Friday, February 1, 2008

Ucaptama Keluarga Berintegriti Kehidupan Berkualiti

Ucaptama Program Keluarga Sakinah
Keluarga Berintegriti Kehidupan Berkualiti
Oleh
YAA Dato’ Hj Zohdi Bin Hj. Toha
Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
Pada 12 Disember 2007 di Centre For Islamic Thought and Understanding UITM Shah Alam

Terlebih dahulu, marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita semua dapat berhimpun dalam majlis ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam yang sudi mengundang saya untuk memberikan ucaptama pada Program Keluarga Sakinah disini.

Keluarga berintegriti kehidupan berkualiti, menjadi fokus ucapan saya pada pagi yang berbahagia ini, sebelum memperkatakan tentang integriti, seharusnya perkataan tersebut difahami dengan jelas dan dihayati oleh setiap individu. Integriti ditakrifkan sebagai kualiti terpuji dan mempunyai prinsip moral yang kuat. Integriti juga bolehlah dimaksudkan sebagai satu standard moral yang membayangkan kualiti bersih, amanah dan boleh dipercayai. Wujudnya keperluan terhadap integriti bermula daripada kesedaran bahawa setiap manusia perlu mempunyai kualiti mulia selaras dengan martabatnya sebagai pemimpin atau khalifah Tuhan di dunia ini. Tuhan menurunkan agama sebagai panduan untuk mengekalkan tahap integriti manusia sebagai khalifah atau pentadbir alam ini. Melalui agama, manusia diajar mengenali kualiti moral atau akhlak mulia yang perlu ada pada diri mereka. Antara nilai-nilai mulia yang menjadi pegangan ialah bersifat benar, amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab, berani, telus, tulus dan bijaksana. Banyak lagi nilai-nilai murni yang menyokong nilai-nilai asas berkenaan. Integriti adalah nilai yang bermula dari dalam diri manusia. Ia tumbuh dari kesedaran fitrah dan bermula di hati. Ia kemudiannya meresap ke minda dan emosi. Akhirnya integriti dipamerkan oleh tubuh fizikal melalui tingkah-laku. Firman Allah SWT yang berbunyi:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلاَئِفَ الأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu.” [Al-An’am: 165]

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian

Umumnya kita menyedari bahawa dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan pembangunan fizikal untuk diri dan keluarga, kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang boleh menghalang usaha kita. Malah masyarakat kita hari ini bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan pelbagai tuntutan hidup, tetapi yang lebih membimbangkan ialah penglibatan anak-anak muda dalam trend keruntuhan akhlak dan anti-sosial. Inilah yang perlu sama-sama kita fikirkan apakah punca masalah ini dan bagaimana caranya kita boleh menyumbang bagi mengatasinya.

Berdasarkan pengamatan dan pengalaman kami di Mahkamah Syariah, kejadian ini hampir kesemuanya berpunca dari dalam kehidupan rumahtangga serta masyarakat di sekeliling kita. Dalam kesibukan kita berhadapan dengan hidup yang serba mencabar dalam era serba canggih ini kita seolah-olah kekurangan masa untuk melihat aspek pembangunan sahsiah serta jati diri anak-anak. Kita beranggapan bahawa dengan menyediakan keperluan yang terbaik untuk anak-anak, kita sudah menjadi ibu bapa yang baik. Aspek pendidikan anak-anak, termasuk sahsiah mereka, diserahkan kepada orang lain terutamanya kepada pihak sekolah ataupun pembantu rumah warga asing.

Pada hakikatnya tugas mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh ibu bapa. Kesibukan dalam menjalani kehidupan seharian tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada orang lain. Dalam hal ini juga kestabilan rumah tangga merupakan faktor penting dalam pembentukan peribadi serta sahsiah anak-anak. Rumah tangga yang kucar-kacir dan berpecah belah memberikan kesan terhadap proses pembangunan diri anak-anak, sama ada secara fizikal mahu pun mental dan emosi. Seterusnya menghalang proses pembangunan modal insan kelas pertama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian

Integriti dalam institusi kekeluargaan meliputi kejujuran dan keikhlasan dalam melihara keharmonian dan kestabilan perhubungan. Sebagai ketua keluarga lelaki atau suami mesti sentiasa mempunyai integriti yang kukuh, tanpa kejujuran dan keikhlasan maka setiap perlakuan akan mengakibatkan keraguan dan kehilangan hala tuju, kepercayaan yang sepatutnya diraih selaku seorang ketua tidak sepatutnya dicacatkan dengan kepura-puraan dan kecurangan. Bagi seorang isteri, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi adalah integriti diri yang harus dipertahankan sampai bila-bila, amanah dan tanggungjawab memelihara kebajikan suami dan anak-anak tidak harus digadaikan semata-mata untuk menambah pendapatan keluarga atau membantu suami walaupun dengan keredhaannya. Integriti kepada seorang anak adalah tidak mengabaikan tanggungjawab untuk memelihara orang tuanya apabila mencapai usia senja, patuh dan menghormati keduanya selain daripada melakukan pekerjaan maksiat kepada Allah, selain daripada itu adalah amanah dan sifat-sifat terpuji.

