ialah seorang Islam, seorang
dewasa, adalah siuman, dan boleh dipercayai.”
3. Oleh yang demikian, datuk adalah merupakan orang yang paling
sesuai bertepatan dengan peruntukan seksyen 89, Hakim perlu melihat perkara
tersebut. Namun dikala datuk tidak ada, maka ahli waris yang lain boleh
bertindak bagi pihak minor.
Bagaimana mahu menjadi penjaga ad-litem di Mahkamah Syariah?
4. Untuk bertindak bagi pihak minor, pihak tersebut boleh
membuat permohonan penjaga ad-litem di Mahkamah yang berbidangkuasa. Pemohonan
penjagaan ad-litem boleh merujuk kepada seksyen 24 dan 24 Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah Negeri Melaka 2002. Peruntukan dirujuk seperti berikut:.
“24. Mana-mana orang tak berkeupayaan boleh mendakwa atau
didakwa melalui penjaga ad litemnya yang diluluskan dengan wajar oleh Mahkamah.
25. Sesuatu persetujuan yang diberikan atau pengetepian yang
dibuat bagi pihak seorang orang tak berkeupayaan oleh penjaga ad litemnya
dengan kelulusan Mahkamah hendaklah mengikat orang tak berkeupayaan itu”.
5. Permohonan penjagaan ad-litem hendaklah dipohon terlebih
dahulu di mahkamah, setelah mahkamah membenarkan permohonan tersebut, barulah
penjaga boleh membuat keputusan dalam majlis Sulh.
6. Dalam permohonan penjagaan ad-litem, hakim perlu meneliti
peruntukan seksyen 89 EUUKINM, adakah pemohon mempunyai apa-apa kepentingan
jika yang memohon bukan datuk lelaki di sebelah bapa. Selain Datuk sebelah
bapa, mana-mana pihak (kecuali plaintif) boleh menjadi pemohon, samada abang
kandung, bapa saudara, mak saudara, kenalan, peguam, pegawai awam atau sesiapa
sahaja. Faktor lain yang diambil kira adalah Islam, dewasa, siuman dan boleh
dipercayai. Akhirnya setelah diperiksa dan Mahkamah berpuas hati, baharulah
Hakim membuat keputusan.
7. Untuk lain-lain criteria dan peruntukan substantif penjaga
harta, Hakim boleh merujuk seksyen 90 hingga 103 EUUKINM 2002.
8. Terdapat peruntukan untuk ibu menjadi penjaga harta anak,
itupun melalui wasiat dan jika dilantik sekalipun, Mahkamah boleh melantik
orang lain yang akan menjadi penjaga diri dan harta anak serta bertindak
bersama dengan ibu. Jika tiada sebarang wasiat maka Hakim perlu merujuk seksyen
89.
9. Namun wajar diingatkan, walaupun ibu diberikan kuasa untuk
menjadi penjaga harta dalam seksyen 92 EUUKINM, ibu tetap tidak boleh membuat
sebarang keputusan dalam majlis sulh apabila ibu bertindak sebagai Plaintif,
manakala anak-anak tersebut bertindak sebagai Defendan. Dalam kes tuntutan
harta sepencarian selepas mati khususnya.
Bentuk persetujuan manakah yang boleh dibenarkan oleh
Pegawai Sulh dan/atau Mahkamah?
10. Begitu juga mana-mana pihak yang telah dipilih atau
diputuskan oleh Mahkamah untuk menjadi penjaga ad-litem, hendaklah bertindak
dalam keadaan yang mendatangkan kebaikan serta tidak merugikan anak tersebut.
Seksyen 97 dan 98 EUUKINM menyatakan:
“97. (1) Seseorang penjaga bagi harta seseorang kanak kanak
yang dilantik oleh Mahkamah tidak boleh, tanpa kebenaran Mahkamah—
(a) menjual, menggadaikan, menggadai janji, menukar, atau
selainnya melepaskan milik manamana harta alih atau harta tak alih kanak-kanak
itu; atau
(b) memajakkan mana-mana tanah kepunyaan kanak kanak itu
selama tempoh lebih daripada satu tahun.
(2) Apa-apa pelupusan harta seseorang kanak-kanak yang
melanggar seksyen ini boleh ditetapkan sebagai tak sah dan atas penetapan itu
Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang pada pendapatnya perlu untuk
mengembalikan harta yang dilupuskan itu kepada kanak kanak itu.
(3) Mahkamah tidak boleh membuat apa-apa perintah di bawah
subseksyen (2) melainkan jika perlu atau baik bagi kepentingan kanak-kanak itu.
98. Seseorang penjaga bagi harta seseorang kanak-kanak yang
dilantik oleh Mahkamah tidak boleh, melainkan jika Mahkamah memerintah
selainnya dalam sesuatu hal, diberi kuasa untuk memberi akuan penyelesaian yang
sewajarnya bagi apa-apa legasi atau apa-apa wang modal lain yang kena dibayar
kepada atau boleh diterima oleh kanak-kanak itu.”
11. Oleh yang demikian, Pegawai Sulh dan juga Hakim, perlu
mengenalpasti samada kebajikan anak itu terjaga atau tidak, baik atau
sebaliknya kepada anak tersebut dalam mana-mana perjanjian persetujuan dibawa
ke hadapan mereka. Sekiranya didapati tidak menguntungkan anak tersebut, maka
hakim boleh membubarkan persetujuan bersama dalam majlis Sulh atau mana-mana
persetujuan yang dibawa kehadapannya.
12. Masalah mungkin akan berlaku, apabila harta tuntutan masih
dalam bentuk gadaian, seperti rumah dua nama yang masih dibayar kepada pihak
bank. Tiada perlindungan insuran yang melangsaikan harta tersebut. Sekiranya
dikekalkan harta tersebut, dengan bahagian isteri (tanpa mengira %) maka akan
mendatangkan kemudaratan sebab tidak mampu membayar pinjaman. Pada masa yang
sama, anak pun mungkin akan menanggung hutang. Dalam kes sebegini, pertimbangan
kebajikan anak wajar diajukan terus kepada pihak Mahkamah.
13. Seperkara lagi, terdapat perbezaan perlaksanaan permohonan
penjaga ad-litem di antara negeri, ada yang buat bersekali dalam tuntutan harta
sepencarian selepas mati. Cara sebegini hanya memerlukan satu permohonan
sahaja. Ia juga boleh disifatkan sebagai permohonan interlokutori. Terdapat
negeri yang memerlukan pemohon perlu memfailkan permohonan baru. Difailkan
sebelum Sulh dibuat.
14. Walaubagaimanapun, samada difailkan sebelum atau semasa kes
induk didengar. Pemohon perlu mendapatkan nasihat daripada Pendaftar terlebih
dahulu bagi mengelakkan pembaziran masa dan kos.
Post:
Open for debate, saya mengharapkan pandangan dan buah fikiran yang berbeza sekiranya ada. Penyelidikan ringkas ini dibuat hasil dari kemusykilan puan catherine zeta jones yang kini sedang bertugas di Melaka Tengah (tidak tepi mahupun hujung)
24/1/2018