Sunday, November 29, 2009
Screening Road To Mecca
Tuesday, November 17, 2009
Wang Tidak Patuh Syariah Dalam Konteks Perundangan Islam
Wang Tidak Patuh Syariah Dalam Konteks Perundangan Islam
Abu Razeen.
Sewaktu artikel ini mula ditulis, blok kuasa ekonomi barat sedang bereksperimen mencari remedi terbaik untuk keluar dari kancah kemelesetan. Mereka seolah-olah baru terjaga dari lena yang panjang dan kini terkial-kial mencari salah dan silap sistem ekonomi kapitalis yang telah diamalkan selama ini. Pelbagai teori baru diutarakan oleh pakar ekonomi dunia, berpuluh-puluh pakej stimulus ditawarkan oleh kerajaan dan berbillion-billion wang rakyat disuntik ke dalam dana konglomerat semata-mata mahu memanjangkan talian hayat entiti tersebut. Namun depresi ekonomi seolah-olah enggan bertukar wajah sehingga ke saat ini. Bagi mereka yang beriman dengan ketentuan oleh Allah SWT ini adalah merupakan bala kepada sistem yang tidak mengikut syariat dan juga hikmah kepada umat Islam yang mahu berfikir dan mengambil kesempatan lalu membuat manouver dalam sistem ekonomi negara. Sistem ekonomi Islam yang unik menjamin kesejahteraan kepada semua pihak kerana disitu terletaknya keadilan, ketelusan dan keredhoan pihak yang berurusan. Begitu juga dengan larangan yang mempunyai hikmah tersendiri, tersisip memagari kod etika individu yang berurusan, kontrak yang nyata sehinggalah kepada material pertukaran. Sememangnya Islam telah mempunyai teori sistem perdagangan yang lengkap dan boleh diadaptasi dengan apa jua suasana persekitaran. Pada hari ini, Malaysia dengan keunikan majoriti penganut Islam diberi peluang untuk mempromosikan sistem kewangan yang patuh kepada syariah dengan terlaksananya undang-undang seperti Akta Bank Islam 1984, kemudahan infrastruktur perniagaan, insentif daripada kerajaan dan yang lebih penting kuasa ekonomi yang berada ditangan umat Islam. Ketelusan dalam kontrak perdagangan Islam telah mengundang minat pelanggan yang bukan beragama Islam. Larangan penggunaan riba sungguhpun berakar umbi dalam sistem perbankan secara umum telah membuka mata masyarakat dunia tentang pentingnya keadilan dalam urusan perdangangan.
Untuk mengenali wang yang tidak mematuhi syariah, adalah penting untuk mengetahui syarat atau prinsip pematuhan sistem kewangan Islam, dengan pengetahuan tersebut barulah dapat dikenali transaksi yang sah dan halal disisi Allah SWT. Secara umum Islam menggalakkan perniagaan, semua jenis perniagaan yang boleh menyara diri serta tanggungan, membangunkan ekonomi masyarakat dan negara, asas transaksi Islam adalah mudah, firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang diterjemahkan, “Sesungguhnya Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba” [Al-Baqarah 275]. Islam adalah agama yang adil dan menyuruh umatnya berlaku adil dalam semua muamalah seharian. Adil di dalam urusan jualbeli secara praktikalnya adalah berdasarkan kepada ayat: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya [An-Nahlu: 90] maka daripada asas ini dibangunkan prinsip transaksi di dalam Islam seperti berikut: tiada riba, tiada ketidaktentuan (gharar), tiada perjudian dan kontrak jual beli yang jelas membabitkan pembeli, penjual dan barang atau khidmat yang dimaksudkan.
Prinsip pertama ialah tiada riba. Secara umum hampir kebanyakan urusniaga yang tidak mematuhi syarak adalah berpunca dari riba samada secara langsung atau tidak langsung. Pengharaman riba adalah jelas dalam amaran balasan keatas pemakan riba sepertimana firman Allah SWT: “Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata sesungguhnya jualbeli itu sama seperti riba…,”[Al-Baqarah 275]. Secara teknikalnya riba bermaksud suatu keuntungan yang tidak dibenarkan syarak hasil dari ketidaksamaan kuantiti dan nilaian suatu transaksi, melibatkan barangan sesama jenis dan diuruskan untuk sebab yang sama.
Riba boleh dibahagikan kepada dua kategori.Yang pertama dikenali sebagai ‘duyun’ iaitu riba berasaskan hutang. Berlaku apabila seorang penghutang meminjam wang setelah sampai jangkamasa tertentu beliau dikenakan jumlah bayaran yang lebih dari jumlah yang dipinjam. Sekiranya hutang tidak dapat diselesaikan pemberi pinjaman akan menambah jangkamasa yang baru dan akan menerima faedah dari penangguhan bayaran tersebut. Maka lebihan yang dinikmati oleh pemberi hutang selain dari kapital (wang asal) yang diberikan maka ia adalah haram. Riba ini juga dikenali dengan ‘nasiah’.