Dalam memperkatakan peranan kaum bapa dalam pemupukan sahsiah atau mendidik anak-anak, perkara yang kita harapkan ialah kaum bapa turut memain peranan dalam membentuk, mendidik dan melatih sahsiah anak-anak. Kaum bapa hari ini perlu membuat anjakan daripada peranan tradisi mereka sebagai hanya penyedia kemudahan dan keperluan kepada peranan sebagai “role model” dengan lebih berkesan. Paling memerlukan penekanan adalah memelihara diri dan keluarga daripada api neraka sepertimana firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ


“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)”

[At-Tahrim: 6]

Hanya dengan dengan taqwa kita dapat memelihara diri dari menjadi bahan bakar api neraka, dan sebelum dikenali dengan integriti, takwa adalah kata dasar yang merangkumi tafsiran tanggungjawab, amanah, kepercayaan, keikhlasan kejujuran dan yang seumpamanya.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak supaya berganding bahu untuk memberi penumpuan kepada isu pembangunan keluarga berintegriti ini, supaya pada masa akan datang Malaysia bukan sahaja akan menjadi sebuah negara maju dari segi ekonomi dan fizikal, tetapi juga maju dari segi akhlak dan peradabannya. Bagi melengkapkan usaha pemupukan integriti ini, kita juga harus sedar bahawa usaha murni ini tidak dapat dilakukan tanpa kesepakatan dan kerjasama yang bermula dari insitusi kekeluargaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah,

Tanpa integriti dalam hubungan kekeluargaan, maka titik perpecahan akan melanda rumah tangga, bermula dengan penipuan atau berpura-pura dihadapan isteri disebabkan hati telah terpaut kepada orang lain, tanggungjawab terhadap anak-anak mula diabaikan, penderaan terhadap isteri dan anak-anak menjadi kebiasaan, tidak kurang pula yang mencuri tulang semasa waktu kerja untuk bersama-sama ‘kekasih gelap’nya, dari kelakuan-kelakuan ini maka akhirnya kisah mereka akan dibicarakan di Mahkamah Syariah, duit yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan dan nafkah isteri dan anak-anak akhirnya terpaksa digunakan untuk kos mahkamah dan guaman. Di pihak Mahkamah Syariah pula, berperanan untuk menyelesaikan masalah berkaitan rumahtangga yang kadangkala terpaksa memakan masa akibat kurangnya kerjasama dari pihak yang sengaja mendatangkan masalah. Kadang kala Mahkamah pula yang dipersalahkan walaupun terpaksa mengikut prosedur dan demi keadilan apabila sebelah pihak gagal menghadirkan diri beberapa kali dalam perbicaraan. Kita tidak dapat menafikan terdapat segolongan manusia yang tidak mempunyai integriti, mengambil kesempatan dari perjalanan perbicaraan mahkamah untuk menganiaya pihak yang didendaminya. Dalam memperkatakan tentang keadilan dalam diri dan kepada orang lain, sengaja melambat-lambatkan perjalanan kes tanpa suatu sebab yang kukuh adalah menzalimi pihak lain dan juga mahkamah itu sendiri, “justice delay justice deny”. Bagi pihak Mahkamah Syariah adalah menjadi suatu integriti, untuk menyampaikan keadilan kepada semua pihak mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan sepertimana yang diamanahkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” [An-Nisaa: 58]

Sepertimana Jabatan Kehakiman Syariah dengan misinya untuk melaksanakan keadilan syariah kepada warga Selangor khususnya dan umat Islam umumnya, begitu juga dengan diri tuan-tuan dan puan-puan, mesti berlaku adil kepada isteri, dari isteri kepada suami, dari anak kepada ibu bapa, dari ibupapa kepada anaknya dan tidak kurang pentingnya keadilan kepada diri sendiri, keadilan adalah salah satu cabang integriti yang paling ampuh dalam menghadapi mehnah atau tribulasi tidak mengira apapun jua pekerjaan atau kedudukan kita dalam masyarakat.

Saya percaya, dalam usaha kita untuk menghasilkan kehidupan yang berkualiti, integriti mestilah diperkasakan. Usaha ini perlu dimulakan daripada institusi kekeluargaan, manakala setiap individu yang dominan dalam keluarga tersebut mesti mempercayai terhadap nilai-nilai murni sepertimana yang telah diterangkan tadi. Diadunkan kepercayaan tersebut dalam segenap pancainderanya serta dari segi kerohanian, minda dan emosi diri. Dengan kepercayaan yang tinggi terhadap perlunya integriti diri, seseorang itu akan meresapkan perasaan positif kepadanya. Di sinilah emosi seseorang akan sentiasa positif apabila ia dikaitkan dengan integriti diri. Seseorang akan berasa gembira, senang hati dan tenang apabila mampu mengekalkan integriti dirinya. Dia akan berasa puas apabila dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Hasil dari tindakannya ini akan menerbitkan produktiviti yang berkualiti. Beliau juga tidak akan menipu atau bercakap bohong kerana integritinya mantap. Dia tidak akan menerima rasuah atau pecah amanah kerana yakin perbuatan itu bertentangan dengan nilai integriti dirinya dan keimanannya terhadap hari pembalasan. Juga kerana Allah SWT telah memberi amaran tentang balasan terhadap perbuatan khianat dengan siksaan semasa hari kiamat kelak dengan firmannya:

وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ


“Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).” [Ale-Imraan: 165]

Keluarga yang mantap pegangan agamanya pada kebiasaannya akan dapat mempertahankan nilai-nilai akhlak, moral atau etika yang tinggi. Keluarga yang memegang teguh ajaran agama akan dapat menanamkan nilai-nilai mulia dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Amalan mulia dan ciri-ciri integriti yang diamalkan dalam keluarga akan menanamkan kesedaran dan penghayatan integriti dalam jiwa anak-anak. Ia kemudiannya menjadi satu tabiat dan akhirnya menjadi budaya.

