Wednesday, July 22, 2015

Masjid Tinggi Monumen Ilmu Masyarakat Banjar

Pra: Raya Aidifitri 1436H, selepas ziarah ke Kedah, singgah ke Pekan Masjid Tinggi lebih kurang 7km dari Bandar Bagan Serai menuju ke Taiping. Menziarahi Masjid tua yang menjadi mercu tanda pekan Masjid Tinggi. Inspirasi kepada masyarakat Banjar yang mendominasi populasi kawasan ini.  
 1. Masjid ini terletak bersebelahan dengan simpang tiga pekan Masjid Tinggi. Merupakan titik pertemuan masyarakat kampung sesuai dengan fungsi Masjid sebagai kompas umat Islam walau dimana mereka berada.
 2. 'Masigit Lawas', nama yang ditandakan pada board dihadapan masjid, juga memberi erti masjid yang lama di dalam bahasa Banjar, lama kerana sudah ada masjid yang baru. Mempunyai tiga tingkat menara azan (minaret) dan tiga lapis bumbung kubah masjid. Tidak mustahil nama kawasan ini juga diambil daripada rekabentuk masjid yang unik ini. Menara yang tinggi serta kubah berbentuk pyramid bertapak empat berlapis tiga.
3. Rekaan masjid ini jelas mengambil kira rekabentuk masjid seberang, atau lebih tepat dari Banjarmasin. Jestru tidak menghairankan kerana populasi urang banjar disini dikatakan berhijrah dari daerah Sumatera, Jambi Indonesia (migrasi dari Kalimantan). Tidak dapat dipastikan samada rekaan ini mengambil kira masjid di Negara Timur Tengah namun kejuruteraan bahagian bumbung masjid bukanlah sesuatu yang mudah dan ia lebih bercirikan nusantara.
4. Jika diperhatikan gambar pra-sejarah dari Tanah seberang, sememangnya layer bumbung dibuat paling kurang 3 lapis, tetapi keunikan Masigit Lawas di Masjid Tinggi terdapat pada menara azan yang tidak dapat dilihat pada photo sejarah sepanjang peng'google'an penulis.
5.  Berdasarkan kajian, urang banjar mempunyai kerajaan yang besar di Kalimantan, namun disebabkan peperangan dan perebutan kuasa, telah berlaku penghijrahan beberapa kali ke daerah lain dalam Indonesia seperti pulau Sumatera, Jambi termasuklah ke Tanah Melayu. Proses penghijrahan ini direkodkan seawal 1780, 1862 dan 1885. Penempatan etnik banjar yang besar di Perak adalah di Lembah Krian, terdiri dari Bagan Serai, Parit Buntar, Kuala Kurau.
 6. Rekaan kubah masjid etnik Banjar tidak terhad kepada 3 layer sahaja, dalam gambar hitam putih ini ada 5 layer, yang pastinya bilangan layer adalah ganjil, mengambil sempena kewujudan Allah SWT yang tunggal tidak terbahagi, mungkin juga berdasarkan rukun Islam yang lima. Namun yang pasti, tidak ramai jurutera yang mampu untuk mengadaptasi teknik pembuatan masjid berlayer-layer menggunakan kayu tanpa piling atau beam yang kita ketahui sekarang.
7. Selain dari lembah Krian di Perak daerah Sungai Manik dan Bagan Datok di Teluk Intan juga terdapat masyarakat banjar yang mendominasi perkampungan adat. Kebanyakan penempatan etnik ini berkisar pada pekerjaan pertanian terutamanya bendang/sawah. Ini dapat dilihat di kawasan Krian. Dengan sawah juga kaum Banjar mempelbagaikan produk, antara yang mendapat tempat dihati saya ialah ikan pekasam (marinated fresh water fish), ayaq wadi (juice from marinated fish) yang paling sesuai di makan tatkala kelaparan. Kalau mahu sila berkunjung ke pasar Kamunting di waktu pagi. Ayuhak lakasik!.

