Friday, December 28, 2012

Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah di Pondok Ledang




1. Alhamdulillah pagi ni (1.30 pagi 29.12.12) selesai majlis periwayatan Kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah di Pondok Ledang oleh Al-Musnid Sheikh Muhamad Husni Ginting Al-Langkati Al-Azhari, dengan kehadiran hampir dua ratus murid pelbagai peringkat umur, semuanya sabar dan tabah menanti riwayat hadis yang ke 294 setelah 3 hari melipat kaki, bersila panggung, menadah kitab dan menahan 'cramp'. Apapun kecintaan terhadap Rasul SAW membuatkan kami tidak berganjak sepanjang 4 malam berturut-turut sehingga ke saat embun jantan menitis di Pangsapuri Ledang.

2. Untuk manusia faqir lagi jahil macam AR, majlis seumpama ini ibarat 'pucuk dicita ulam mendatang'. Nostalgia mengikuti Tafaqquh Majlis Al-Banjari semasa student dulu kembali menguatkan spirit pencinta ilmu semasa muda-muda dahulu. "Sememangnya orang menuntut ilmu akan sentiasa muda", kata-kata motivasi.

3. Untuk menyelak Sahih Bukhari yang jumlahnya beribu-ribu hadis, mungkin akan memakan masa, jadi Al-Imam Muhaddis Al-Arif billah Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad Ibnu Abi Jamrah Al-Azidi yang lebih dikenali sebagai Ibnu Abi Jamrah (wafat di Mesir 699Hijrah) telah membuat ringkasan darinya. Ringkasan/Mukhtasar tersebut kini dikenali dengan nama ringkas di kalangan orang Melayu sebagai Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah. Nama asal dan rasmi adalah "Jam'u Al-Nihayah Fi Bad'i Al-Khair wa AL-Ghayah".

 4. Dinamakan Mukhtasar kerana 294 hadis yang dipilih telah disaring oleh Al-Imam dari 7397 buah hadis dalam Al-Jami' Al-Sahih Bukhari. Tujuannya untuk  memberi kemudahan kepada penuntut ilmu dan kita semua untuk memahami keseluruhan Al-Jami' Al-Sahih Bukhari. Ini kerana Al-Imam telah mengetahui akan keupayaan penuntut ilmu muta'akhirin ini.

5. Mencari buku tersebut juga adalah satu cabaran bagi mereka yang tinggal di JB, rakan telah menyatakan BADAN dan kedai buku lain telah sold out, yang ada pun di cuma terhad. AR bersyukur kerana telah diilhamkan untuk membeli buku ini sewaktu di Kamunting Taiping, di sebelah utara untuk mendapatkan kitab sebegini bukanlah satu masalah yang besar seperti di selatan tanah air. Yang paling glemer ada terjemahan Mustafa Abdul Rahman terbitan Dewan Pustaka Fajar, kini telah sampai ke cetakan kedua yang dipinda beberapa kesalahn dalam cetakan pertama. Harga di beli  RM35.00, (harga Kamunting).


5. Al-Imam telah memilih hadis-hadis yang mencakupi segala aspek yang terkandung dalam Sahih Bukhari   Dimulai dengan hadis berkaitan dengan peristiwa Rasul SAW menerima wahyu daripada Allah SWT dan di akhiri dengan hadis yang memceritakan perihalnya redha Allah swt.

 6. Majlis diakhiri dengan penganugerahan sanad kepada setiap murid yang hadir, guna untuk menyedarkan para penerima ijazah sanad antara wasiat Sheikh Muhamad Husni Ginting: 

"Telah kuijazahkan yang namanya kitab Mukhtasar Sahih Bukhari Bagi Ibnu Abi Jamrah selepas mendengar darinya dengan ijazah khusus. Dengan syarat yang digariskan disisi ahli Hadis dan Asar Sahabah. Aku mewasiatkan dengan taqwa kepada Allah semasa sembunyi dan terang, menyumbangkan tenaga terhadap sunnah Nabi dari segi mencari ilmu, mengajar ilmu, beramal dan menyebarkannya. Juga tidak melupakan diriku, dan segala sheikhku dan seluruh Muslimin yang beramal soleh. Berselawat kepada Rasul SAW."




7. Dititipkan juga pesanan dari Sheikh kami, Sheikh Ibrahim Masran Al-Banjari yang telah beliau sebarkan dalam fbnya, buat peringatan diriku dan pembaca yang lain:

"Didoakan semoga semuanya terus memiliki kesabaran dan himmah yang tinggi dalam menuntut ilmu agama ini. Sentiasa ikhlaskan niat dan tujuan menuntut ilmu. Sentiasa menjaga adab-adab terhadap ulama dan sesama penuntut ilmu.

Ketahuilah, ijazah dan sanad bukanlah tujuan utama, ia hanya sebagai matarantai di antara murid dengan guru yang terkandung di dalamnya keberkatan para masya'ikh dan ulama, dan bakal menjadi saksi berharga di akhirat kelak. Mencari sanad adalah sunnah, mencari ilmu adalah wajib. Apabila terhimpun tuntutan wajib dan sunnah itu, ia sepatutnya menghasilkan sikap tawadhu' pada pemiliknya, kerana asal "punca"nya daripada Sang Rasul shallallahu 'alaihi wa aalihi wa sallam manusia yang paling tawadhu'."


8. Ya Allah jadikanlah diriku orang yang tawaddhu' .

P/S: Syiekh akan berada di Pondok Ledang dalam bulan satu ini. Bertemu lagi disana InsyaAllah