Saya berharap semua peserta program ini akan mendapat gambaran yang jelas dan kefahaman yang mendalam tentang konsep integriti serta hubung kait nilai-nilai integriti dengan peranan institusi keluarga serta masyarakat agar kita sama-sama dapat menjadikannya sebagai amalan serta panduan dalam semua tindakan kita dan akhirnya akan menerbitkan natijah yang berkualiti dalam segenap segi kehidupan.


drafted by

Pegawai Penyelidik
Ketua Hakim Syarie
10hb Disember 2007

aburazeen Disember 2007

Draft Teks Ucapan

SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR

SEMPENA MERASMIKAN

MAJLIS ANUGERAH KUALITI JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR

Pada 26 November 2007

Di Hotel De Palma, Ampang

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الأنبيآء والمرسلين

وعلى اله وصحبه اجمعين

Segala puji bagi Allah yang Maha Adil dan Maha Bijaksana memberikan kita hidayah Nya yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang diredhoi Allah.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Amat Arif Dato’ Hj Zohdi bin Hj Toha, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor dan seluruh warga kerja JAKESS kerana sudi menjemput saya hadir berucap merasmikan Hari Anugerah Kualiti JAKESS 2007 serta menyampaikan Anugerah kepada Pegawai dan Kakitangan yang berjaya dalam perkhidmatan.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan kakitangan JAKESS yang telah memberi komitmen yang tinggi dalam memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada Negeri Selangor. Usaha yang ditunjukkan selama ini harus diteruskan dengan usaha yang gigih untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam perkhidmatan serta menjadi contoh kepada rakan sekerja yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Dalam usaha untuk meningkatkan mutu kerja, perubahan mestilah dibuat dan haruslah datang dari diri sendiri, pengukuhan nilai murni dan budaya kerja cemerlang akan terbit daripada mereka yang mempunyai iman dan beramal soleh serta mahu berubah kearah kemajuan dan kesempurnaan diri dan persekitarannya. Ini adalah kerana firman Allah SWT:

“kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Al-Anfaal: 53]

Dengan pembangunan diri serta nilai murni yang wujud dalam jiwa setiap individu pekerja maka mereka dengan sendirinya ‘immune ‘ terhadap godaan dan hasutan duniawi,tidak tamak dan bakhil dengan kesenangan dunia dan seterusnya terselamat daripada gejala keji yang mesti dihindari oleh penjawat awam supaya dirinya dan keluarganya tidak makan dari hasil yang haram, Firman Allah SWT lagi:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” [At-Tahrim: 6]

Oleh yang demikian, maka kerajaan negeri Selangor telah meletakkan ‘muhasabah’ sebagai salah satu dari 6M yang menjadi formula kejayaan, ‘muhasabah’ bererti menilai diri, dengan selalu mengingati setiap pekerjaan yang telah kita lakukan maka dengan sendirinya kita akan mengawasi kehendak dan nafsu untuk membuat keburukan, tidak amanah dan cuai dalam menjalankan tugas, dengan sikap tidak amanah kita telah gagal mengawal diri sendiri yang akhirnya mengakibatkan rezeki yang diperolehi hilang keberkatannya.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Sebagai sebuah Negeri Maju yang pertama dalam Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk membantu dan menyokong apa jua program dan rancangan kemajuan yang diusahakan oleh jabatan yang bernaung di bawahnya. Pembangunan fizikal Mahkamah Syariah yang terdiri dari ibu pejabat JAKESS di Kompleks Islam Shah Alam dan 9 Mahkamah Rendah Syariah Daerah yang menelan belanja RM165.59 juta misalnya, adalah sebagai salah satu lambang komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur moden kepada kakitangan kerajaan dan yang lebih penting keselesaan dan kemudahan kepada rakyat negeri Selangor khususnya kepada umat Islam.

Dengan status maju juga, rakyat negeri Selangor berhak untuk mendapatkan khidmat yang terbaik daripada setiap jabatan kerajaan yang berurusan. Inilah cabaran yang sebenarnya kepada kita selaku warga kerajaan yang telah menikmati kemerdekaan sejak 50 tahun dahulu, dengan fikiran yang terbuka, saya menyeru kepada pegawai dan kakitangan JAKESS untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memenuhi citarasa rakyat yang semakin tinggi dan jangkaan yang terbaik.

Bagi mencapai tujuan itu warga JAKESS perlu menjiwai empat teras asas dalam tadbir urus iaitu; yang pertama ‘transparency’ ketelusan dalam pertimbangan keputusan, tidak dipengaruhi dengan hubungan tertentu atau sebarang keistimewaan, pengabaian aspek ini akan mengakibatkan kezaliman kepada orang lain, yang kedua, ‘accountability’ kebertanggungjawaban pada setiap diri pekerja JAKESS, tiada sikap lepas tangan atau menyalahkan orang lain, kita tidak mahu sikap ‘bangau oh bangau’ membudaya pada setiap peringkat. Yang ketiga ‘participation’ atau penyertaan dalam setiap kerja yang diamanahkan, sekalipun tiada arahan langsung atas satu-satu pekerjaan, seseorang harus bersifat tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain, jika tidak kerana satu tugasan, kita masih dalam satu jabatan atau jika tidak dalam satu jabatan kita masih dalam satu amanah yang diberikan oleh Allah SWT. Yang terakhir adalah ‘predictability’ kebolehjangkaan yang menjadi aspek penting dalam perancangan, tanpa jangkaan setiap pekerjaan akan bergerak tanpa haluan dan akhirnya tidak menepati sesuatu tujuan atau tugasan yang diarahkan pada peringkat awal, meletakkan pencapaian yang diluar jangkaan adalah satu amalan yang kurang tepat tetapi pencapaian baik melangkaui jangkaan adalah merupakan harapan setiap pekerjaan. Inilah asas kukuh bagi menghasilkan satu perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan. Kesemuanya harus dihayati dan diterapkan dalam pengurusan sistem penyampaian, tanpa penekanan terhadap empat asas tadi, kita bimbang rakyat akan hilang keyakinan terhadap sistem perundangan syariah dan akhirnya akan mendatangkan keburukan terhadap kerajaan dan lebih buruk lagi imej Islam itu sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Pengurusan berkualiti sekarang ini hendaklah dicapai melalui perancangan yang strategik dalam persekitaran yang dinamik, ianya merangkumi kualiti pengeluaran dan kualiti sumber manusia. Kualiti tidak sahaja diukur dan dinilai pada daya pengeluaran dan penghasilan, tetapi juga dinilai dengan kualiti manusia yang dipertanggungjawabkan mengendalikan perkhdimatan yang diberi. Ini dapat dilihat dalam semua kegiatan, seperti fikiran (minda), tingkah laku, kerja yang dibuat serta prosesnya. Kejayaan penghasilan kerja haruslah diukur daripada hasilnya bukan jumlah wang dibelanjakan untuknya,. Dalam konteks ini, penghormatan harus diberi kepada pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan yang telah memberi sumbangan kerja yang cemerlang, bukan habuan semata-mata berkhidmat lama, inilah bentuk kualiti yang kita harapkan.