Kategori kedua adalah riba ‘buyu’ atau perniagaan. Diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri, Rasul SAW bersabda; “Emas dengan emas, perak dengan perak, bijian dengan bijian, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam hendaklah sama iaitu tangan ke tangan sesiapa yang melebihkan atau meminta lebih maka dia telah melakukan riba, yang mengambil dan memberi adalah sama” [Bukhari dan Muslim]. Hadis ini menunjukkan 6 jenis komoditi yang boleh diqiaskan kepada komoditi lain diatas dengan sebab (illah) yang sama di dalam hadis tersebut, antara barangan lain yang boleh dinisbahkan dengan hadis ini adalah wang, makanan dan lain-lain.
Dalam transaksi masakini, riba mungkin berlaku dalam pelbagai situasi, seperti penangguhan dalam pembayaran begitu juga penambahan dan pengurangan kuantiti barangan yang diurusniagakan. Contohnya faedah yang dikenakan oleh bank konvensional adalah riba ‘nasiah’ kerana faedah dibayar akibat pelanjutan masa yang diperuntukkan untuk membayar hutang. Contoh lain adalah penangguhan serahan dalam urusniaga matawang, juga termasuk riba ‘nasiah’. Sepatutnya urusniaga matawang dibuat serahan secara langsung.
Walaupun beberapa ayat Quran dan Hadis serta Ijmak ulama menyebut tentang pengharaman riba, namun terdapat usaha mencari jalan untuk mengharuskan keuntungan secara salah ini. Antara hujah yang digunakan adalah, tiada satu tafsiran yang jelas tetang riba didalam sumber pengambilan syarak. Larangan memakan riba diwahyukan pada penghujung riwayat Rasul SAW, maka peluang untuk menafsirkan riba secara jelas tersekat dengan kewafatan Baginda. Oleh yang demikian riba ditafsirkan dengan pelbagai bentuk mengikut keadaan semasa dan menjadikan ia perkara yang meragukan dan tiada makna yang tepat. Keadaan ini membolehkan riba hanya dimaksudkan sepertimana yang disebut dalam Al-Quran dan Hadis sahaja dan tidak boleh dikembangkan kepada sistem perbankan konvensional masa kini sebab urusannya tidak dapat digambarkan semasa turunnya wahyu tentang pengharaman riba. Faedah yang diamalkan oleh perbankan moden adalah tidak melampau ataupun menindas penghutang.
Menjawab keraguan yang ditimbulkan tersebut adalah dengan firman Allah SWT yang berbunyi; “ Hai orang-orang yang beriman jangnlah kamu memakan riba yang berlipat-lipat ganda dan takutlah kepada Allah, mudah-mudahan kamu berjaya” [Ale-Imran]. Ayat ini secara jelas menerangkan sifat khusus riba yang berlaku pada masa wahyu diturunkan dan ia tidak jauh berbeza dengan apa yang diamalkan pada hari ini, keuntungan yang berlipat kali ganda hasil faedah yang dikenakan atas pinjaman. Begitu juga dengan kata-kata “Setiap pinjaman yang menerbitkan faedah adalah riba” dan selainnya “Sesiapa yang mendahulukan pinjaman tidak boleh menentukan perjanjian yang ia akan menerima sesuatu yang lebih baik sebagai pendahuluan. Walaupun ia berupa segenggam jerami, ia adalah riba”. Maka gambaran sewaktu di zaman Rasul SAW dan para sahabat telahpun berlaku sepertimana hari ini cuma dibezakan terma dan kaedah yang digunakan bertujuan mengelirukan orang ramai. Tahap berhati-hati dalam mengelakkan riba sehingga mencapai larangan untuk menerima hadiah dari orang yang meminjam
Hujah lain yang digunakan adalah, riba semasa zaman Rasul SAW adalah berkaitan hutang orang yang miskin untuk kegunaannya sehari-hari, maka mereka tidak boleh dikenakan faedah yang menyusahkan berbanding pada hari ini, yang meminjam adalah terdiri dari orang yang berkemampuan, pinjaman dibuat bukannya untuk digunakan belanja seharian tetapi adalah untuk menjana keuntungan, oleh kerana janaan keuntungan akan memperkayakan penghutang, maka tidak salah atau zalim untuk mengenakan feadah keatas mereka. Sebagai jawapan, status ‘harus’ dalam transaksi bukanlah disandarkan kepada kedudukan kewangan salah satu pihak, tetapi ia bergantung kepada kaedah operasi itu sendiri. Sebenarnya Al-Quran telah mengharamkan riba secara umum meliputi semua jenis riba dan validiti pengharaman adalah berkembang mengikut tamadun ekonomi itu sendiri. Prinsip riba telahpun wujud dikalangan Yahudi sebelum wahyu diturunkan kepada Rasul SAW malah ia direkodkan lebih awal dari tamadun Arab.