8. Kornish ringkas dapat dilihat pada syiling dan dinding syiling, dihiasi dengan kaca berwarna menambahkan seri pencahayaan ruang solat Masjid. Tujuan menara dibuat tinggi adalah untuk tujuan ventilation dan akaustik serta keselesaan Jemaah untuk beribadat. Pada masa ini masih belum dicipta kipas syiling helicopter yang boleh menganginkan satu masjid tanpa perlu air-cond.
9. Tiada angka jelas untuk pembinaan masjid ini, cuma terdapat fakta Blogspot menyatakan ia dibina pada tahun 1890an. Jadi masjid ini sudah melebihi usia 1 abad, sewajarnya mendapat pengiktirafan dari Jabatan Warisan, dan Masjid ini juga telah mendapat rawatan konservasi pada tahun 2006. Apapun usaha tersebut wajar mendapat penghargaan. Pemuliharaan dan penjagaan wajar diberikan sepanjang masa.
10. Sebenarnya urang Banjar bukan sahaja berhijrah ke Tanah Melayu berdasarkan factor politik atau pertanian sahaja, namun ada yang berdakwah. Secara fakta, banyak terdapat guru-guru agama dari suku kaum Banjar yang menerajui pendidikan agama dan memakmurkan masjid dimana komuniti tersebut bertapak. Beberapa pusat pendidikan berstatus sekolah agama rakyat dan pondok pondok banyak diasaskan dan dipelopori oleh tok guru berbangsa Banjar.
11. Pandangan kubah teratas dari sisi, dilihat dari menara azan, sentuhan moden berbentuk dari material zink, sekiranya dibuat dari bahan genting atau sesuatu yang lebih tahan dan antic ia nampak lebih menarik. Tidak kurang juga ada yang menyatakan unsur illuminati dalam rekaan kubah pyramid berkaki empat. Sekiranya kita melihat sesuatu dari sudut negative, maka negatiflah jadinya.
12. Saya sendiri mendapat sentuhan ilmuan banjar sepanjang berada di Sekolah Menengah Agama Rakyat Maahad Al-Ehya' As-Sharif, Gunung Semanggol (1987-1991). Sememangnya urang Banjar amat cintakan Islam, ilmu dan perjuangan. Mereka lebih suka untuk berusaha sendiri, peramah walau ada diketahui mereka yang nakal (semua orang/kaum ada geng nakal) kalau diajak gaduh bunyinya 'kutimpas nantik!). Apapun dengan sokongan urang Banjar inilah tertubuhnya gagasan Hizbul Muslimin yang ditakuti oleh penjajah British dan sekutunya Melayu Nasionalis celup pada masa itu. Kemuncak penentangan terhadap pejuang Islam menyebabkan kelumpuk yang diasaskan dari Gunung Semanggul ini digelar "Bahaya Dari Gunung' pada pasca kemerdekaan. (sebab itu saya suka gunung).
13. Rekod cemerlang bangsa Banjar dalam penyebaran dakwah Islam tidak dapat dinafikan dengan susuk Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari, seorang ulamak mazhab Shafie yang berasal dari Martapura di Tanah Banjar, Kalimantan Selatan (1122-1227H). Kitab Sheikh yang paling tersohor dan menjadi rujukan sehingga kini adalah "Sabilal Muhtadin" masih dibaca di Surau dan Masjid Tanah air. Manakala dari segi tasauf Syekh Muhammad Nafis al-Banjari (1735) juga merupakan tokoh ulama banjar yang menyinari Nusantara dengan karyanya  'Ad-Durun Nafis'. Walaupun sheikh ahli dalam bidang fiqh tetapi beliau dilihat banyak menyumbang dalam bidang tasawuf.
14. Menara azan dimanfaatkan dengan ruang legar yang cozy, tempat berehat untuk muezzin yang dah berumur nak panjat tangga yang tinggi. Juga sesuai untuk menjadi tempat suluk, tempat bermesyuarat yang terhad, tempat menelaah, muhasabah. Kalau kena gout susah sikit nak naik. Lagi lagi kalau ada darah tinggi, gayat dan seumpamanya tak payahle naik.  