Sebenarnya makna ‘kejayaan’ bagi sesebuah organisasi ialah apabila pelanggan-pelanggannya berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Walaupun kita memperolehi perlbagai sijil dan anugerah tetapi sekiranya kehendak dan keperluan pelanggan tidak dapat dipenuhi dan pelanggan masih belum berpuashati , maka kita masih dianggap gagal melaksanakan tugas dengan berkesan. Pelangganlah sebenarnya yang akan mengukur pencapaiaan sebenar sesebuah organisasi kerana wujudnya sesebuah organisasi adalah kerana adanya pelanggan yang memerlukan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu.

Akhirnnya saya mengucapkan syabas kepada bakal penerima sijil kualiti serta pihak urusetia yang telah berjaya mengadakan majlis anugerah kualiti pada tahun ini. Semoga usaha-usaha cemerlang ini akan terus dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang.

Menjawab pantun dari Yang Amat Arif Dato’, dan sebagai ungkapan dari ucapan saya pada hari ini:

Antara sifat, orang beriman,
Muafakat selalu, merendah diri.
Tutur kata, pengikat teman,
Indah budi, hiasi pribadi.

Bantu membantu, amalan terpuji,
Muhasabah selalu, koreksi diri.
Bangau oh Bangau, lagu diberi,
Bijak teguran, memanda menteri;

Transparency, budaya kendiri,
Asas terbilang, kena hayati;
Anugerah diberi, hakikat motivasi,
Sebagai lambang, bukan perli.

Saya dengan sukacitanya dan dengan lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’ merasmikan Majlis Anugerah Kualiti Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor 2007.

Wabillahitaufik wal idayah wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Disediakan oleh
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
20hb November 2007


Drafted by Abu Razeen


UCAPAN PERASMIAN MAJLIS ANUGERAH KUALITI

YAA DATO’ HJ ZOHDI BIN HAJI TOHA

KETUA HAKIM SYARIE

SEMPENA MERASMIKAN

MAJLIS ANUGERAH KUALITI JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR

Pada 26 November 2007

Di Hotel De Palma, Ampang

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan SAW, ahli keluarganya, para sahabat, para tabaein dan yang menerima dakwahnya sehingga ke hari kiamat.

Bershukur kita kepada Allah SWT atas limpah kurnia dan inayahnya diberi kesempatan kepada kita untuk bersama-sama menjayakan Majlis Anugerah Kualiti JAKESS tahun 2007 pada hari ini, sebagai makluman ini adalah merupakan kali kedua majlis seumpamanya diadakan setelah dilaksanakan buat pertama kalinya pada tahun 2005. Majlis ini diadakan dengan tujuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada warga JAKESS yang telah berjaya membuktikan dirinya layak untuk dijadikan contoh kepada rakan sekerja yang lain. Syabas saya ucapkan kepada golongan ini dan nasihat saya supaya usaha anda tidak harus berhenti sampai disini. Dengan penghargaan ini segala usaha terdahulu haruslah dilipatgandakan dan saling bantu membantu bersama rakan-rakan lain untuk mencapai kecemerlangan diri dan untuk Jabatan.

Saya mengucapkan terima kasih atas kehadiran Yang Berbahagia Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang sudi merasmikan majlis pada malam ini, seterusnya kepada tetamu-tetamu kehormat yang sudi hadir bagi meraikan Anugerah Kualiti JAKESS tahun 2007.

Juga tidak ketinggalan saya mengucapkan terimakasih kepada wakil pengurusan, serta sayap-sayap pemantau utama dalam pelaksanaan MS ISO 9001:2000 yang terdiri dari jawatankuasa pemandu, unit dokumentasi, unit kualiti, unit audit serta juruaudit dalam JAKESS yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang sejak hari pertama kita dianugerahkan persijilan kualiti di peringkat antarabangsa sehingga ke hari ini.