Selain itu mereka mendakwa berleluasanya transaksi berasaskan riba keseluruh dunia menjadikan sistem ini sesuatu yang sukar dielakkan. Sifatnya yang menjadi tunjang keuntungan perbankan konvensional menjadikan ia mendominasi aktiviti ekonomi negara. Adalah mustahil untuk menghapuskan riba terutamanya yang melibatkan transaksi luar. Islam adalah agama yang praktikal dan menerima prinsip darurah yang membolehkan kegunaan perkara yang dilarang sewaktu sukar untuk mengelakkannya. Pendapat sebegini adalah popular dan merupakan jawapan seragam sewaktu mula diperkenalkan sistem perbankan yang mematuhi hukum syarak. Seperkara harus diingat, penggunaan kaedah darurat membolehkan perkara yang dilarang mestilah berdasarkan perkara yang sedang berlaku dan tidak dipengaruhi oleh andaian. Kejatuhan ekonomi akibat penggunaan sistem Islam adalah mitos dan belum pernah dibuktikan dalam mana-mana negara. Sewaktu mula perbankan Islam diperkenalkan mungkin jawapan tersebut adalah munasabah tetapi dalam keadaan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan kewujudan entiti muamalah Islam penggunaan darurat boleh dipersoalkan dan tidak lagi relevan.
Prinsip transaksi dalam Islam yang kedua ialah tiada gharar atau ketidaktentuan pada barang yang diniagakan, juga bermaksud risiko. Ketidaktentuan ini terdapat pada sifat barang sewaktu akad pembelian diantara pembeli dan penjual, contoh gharar adalah penjualan ikan di dalam laut, burung di atas langit, lembu di dalam kandungan yang mana membawa kemungkinan wujud dan dapat dipegang barang tersebut masih tidak ada. Ketidaktentuan yang timbul adalah dari segi bilangan barang yang diniagakan, waktu penyerahan dan kemampuan untuk menerima barang. Transaksi sebegini pada akhirnya akan merugikan salah satu pihak atau mungkin akan memberi keuntungan yang melampau pada salah satu pihak. Bagi mengelakkan gharar berlaku dalam transaksi maka takat ketentuan mestilah dicapai semasa akad dilakukan. Takat ini adalah bergantung kepada perbezaan masa, masyarakat, keperluan pribadi serta kecenderungan dan kaedah yang digunakan dalam serahan. Penjelasan kepada semua aspek penyerahan mestilah difahami dan dapat diterangkan sebelum akad dibuat. Dalam suasana ekonomi sekarang dan hasil kajian serta teknologi terkini maka gharar boleh dielakkan dengan meletakkan terma-terma yang jelas serta pasti bagi melindungi kedua-dua belah pihak yang berurusan namun ini tidak menafikan masih wujud transaksi gharar pada hari ini. Yang pasti gharar adalah punca skim pelaburan saham melalui internet yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda secara tetap diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, antara yang ternama adalah Swiss Cash Mutual Fund dan berpuluh skim yang beroperasi seumpamanya.
Islam mengharamkan perjudian dan segala bentuk sistem yang bergantung kepada nasib, semua keuntungan atau pendapatan adalah hasil dari usaha seseorang, Dalil pengharaman judi dikumpulkan bersama perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT di dalam ayat: “ Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. [Al-Maidah : 90]. Dengan menyerahkan diri kepada nasib akan mengakibatkan manusia tidak berusaha, malah adakalanya akan mencari jalan mudah untuk memperolehi keuntungan. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Nu’aim menyebut “mencari rezeki yang halal adalah jihad” dan sabda Rasul SAW diriwayatkan oleh Thabrani “Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bekerja”. SabdaNya yang lain oleh Bukhari, “Tiada makanan paling baik yang dimakan oleh seseorang melebihi hasil kerja tangannya sendiri, dan sesungguhnya Nabi SAW Daud telah makan dari hasil usaha tangannya”. Secara teorinya judi adalah mudah, dengan meletakkan modal pertaruhan yang sedikit seperti cabutan nombor bertuah Sport Toto atau Magnum 4 digit maka sekiranya tepat maka hadiahnya adalah berlipat kali ganda dari wang pertaruhan, sekiranya tidak kena maka sia-sialah pertaruhan tersebut. Oleh yang demikian prinsip transaksi Islam yang ketiga adalah tidak boleh berbentuk judi. Secara tidak langsung aktiviti mempromosikan produk juga boleh terjerumus kearah perjudian sekiranya tidak dipantau asas pemberian kepada mereka yang bertuah, begitu juga terdapat unsur perjudian yang banyak dalam peraduan yang dianjurkan melalui sms dan internet pada hari ini.