15. Oleh kerana sifat pendakwah tidak pernah duduk diam, maka ramailah ulama Banjar bertebaran sekitar Nusantara, antara yang penah menjawat jawatan tertinggi kerajaan adalah datuk kepada Tuan Guru Tuan Hussein Kedah al-Banjari. Bila sebut nama ulama' suka saya sebutkan nasabnya sekali. Nama penuh sheikh: Abu Abdullah Hussein bin Muhammad Nasr bin Muhammad Thayyib bin Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari. Mahsyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussein Kedah. Jasa ulama' berketurunan Banjar bermula dengan datuk tuan guru yang menjadi guru sultan, ada juga datuk tuan guru yang menjadi panglima perang menentang Siam sehingga shahid. Tuan Guru Tuan Hussein pula berjasa dengan membuka pondok di Alor Ganu, Bohor, Pantai Merdeka, Selengkoh Mukim Sungai Limau, Padang Lumat dan Pokok Sena.
16. Cucu cicit Tuan Guru Tuan Hussein ada yang bertebaran meneruskan usaha dakwah sehingga ke hari ini, antaranya ada dibumi selatan tanahair, Shaikhuna Ibrahim Ibnu Masran Al-Banjari yang banyak membacakan kitab kepada faqeer ilmu di kawasan sekitar Johor Bahru. Berpusat di Pondok Ledang di kawasan Bandar Baru Uda, kitab kitab turas digali dan dihadami serta diamalkan khusus bagi mereka yang memerlukan.
17. Ulama' Banjar contemporary yang dikenali antaranya Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah Al-Banjariy Al-Makky, saya pernah menghadiri talaqqi bersama tuan guru dan banyak menerima tempias sanad musalsal daripada beliau semasa di Mesir dan juga di tanah air. Mufti Perak sekarang Dato' Seri Dr. Harussani bin Haji Zakaria orang Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Dato' Ishak Baharom mantan mufti Selangor juga orang Banjar, Allahyarham Sabran bin Haji Asmawi, mantan ADUN Gunung Semanggol, Perak dan ramai lagi.
18. Seperkara yang lazim kita dapat lihat, Tanah perkuburan pada zaman dahulu banyak berjiran dengan Masjid, ini tidak terkecuali Masigit Lawas. Kalau dilihat, Masjid Nabawi pun berjiran dengan Tanah perkuburan Baqi' akibat pembesaran Masjid oleh kerajaan Saudi. Faedah berjiran dengan kubur amat banyak, antaranya keluar masjid aje dah boleh insaf, manakan tidak dapat tengok kubur, ingat mati. Melainkan hati sudah keras ,tidur atas kubur pun tak jadi apa. Cuma jangan ada yang gelarkan 'abdul qubur' (hamba kubur) sudahlah, sejak dua menjak ni banyak amalan sunnah dilihat bida'ah akibat mengaji sambil 'semabul'.
19. Pemuliharaan fizikal boleh dibuat setelah kerosakan asas juga komponen dikenalpasti, namun konservasi hati yang rosak dan lemah jarang dapat dibuat. Peninggalan datok nenek serta moyang kita, bukan hanya sekadar untuk jamuan mata dan pengindah rupa, tetapi ianya satu semangat yang perlu kita warisi dan perturunkan pula kepada anak cucu kita. Agar kita tidak kelu untuk berkata-kata di akhirat kelak tentang amanah yang diperturunkan.

20. Model menara Masigit Lawas amat unik dan mempunyai bermacam faedah yang tak mungkin kita yang banyak dosa dan maksiat terfikirkan. Hasrat Sheikh kami untuk membangunkan sebidang Tanah wakaf di kawasan Johor semoga mendapat perkenan Allah dan dipermudahkan, kelak akan menjadi pusat pengajian ilmu turath Islami seterusnya melebarkan ilmu Allah dimuka bumi InsyaAllah.
 
Post: Sedikit gambaran dan penghayatan saya sewaktu menziarahi Masigit Lawas, didedikasikan untuk Shaikhuna kami, semoga menjadi inspirasi pembinaan bangunan perkampungan Pondok Ledang sedikit masa lagi. Sesiapa yang mahu tanam modal akhirat membantu penyebaran ilmu Allah boleh menghubungi ustaz Syukri di 0134247891. InsyaAllah. secalit debu untuk pemberat mizan kelak.