Wednesday, January 8, 2014

Pondok Ledang: Adab Menuntut Ilmu 1.



Pra: Pengajian Malam Rabu kami di Pondok Ledang adalah talaqqi Kitab Jamiul Jawami' Al-Musannifat (Himpunan Kitab Karangan Ulama' Acheh) kitab tasauf dan Sirajul Huda pada mensyarahkan Matan Ummul Barahin oleh Imam Sanusi karangan Sheikh Muhammad Zainuddin Muhammad Badwi As-Sumbawi sebuah kitab Usuluddin. Kedua-duanya disyarahkan oleh Sheikhuna Ibrahim Masran Al-Banjari. Berikut sedikit catatan yang sempat dibuat. Semoga saya dan pembaca blog ini mendapat keberkatan dari Allah. Kalaam Shaikhuna....

1. Dalam mensyarahkan Dawaul Qulub Minal Uyub pada perenggan muqaddimah pada menyatakan adab segala orang yang Alim dan segala murid. 

2.Akhlak dan tasauf tidak sama. Orang bertasauf semestinya beradab dan tidak semua orang berakhlak/ beradab itu punya tasauf.

3.Kita boleh untuk bersihkan hati dengan syarat ada keinginan, belajar dengan himmah memperbaiki hati, jangan belajar perkara memperbaiki hati tetapi hati tidak berminat untuk diperbaiki.

 Sheikhuna bersama Sheikh Husni Ginting Al-Lankati Al-Azhari 
juga dikenali sebagai Musnid Asia Tenggara.

4. Ulamak terdahulu belajar adab selama 20 tahun lepas tu baru belajar hadis, adab adalah kunci barakah, dengan sebab adab Allah beri semangat untuk beramal.

5. Banyak orang ada ilmu tetapi kefahaman tidak sama sebab faham berbeza-beza, rezki untuk memahami ilmu tidak sama. Ada orang gaji RM1000.00 habis 2 hari dan ada orang gaji RM1000.00 boleh tahan sebulan.
Sheikhuna bersama Sheikh Muhd Zainul Asri Mudir Maahad Darul Hadis, Alor Setar Kedah. Mulutnya tidak lekang dengan Selawat dan Salam kepada Rasulullah.

6. Adab Dunya wa Din – Adab menuntut ilmu mesti menghina diri dan merendah diri, maka kita akan menerima ghanimah (habuan) ilmu, jika tiada keduanya maka Haramlah ia Ghanimah.

7. Hak seorang guru kepada murid seperti hak tuan kepada hambanya. Kata saidina Ali Sesungguhnya sesiapa yang mengajarku, dia akan menjadi tuan aku, sekiranya ia mahu ia boleh menyuruhku, sekiranya ia mahu ia boleh membebaskanku, dan sekiranya ia mahu ia boleh membiarkan aku.
Tuan Guru Maulana Hussein Abdul Qadir Yusufi mempunyai Daurah tetap di Pondok Ledang sebulan sekali. Alim Hadis ini banyak menulis Risalah berkenaan Ulumul Hadis untuk diskusi dan membaca Sunan Tarmizi di Madrasah As-Shatiri di Kampung Melayu Johor Bahru.

8. Imam Shafie semasa sedang mengajar datang orang yang berpakaian compang camping dari tempat sampah lalu Imam bangun dan memeluk orang tersebut. Imam Shafie menjelaskan bahawa orang tersebut telah memberi ilmu cara mengenal anjing jantan dan anjing betina.

9. Alimnya Imam Shafie, sehingga Imam Ahmad belajar darinya. Imam Shafie dibenarkan memberi fatwa semasa umur 15 tahun. Semasa memberi fatwa Al-Imam makan epal disebalik selindangnya kerana pada masa itu Al-Imam masih belum baligh.

Tuan Guru Baba Haji Ghazali Ahmad Al-Fathoni, seorang Alim dalam Ilmu Akidah dan Kalam turut mempunyai daurah sebulan sekali di Pondok Ledang. Masih lagi mensyarahkan Matan Aqidah Thohawiyah dan lain-lain risalah berkenaan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

10. Sekarang banyak orang dapat ilmu tanpa keberkatan, tetapi memberi musibah atas diri dan musibah atas orang lain. Hari-hari ada sahaja hukum baharu yang keluar dari ilmu google. Allah berfirman “Fas alu Ahla Zikra”  Tanyalah kepada Ahli Zikra iaitu orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. “Ahli” itu adalah orang yang sebenar-benar takut kepada Allah SWT. Akan datang Dajjal datang mula dengan orang Alim, kemudian mengaku wali Allah, kemudian mengaku Nabiullah kemudian akhirnya mengaku diri nya lah Allah.   

11. Para malaikat melebarkan sayapnya kepada penuntut ilmu kerana atas perbuatan mereka. Sesiapa yang keluar menuntut ilmu maka ia adalah pada jalan Allah (fisabilillah) sehingga ia pulang. Jadikan kita orang yang menuntut ilmu.

12. Imam Nawawi berpesan seorang murid mesti duduk sebagai murid bukan sebagai guru. Tidak boleh sandar ke dinding (kecuali yang sudah tua). Ilmu yang benar adalah ilmu yang memberi faedah.

13. Untuk menuntut ilmu ada adabnya, untung kita datang belajar. Rezeki kefahaman dan rezeki keberkatan dalam menuntut ilmu akan diperolehi dengan sempurnya adab belajar.

Bumi Johor kian subur dengan majlis ilmu, hatta di penghujung bandar JB-Pontian. Surau Nurus Salam. Taman Pulai Indah. Kangkar Pulai, Johor Bahru turut menganjurkan pengajian kuliah maghrib setiap hari kecuali malam Jumaat. Jadilah orang yang mengajar, atau pelajar atau pendengar atau pencinta ilmu maka jangan kamu jadi golongan yang ke lima.

14. Dipenangguhan pengajian harini 8/1/2014 baris kesebelas dari atas mukasurat 93:
“Tiada sah ilmu melainkan adab dan tiada sah adab melainkan dengan engkau ketahui segala kaifiatnya, maka sebab itulah kedahulukan adab daripada lainnya” …sambung minggu depan. 


Post: Semoga isteri dan anak-anak pak cik memahami betapa kurangnya masa yang dapat diluangkan demi untuk memburu ilmu bagi kemanfaatan dunia akhirat. Pesanan akhir ...hidup di dunia ini sementara akhirat jua kekal abadi, oleh itu kejarlah akhirat ..nanti engkau akan lihat dunia akan mengejarmu pula!.