Salah satu prinsip kewangan yang menepati syarak juga adalah kontrak yang jelas dan redha daripada kedua-dua belah pihak. Kesemua peraturan, syarat dan kelayakan dinyatakan dengan jelas dan dibincangkan secara ditil serta bersifat transparen, namun kontrak ini tidak ditekan secara rigid dalam pembelian membabitkan barangan yang bersifat mudah dan ringkas namun secara asasnya kedua-dua pihak maklum barang yang dibeli. Kontrak sebegini juga dikenali sebagai perjanjian yang dimaksudkan dalam Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian” [Al-Maidah: 1] Begitu juga ayat: “Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu Dengan jalan Yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” [An-Nisaa’: 29]. Oleh yang demikian pengetahuan dan keredhoan pihak yang terlibat akan menerbitkan perasaan puas hati dan tidak timbul masalah menzalimi orang lain, kembali kepada prinsip asas Islam tentang keadilan hubungan sesama insan.
Apabila sistem kewangan Islam berskala besar mula mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia, maka timbullah beberapa perkara baru yang melibatkan isu pematuhan, pendaftaran dan perundangan. Oleh kerana sistem ekonomi yang diguna berasaskan konvensional atau secara mudah bersifat sekular, maka apakah pertikaian yang membabitkan muamalah menurut hukum syarak wajar diputuskan oleh Mahkamah Sivil yang bersifat konvensional?. Ini kerana pematuhan kepada prinsip syarak dilihat bukan sekadar bersifat litigasi semata-mata malah ia dikira sebagai ibadah, satu bentuk perhubungan dengan Allah SWT. Maka dengan semua syarat, rukun atau prinsip diatas ini adakah Mahkamah Syariah yang sedia ada boleh mengambil tempat bagi membicarakan kes-kes muamalat berdasarkan hukum syarak?. Di dalam para 2, jadual ke 9 dinyatakan bidangkuasa negeri adalah hal ehwal berkaitan dengan hukum syarak tetapi tertentu kepada individu Islam sahaja. Persoalan berkaitan transaksi perdagangan, kontrak tanpa mengira prinsip asas diletakkan dalam senarai satu 1 jadual ke 9, iaitu dibawah bidangkuasa persekutuan. Ini termasuk semua jenis perbankan. Bagi tujuan penyesuaian kedua-dua persoalan sivil dan syarak, Islamic Banking Act 1983 (IBA) telah dikanunkan mengikut model Akta Bank Negara Malaysia dengan beberapa modifikasi. Peraturan berkaitan perlesenan dan syarat perbankan Islam di dalam IBA dibuat dengan asas pembangunan Bank Islam dan Bank Muamalat pada waktu tersebut.Perbankan Islam juga diberi pengertian sebagai mana-mana syarikat yang membawa perniagaan perbankan Islam dan memiliki lesen yang sah, dan unsur penting dalam operasi perniagaannya tidak melibatkan elemen yang tidak mematuhi hukum agama Islam. IBA juga mensyaratkan penubuhan panel penasihat syarak dengan syarat tertentu untuk setiap bank yang mempunyai kaunter perniagaan berasaskan Islam. Ini adalah membantu pemantauan kerajaan selain dari agensi penguatkuasaan daripada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia. Dengan wujudnya IBA maka semua pertikaian dalam Perbankan Islam dirujuk kepada Mahkamah Sivil. Selain dari itu halangan Mahkamah Syariah juga terletak kepada bidangkuasanya yang terhad kepada orang Islam, bukan selainnya dan terkeluar dari bidangkuasa juga adalah pihak bank dan institusi kewangan. Kes contoh adalah Muassasah Gadaian Islam Trengganu 1991 yang berlawanan dengan keputusan Mahkamah Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad lawan Adnan bin Omar [1994] 3 CLJ 735, Dato’ Hj. Nik Mahmud bin Daud lawan BIMB [1996] 1 CLJ 576 dan beberapa kes lain. Sekiranya hendak dibawa ke Mahkamah Syariah maka beberapa reformasi perundangan perlu dibuat terutama dari segi peningkatan keupayaan Hakim Mahkamah Syariah untuk memutuskan kes komersial dan yang paling penting pindaan kepada Perlembagaan Negara Malaysia.
Artikel tamat.
siap 21.5.2009
terbit MAIS Bil.15 Jun2009