Dengan usaha gigih mereka yang kadangkala tidak mengenal erti penat dan lelah dalam memastikan mutu perkhidmatan JAKESS menepati piawaian yang digariskan oleh pihak SIRIM, pernah juga kedengaran rungutan daripada pihak yang diaudit, mengatakan audit SIRIM atau APPC atau Bendahari pun tidak pernah memberi laporan ketidak patuhan sebanyak mana yang telah diberi oleh pasukan audit dalam. Namun ketahuilah sebenarnya dengan penditilan dan ketelitian itulah, kita berjaya mendapat sifar NCR atau laporan ketidak patuhan dalam audit pematuhan oleh pihak SIRIM pada tahun ini. Tahniah untuk anda semua.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian

Suka saya menegaskan bahawa semua kejayaan yang kita capai pada hari ini bukanlah atas usaha seseorang sahaja, tetapi hasil kerjasama secara bersepadu dan berpasukan. Warga JAKESS semua patut mengucapkan tahniah kepada diri sendiri sama ada sebagai pegawai mahupun kakitangan sokongan. Tanpa mengira tahap sumbangan masing-masing dalam perkhidmatan samada kecil atau sebaliknya, bagi saya usaha tersebut bukanlah menjadi ukuran utama tetapi yang penting kemampuan anda semua untuk menghayati nilai-nilai murni seperti bekerja kuat, jujur amanah dan ikhlas untuk menjayakan matlamat organisasi.

Kami dipihak JAKESS sentiasa berusaha untuk meningkatkan nilai produktiviti setiap individu dalam jabatan, berbanding anugerah yang lalu, pada kali ini sedikit perubahan dibuat dalam kategori pencalonan di mana warga JAKESS diberi kebebasan untuk memilih calon yang difikirkan layak untuk dimasukkan ke dalam senarai pendek pemilihan berdasarkan 5 calon undian terbanyak, daripada senarai ini juri khas yang dilantik akan memilih berdasarkan ‘performance’ yang telah ditunjukkan oleh pegawai di dalam perkhidmatannya selama ini. Untuk pemilihan yang lebih adil dan bersih borang pencalonan dan undian telah diedarkan oleh jawatankuasa kepada semua warga JAKESS melalui surat dan emel yang didaftarkan dalam esyariah.

Terdapat 13 kategori yang dipertandingkan, terdiri daripada calon-calon terbaik yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pegawai Syariah LS 41, Pendaftar, Pembantu Pendaftar, Pegawai Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Bailif dan Penghantar Notis, Pemandu, Pembantu Pejabat, Petugas Kaunter, Tokoh Juruaudit, Tokoh ICT dan yang terakhir Tokoh ISO, Mungkin ahli jawatankuasa boleh memikirkan untuk memasukkan calon Ketua Hakim Syarie terbaik untuk dimasukkan kedalam senarai pada masa akan datang.

Antara anugerah baru yang diperkenalkan pada tahun ini adalah tokoh petugas kaunter, dipilih di kalangan warga JAKESS diperingkat kakitangan sokongan yang bertugas di kaunter dengan mesra serta memberi maklumat dengan betul dan tepat disamping menyumbangkan idea yang bernas. Manakala tokoh juruaudit pula dipilih daripada juruaudit dalam yang menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun penilaian ini dilakukan.

Dan yang lebih penting pencalonan yang disenaraikan oleh pemilih boleh didasarkan kepada pemerhatian terhadap calon melalui, waktu kehadiran di pejabat, hubungan dengan sekeliling, penglibatan dengan aktiviti Jabatan, pemahaman, pematuhan dan hasil kerja berkualiti berpandukan pelaksanaan MS ISO 9001: 2000 serta sumbangan dan idea dalam meningkatkan Sistem Pengurusan Kualiti JAKESS dari masa kesemasa, ringkasnya pemilihan tidak sepatutnya diberikan atas dasar ‘personaliti terkenal’ semata-mata, jangan sampai ada yang membuat ‘popularity test’ setelah anugerah ini disampaikan dan kepada yang tidak berjaya jangan sampai merasa rendah diri, jadikan hari ini sebagai satu tekad untuk memberikan sepenuh tenaga dan fikiran untuk memajukan lagi sistem penyampaian perkhidmatan di JAKESS untuk kesejahteraan semua pihak, bukan untuk kepentingan diri dan anugerah sahaja.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian

Usaha untuk meningkatkan tahap kualiti dan prestasi cemerlang dikalangan anggota kerja bukanlah satu perkara yang mudah dan tidak pula mustahil untuk dicapai, ianya memerlukan keupayaan diri untuk menimba ilmu dan mengemas diri masing-masing pengetahuan yang terbaru dalam bidang masing-masing. Jestru warga JAKESS perlu meluangkan masa membaca dan mendapatkan maklumat-maklumat terbaru, Bukan sekadar PKPA, GO dan pengetahuan am sahaja, malah boleh diperluaskan kepada ilmu psikologi, kaunseling dan lain-lain. Warga JAKESS juga perlu menghayati sepenuhnya konsep menghasilkan perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggan, perubahan konsep ini berlaku dengan pantas dan mengikut perkembangan semasa, kita tidak seharusnya terkongkong kepada cara bekerja abad yang lepas. Dengan bantuan daripada Kerajaan Negeri dan pihak JKSM pada setiap masa, kita tidak seharusnya ketinggalan dalam arus pemodenan ini, sudah tentu kita tidak mahu dikenali sebagai jabatan kerajaan yang ketinggalan zaman sedangkan Selangor telah memasuki fasa negeri maju sejak dua tahun yang lalu.

Pelanggan kita pada hari ini, sentiasa mengharap sesuatu yang lebih daripada pihak kerajaan, Jadi, sebagai penjawat awam kita mestilah memberi penumpuan terhadap aspek kepuasan hati pelanggan. Semoga kesemua warga JAKESS dapat menjiwai sikap dan pemikiran golongan utama iaitu para 'stakeholders’ atau pelanggan kita iaitu rakyat dan masyarakat umum. jika dalam dunia perniagaan; "it is not your boss that sign your pay cheque, it is your customer” (bukan bos anda yang menandatangani cek gaji, tetapi pelanggan anda) maka dalam dunia perkhidmatan awam "bukan perbendaharaan yang membayar gaji dan upah tetapi rakyat dan masyarakat semua". Jadi janganlah biarkan pelanggan kita yang mungkin terdiri dari orang yang berkedudukan mahupun orang kampung merasa terkilan dan jemu dengan cara penyampaian atau perkhidmatan yang kita sediakan, sikap kita yang melengahkan masa atau melambatkan kerja dan keputusan boleh membawa kepada implikasi yan begitu besar sekali kepada pelanggan Mahkamah Syariah mahupun kerajaan Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu ingin saya riwayatkan satu sabda Rasulullah SAW yang berbunyi;

“Bahwa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan seseuatu kerja, ia lakukan dengan cemerlang” [Baihaqi]

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan JAKESS yang telah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh perkhidmatan pada tahun 2006 dan 2007 ini, juga kepada penerima anugerah nanti, diucapkan “Semoga kemenangan ini menjadi ilham pada diri masing-masing untuk terus maju ke hadapan”.

Segala andaian dan harapan yang disebutkan, ingin saya gambarkan dengan pantun-pantun berikut;


Selangor berkat, negeri aman,
Warganya maju, segenap segi;
Antara sifat, orang beriman,
Muafakat selalu, merendah diri.

Audit memantau, tradisi kami;
Kelemahan sendiri, kami akui.
Bantu membantu, amalan terpuji,
Muhasabah selalu, koreksi diri,


Anugerah diberi, hakikat motivasi,
Sebagai lambang, sempurna diri.
Bakti budimu, tidak terperi,
Jazakamullah Khairan kasira, mampu diberi.

Sekian terima kasih

Wabillahitaufik wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Disediakan oleh
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
20hb November 2007

Abu razeen

UCAPTAMA SEMPENA PERSIDANGAN PEGAWAI SYARIAH NEGERI SELANGOR 2007

UCAPTAMA

YAA DATO’ HJ ZOHDI BIN HAJI TOHA

KETUA HAKIM SYARIE

SEMPENA PERSIDANGAN PEGAWAI SYARIAH

NEGERI SELANGOR 2007

Pada 26 November 2007

Di Hotel De Palma, Ampang

Segala puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan pentadbir sekelian alam, Maha Pencipta segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan SAW, petunjuk dan contoh ikutan sehingga ke hari kiamat.

Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana atas limpah perkenanNya dapat kita berkumpul dan berjumpa pada hari ini bersempena dengan Persidangan Pegawai Syariah Negeri Selangor bagi tahun 2007, Ucapan terima kasih diucapkan kepada para peserta yang berjaya menghadiri sepanjang program persidangan yang bermula pada hari ini sehingga ke tarikh 28 November. Sehingga ke hari ini pihak JAKESS telah berjaya menganjurkan persidangan yang menghimpunkan pegawai-pegawai dari peringkat Ketua Hakim sehinggalah ke Penolong Pegawai Syariah setiap tahun tanpa gagal. Oleh itu besarlah harapan saya supaya kita semua dapat memberikan komitmen dan menjayakan persidangan ini sehingga ke akhir program, kerana selain dari Mesyuarat yang wajib dilaksanakan atas dasar pentadbiran, persidangan juga merupakan forum untuk kita bertukar-tukar pandangan serta pendapat bagi melicinkan perjalanan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Dengan izin Allah SWT, dalam persidangan tahun ini selain daripada ceramah dan Mesyuarat Blueprint tahun 2008, kita akan turut mengadakan Majlis Anugerah Kualiti JAKESS 2007 sebagai meraikan warga JAKESS dikalangan kita yang berusaha untuk memperbaiki mutu sistem penyampaian Jabatan. Saya percaya setiap warga JAKESS telahpun berusaha untuk meningkatkan mutu dan nilai diri masing-masing, jika tidak berjaya sekalipun, sekurang-kurangnya niat kearah kecemerlangan mesti wujud sebagai insan yang diamanahkan oleh Allah dengan tanggungjawab diri masing-masing. Niat yang ikhlas merupakan pintu kepada keupayaan membawa perubahan dalam pekerjaan dan sebagai pekerja kita mesti sentiasa berfikir mencari jalan penambahbaikan dan keberkesanan terhadap kerja yang dilakukan. Semua ini mampu dilakukan jika setiap warga JAKESS berjaya membina keunggulan diri yang berkualiti. Keunggulan ini dapat diukur melalui pemikiran, sikap, tindakan dan jiwa yang berkualiti.

Keempat-empat elemen kualiti diri akan mampu menjana kebijaksanaan untuk merancang, menyusun atur, memimpin dan mengawal individu atau sekumpulan individu bagi mencapai apa-apa yang diinginkan atau apa-apa yang telah ditentukan bersama. Akhirnya proses membina kualiti diri akan mengarah kepada satu gagasan menyeluruh tentang hubungan manusia dan alam seluruhnya dengan Penciptanya yang akhirnya membentuk pula kepada matlamat membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kesempurnaan hidup.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pembinaan kualiti dalam diri, kerja, pengurusan, dan jabatan bukanlah boleh dilaksanakan dalam satu jangka masa yang pendek tetapi ia merupakan satu proses yang berterusan dan saling berubah. Proses ini akan sentiasa dibuat penambahbaikan mengikut keperluan semasa dan matlamat organisasi. Oleh itu penjanaan kualiti mesti diterap dan diserap dalam pemikiran dan sanubari setiap pekerja. Akhirnya kita mampu berbudaya kualiti setelah terbina satu corak kehidupan bekerja yang sentiasa meletakkan kepentingan dan keperluan kualiti dalam setiap tindakan dan perancangan. Perancangan bersama-sama dalam membentuk budaya kerja yang sebegini perlukan kepada gabungan seluruh anggota organisasi. Tanpa mengira ibu pejabat atau daerah, bahagian pentadbiran atau perundangan, unit pembangunan, unit ICT, Perhubungan Awam, tidak ada yang berkecuali. Ini penting kerana sumbangan setiap peringkat akan memastikan kejayaan yang lebih bermakna akan dapat dicapai. Tindakan bersama dalam setiap peringkat bermakna setiap pekerja akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab bersama secara bersama-sama demi mencapai matlamat bersama yang telah ditetapkan. Kejayaan bersama akan menjadi kejayaan organisasi dan mesti pula diiktiraf dan dinikmati bersama-sama. Ini kerana Allah SWT menyukai setiap pekerjaan dilakukan secara bersama dan terancang rapi seumpama bangunan yang dibina dengan kukuh, Firman Allah di dalam Surah As-Soff ayat 4 yang berbunyi:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” [As-Soff: 4]

Sungguhpun ayat tersebut ditujukan kepada mereka yang berperang dan berjuang pada jalan Allah, namun kita selaku pekerja yang mempertahankan syariat Allah di Mahkamah Syariah juga berjuang melalui medan keadilan kepada masyarakat. Dari itu, saya menggesa tuan-tuan dan puan-puan mulai sekarang, untuk tidak berasa jemu melakukan perubahan dan pada masa yang sama bermuhasabah terhadap apa yang telah kita lakukan pada masa lalu, semoga dengan perancangan yang akan kita rencanakan dalam mesyuarat blueprint ini nanti akan mendatangkan faedah dan keuntungan kepada JAKESS pada tahun 2008 dan tahun-tahun seterusnya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

Masa yang berlalu membawa kita ke penghujung tahun 2007, pada tahun ini mungkin bukan rezeki JAKESS apabila gagal untuk mempertahankan mana-mana gelaran cemerlang pada audit APPC yang lalu, walaubagaimanapun di kesempatan dengan ini, masih belum terlambat sekiranya saya mengucapkan tahniah kepada pegawai dan kakitangan kita yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat Negeri Selangor tahun 2006 yang diadakan pada 12hb November baru-baru ini, daripada 12 warga JAKESS yang menerima anugerah tersebut ada diantaranya yang menerima buat kali kedua, mungkin ini yang dimaksudkan oleh Yang Berbahagia Menteri Besar, anugerah diberi berdasarkan perkhidmatan yang cemerlang bukan berdasarkan giliran. Selepas ini bolehlah kita mencungkil rahsia beliau untuk dijadikan semangat dalam menerbitkan kecemerlangan dalam diri kita.

Akhir sekali saya merakamkan ucapan terimakasih dan tahniah kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung diatas kejayaan menganjur persidangan Pegawai Syariah Negeri Selangor kali ini, semoga Allah memberkati segala usaha kita dan memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor.

Sekian terima kasih

Wabillahitaufik wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Disediakan oleh
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
20hb November 2007

aburazeen

UCAPAN SEMPENA PROGRAM HARI KELUARGA BAKEMAS

UCAPAN YAA DATO HJ ZUHDI BIN HJ TOHA

SEMPENA PROGRAM HARI KELUARGA BAKEMAS

PADA 26 HINGGA 27 JANUARI 2008

DI CASA RACHADO, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya kita semua dapat berkumpul dalam suasana yang gembira disamping keluarga tersayang, walaupun tidak semua ahli BAKEMAS dapat hadir pada sambutan hari keluarga pada tahun ini, saya yakin mereka tetap menyokong apa jua program yang dianjurkan oleh barisan exco yang terpilih kali ini.

Dengan izin Allah SWT juga, kita diberi kesempatan untuk berehat dan meluangkan masa bersama-sama, jauh dari kesibukan harian dan tugasan pejabat, semoga kita dapat menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk bergembira dan melepaskan tekanan yang dialami di tempat kerja.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekelian.

Saya difahamkan Program Hari Keluarga ini telahpun dirancang oleh barisan kepimpinan BAKEMAS 2007/2008 sejak dari mula dilantik pada pertengahan tahun lepas, dan dalam beberapa bulan kebelakangan ini urusetia yang dilantik begitu sibuk membuat persiapan untuk menyempurnakan program dua hari satu malam ini. Apa yang Tuan-tuan dan Puan-puan dapat lihat pada hari ini dan disepanjang program yang akan berlangsung sehingga petang esok adalah tuaian dari hasil kerja keras urusetia yang tidak mengenal penat dan lelah semata-mata untuk menjayakan program ini. Saya yakin kesemua pihak yang terlibat telah pun berusaha sedaya upaya untuk meraikan peserta program ini dengan baik, sehingga berjaya menempah lokasi yang dinamakan Casa Rachado dengan imej ala ‘Carribean’ ditepi laut, oleh itu jika terdapat sebarang kekurangan atau kesilapan dari pihak penganjur maka ianya bukanlah sesuatu yang disengajakan.

Tahniah juga diucapkan kepada individu yang terlibat dalam mendapatkan sokongan dan penajaan daripada pihak-pihak luar, sayugia diingatkan kepada pengarah program supaya tidak lupa untuk memberikan penghargaan atau follow up kepada institusi yang pemurah dan baik hati, agar kesinambungan dari usaha kita pada hari ini akan terus mendapat sokongan daripada mereka pada masa-masa akan datang. Agak mengejutkan juga apabila program kita pada tahun ini mendapat penajaan yang banyak, setakat yang dimaklumkan sebanyak 16 syarikat dan individu yang menyumbang samada adalam bentuk wang tunai atau barangan, antaranya Nestle, Dutch Lady, Gardenia, De Palma dan banyak lagi, walaupun dimaklumkan semua orang yang hadir akan dapat hadiah, saya harap semangat kesukanan tidak akan luntur kerana yang kalah sekalipun tetap akan ada habuannya. Syabas sekali lagi kepada YA Tn Hj Abu Zaky selaku Yang di Pertua BAKEMAS yang kelima dan seluruh ahli jawatankuasanya.

Dalam kita bersukaria di sepanjang program ini, diharapkan kita tidak melupakan objektif utama hari keluarga ini diadakan, selain mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan kakitangan JAKESS disemua peringkat samada di ibu pejabat atau di daerah, program ini juga memberi peluang kepada semua ahli BAKEMAS dan keluarga masing-masing untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain. Saya percaya dengan mengenali ahli keluarga rakan sekerja, kita akan lebih memahami personaliti mereka dengan lebih baik dan dapat membina keakraban yang lebih kukuh samada semasa waktu bekerja ataupun diluar waktu kerja, kita juga akan akan mengenal tanggungjawab diri dan rakan kita yang lain terutamanya apabila mereka ditimpa kesusahan. Ini adalah kerana selain dari tanggungjawab mencari rezeki yang halal, kita juga diamanahkan untuk menjaga isteri dan anak masing-masing kerana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Kahfi yang berbunyi:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” [Al-Kahfi: 46]

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah sekelian,

Sebagai makluman, sejak ditubuhkan BAKEMAS sejak tahun 1993, sekarang mencapai usia 15 tahun, inilah pertama kali hari keluarga dijalankan diluar negeri Selangor dan mencatat sejarah dengan aktiviti sepanjang dua hari satu malam, program sebegini walaupun tidak dijadikan sebagai acara tahunan tetapi ia adalah sebagai salah satu cara penghargaan kepada semua kakitangan JAKESS yang telah bertungkus lumus dalam menjalankan tugas harian di mahkamah. Disamping itu juga Hari Keluarga adalah terjemahan kepada peranan BAKEMAS dalam memberikan kebajikan kepada seluruh ahlinya dalam semua aspek dan tanggungjawab, oleh yang demikian penglibatan daripada semua ahli dan khususnya tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini adalah amat-amat diharapkan.

Perlu kita tahu, dalam menjalankan tugas seharian, keluarga memainkan peranan penting selain diri sendiri yang menjadi faktor pendorong kepada kemajuan dan produktiviti Jabatan, disini boleh saya jadikan kias, institusi keluarga sebagai baja kepada pokok-pokok yang rendang, dengan baja yang baik pokok akan menjadi subur dan sihat, maka banyaklah faedah yang boleh didapati, dari rantingnya akan datang burung membuat sarang, manusia dan haiwan akan datang berteduh, buah-buahnya akan dinikmati dan dedaunnya menghasilkan oksigen untuk manusia bernafas. Tetapi pokok yang tidak dibaja ianya akan tetap hidup tetapi dalam keadaan yang daif, dedaunnya kurang, buahnya tidak seperti diharapkan lebih malang lagi umur pokok tersebut mungkin tidak panjang, begitu juga dengan keluarga, keluarga yang bahagia akan menjadi inisiatif kepada kita supaya kerja dengan lebih jujur dan amanah serta bersungguh-sungguh. Hasilnya akan dinikmati oleh orang ramai dan keluarga akan memperolehi rezeki yang halal lagi barokah, oleh yang demikian saya menggesa supaya kepada mana-mana ahli yang masih belum mendirikan rumahtangga , cepat-cepatlah berbuat demikian, bukan sahaja kerana motivasi diri tapi atas galakan agama kerana Rasul SAW suka kepada umatnya yang ramai sepertimana maksud sebuah hadis yang berbunyi:

“Sesungguhnya aku amat berbangga dengan umatku yang mempunyai zuriat yang ramai” [At-Tabrani]

Atas galakan itu jugalah pihak BAKEMAS turut menyelitkan dua aktiviti kerohanian, yang akan disampaikan oleh penceramah jemputan yang pertamanya bertajuk “Keluarga Barokah, Kerja Berkualiti” dan “Indahnya adab-adab dalam Islam: modal insan” saya harapkan kesemua peserta yang terdiri dari 62 ahli BAKEMAS dan himpunan sanak-saudara yang berjumlah lebih kurang 150 orang di hadapan saya pada malam ini, akan dapat mengambil faedah sepenuhnya dari pengisian tersebut.

Akhirnya Sama-samalah kita doakan agar program kita ini mendapat keberkatan dan dijauhkan oleh Allah SWT dari sebarang perkara yang tidak diingini, saya sudahi ucapan perasmian pada malam ini dengan rangkap pantun:

Tanjung Tuan, nama diberi
Dalam daerah, Alor Gajah,
Casa Rachado, indah berseri,
Puas berkelah, suasana meriah.

Tanjung biru, tempat bersejarah
Bangunan tertua, rumah api
Motivasi baru, Solat Jamaah
Jangan lupa, mesti pergi

Sajian enak diatas meja
Sabar menanti ucapan perasmi
Hidangan laut pembuka selera
Lafaz Bismillah saya mulai.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim “Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi Maha Pengasihani, saya dengan ini merasmikan Program Hari Keluarga Badan Kebajikan Kakitangan Mahkamah Syariah Selangor tahun 2007.

Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.



Abu razeen Januari 2008